..yang bernama sahabat

Tuesday, 31 December 2013

Melakukan Kabus Rindu, kerja baru

Assalamualaikum,
Masihi 2013 bakal berlabuh sebentar lagi.

Keseluruhannya untuk berada pada takat ini, aku rasakan semuanya bagaikan mimpi. Kabus Rindu menjengah pasaran di pertengahan bulan Disember. Karya terkini di alaf baru. Rasanya sudah banyak entri yang aku naikkan mengenainya kan.

Mempromosi dan mencari jalan 'melakukan' Kabus Rindu adalah perkara baru yang aku lakukan. Alhamdulillah, kalau bukan kerana Akademi Bekerja Di Rumah, tentu saya menghadapi masalah juga.

Tahun 2014, banyak yang aku rencanakan. Semoga rezeki dapat aku jemput dengan ceria dan cemerlang. InsyaAllah.

Komen 1 : Kabus Rindu

Foto ehsan facebook Normasliza Elyani.
Komen daripada sahabat Facebook : Normasliza Elyani

10.35 mlm...tamatlah sudah sesi membaca novel ' Kabus Rindu ' karya kak Monalita Mansor terbitan Elee Mardiana Publication a.k.a Emp... terus terang mas cakap tahap 4★ novel nih (ini pendapat mas...org lain mas tak tau..hehe!!) dan mencapai tahap piawaian mas sebagai pembaca tegar...

jalan ceritanya memuaskan hati walaupun kena ulang dua kali baca bahasa sastera Indera Laksamana tu...pasal tak berapa nak pandai sangat bahasa melayu lama ni kan...but the rest is marvelous... terutama bila masuk bahagian persahabatan antara izzie dan yatt...dan antara zaweeya,ain dan budiwati...rencah dalam bersahabat...ada usik mengusik...rajuk dan memujuk...sangat indah sebuah persahabatan itu pada mata mas... 

cubaan membayangkan macam manalah rupa si wafi dlm persalinan melayu dulu kala menghasilkan imej Stephen Hughes(betui ke pun eja nih...hantam saja laaa...huhu!!) memakai persalinan baju mcm zaman Hang tuah(huishh...memang ensem kott!!)...aduhaii memang meruntun jiwa untuk terus membaca dan mencari jalinan kisah antara wafi dan zaweeya...kisah pengorbanan hati dan perasaan demi untuk orang yang kita sayangi dan betapa bernilainya kasih seorang ibu sudah cukup menyatakan ada pengisian tersirat dalam novel ini...

tapi part last tu mcm tak cukup jer...kalau kak monalita panjangkan sikit lagi..mas rasa lagi best kot...hehehe(banyak songeh pulak mas nih). Apapun...tahniah kak Monalita...karya anda tidak mengecewakan saya... buat kak Elee Mardiana...terima kasih sebab terbitkan karya2 yang ada pengisian macam ini...nak kiss pipi kanan..pipi kiri akak...muahh..muahhh!! Hehehe.... untuk kawan2 yang lain...cubalah baca..kot2 terbekenan...mas memang dah berkenan dah nih...(^_^)

 — with Elee Mardiana and8 others at Taman Pengkalan Jaya(Sppk) Pasir Puteh,Ipoh.

Saturday, 28 December 2013

Budiwati - tak pernah ada lagi

Assalamualaikum.

Budiwati ni sahabat aku. Aku abadikan nama dia dan wataknya sendiri sebab bagi aku nama dia sangat unik. Aku pernah jumpa Budiyati Mulia, pernah jumpa Budiman Perwira Negara tetapi belum pernah bertemu dengan pemilik Budiwati.

Budiwati, aku lukiskan wataknya sebagai sahabat yang gila-gila sama seperti Ain. Bagaimanapun dalam gila-gilanya ada sentapnya juga. Salah faham di antara Budiwati dengan Zaweeya kerana Norman memungkinkan hubungan persahabatan mereka dingin seketika. Tinggallah Zaweeya terkontang-kanting kerana Ain juga menjauhi Zaweeya ketika itu.

Padahal Zaweeya memang tidak pernah meletakkan hati pada Norman, biarpun Norman sebenarnya memang ada sikit hati pada Zaweeya. Aduh kalut betullah mereka ni.

Norman tersenyum-senyum di muka pintu.  Hidayati juga berada di luar rumah meladeni taman mininya.  Dua beg plastik hitam berisi anak pokok bunga yang dibawa Norman berada di tangannya.

“Mana Budik?”

“Manalah aku tahu.  Aku bukannya satu rumah dengan dia,”  Norman bertenggek di pinggir longkang di depan rumah. 

“Yalah.  Biasanya kau datang dengan dia.  Hari ni kau datang seorang pula.,” sela Zaweeya sambil menghulurkan gelas yang sudah berisi air sirap kepada Norman.


“Entah.  Aku tak tahu.  Tadi aku panggil dia, dia tak mahu turun.  Nak pergi perpustakaan tak?”  Tanpa kata, Zaweeya masuk ke dalam rumah.  Tidak lama kemudian Zakeeya muncul.  Setelah meminta izin mamanya, mereka berjalan kaki beriring-iringan menuju ke perpustakaan itu.

Friday, 27 December 2013

Indera Laksamana, tuan hamba di mana

DENGAN firasat Dato Nakhoda Tajam Batu, Putera Indera Laksamana segera menitahkan bahawa diturunkan perahu menyusur tebing kerana baginda mahu bertukar sarung menyamar diri menjadi jelata.

Ditukar juga gelarnya kepada Awang Deli dan Awang Gagah tetaplah dengan gelar asalnya.  Awang Gagah yang sesekala tersasul menyeru nama baginda, dimurkainya tetapi cuma seketika.  Tatkala dilihatnya ada desa berorang, merekapun menyinggah melepas lelah.

            Maka jelata yang ada tiadalah terperasan akan mereka.  Manakan tidak, ke istana tidak dijejak.  Manalah tahu rupa sebenar anak raja itu.  Hanya mendengar cerita  disampai orang tentang muluk paras rupa dan elok laku sehingga menjadi igauan dara desa.

            Arakian, setelah lama berdayung haripun petang.  Maka berkatalah Awang Deli kepada Awang Gagah supaya sekali lagi merapatkan perahu ke tebing.  Maka dirapatkan perahu ke tebingan dan Awang Gagah terjun ke dalam sungai.  Air sungai separas pinggang orang tua itu diharungnya dan menarik perahu ke tebing.  Dicarinya kayu buat mengikat tali perahu.


Indera Laksamana, satu lagi watak 'keras' dalam Kabus Rindu. Keras macam mana?  satu memang dia berhantu sebab dia memang hantu, dia wujud di dalam minda Zaweeya aje. Kedua, saya gunakan era Indera Laksamana untuk menyerap elemen syair dan bahasa klasik. Walaupun Indera Laksamana nampak sempurna saya garapkan sikap manusia pada dirinya. 

Indera Laksamana dalam era kini adalah Wafi Ikhmal dan Kembang Dahlia, perawan desa yang diburunya yang suka mengidung serta malas ke dapur adalah Zaweeya. Kembang Dahlia dan Zaweeya, di mana-mana zamanpun memang memeningkan kepala bondanya. Aduhai...


Thursday, 26 December 2013

Nur Ain Syafira - pewaris saka pontianak

Assalamuaikum.

Di dalam dunia realiti, Nur Ain Syafira ini betul-betul memberikan kejutan. Dia satu-satunya pelajar Melayu di Sek. Men Kebangsaan Puchong Jaya A yang mendapat 8A. Anak aku dan rakan sekelas berada di belakangnya dengan 7A IB, padahal masa dia di tahun enam, keputusan PMR-nya mencatatkan satu B mengikuti 4A yang lain.

Di dalam Kabus Rindu, Ain Syafira kawan baik Zaweeya, sama gila-gilanya dengan Budik atau Budiwati. Selalu bikin hangat mama Yatt dengan telatah mereka bertiga. Tapi, ada ketikanya persabahatan mereka digoda badai jugak. Budik la. Tak nak bertanya dengan Yaya dulu. Kan dah rugi masa-masa gemilang zaman remaja bersama-sama.

Tapi babak kegemaran penulis ialah masa mereka meneka-neka siapa hantu yang selalu mengSMS Wafi sampaikan waktu makan kenduri pun masih sibuk lagi. Siapa agaknya ya?

Wafi tergesit-gesit menahan kepedasan sambal dilengkapi aneka daun-daunan seperti pucuk ubi, daun kaduk, daun kunyit dicampur tempoyak dan petai beserta cili api dan kunyit hidup.  Ditambah pula dengan hidangan daging lembu salai dimasak lemak cili api.

            “Sakit apa?” tanya Wafi, terus tersenyum.
           
“Sakit hati.  Dalam hati ada nurseri bunga!”  jerit Budiwati.
           
“Mana ada, ” tukas Wafi.
           
“Sudahlah.  Janganlah cuba-cuba nak menipu kami ni, Wafi.  Bukan sehari dua kami kenal kau.  Dulu kau tak macam nipun,” jerkah Ain pula.  Bagaikan Wafi pesalah yang akan menerima hukuman gantung sebentar lagi.
           
“Biarkanlah dia.  Kenapa nak marah-marah pula?”  tanya Amirul.  Sekadar membela.  Wafi mengangguk-angguk sambil melayangkan tapak tangannya kirinya.  Bertemu dengan tapak tangan Amirul.
           
“Sebab dia tak bagi tahu siapa yang sebabkan dia angau tu!” tambah Ain lagi.
           
“Jangan-jangan dengan kau kot?”  telunjuk Budiwati mengarah kepada Zaweeya yang baru meletakkan sebekas plastik berisi dadih yang masih dingin.
            

Wednesday, 25 December 2013

Izzie Memang Berlagak

Assalamualaikum.

Izzie atau Ungku Izzaidah, sesuai la pulak dengan dirinya. Keturunan bangsawan dan seleranya tidak terarah kepada lelaki Melayu tapi aku tak ceritakan kenapa. Tak perlulah cerita kalau setakat nak memburukkan lelaki-lelaki Melayu di luar sana. Lelaki, tak kira apa bangsa, kalau dah jahat, jahat juga. Perempuan pun begitu.

Sebab tu lah dalam ayat Quran ada disebutkan tentang puak-puak yang sengaja Allah jadikan supaya hidup aman damai tapi lain pulak jadinya disebabkan campur tangan syaitan.

Izzie terpisah dengan Hidayati selepas habis belajar walaupun sebenarnya mereka kawan baik. Zaman pop yeh-yeh dulu mana ada kemudahan facebook atau laman sosial nak uruskan alumni. Aku nipun anak yang buatkan akaun masa dalam pantang dulu. Kalau tak, sampai ke sudahlah tak berjumpa kawan-kawan lama. (eh ini cerita aku ke cerita Izzie)

Mereka berjumpa semula semasa di sekolah sebab Izzie nak menyaman keluarga Hidayati disebabkan oleh Zaweeya. Apa yang dibuat dek Yaya ni lagi? Ya Allah. Memang pening mama Yatt dibuatnya. Tapi aku gambarkan Izzie memang kerek. Masa mula-mula bertemu dengan Pengetua, haram tak ada sepatah bahasa Melayu pun digunakannya. Teramatlah kereknya yek.

“SAYA tak kira.  Saya tak mahu terima apapun alasan cikgu.”  Wanita anggun yang baru sahaja menanggalkan kaca mata hitam dengan perkataan CK di bingkainya itu bersuara. 


Dalam bahasa Inggeris dan dalam loghat England Utara yang sangat pekat.  Puan Pengetua sedaya upaya bersangka baik.  Membuang rasa meluatnya.  Dia melabuhkan punggungnya ke kerusi tidak berapa empuk di dalam bilik Puan Salbiah itu.  Kipas dari sutera China yang dibelinya juga di negara paksi komunis itu dikeluarkan.  Biarpun kedinginan udara dari pendingin hawa di atas kepala Puan Salbiah itu baru sahaja menyapanya.

Watak Izzie ini aku gubah daripada watak seorang wanita yang aku temui di sekolah anak-anak satu ketika dahulu. Tak aku nafikan, memang aku meluat tahap gaban, tapi aku salurkan rasa meluat aku tu dengan cara yang betul. Taraaaa...

Tuesday, 24 December 2013

Mama Gila-Gila

Assalamualaikum.

Kawan aku, Ain menggambarkan Hidayati Jamil, mama Zareema, Zaweeya dan Zakeeya sebagai sebahagian daripada dirinya. Memanglah. Emak mana yang tak poning kalau dapat anak dara macam Zaweeya tu. Aduhai.

Hidayati, adalah sebahagian daripada diri aku, diri mama-mama di luar sana dan diri ibu idaman tiap anak-anak. Ibu Transformer. Ada masanya menjadi Naga Tasik Cini bercantum dengan Ular Saktimuna. Ada ketikanya, dia ibu yang blur yang dibuli oleh Yaya dan rakan-rakannya. Ada ketikanya dialah penyejuk hati di kala anak-anak berduka.

Biarkan dia, Budik,” kata Hidayati pula.  Mendengar suara mamanya yang berbaur ancaman, Yaya bingkas bangun.  Mengemaskan tudung di kepala dan menjadi orang pertama yang berlegar di sekitar kereta papanya.  Menunggu kunci kereta dibuka.
            


“Mama jangan lupa telefon pengetua.  Yaya tak nak menipu dengan dia.  Berdosa.  Tak mahu! Tak mahu.”  Zaweeya menggoyangkan telunjuknya. 


Hidayati ketawa kecil.  Dalam pada itu, sedikit kerisauan menapak jua di hati.  Amatlah tidak berpatutan apa yang dilakukan pada hari ini.  Tetapi, dikeraskan hati, dia memang tidak sanggup melihat majalah-majalah kesayangannya itu menjadi kertas kitar semula walaupun niatnya suci untuk menyelamatkan alam semesta.  


“Tak sempatlah.  Mama aku tak benarkan kami usik komputerpun semalam.  Telefonpun dia ambil,”  Zaweeya menerangkan dengan suara separuh sedih. 


Bagaikan kehilangan dunia kerana tidak dibenarkan menyentuh gajet-gajet itu.  Kesemuanya dikuarantin.  Oleh siapa lagi kalau bukan mamanya!  Komputer,  kad Astro, telefon bimbit.  Dikunci Hidayati di dalam peti besi berkod yang hanya boleh dibuka James Bond. 

Monday, 23 December 2013

Ganteng Sangat ke Wafi Ikhmal tu?

Assalamualaikum

Wafi Ikhmal pada mulanya tak adalah kuat benar peranannya. Sebab aku tak berniatpun nak 'menjatuhcintakan' dia dengan Zaweeya. Tapi entah macam mana pulak, bila Indera Laksamana yang tampan gunawan tu masuk campur, aku rasa aku perlu selamatkan Zaweeya daripada mimpi dia tu. 

Sebab, Zaweeya kalau dapat berangankan Indera Laksamana, dia dah tak pedulikan sesiapa lagi. Sampaikan Wafi pun diserunya Indera Laksamana. Mana tak perasan kawan tu!

Wafi Ikhmal aku gambarkan budak macho sebab dia anak kacukan. Papanya Edward Arie Glas lelaki Belanda berketurunan Indonesia-Belanda yang berkahwin dengan Ungku Izzaidah. 

Maklumat tentang Belanda dan sedikit latar ini aku peroleh daripada ipar aku yang berkahwin dengan warga Belanda yang baru dijemput Allah sebulan yang lepas. Almarhum ada beritahu nak hadiahkan aku kamus Belanda-English dan antara penyokong kuat kerjaya aku selain suami dan anak-anak. Tapi itulah, tak sempat nak tunjuk novel ni kat dia. 

Dulu, kalaulah ada rezeki, boleh aku minta tolong dia terjemahkan ke dalam Bahasa Belanda sebab profesion terakhirnya ialah penterjemah. Tapi Allah lebih mengetahui kan. 

Zaweeya mengangkat muka apabila merasakan ada pandangan yang sedang menghala padanya.  Seorang lelaki berbusana amat berbeza berbalam-balam bayangannya di belakang Wafi.

Berseluar panjut dengan kilau kemilau bagai cermin kecil pecah berderai terlekat di setiap sudut seluar.  Memancar sinar memanah wajah bertambah indah.  Bajunya daripada sutera baldu bergelar ainul-banat, indahnya dicabik sikit dijerumat. Berkain tenun dondon dari tanah besar China. Tengkoloknya bagai pelangi zaman dahulu, tiap sudut terlipat menyimpan hikmat.  Bagai tersusun hajat tak sampai.

 Di pinggangnya tersisip keris sempana gajah rias.  Dikata orang retak diturut dek panjut putih, besi dititik besi lalu ditinting dari keratan tongkat Nabi Adam berasal daripada serpihan khersani.²

“Putera,” terpacul sepatah ayat dari mulutnya.  Dia semakin mendekati Wafi.

“Putera Indera Laksamana,” panggil Zaweeya.  Berada betul-betul di depan Wafi sekarang.  Wafi menoleh ke kiri dan ke kanan. 

“Yaya,” dipanggilnya nama Zaweeya.  Berkali-kali.  Haikal juga mendekat dan memanggil-manggil nama Zaweeya.  Jerit-pekit Zakeeya bermain air mati tiba-tiba setelah diarah diam oleh mamanya. 

Wajah sempurna milik Putera Indera Laksamana itu terus memukau pandangan Zaweeya.  Bagaikan mahu diusap kulit mulus bagaikan telur baru berkupas itu. Pipinya bagai pauh terlayang dengan hidung kuntum bunga serayu.  Telinga bagai telepuk layu dengan dahi cantik bagai sehari bulan.

Semuanya serba sempurna dengan kening lengkuk taji dan lehernya jinjang bagaikan buyung Petani.  Segala-galanya serba sempurna dan mengasyikkan. Putera Indera Laksamana menghulurkan jemarinya.  Mereka masih bertatapan.  Bagaikan dialah Kembang Dahlia yang melagukan ‘Syair Teladan Yusuf Nan Tampan’.

“Yaya,” jerit Hidayati melihat Zaweeya terkulai di dalam dakapan Wafi yang menyambutnya sebaik sahaja dia mulai kehilangan tenaga dan hampir terkulai di pangkal pokok getah tua itu.


Sunday, 22 December 2013

Bertuahnya Yaya (Kabus Rindu)

Assalamualaikum.

Watak Yaya (Zaweeya) dalam Kabus Rindu sebenarnya adalah imbasan watak salah seorang puteri aku. Dia memang sangat rajin tahap tukul The Thor, ketuk di Malaysia boleh terasa sampai ke bulan! Tapi tak bolehlah aku nak sebut selalu ayat negatif tu sebab pakar keibubapaan kata tak baik. Lalu bila kemalasan dia melanda, aku selalu gelar dia menantu sultan Johor.

Nak ambil berkat macam Duli Yang Mulia Raja Permaisuri Agung sekarang. Dalam satu temuramah majalah, baginda pernah bertitah yang bonda baginda menggelarnya permaisuri sebab baginda selalu bangun lambat.

Jadi, apa salah aku gelar anak aku menantu sultan pulak kan?

Ini antara babak aku menggambarkan betapa bertuahnya Si Yaya ni...

Perut yang kelaparan sudah menadah minta diisi.  Dibukanya kabinet dapur sebelah atas.  Manalah tahu, kalau-kalau ada simpanan mee segera.  Nil.  Aduh!  Terasa mahu dibalingnya tin susu bergambar teko yang beratur di depan matanya.  Hendak menggoreng ayam, perlu menunggu ayam umpama batu itu lembut dahulu.  Hendak menggoreng ikan, tidak pula arif dia melihat keadaan ikan yang sudah masak itu bagaimana.  Sebanyak mana minyaknya. 
           
Hendak menggoreng sayur, menyiang kangkungpun Zaweeya tidak pandai!  Bayam apatah lagi.  Ikutkan dia, dimasukkan semua tanpa bersiang.  Apa yang disusahkan benar hendak disiang kalau semuanya masuk ke dalam perut? 
           

“KEEYA, kalau Keeya nak tahu, itu alasan orang terlebih rajin.  Ada-ada saja alasan dia.”  Teringat kata-kata mamanya apabila dia memberi alasan apabila disuakan sebekas bayam untuk dikerjakan.  Sayur paling ringkas dimasak.   Sup bayam bercampur ayam.  Berkhasiat dan menjimatkan. 

Hidayati menitikberatkan kesihatan anak-anak dengan menjaga aspek pemakanan.  Setiap hidangan perlu ada sayuran atau buah-buahan.  Buah-buahan harus dimakan sebelum makan nasi.  Selain dari salah satu sunnah Rasulullah S.A.W., ia dapat mengurangkan kadar pengambilan kabohidrat dan protein di dalam nasi dan lauk-pauk kerana perut sudah beralas.  Satu kemestiannya yang cuma diikuti Zakeeya sahaja.
           
“Tapi, bila waktu makan, tak payah dipersila, tak payah dijemput, dialah orang pertama yang menyorong pinggan,”  ulas Hidayati lagi.   Zakeeya ketawa mendengar kata-kata mamanya itu.

  Zaweeya memang suka memberi alasan apabila disuruh ke dapur.  Ataupun disuruh membuat apa-apapun.  Jawapan yang paling popular ‘nanti sekejap’.  Membawa makna, ‘saya tak mahu buat’.  Ataupun jawapan biasa, ‘Yaya penat’, ‘Yaya mengantuk’, ‘suruhlah orang lain, asyik suruh Yaya aja’.  Semuanya membawa maksud sinonim dengan yang pertama tadi iaitu ‘saya tak mahu buat.’
           
“Tak baik mama menjatuhkan air muka anak di depan anaknya yang lain tau, ma.  Yayapun anak mama.  Keeyapun anak mama.  Pilih kasih namanya tu…”  Zaweeya membuat andaian. 

Mempamer wajah terluka yang dibuat-buat.  Biarpun dia tahu, mamanya tidak akan terkesanpun dengan teknik psikologi amaturnya itu. Memutar topik agar tiada hentaman kata menujah kepadanya lagi.
           
“Yaya tu tak pilih kasihkah?  Bila mama suruh tolong masak, tolong kemas, Yaya bagi seribu alasan.  Bila tiba waktu makan, waktu makan angin, kenapa Yaya tak bagi alasan.  Kalau mama pilih kasih, mama tak bagi Yaya makan, tahu?”  Zaweeya terkebil-kebil.  Nawaitunya untuk mengelak,  Menamatkan perang kata, tiba-tiba lain pula jadinya.
           

Akhirnya, Zaweeya mencapai dua biji telur.  Dihidupkan api dan telur dipecahkan di dalam kuali tanpa minyak dan dikacau dengan sudip sehingga hancur.  Direnjis sedikit kicap masin dan kicap manis.  Tangannya mencapai majalah Mekar yang berwarna jingga pada tulisan jawinya.

Saturday, 21 December 2013

Majlis Doa Selamat EMP

Assalamualaikum dan Bismillah.

Esok berlangsung majlis doa selamat di Persatuan Kebajikan Darul Fikrah di Sungai Sekamat, Kajang Selangor, insyaAllah.  Alhamdulillah, terima kasih sangat kepada EMP dan pasukannya yang sudi menganjurkan majlis doa selamat tersebut di rumah kebajikan bagi golongan warga tua terdampar dan diharapkan majlis ini memberi manfaat buat mereka.

Untuk mengelakkan kesemakan lalu lintas dan kesemakan kepala, aku awal-awal lagi menghantar mesej pada sahabat FB yang bermukim di Kajang, Saniah. Selain daripada bertanyakan arah, aku jemput dia sekali. Tak mahu sesat barat dan nantinya bertekak-tekak di dalam kereta. Penatlah. 

Nampak macam ok. Macam tak sesat, macam tak sesat...hihi... mohon dipermudahkan semuanya. 


Thursday, 19 December 2013

Sukarnya Istiqamah

Assalamualaikum. Bismillah

Masih duduk di dalam Raudhah, di TV9 bersama Sifu Hanafi, teman facebook ataupun nama sebenarnya Ustazah Hanafiah Malek. Tajuknya Sehelai Kain Putih. Sambil itu, kepala memikir apa yang hendak dilakukan hari ini. 

Tanggungjawab semakin bertambah walaupun hanya bergelar suri rumah tangga. SubhanaAllah. Betapa Allah memberi cinta yang tak kenampakan ini. Saya sudah siapkan schedule yang cuba saya patuhi hari-hari tetapi bagaikan ada yang tertinggal di sana sini.

Menulis pun begitu juga. Saya sudah menetapkan masa untuk menulis atau mengedit pada jam 12 sehingga 2.00 pagi kerana pada waktu itu, minda terasa lebih tenang. Dulu, saya boleh bangun jam 4.00 pagi, sekarang, sudah tak boleh lagi. Maka haruslah difikirkan alternatifnya. 

Sukar istiqamah ini. Menyebutnya mudah. Schedule sayapun perlu dikemaskini. 

Wednesday, 18 December 2013

Hidup Ini Novel

Assalamualaikum,


Semalam balik kampung nun di Jelebu Negeri Sembilan. Tanah kelahiran encik suami daripada suku Anak Acheh, kuat berlunjur. Anak-anak Negeri Sembilan juga ada yang sudah tidak tahu asal suku masing-masing kan.

 "Lebih baik poie tanyo omak kao orang sekarang. Atau kalau ado uwan ko, atuk ko, poie tanyo. sok nyosa. Orang luar tanyo suku tu apo, somondo tu apo, buapak tu apo ko bondo eh."

"Sey yang bukan anak nogori ni pun tahu..." 

Tapi 'bona' ko sey bukan anak nogori? 

Sebenar-benarnya, ayahanda saya perantau dari Kg Tengkek, Batu Kikir. Kampung yang sama dengan tempat lahirnya ayahanda mertua saya. Hebatkan Allah merancang? Kisah hidup saya ini sebenarnya menarik untuk dijadikan novel. Bercinta sakan dengan si dia, dah bertunang lanang sampai masa nak kahwin, kenalah cari wali kerana saya anak angkat.

Penyakit orang bercinta, semua benda nak dicerita. Sharing is caring konon. Tiba-tiba si dia  menjawab,
"eh, itu kampung abah I." 
teng...teng...teng....

Lain kali sambung lah...

Sunday, 15 December 2013

Kerja Edit Yang Mengantukkan Mata

Assalamulaikum.

Tak habis-habis bercerita tentang mengedit lagi. Kenapa asal nak mengedit je, nak tidur, asal nak mengedit je nak tidur. Asal nak tidur je, mengedit? Memang mengantuk kerja ni. Jenuh ditongkat-tongkat mata, mulut pula menggoda-goda. Menguap tak ingat.

Begitupun, semangat telah kembali alhamdulillah. Kecapi yang tajuk asalnya Pawaka di Matamu akan aku edit perlahan-lahan. Biarlah mengambil masapun. Aku ingin menikmati keseronokan mengedit sambil menyiapkan proposal yang saya aku rasa semakin perlu jika ingin berkarya secara serius.

Ini bab 1 yang dah aku siapkan, sebahagiannya.




BAB 1


DAMIA FARHANA
RUMAH teres setingkat itu bagaikan tersenyum dan mengalu-alukan kehadirannya.  Damia menarik beg troli yang hanya sempat diisi pakaiannya sahaja.  Barangan lain ditinggalkan terus.  Maimon Haiza, sedang berdiri di muka pintu.  Tersenyum manis menyambut kedatangan Damia Farhana.  Berseri-seri wajah bak disimbah cahaya purnama.  Maimon terus sahaja menunjukkan bilik kedua yang telah disiapkan seadanya. 
“Betul ke Kak Mai tak kisah ni?”  tanya Damia masih ragu-ragu.  
Terbedik-bedik matanya merenung Maimon bagai memohon simpati.   Pertanyaan yang sama diulangi semenjak seminggu yang lalu.  Biarpun berakad mulut sebagai penyewa, Maimon Haiza, pegawai atasannya itu menolak sebarang bayaran. 
“Betul. Akak lagi suka Mia duduk di sini.  Sekurang-kurangnya tak adalah akak bercakap dengan ikan puyu aje,”  seloroh Maimon. 
Telunjuknya mengarah kepada akuarium kecil yang terletak di atas almari tempat kasut.  Seekor ikan puyu sedang berenang-renang santai.   Puyu itu juga mungkin kehairanan melihat kehidupan tuannya itu.  Sendiri, sunyi dan sepi.
“Mia minta maaf, Kak Mai.  Bila keadaan dah reda nanti, Mia keluar dari rumah akak.  Mia janji.”  Damia menggenggam tangan Maimon. 
“Mia, tak payah berjanji-janji.  Duduk aje.  Akak tak kisah.”  Maimon meyakinkan. 
Bimbang kalau Damia merasakan dia tidak ikhlas.  Damia pula bimbang kalau Maimon merasakan dia tidak ikhlas.  Maka perasaan menduga-duga keikhlasan bersenandung di dalam jiwa masing-masing.  Walhal, Damia memang betul-betul terdesak ketika ini.  Dia memang tidak mahu menunggu lama di rumah itu.  Biarpun rumah itu didiami keluarganya. Ibu dan bapa. 

Saturday, 14 December 2013

Kecapi Cinta terus berdendang

Assalamualaikum.

Bismillah.
Antara saat mengecap cinta paling indah bersama si dia.

Malam semalam, selepas diskusi yang panjang dengan Mazlia Murat, saya peroleh keputusan. Kecapi Cinta diteruskan seadanya tetapi perlu dicantas sana sini bagi mengelakkan pembaca sesat barat. Beberapa perenggan sudahpun diletakkan ke tepi.

Sambil berbincang, sempat juga saya baca e-book Mazlia Murat. 101 Tips Penulisan Novel. Banyak sangat ilmunya. Dijualnya dengan harga RM30.00 sahaja, atau bergabung dengan grup Akademi bekerja di Rumah pun boleh juga.

Kata sahabat facebook saya, semua ilmu perlukan modal, masa kini. Tak banyak sikit, tak sikit, banyak. Tapi ada sesuatu yang hanya perlukan modal insan sahaja dan hasilnya aura dan semangat yang tidak putus. Saya hanya ada itu untuk diberikan kepada kawan-kawan.

Friday, 13 December 2013

Kecapi Cinta sudah bernyanyi

Gambar : Carian Google
Assalamualaikum...Bismillah. 

Rentetan daripada perbincangan dengan Mazlia Murat, bekas editor berpengalaman di PTS, Kecapi Cinta akhirnya kembali beralun. Mendendang lagu duka masyarakat, dalam duka penulisnya juga. Aduhai, begitu ruwet rasanya kali ini.

Rasanya ada 10 kali saya bermain-main dengan bab di dalam naskah ini. Sekejap ke depan, sekejap ke belakang. Mss ini memang tak patuh syariah. Tapi harus saya tampilkan kerana saya mahu khalayak di sana membuka mata. Bobrok sosial bukan sahaja bermula di luar rumah. Malah, di depan pintu bilik anak teruna sendiri andai ibu bapa menjadi takut dengan anak sendiri.

Nantikan kemunculannya, insyaAllah tahun depan. Kecapi Cinta ini tajuk sementara. Membawa dua makna, kecapi - merasai atau menikmati dan sebuah alat muzik yang bisa membuai perasaan apabila dipetik.


yang ini bakal meliputi pasaran selepas 18hb Disember 2013




Thursday, 12 December 2013

Kabus Rindu - menguak rindu

Assalamualaikum,
lamanya tak bercerita di sini. Maklumlah, sibuk dengan rumah baru. Awal Disember lepas, secara rasminya novel Kabus Rindu berjaya diterbitkan. Panjang perjalanan manuskrip ni. Berapa kali entah kena tendang kerana tak bertepatan dengan citarasa penerbit terdahulu.

Akhirnya jodoh tiba dengan Elee Mardiana Publication atau EMP. Prosesnya ruwet dan entah berapa kali air mata penerbitnya tumpah semata-mata untuk memastikan bayi sulungnya ini lahir. Begitupun, novel ini masih tidak beredar di pasaran.

Kalau anda berminat, boleh terus hubungi saya di facebook Monalita Mansor ya.

Thursday, 17 October 2013

Borang Bengkel Belasah Karya

BORANG PENYERTAAN BENGKEL ASAS PENULISAN DAN BELASAH
ANJURAN  GRUP MARI MENULIS DAN PPAS PEKAN SERI MANJA

Nama
No Kad Pengenalan
Email Address:
Nombor Telefon :
Alamat
Status Pelajar (RM50.00)
Bukan Pelajar (RM70.00)
Bukti Pembayaran, sila 'copy dan paste' butiran pembayaran anda di ruangan di bawah
Sila klik pada senarai semak Mss telah dihantar ke inbox admin Mari Menulis
Pembayaran telah dibuat
Wang tidak akan dikembalikan jika saya gagal hadir
Saya bertanggungjawab menjaga barangan peribadi saya (sekiranya ada)

This form powered by Freedback

Saturday, 12 October 2013

Fonologi & Fonetik

untuk bacaan lanjut jemput ke rumah baru saya di sini

Wednesday, 9 October 2013

Kabus Rindu

ehsan google
“Kanda!!!!”

Tetapi pandangan tetap gelita. Putera Indera Laksamana?  Tuan hamba di mana? Kabus memutih mengendur umpama tirai menampakkan susuk gunawan menjadi igauan dara dan janda..  Rakyat biasa dan anak raja.  

“Kali ini, tidak perlu berdinda-dinda.  Datanglah Indera Laksamana secara nyata.  Aku amat membutuhkan pertolongan.  Lawanlah mereka sebagaimana gagahnya kau berjuang di medan tempur ketika mendepani bala tentera Raja Helang Olak Lapan dahulu,”  jerit hati Zaweeya.

Friday, 4 October 2013

Menongkah Matra Baru (e-book Rautan Takdir)



saya terima juga beberapa pertanyaan tentang e-book kumpulan cerpen Rautan Takdir ni. Ia tak dijual di dalam bentuk buku fizikal. Hanya di dalam bentuk digital.

Ia adalah percubaan pertama saya dalam menerbitkan buku saya sendiri, sebagai langkah pertama. Saya akui dan faham tentang kesukaran membaca menggunakan pdf reader berbanding dengan buku fizikal di tangan.
Bagaimanapun, saya cuba memandang pasaran buku 10 atau 20 tahun akan datang. Mungkin tanggapan saya salah, tetapi saya sudah mencuba. E-book ini dijual dengan harga RM15.00. 

Sekian terima kasih.

oh ya, sesiapa yang nak tahu susah senang menerbit e-book ni, boleh juga PM saya, kita boleh berkongsi. Untuk pertanyaan, saya tak kenakan bayaran.

Ikut Kata Hati : Catatan Dari Syurga

Assalamualaikum,  Bismillah.

Membaca Catatan Dari Syurga karya Rohani Deraman ini seakan membuka sekeping lembar insaf yang sudah lama terpuruk di dalam diri dimakan riak.  

Betapa ada ketikanya, kita yang sekadar sempurna fizikal tetapi bukan mental, tega memandang hina terhadap ciptaan Allah.  Walhal, jika diikutkan ketidakupayaan kita, usahkan mencipta, mengawal kentutpun kita tak mampu!  Tapi kita selalu lupa, tanpa belas kita mencebik hina dan memandang jijik pada orang lain yang kita rasakan tidak menepati kehendak hati kita.

Autobiografi setebal 110 muka surat ini menyingkap kisah hidup ibu yang kudung kaki dan tangan yang cekal, yang redha dengan kecacatannya.  Redha dengan dugaan.  Sungguh saya merasa malu dengan diri sendiri apabila membandingkan kekuatan rohaninya dengan saya.

Turut termuat, kisah dari mulut anak-anaknya sendiri.  Yang turut merasa bahang kesusahan, penghinaan itu.  Berkongsi rasa, kerkisah tentang sikap angkuh manusia waima keluarga terdekat sendiri.  Air mata tidak berhenti mengalir sepanjang saya membaca karya ini. (Saya cengeng ke?  terserah pada anda, baca sendiri baru tahu)

Mungkin anda tidak terkesanpun.  Kesusahan hidup, siapa-siapapun pernah lalui.  Tetapi tidak untuk seorang Aminah binti Tahir yang terpinggir daripada kasih ibu sejak kecil.  Menelan hinaan, fitnah, penganiayaan hampir setiap saat hanya kerana manusia tidak puas hati dengan Allah.   Tidak puas hati kerana Allah menjadikan dia sebegitu.

Walhal, sudah ditetapkan bahawa tiada satupun makhluk yang dijadikan Allah di dunia ini tidak berguna. Kisah ini membentangkan hikmah yang bukan sedikit.  Percayalah kepada kesabaran.  Yakinlah pada doa, memintalah pada yang hak.

Buku ini dijual untuk menampung kos upah haji allahyahamah Puan Aminah binti Tahir yang telah kembali ke rahmatullah, al fatihah.

Thursday, 3 October 2013

e-book Rautan Takdir

untuk pembelian klik www.monalitamansor.com
Cikgu Hana terdiam.  Berentetan kemungkinan berkawad di dalam cepu kepala.  Satu-satu disusunnya.  Yang tidak logik atau tidak berasas, diketepikan umpama menyaring kepala taugeh.  Bagaimanapun, logik di kepala Cikgu Hana tidak dapat menyimpul solusi.  Melintas juga di kepalanya penyebab-penyebab luaran seperti gejala cinta monyet, mahupun gejala cinta sejenis yang bukan pelik.  Tetapi, cepat-cepat dipadamkan dari ingatan. 
Kegemparan di akhbar tentang pengantin remaja, ataupun remaja lari hingga menyeberang Selat Melaka atau Selat Lombok diletakkan dalam rangka kemungkinan.  Tetapi pada tangga yang paling bawah.  Tidak mungkin masalah Zahirah meleret sehingga ke situ. 

          “Apa kata kita tanya ibu bapa dia?”  Cikgu Zalifah memberi saranan.

          “Sesetengah ibu bapa tak suka kalau kita ‘menyerang’ mereka macam FBI.  Lebih-lebih lagi ibu bapa alaf  21 ni…”  Cikgu Hana menutup mulutnya.  Merasa lucu dengan ayatnya sendiri.  Beberapa kes serangan ibu bapa di dada akhbar tanpa merujuk kepada pihak sekolah dahulu menjadi ingat-ingatan. 

          “Beginilah.  Kita cuba dulu.  Biar saya telefon ibu atau bapanya.  Jemput mereka ke sekolah.  Cikgu ada butirannya kan?”  Cikgu Hana memandang mata Cikgu Zalifah yang bagaikan purnama disuluh.

          “SAYA minta maaf, cikgu.  Saya seorang aja yang datang.  Ayah Zahirah bekerja, tak boleh bercuti.  Saya kira, perbincangan ni boleh diteruskan tanpa dia,”  Lancar wanita itu bersuara sebaik sahaja dipersilakan duduk oleh Cikgu Hana.  Cikgu Hana berdehem beberapa kali.  Dalam debar, dia memanjatkan doa supaya segala-galanya dipermudahkan.  Wanita yang tidak dapat diagak usianya itu tersenyum.  Malah tanpa senyumpun wajahnya tetap manis. Hati Cikgu Hana sedikit lega.


sedutan cerpen 'Malasnya Mata'


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget