..yang bernama sahabat

Friday 28 September 2012

7 Hari Tanpa TV

Oleh kerana merasakan diri aku 'dimadu' dek anak-anak dengan tv, aku nekad melancarkan misi 7hxtv.
Heh..heh... apa benda tu... yelah. Takkan aku nak humban tv ke luar umah pulak kan.
Hari pertama - balik dari sekolah, biasanya melangut depan tv sampai aku panggil suruh mandi, semua buat 'muka baik'. Hari ni tidak lagi.... yang lain tak merungut, Umar la pulak tetiba merengek petang tu nak tengok Upin dan Ipin.

Hari kedua dan seterusnya - misi aku berjalan lancar. Tapi semua tak sabar tunggu Abah balik sebab bila   Abah balik aje tv boleh di'hidup'kan kerana abah nak menonton berita. lepas jam 10.00 kad Astro harus dipulangkan kepada tuan tanah kedaungnya iaitu, Mak... he he hee....

Kesannya : Alhamdulillah - Affan makin rajin belajar sembahyang. Makin rajin mengaji, makin ada mood membaca
                                         Umar makin rajin membaca , makin rajin tidur, makin rajin tidur...
                                          Anis - memang selama-lamanya rajin.
                                          Ummi - makin rajin membaca

Ingat zaman kita dolu-dolu, tv tak 24 jam. Pukul 5.00 baru start cerita Cumi dan Ciki. Masa tu mak tak bagi bukak, kalau bukak...siap!
lepas tu dok kat asrama, weekend aje boleh melepak kat bilik tv. Punyalah pack macam sardin, baik lepak dalam bilik...
aku akan melancarkan misi 21hari tanpa tv pulak selepas ini. Kerana aku percaya, niat aku yang baik untuk menjauhkan yang tak baik dari anak-anak aku akan dipermudahkan. InsyaAllah.

Friday 14 September 2012

aku pening kepala cari tajuk....


Nayla masih menghambur tangis yang membingungkan eza. Sejak balik, nayla tertiarap di atas tilam empuk hotel dengan bahu terhinggut-hinggut menahan tangis. Naik muak eza menanyakan punca. Tetapi  akhir kalam ceritanya, semuanya disambut dengan tangisan. Eza berhenti melipat baju yang hendak dimasukkan di dalam beg apabila ketukan seakan merobohkan pintu bertalu-talu kedengaran. Semua orang begitu cemas. Kenapa?
Aizat meluru masuk dan mati langkah melihat nayla yang masih di katil. Eza menarik sedikit kain baju kurung yang terselak menayang betis putih kakak sepupunya itu. Aizat dan eza berpandangan. Nak buat macam mana ni? Aizat bertindak duduk di kerusi berhampiran jendela biarpun niat awalnya untuk menghampiri Nayla dan menenangkannya. Tetapi, tidak manis pula menerpa gadis yang masih tak bangun-bangun dari katil. Takkanlah pulak dia nak menerpa!
Wei!... wei!... aizat datang ni… eza menggoyang-goyangkan lengan Nayla dengan harapan dia berpaling atau setidak-tidaknya dia mengalih kedudukan dan berada di dalam keadaan sopan sedikit.
Eza mendekati aizat. Mengharap jawapan. Aizat menjungkit bahu. Dia hanya menerima panggilan. Beserta esak tangis dan panggilan terputus. Kerana itu dia meredah sahaja ke bilik hotel itu dengan harapan nayla ada di situ.
Wei… kenapa wei… eza mengusap-usap rambut nayla. Diselaknya dan diselitkan di belakang telinga. Nafas deras terhembus-hembus menolak rambut lain yang melekat di pipi dan mukanya yang basah.
Kalau kau tak cakap macam mana aku nak tolong. Aizatpun ada ni. Kalau tak nak cakap dengan aku, kau cakaplah dengan aizat.
Aku malu! Tertancap bicara di hujung esakan antara jelas dengan tidak.
Kau malu? Malu pasal apa?
Ada orang taruk gambar tak senonoh dalam internet. Lepas tu sebarkan kat kawan-kawan kerja aku…
La..apa yang kau nak malu kalau bukan gambar engkau…
Masalahnya muka perempuan tu muka aku! Atas katil! Dengan jantan! Kalau mak tahu, mampus aku! Ketika ini di fikirannya ada emak. Kalau pn mariam dapat tahu, ia lebih menyakitkan daripada hukuman buang kerja ataupun dimalukan satu dunia. Ia lebih melukakan daripada itu. Nayla berpaling dan duduk bersila. Disekanya air mata. Wajahnya memerah. Eza menguak rambut yang menjadikan keadaan nayla cukup teruk ketika ini.
Aku rasa satu dunia ketawakan aku. Satu dunia mengumpatkan aku! Aku malu…
Kau ada buat tak? Eza bertanya tegas. Aizat masih mendiamkan diri. Hatinya berteka-teki mengenai permainan ini. Angkara siapa atau percaturan siapa. Siapa yang mahu melihat nayla tersungkur sebegini rupa. Atau niat lain yang terhijab di sebalik perbuatan yang mencakar maruah orang lain ini.
Kau kenal aku kan? Pernah tak aku pergi mana-mana tak beritahu kau? Walaupun aku tinggal sorang-sorang kat sini. Setiap hari aku lapor kat kau aktiviti aku walaupun aku tahu kau tak nak tahu….
Eza masih menyimpan semua sms dari Nayla. Boleh dikatakan setiap hari akan ada sms dari nayla memberitahu aktivitinya yang selalunya sama saban hari.
Kadang-kadang, naik muak membacanya tetapi tetap dilayannya juga.
Manalah tahu… bicara eza bergelumang wasangka. Nayla mengongoi lagi. Jika orang yang paling dipercayainya juga memeterai sangsi, bagaimana pula orang lain.
Awak ada syak siapa-siapa yang nak main-mainkan awak? Akhir-akhir ni ada tak awak add kawan-kawan baru dlm akaun FB awak?
Saya tak boleh fikir…. Nayla mengongoi lagi. Merayau di mindanya apa yang bakal berlaku selepas ini. Mungkin dia akan dikenakan tindakan disiplin. Mungkin dibuang kerja. Peribadinya akan diperkotak-katik sewenang-wenangnya. Rakan-rakan sekerja akan memulaukan. Tak mahu mendekat manusia yang rendah akhlak walau berwajah cantik dan berpelajaran tinggi.
Kita report polis…
Tak mahu! Pantas jawapan dari mulut Nayla. Melaporkan pada pihak berkuasa akan lebih menyebarluaskan perkara yang memalukan ini.
Sayang…
Aizat bersuara lirih, mendekat dan duduk di depan nayla. Nayla masih menunduk seperti tadi. Ada kalanya memeluk bantal sambil meramas-ramas jemarinya. Eza sedikit mengengsot.
Syy… jangan menangis. Dengar sini dan pandang saya….
Disentuh dagu nayla dengan jari dan menegakkan mukanya setara. Mereka berpandangan. Nayla berpaling. Aku malu. Aku merasakan diriku kotor, jijik berbanding dengan kau, aizat. Aku melumur hubungan kita dengan kotoran aib yang sukar untuk disucikan!
Syy… jangan menangis lagi. Pandang saya. Awak kena kuat! Awak kena buat apa yang sepatutnya. Awak kena laporkan pada polis..
Tapi…
Dengar dulu…
Aizat meletakkan jarinya di bibir nayla.
Awak lakukan ini, pertamanya untuk awak bebaskan diri dari tekanan. Kalau awak biarkan, ia akan jadi hantu yang menghantui hidup awak. Selama-lamanya. Keduanya, awak kata awak tak buat. Jadi awak perlu bersihkan nama awak….ketiganya, awak perlu buat ini untuk jadi pengajaran pada orang-orang yang berniat tak baik pada awak ataupun merancang untuk buat pulak pada orang lain. Keempatnya, awak akan dapat balik keyakinan diri awak. Kelimanya…..
Nayla mengangkat mukanya.
Saya sayangkan awak. Saya tak sanggup biarkan orang yang saya sayang tenggelam macam ni…. Ujar aizat perlahan setelah berjeda. Air mata memburai di pinggir mata nayla. Eza membuang pandang ke arah lain. Alamak! Macam slot samarindalah pulak! Kalau aku rakam kat youtube ni, dua-dua orang ni boleh jual nama jadi pelakon terbaik!
Eza terpana seketika apabila nayla memohon dipinjamkan sehelai selendang. Lama dia terpaku sebelum nayla mengulangi permintaannya. Nayla mengemaskan rambutnya dengan cekak sebelum sehelai selendang nipis menutupi kepala dan melingkar di leher. Aizat senyum nipis dengan sebelah tangan memegang pintu.
Proses membuat laporan tidak mengambil masa yang lama kerana semuanya dilakukan menggunakan komputer. Suasana lobi balai itu tenang dengan irama saksofon Kenny G menguasai suasana. CCTV terlekap di dinding sebelah kiri belakang anggota polis yang sedang mengambil laporan itu pegun dengan gambar empat lokasi strategik. Ada dua orang lagi anggota polis bertugas pada petang itu tekun di depan komputer masing-masing. Mereka diarahkan untuk menunggu sebelum dibawa pula ke bahagian lain dan bertemu dengan seorang lagi anggota polis berpangkat sarjan.
Awak ada syak siapa-siapa?
Geleng.
Betul awak tak buat? Kadang-kadang orang kita ni suka kata teknik super-impose la. Teknik komputerlah. Walhal dia dah dapat seronok. Tak pasal-pasal kita buat kerja buang angin nak menyiasat! Sindiran sarjan rosli (seperti yang tertera pada tanda namanya) memanaskan wajah Nayla. Nayla menahan hati. Inilah yang ditakutkan. Inilah ujian pertama. Sindiran dan kecaman!
Awak ada syak siapa-siapa…boyfriend ke…mana tahu dia jealous tengok awak keluar dengan orang lain. Awak ni boleh kata cantik jugak. Mesti banyak peminat! Atau awak bergaduh dengan boyfriend awak ke…
Nayla memaki dalam hati. Aku dating ke sini bukan nak mendengar spekulasi. Aku nak buat aduan. Tak nak tolong buatlah cara tak mahu menolong!
Aizat? Tak mungkin aizat.
Awak ada akaun laman social?
Angguk.
Ada ramai kawan?
Angguk.
Mestilah ramai ye tak. Orang cantik. Sarjan rosli memprovok. Nayla merasakan bahang di luar dan dalam diri.
Mana gambar tu…
Saya tak bawak. Lagipun saya belum tengok betul-betul…
Sarjan rosli ketawa kecil.
Kalau awak belum tengok betul-betul macamana awak tahu itu gambar awak?
Berdasarkan email yang dihantar kawan-kawan sepejabat!
Itu baru khabar angin. Awak ni perasan glamour agaknya.
Hish menyakitkan hati betul!
Macam ni, saya akan panjangkan kes ini pada bahagian jenayah komersial atau jenayah siber, dari situ pegawai di sana akan ambil alih. Mereka akan telefon awak…
Sarjan rosli menutup fail kertas berwarna coklat itu. Tanpa terima kasih nayla bangun sambil menyeka air mata. Manusia yang bernama lelaki memang sukar menjual simpati! Tetapi aizat juga lelaki. Mungkin aizat lain.
Hei.. kenapa ni? Aizat dan eza sama berdiri dan sedikit cemas melihat nayla tertunduk-tunduk mengesat mata dan hidung.
Ni mesti sarjan gendut tu memprovok kau kan! Teka Eza. Aizat menahan diri. Nak ketawapun ada.
Aku dah agak dah. Sebab tu aku tak suka benda-benda yang melibatkan polis ni. Nak-nak kalau kita yang perempuan datang buat laporan.
Dia Cuma buat kerja dia eza. Tanggungjawab dia nak menyoalkan… kalau tak, taklah namanya soal siasat aizat membela. Mereka beriringan menuju ke kereta.
Sarjan tu cakap apa…
Nanti mereka telefon… nayla menjawab lemah dan terus melemparkan tubuh lesunya di tempat duduk belakang kereta.
Kita nak ke mana ni? Tanya sang supir, aizat.
Balik hotel…. Nayla menjawab dalam kelesuan dan mata terpejam.
Yelah takkan nak balik kampong dalam keadaan kau macam ni. Mesti ma tanya. Ayah kau mesti sibuk nak tahu…
Sayang… kita balik hotel aja… nayla memegang kepalanya. Hah? Sayang? Betul ke apa yang aku dengar ni? Aizat cuba menyembunyikan rasa terkejutnya. Mungkin perkataan itu keluar akibat hambatan emosi yang tidak stabil.  Eza menelan liur pahit. Sayang?  Hidungnya terngiang-ngiang bau nasi minyak.
Tidur nayla sekejap sekejap terganggu. Banyak kali dia terkejut dan terjaga tiba-tiba. Apabila ditanya katanya tiada apa-apa ataupun sekadar gelengan tampang.
Mereka tiba di lobi hotel tiga bintang itu ketika azan maghrib berkumandang. Eza hendak mengejutkan nayla tetapi aizat tidak membenarkan. Eza tidak senang hati melihat ritma pernafasan nayla yang agak pantas. Dibukanya pintu belakang dan meletakkan belakang tangannya di dahi dan leher nayla. Aku dah agak dah! Mesti dia akan demam punya. Nayla tidak kuat menerima tekanan. Fizikalnya akan turut menerima kesan seiring dengan bebanan emosi yang menghempap.
            Saya pergi beli ubat. Nayla demam…. Eza terus menutup pintu kereta bahagian penumpang depan tanpa menunggu jawapan aizat.
Aku nak buat apa ni? Takkan nak duduk bersama-sama di dalam kereta! Nanti bertiga dengan *al-a’war. Tak pasal-pasal menambah masalah yang sudah sedia ruwet.
“sang pencinta” ini hanya menanti saat yang sesuai memain peranan bila melihat lelaki dan perempuan bukan mahram ada berdekatan. Tambahan pula maghrib-maghrib begini.
Sudahnya, aizat membuka pintu kereta belakang dan bertinggung menghadap nayla. Perlahan-lahan dikejutkan gadis itu.
Nayla, bangun sayang. Kita dah sampai hotel. Saya bawa awak naik  Eza pergi beli ubat. Lepas makan ubat, awak tidurlah balik…
Tak ada selera…
Sikit aje. Awak nak makan roti tu dan makan ubat atau awak nak saya dukung awak pergi klinik…. Kelesuan tidak mampu meleretkan senyum waima seincipun di bibir yang mula mongering itu. Aizat kematian kata.
Aizat… nayla meraih tangannya ketika aizat hendak bangun berdiri. Ada lenguh yang menggigit-gigit di sendi. Aizat bertinggung semula.
Terima kasih. Nayla bersuara lirih.
Terima kasih juga kerana sayangkan saya…. dikucupnya belakang tangan nayla yang hangat. Ada aliran halus meniti tubir mata gadis itu. Aizat mengesatnya. Bangun dan menutup pintu kereta. Berlama-lama akan lebih menggetarkan hati lelakinya. Menatap kesayangannya dengan wajah tak berdaya akan lebih menerbitkan ketakberdayaan bagi pihak dirinya pula.
Pak tam… alamak! Itu nama gelaran aku dengan nayla aje. Dia mana tahu! Eza menutup mulut.
Apa? Aizat mengerutkan dahi.
Tak, nanti nak buat sup ketam… boleh cepat kebahkan demam… itu untuk *demam denggilah bodoh! Eza mengutuk diri sendiri.
Ayah long telefon. Ma masuk hospital semula. Doktor suruh ma buat pembedahan
 Nak buang katarak
Mak mesti tak mahu…sampuk nayla. Eza susah payah menuntut tangan nayla keluar dari kereta. Sebaik sahaja mengunci pintu kereta, aizat mengambil alih tugas memapah nayla menghala ke lif. Sampai di bilik Nayla terbaring kelesuan. Eza menghulurkan dua biji paracetamol dan meletakkan ke atas telapak tangan nayla.
Itulah! Ma mati-matian kata mata dia bengkak dan kabur tu pasal sakit angin. Nanti bila angin tu hilang, hilanglah kabut serangkai mawar tu… eza merungkai kata selamba sambil membuka kotak burger ayam yang dibeli aizat sebentar tadi.
Banyak kau punya mawar…. Nayla masih mahu bersuara biarpun matanya tertutup.  Fikirnya menerawang kepada wajah tua emak. Memang mulut mak mencelidau. Memang emak pandai menasihatkan orang. Tetapi apabila kena batang hidungnya, emak memang takut. Takutkan hospital. Apatah lagi disebut pembedahan. Baginya, pembedahan itu ialah proses menyakitkan yang akan mengeluarkan semua organ dalaman dan menumpahkan darah yang banyak. Penamatnya akan menamatkan nyawanya. Itu yang emak paling takut. Menemui mati sebelum waktu biarpun ketetapan mati itu Cuma di tangan Pencipta.
Agak-agak saya boleh pujuk ma awak tak? Aizat memberi usul. selepas lafaz alhamdulillah dengan perut terisi sebentar tadi.
Cubalah. Tapi saya tak yakin. Ma tu paling keras kepala, paling degil dalam keluarga. Ayah longpun tak boleh nak kata apa.. tu yang anak dia ikut tu… eza menurunkan nada ketika menyebut baris ayat yang akhir itu.
Jangan ingat aku tak dengar… nayla memandang meletakkan lengan di atas dahi.  Matanya tidak mampu tertutup lagi. Eza dan aizat bertukar tawa. Mak, aku memang tak mampu! Aku sedang bertarung untuk bangkit dari kelemahan diri. Aku tak mampu berjuang dengan bilahan pedang bermata dua. Berpencak dan berseloka dalam satu masa. Tak mampu! 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...