..yang bernama sahabat

Thursday 31 January 2013

Pawaka di Matamu - Bab 6


“Awak nak ke mana?”  Bas yang seperti sardin itu bergerak perlahan-lahan meninggalkan perhentian bas itu.

Danish bertanya dengan suara yang sedikit tinggi kerana tahu Nadra tidak berhaluan ketika ini.  Diheretnya gadis berkurung batik itu berlindung daripada terik matahari yang membahang.  Danish bercekak pinggang. 

Sambil nafas turun naik menanggung mengah mengejar Nadra tadi.  Masih segak memakai t-shirt berbelang dengan kolar yang dinaikkan.  Rambutnya dibiarkan sedikit kusut tetapi masih segak ala KwangMin.  Beg pakaian berwarna hitam itu diletakkan di atas bangku perhentian bas itu.

“Nak baliklah.”

“Awak nak balik mana?” Nadra mengundur sebaik sahaja mendengar soalan Danish itu.

Tip Menulis Ala Koboi - 5 (i)


Bertemu lagi. 

Kita mengupas sedikit lagi berkenaan tema dan persoalan.

Begitupun barang harus diingat, sahabat-sahabat hamba.  Adapun nota yang diperturunkan di sini adalah sekadar penambah ilmu.  Menulis adalah proses yang panjang dan ruwet.

Sentiasa positifkan diri bahawa apa-apa kesulitan yang dilalui sepanjang proses yang panjang itu nanti adalah ujian.  Allah tidak mengadakan syurga dan neraka sia-sia.  diberikan ujian buat hambaNya untuk mengetahui siapa yang layak ke syurga dan sebaliknya.

Sepanjang perjalanan itu nanti, kita akan menemukan dengan sendirinya apa sahaja elemen-elemen teknikal yang Che’ perturunkan sedikit sebanyak.  Ibaratkan diri anda dalam perjalanan menaiki bas.  Anda mungkin pernah melalui laluan itu dengan bas ekspres.  Tapi apabila anda menaiki bas henti-henti, setiap hentian merupakan pengalaman pengamatan yang baru buat minda. 
Che’ lah drebar bas ekspres itu, manakala anda drebar bas henti-henti.  Kutiplah dan buat penilaian pada setiap singgahan anda.

Okey.

Dalam konteks sastera, persoalan adalah isi-isi kecil yang menguatkan tema.  Sebagai contoh,  sebuah karya bertemakan misteri.  Persoalan-persoalannya ialah, dari mana kejadian bermula. Bagaimana ia menjadi misteri.  Siapa sebenarnya yang misteri, kenapa ia menyembunyikan perkara itu sehingga menjadi misteri.

Che bawakan satu lagi contoh (ini pemahaman che’) – tema kasih sayang.  Anda harus bijak menimbulkan pelbagai macam persoalan atau masalah untuk diselesaikan oleh watak atau kalau anda bijak dan merancang untuk menyusahkan pembaca anda.  

Susahkan mereka!  Risiko, anda tanggung sendiri.  Apapun tema atau persoalan, harus dibantu oleh aspek-aspek lain yang akan mengukuhkan lagi plot.  Jika keliru, gunakan formula karangan autobiografi ‘Saya sebatang pen’.

Persoalan dlm autobiografi saya sebatang pen:-

Siapa /apa                                -           pen/aku
Kenapa     
                               -           untuk menulis/Bantu buat kerja sekolah,   
menanda buku, menandatangan autograf (contoh)
mana  
                                      -           kilang/dlm kotak/kedai buku/bekas pensil/sekolah
bagaimana 
                              -           dibuat/dibungkus/dijual/digunakan/dibuang

Jika anda membaca karya J.K. Rowling sekalipun, itulah persoalannya.  Siapa Harry Potter.  Kenapa dia mengembara.  Di mana dia mengembara.  Bagaimana dia mengembara.  Bermakna, mahu tak mahu karya yang baik, perlukan banyak persoalan dan sama ada ia perlukan jawapan atau tidak – memerlukan bantuan gaya bahasa, watak, latar dan plot yang akan dibincangkan seterusnya.

Pendek sahaja untuk hari ini.  Kalau kurang mengerti, boleh pm che’.  Atau anda inginkan karya anda dibedah secara maya, boleh pm che’ seperti yang che’ buat pada karya.  Che’ cuba membantu apa yang patut, dan sebenarnya bila membaca karya-karya kalian, che’ juga belajar mendalami apa yang che’ tahu samar-samar sahaja sebelum ini.  

che' tak sebagus mana, tapi che' nak berkongsi.  

SAYANG ANDA SEMUA KERANA ALLAH, 

Che' Mon.

* Sharif Shaary, Rahman Shaari, Mohd Rosli Saludin, 2012 Kupasan & Kajian KOMSAS Tingkatan 2, Sasbadi Sdn Bhd

*  www.bmspm.net/aspeksastera.htm#atas 

*Othman Puteh, 1992 Persediaan Menulis Novel, DBP

Wednesday 30 January 2013

Tip Menulis Ala Koboi - 5


Che’ mon dah nak mula ke bab yang serius sikit.  Mana autobiografi ‘aku sebatang pen’ tu.  Bawa keluar.  Kita nak membedah.

Atau che’ bagi satu idea.  Anda mungkin sedang menjaki jipang tahan gaban dengan kawan-kawan sekolah/kawan sepejabat/jiran anda yang gediks, atau terhegeh-hegeh.  Luahkanlah rasa hati dan rasa kepala tu.

Sebelum che’ teruskan, che’ nak bagi tahu.

Pawaka di Matamu - Bab 5


“Ada Dhani jumpa Damia?”  soalan nenek terus menampar pendengaran Dhani sebaik sahaja Dhani sampai.

 Sepulangnya dari rumah Maimon tadi, dia terus menekan pedal minyak.  Motor buruknya itu dipaksanya mengerah tenaga tuanya dengan kudrat yang ada untuk pulang ke kampung.  Membiarkan motor selaju kura-kura itu bersaing di lebuh raya untuk sampai kepada nenek.

“Ada, nek.”  Puan Zaiton menghulurkan air kosong. 

Dhani tidak terus naik memanjat tangga.  Ditenggekkan punggung di atas pangkin batu di depan rumah neneknya itu. 

“Dia duduk dengan siapa?”  kurang sabar wanita awal 80an itu bertanya.

Tuesday 29 January 2013

Tip Menulis Ala Koboi 4


INI SERIUS…
        
Kita semak sedikit aspek dan istilah sastera.  Ini bukanlah panduan rigid untuk penulis tetapi harus ada kerana menulis tetap mempunyai undang-undangnya.  Sebagaimana kita manusia, tertakluk kepada undang-undang yang digariskan di dalam Al Quran dan Hadis.

Pawaka di Matamu - Bab 4


            LAMA Maimon Haiza merenung wajah Damia.  Mencari-cari warasnya permintaan itu.  Garis desakan tertulis di dahinya yang berkerut.  Ya, dia mengalu-alukan kehadiran Damia.  Rumahnya memang sepi sesepinya.  Umpama hotel tempat mandi dan makan.  Tidurpun tidak ketentuan.  Kadang-kadang di sofa, kadang-kadang di katil.  Kadang-kadang dalam tab mandipun boleh terlelap. 
           

Monday 28 January 2013

Tip Menulis Ala Koboi - 3



Aku Sebatang Pen 

Dah bermula dengan autobiografi “aku sebatang pen”?  setelah sebulan menyimpannya?  Sebenarnya, tak perlu sampai sebulan.  Dua tiga hari selepas tulis, baca semula.  Kerana pada masa itu, minda kita tidak lagi berada di tahap yang sama dengan 3 hari lepas.

Apa yang anda rasa bila membacanya.  Best gile?  Entah apa-apa?  Rasa nak koyak?  Renyuk-renyuk rebus dan minum?

Buatlah apa yang anda nak buat.  tapi berikan tepukan paling gemuruh untuk diri sendiri kerana berjaya menulis.

Sebenarnya, untuk menulis, kekangan dalaman yang Che’ Mon sebut sebelum ini harus dipinggirkan.  Sedikit demi sedikit.  Nak buang terus, adalah mustahil.  Perlahan-lahan tapi istiqamah.  Menulis setiap hari dan letakkan diri anda sebagai Profesor Serba Tahu.  Anda menulis untuk memberitahu dan menyelamatkan orang tak tahu.  Sebagaimana peranan para sahabat pada zaman Khulafa Ar Rasyidin menulis mushaf Al Quran untuk keperluan umat Islam.

Letakkan diri anda sehingga ke tahap itu. (Jangan hadkan kemampuan diri)


Bagaimana cara menulis yang selamat dan dapat memujuk hati.  Memujuk hati di sini bermaksud mengurangkan getaran-getaran negatif yang boleh merosakkan ‘keinginan’ untuk menulis.

Buat permulaan, tulis apa-apa yang paling dekat dengan anda.  Teman, teman tapi mesra, teman tak berapa nak mesra, ibubapa, adik beradik, kemudian sabitkan dengan genre pilihan anda.

Kalau anda suka genre kanak-kanak, misalnya kisahkan sebuah kisah yang anak-anak anda suka baca.  Atau apa yang anda mahu mereka baca.

Sambil menaip ni, Che Mon sedang bersama batu-batu, air terjun, pepohon menghijau yang lurus tegak bagai kalam maha esa yang disimpan dan akan digunakan untuk mencoret bila tiba masanya kelak.

Alhamdulillah, angin sepoi bahasa mencium pipi, biar rasa hangat lepas zohor sedikit perit menampar belakang.  Minta maaf, mata ni nak tak nak terpaksa juga terjamu dengan pemandangan ‘indah’ manusia-manusia pelbagai lapisan.  Pelbagai warna.  Melayu,India, Cina, Myanmar, Bangladesh, Indonesia malahan dari timur tengah pun ada.

Che bukan merepek.  Yang Che nak beritahu ialah kepelbagaian.  Kepelbagaian yang dapat kita gunakan untuk menggarap cerita dalam karya.  Nak harap idea mencurah turun dari langit?  Tolonglah.

Idea perlu dicari.  Kalau anda suka bercakap, cari idea dengan bercakap.  Bercerita dan bertanya, bertukar-tukar cerita.  Kalau anda suka dengan fotografi, cari idea dengan mengambil gambar dan pindahkan dalam bentuk cerita.  Jika anda suka membaca (penulis harus suka)  pindahkan hasil pembacaan anda dalam ayat anda sendiri.  Begitu juga kalau anda suka memasak, menggubah, cari idea dengan melakukan kerja-kerja yang anda suka.

Mudahkan?
Siapa kata menulis itu susah?
Kerja menulis adalah kerja mengeksploitasi imaginasi orang lain menggunakan kelebihan yang Allah kurniakan kepada kita.  Dengannya kita dapat mengajak mereka berkongsi rasa, biarpun sebenarnya kita tak pernah kenal sesama.   Jangan tak percaya, menulis seuatu yang baik memberi solusi yang baik buat pembacanya.

Tetapi,
Harus diingat, jangan sesekali kita pandang hina pada karya rakan penulis lain.  Jangan sesekali “eleh, kalau setakat cerita macam ni, akupun boleh tulis…”  Kita sebenarnya adalah pengusaha-pengusaha gerai seperti di dalam kedai makan cina.  Setiap orang jaga gerai kecil mereka.  Kalau pelanggan/pembaca mahukan tema remaja yang tak mampu kita berikan, arahkan dia kepada sahabat penulis kita yang menulis tema remaja.  Jangan HASAD.  Setiap orang ada rezeki masing-masing.  Nanti Allah tarik balik bakat kita baru padan muka!

*Artikel ditulis sebahagiannya ketika bersantai-santaian bersama keluarga di Hutan Lipur Kancing, Rawang.  Semoga batu, pokok dan air terjun, monyet dan rama-rama di situ terus redha berzikir memuji Allah yang mencipta manusia-manusia lagha yang bermaksiat di situ...
27/2/2013

Saturday 26 January 2013

Tip Menulis Ala Koboi - 2


Mengapa Menulis

Sepasang jemari dah letak atas papan kekunci.  Jari telunjuk kanan dengan kiri pun dah bersedia nak mencatuk.  Tapi masih bingung nak menetapkan genre penulisan.  Umum, remaja, dakwah, professional, misteri, kanak-kanak.

Itu antara kekangan dalaman.  Che’ Mon sebut sekali lagi.  Kekangan dalaman.

Serupa macam kita sesat jalan.  hari dah malam. 

Friday 25 January 2013

Aku Anak Vokey - 2


1989

AKU kena menulis biodata macam si dia itukah?  Tak perlulah.  Malu pula.  Aku bukan siapa-siapa.  Lalu, terpaksalah aku mengenalkan diri yang tampan, berwajah Melayu dan berketinggian Melayu ini kepada kalian.

            Di kawasan perumahan setinggan Kg Pinang, siapa yang tak kenal aku.  Sebut sahaja Boy, semua orang boleh membayangkan seorang budak lelaki berbadan kecil, bersuara nyaring dan berkaki pantas. Ahli jawatankuasa masjid sahaja yang mungkin tak mengenali aku.  Kerana?  Akupun tak mengenali mereka!

            Nama sebenarku, Nazri.  Sebenarnya aku boleh dipanggil Nazri.  Naz atau Zeri oleh sesiapa juga.  Tetapi kawan-kawan sekolah adalah merangkap kawan ‘setaman’ maka sehingga ke sekolah, nama Boy juga yang terpaksa aku junjung.  Aku ingatkan sekali lagi ya, Boy.  Bukan Boboboi.  Ataupun Boboi Maharaja Lawak.

1989, aku masih anak-anak lagi.  Begitupun sudah pandai mengintai harumnya kembang.  Sudah pandai menghulur salam berbaur cinta.  Biarpun kebiasaannya cinta itu dimiliki oleh monyet dan spesies yang sewaktu dengannya. 
           
Aku pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Petaling.  Sekolahku berhampiran jalan besar, tetapi dihijabi oleh perkampungan setinggan yang sinonim dengan negeri kelahiranku ini.  Tiada apa yang menarik hendak aku coretkan.  Ia menjadi menarik hanya sesudah aku menjadi pelajar tahun kedua sebuah sekolah vokasional di Bentong.  Sekolah itu dibuka pada tahun 1989.  aku adalah pelajar kelompok kedua, bermakna pelajar ‘junior’ yang ulung di situ.
sengaja dikelabukan utk menjaga hati beberapa pihak - kredit utk tuan Izham Ahmad.




           
Aku melempar diri jauh ke perbukitan Bentong bukan kerana alasan seperti si dia.  Klise.  Ingin lari dari masalah.  Masalah, mana mungkin dibawa berlari.  Tetap akan terus bergayut di kaki sampai mati.  Tipulah kalau si dia menjadi ‘ahli’ vokasional dan kemudiannya semua masalah terkubur.  Pada nisannya tercatat Masalah.  Dikebumikan pada sekian-sekian tarikh.  Tiada. 
           
Malah, di vokasional jugalah aku bertemu dengan si dia itu, dan kami mencipta pula masalah baru.  Masalah apa?  Klise lagi?  Tidak, cinta monyet itu lumrah.  Penyeri untuk anak-anak sekolah yang suka berkasih-sayang seperti aku.
           
Satu perkara yang sedikit pelik dengan diriku, aku memang pantang melihat sesuatu yang berenjin.  Jiran dinding aku ialah Abang Jack, Abang Mus dan Abang Rahim.  Kesemuanya bekerja sebagai penghantar surat. 

Setiap petang atau hampir malam, mereka akan mula bermesyuarat.  Minit mesyuarat dicatatkan dengan deruman enjin motosikal.  Hidangan mereka adalah lepasan-lepasan asap yang berlari-lari keluar berbau petrol dan kemudian hilang disapa angin.  Penangguh mesyuarat biasanya ialah Mak Cik Kiah!  Apabila azan maghrib berkumandang dan mereka menjawab azan dengan cara kurang wajar itu, tunggulah kedatangan Mak Cik Kiah.
           
“Kau orang ni, nak aku tebas seorang-seorang?  Masa Maghrib nilah nak memekak.  Hormatlah sikit azan tu.  Kalau kau orang tak hormat, tak jawab, kau ingat orang lain nak tolong jawab?”  Mak Cik Kiah bertubuh rendang biasanya akan muncul dari belakang rumahku.  Lebuhraya buat kami yang merupakan pintu depan rumahnya. 
           
Waktu itu, bertempiaranlah ketiga-tiga abang itu mengemaskan peralatan mesyuarat mereka.  Kalau aku ada di situ, aku juga terlibat dalam operasi mengemas ataupun aku gelar ‘menolak ke tepi dengan kaki’.  Begitupun, mereka tidak pernah menjawab kata-kata Mak Cik Kiah.  Paling tidak, mereka melarikan diri ke dalam rumah.  Kalau sudah terperangkap, sengihan mengganti kata maaf.  Tapi maaf mereka ketika itu sahaja.  Esok, aku akan menumpang tenggek lagi melihat kepakaran mereka mengubahsuai enjin motosikal.
           
Anak setinggan, jika seusia 10 atau 11 tahun masih belum tahu memulas pedal, menukar gear motosikal, bukan anak setinggan sejati namanya.  Kami anak setinggan tahan lasak.  Hidup di dalam suasana kurang selesa, mematangkan kami.  Mengeraskan hati kami.  Memejalkan jiwa kami.  Rumah kecil, hidup dengan adik beradik yang ramai berhimpit-himpitan tidak pernah menjadi kudis untuk aku menidakkan kebolehanku.
           
“Kau ni, esok nak SRP.  Pergi baliklah!”  marah Abang Mus padaku.  Agaknya apa yang aku buat sekarang, adalah ulangan perlakuannya satu ketika dulu.  Waktu itu, esok pagi jam 8.00 kertas pertama.  Bahasa Malaysia.
           
“Kau nak jadi apa Boy?  Malas belajar.  Jadi mat despatch macam aku.  Nak buat apa.  Gaji sikit.  Nak bermewah-mewah tak boleh.  Duduk rumah setinggan.  Perempuan pun fikir sepuluh kali nak dekat, tau!”

            Ala, abang ni.  Boy bukannya malas.  Masalahnya kepala Boy ni dah santak.  Dah penuh.  Nak menghafal-hafal.  Abang tahu berapa subjek nak hafal?”

            “Yang kau hafal buat apa, cikgu suruh baca.  Fahamkan.  Patutlah tak pandai-pandai.  Engkar.  Degil cakap cikgu!”  suara Abang Mus meninggi.  Tetapi di hujungnya dia ketawa.  Mengetawakan dirinya sendiri, agaknya. Dia mencangkung semula di depan motosikalnya.

            “Kalau boleh Boy nak jadi macam abang.  Tak payah belajar.  Tak payah kerja.  Duduk mengadap enjin sepanjang masa,”

            “Ha’ah. Lepas tu bila lapar, kau hadap enjin tu,” tukas Abang Rahim yang meluruskan kaki.  Menarik sedikit seluar jeans yang rabak lututnya.  Ketat-seketatnya.

            “Kasihan kat mak abah kau, Boy.  Kau belajar dulu, lepas tu barulah kau fikir nak buat apa.  Kerja kau sekarang belajar,”  Abang Rahim bersuara lagi.


            “Abang ni macam mak, macam kakak Boy lah,”  aku tunjukkan muka dan nada kurang senang.  Mereka berdua sekadar tersenyum.

            “Terlanjur kau cakap fasal kakak kau, Boy.  Balik nanti, Boy beritahu dia, Abang
Mus kirim salam.  Abang nak ajak dia tengok Muzik-Muzik akhir.  Abang ada dua tiket!”  Abang Mus bersungguh-sungguh.  Bulat matanya.

            “Abang cakaplah sendiri,”  aku sedikit jauh hati dengan Abang Mus dan Abang Rahim. 

Tiba-tiba.  Aku rasakan mereka tak memahami diriku.  Otakku memang sudah tidak mampu menghadam apa-apa yang bertulisan lagi.  Formula matematik, berlebih lagi.  Terasa apa yang aku baca menjelang SRP, tertinggal di pinggir telinga.  Atau hanya bergayut di hujung bulu mata.  Tidak masuk ke dalam saraf-saraf dan tiada maklumat yang mendarat di benak. 
           
“Apa nak jadi dengan awak semua ni ha?”  Itu soalan paling popular di dalam kelasku.  Kelas Seni Perusahaan 3.  Kelas corot yang menempatkan kaki ponteng, kaki buli, kaki pukul untuk pelajar sessi petang.  Jika sepuluh orang guru yang masuk, sepuluh-sepuluh akan bertanya perkara yang sama.
           
Sepatutnya, mereka yang menentukan apa yang akan berlaku pada kami.  Mereka guru.  Mereka diajar, diberi latihan mendidik.  Sepatutnya kerja mereka mendidik.  Kami mana tahu.  Kerja kami belajar.  Bukan ‘berdidik’.  Kami belajar apa yang diajar dan bukannya apa yang dididik.

            Ketika kelas-kelas cemerlang lain semakin giat menggandakan latihan, latih tubi dan kelas tambahan, kelas kami sudah boleh diumpamakan tongkang pecah.  Cikgu Rafidah cuti bersalin.  Sekolah memang kekurangan guru.  Maka, di dalam kesempatan yang ada untuk dijadikan alasan, jadilah kami mangsa.
           
“Semua pelajar tingkatan tiga, sila berkumpul di Dewan Harmoni sekarang,”
           
“Semua pelajar tingkatan tiga, sila berkumpul di Dewan Harmoni sekarang.” 

Ketua Pengawas sessi petang itu cuma melaung di sepanjang koridor kelas.  Mencicit-cicit kami keluar dari kelas.  Keriangan.  Bukan kerana berkesempatan tidak belajar.  Sebab, sememangnya kami tidak belajarpun.  Tetapi kesempatan menghirup angin dan mencuci mata dengan pemandangan yang lebih menarik.   Daripada yang ada di dalam kelas. 
           
“Tingkatan 3P3, kamu semua duduk barisan depan.”  Melalui pembesar suara, Cikgu Salleh, Guru Kelab Bimbingan dan Kaunseling memberi perintah. 

Pembesar suara di tangan kanan, dia berdiri di kerusi yang paling hujung barisan pertama.  Tangan kirinya melambai-lambai ke arah aku dan rakan-rakan.  Sebaris keluhan seperti ‘alamak,’ ‘apahal pulak’ atau a sahaja kedengaran.  Rupa-rupanya dua barisan telah dikosongkan khusus untuk perwira bangsa seperti kami. 

Dengan bangga dan malu-malu alah, kami melewati pelajar-pelajar kelas lain, perempuan terutamanya menuju ke baris hadapan.  Aku seperti biasa, meraup rambut ke belakang dan menarik sedikit longgokan rambut di depan agar terjuntai di dahi.   Baju dan tali leher aku kemaskan biarpun nampak serba tak kena dengan seluar hijau yang telah diubahsuai dan diketatkan di bahagian lutut dan ke bawah. 
           
“Hari ini, saya akan menerangkan tentang peluang belajar sebaik sahaja anda semua menamatkan pengajian peringkat SRP.”  Ayat cikgu Salleh memang tidak pernah gagal merangsang minda kami.  ‘Menamatkan pengajian’ digunakan untuk memberi semangat seolah-olah kami lepasan universiti. 
           


“Saya perturunkan beberapa alternatif selain daripada pendidikan konvensional yang akan anda semua terima jika anda memilih untuk meneruskan tingkatan empat di sekolah ini ataupun mana-mana sekolah harian yang ada.”  aku masih belum dapat menangkap maksud Cikgu Salleh.  Sehinggalah dia menuliskan di papan putih, MRSM, sekolah berasrama penuh, teknik, vokasional, agama. 
           
Cikgu Salleh memberikan risalah tentang keperluan-keperluan yang perlu ada buat seorang pelajar untuk melayakkan diri pada sekolah-sekolah yang dinyatakan tadi. 
Buat pertama kalinya, aku memberikan perhatian kepada risalah di tangan.  Juga kepada penerangan Cikgu Salleh.  Di dalam minda aku menolak kesemua kriteria kecuali untuk ke sekolah vokasional.

            Kursus-kursus yang ditawarkan.  Kursus-kursus teknikal seperti Automotif. Binaan Bangunan. Kerja Kimpalan.  Penyamanan Udara. Elektrik dan Elektronik.  Amalan Bengkel Mesin.   Perdagangan.  Pertanian.  Sains Rumahtangga.  Mataku tertancap pada perkataan pertama.  Automotif.  Aku tersenyum.  Terima kasih Cikgu Salleh.  Kata hatiku. 

Pawaka di Matamu - Bab 3


            “Siapa tunggu kau di lapangan terbang?”  Diney berpaling.  Beg yang mengisi baju yang terlipat kemas ditutup.  Dizipkan.  Dia menghempaskan diri di atas tilam.  Melantun-lantun tubuhnya.   Soalan teman sebilik yang mundar mandir itu tidak dipedulikan.  Matanya mencacak ke siling.   Sekejap lagi bumi London akan ditinggalkan.  Masa berlari pantas. 

            “Diney, tak payah nak berangan.  Aku tanya, siapa jemput kau?”  Soalan Mich yang tergantung diulang balik.

Tips Menulis Ala Koboi

assalamualaikum w.b.t.  dengan nama Allah yang Maha Memberi Rezeki.  Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Hari ni, Che' Mon nak menulis sesuatu yang baru.  Yang Che namakan tips menulis ala koboi,  santai dan damai.  Nak kongsi dengan kawan-kawan yang bersemangat nak menulis tapi tak tahu nak tulis apa...

ini gambar dari theinspirational apa tah, something like that la..
Pertama dan seumpamanya, apa matlamat kita menulis.  tak kiralah sama ada penulisan kreatif atau non kreatif.

kreatif - cerpen, novel, sajak, gurindam, syair dll
non - kreatif - esei, rencana, kritikan dll

apa matlamat kalian jadi penulis?

hobi? 
tolong jangan cakap hobi.  Hobi hanya untuk masa lapang.  kalau kalian kata hobi, karya kalian tak akan sebegitu serius sampai jadi novel, antologi ataupun menang peraduan.  Reset minda dengan katakan saya menulis kerana kecintaan.  kecintaan untuk berkongsi bakat dengan orang lain.  berkongsi cerita dengan orang lain.  berkongsi pengetahuan saya dengan orang lain.

nak jadi popular?
nama terpampang di muka depan buku.  dikenali ramai orang?  kalau guna nama samaran macamana orang nak kenal?  kenal.  bila orang dah suka dengan karya kita.  Kawan-kawan kita yang pandang rendah kita kat sekolah dulu di ruangan komen, 'aku tak sangka hang ada bakat menulis'  atau 'aku tak sangka aku ada kawan seorang penulis' - tak seronok ke?  seronok.  kepuasan peribadi.  membuktikan kredibiliti diri.

nak kaya?
ehem.  Kalau karya kalian sendiri, edit sendiri, prof reading sendiri dan terbit sendiri, mungkin boleh kaya.  TAPI kalau kalian memang gila-gila buat marketing sendiri di samping marketing yang dibuat oleh penerbit, insyaAllah.  boleh kaya.  caranya, kena menuntutlah....

nak berkongsi ilmu?
bagus untuk para profesional kalau mereka berniat begitu.  begitu juga bagus untuk para agamawan.  bagaimana kalau orang biasa-biasa macam kita ni?  sekolah takat cukup makan.  kerja makan gaji dengan Encik Suami.  masih boleh berkongsi ilmu.  sebab sebelum menulis kita membaca.  melalui pembacaan kita mendapat ilmu.  kita olah semula jadi karya kreatif.  berkongsi namanya tu...
kalau KEDEKUT, HASAD DENGKI JANGAN jadi penulis!!!

nak mencurah rasa?
ini adalah sebab terbaik daripada semua sebab.  kebiasaannya penulis adalah orang yang pendiam (ehem) atau pernah menjadi pendiam.  pernah melalui perkara-perkara yang membuatkan rasa rendah dirinya menjunam-junam maka tak ada tempat nak mengadu, pensil dan kertaslah tempatnya.

JADI,
ambil pen/laptop dan MENULIS sekarang.  Tulis apa yang ada dalam hati kalian.  tentang hidup.  tentang jiran sebelah pintu/ tentang anak yang terlupa bersalam sewaktu nak pergi sekolah pagi tadi/tentang ikan puyu mati.  tulis sahaja. dah habis tulis. SIMPAN.  jangan baca lagi.  baca semula SEBULAN selepas itu.

ingat  !! nak jadi penulis kena tetapkan matlamat.  Kalau setakat nak balas dendam kat orang sinun/sanen fasal dia pernah menghina karya kita. lupakan sahaja.  anda tak akan ke mana.  Reset minda AKU MENULIS UNTUK.....(set perkara yang baik dan positif sahaja)

sekian.  kalau rajin dan ada sambutan, Che Mon sambung.


Tuesday 22 January 2013

Pawaka di Matamu - Bab 2


Hai,
Saya selalu tengok awak semenjak awak masuk ke sekolah ini.  Saya tahu, awak budak baru, tak ramai kawan.  Boleh tak saya jadi kawan awak?

Danish.

            Danish melipat kertas bertulis tangan itu.  Kemas-kemas.  Kemudian diselitkan di dalam buku rujukan Sains.  Buku itu sebentar tadi ditarik dari rak-rak buku rujukan di perpustakaan sekolah.   Dia mengambil sudut yang sedikit tersorok.  Menyiapkan nota ringkas itu sebelum melintas di depan sebuah meja. 

Seorang pelajar perempuan sedang menekuni sebuah novel sementara menunggu loceng rehat berbunyi.  Diletakkan buku itu perlahan-lahan seraya menolaknya sehingga bucu buku itu menyentuh bucu novel yang terlampar.  Pelajar perempuan itu mengangkat muka.

            “Ada surat,”

Sunday 20 January 2013

Pawaka di Matamu - Bab 1


inilah akibatnya kalau menulis nak berpelan-pelan, berdraf-draf, akhir kalamnya, memang pelan betul.  Lantaklah apa orang nak kata, janji aku tahu apa aku buat.  Sekarang, pelan entah ke mana, aku tulis ikut kata hati... sepatutnya akhir Disember dah siap....
BERMULA 1 MUHARRAM 1433 15/11/12

RUMAH teres setingkat itu bagaikan tersenyum.  Mengalu-alukan kehadirannya.  Damia menarik beg troli yang hanya sempat diisi pakaiannya sahaja.  Barangan lain ditinggalkan terus.  Maimon Haiza, sedang berdiri di muka pintu.  Tersenyum manis menyambut kedatangannya.  Berseri-seri wajah bak disimbah cahaya purnama.  Maimon terus sahaja menunjukkan bilik kedua yang telah disiapkan seadanya. 
“Betulkah Kak Mai tak kisah ni?”  tanya Damia masih ragu-ragu. 

Wednesday 16 January 2013

Aku Anak Vokey


1989

Nama                   :  Anom  Atila  Ahmad Mahir
Alamat                 :  Sekitar-sekitar sini juga
Kegemaran           :  Membaca
Tarikh Lahir         : 3 September 1974
Minuman kegemaran      : teh
Makanan kegemaran      : ayam masak merah
Artis Kegemaran            : Kumpulan Gersang, Medicine, Ilusi, Search, Wings, Alleycats
Moto Hidup                             : Hidup berlandaskan realiti.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...