..yang bernama sahabat

Thursday 26 September 2013

Ikut kata Hati : Dendam Ratu Ular - Annur Shahana

teks   :  Monalita Mansor
mana ular putihnya? tak terlihat pada covernya.

saya terima melalui pos pada hari Isnin dan khatam malam tadi, Rabu 25/9/2013

DENDAM RATU ULAR (selepas ini disebut DRU) adalah mengenai kita.  Setiap watak di dalam Kampung Teratak Tiga sebenarnya adalah watak diri kita yang diwakili oleh Kaira, Daud, Kalsum, Rozita dan lain-lain. 

Pada asasnya cerita ini bertitik tolak daripada kepercayaan yang punah.  Meski dalam cerita ini perjanjian itu tidak sepatutnya berlangsung, tetapi kerana kemesuman jiwa dan raga, ia berlaku.  Setiap manusia mempunyai alasan masing-masing untuk berbuat sesuatu.  Yang menentukan keberhasilan alasan itu adalah nawaitu dan bagaimana ia dilunaskan. 

Kaira adalah mangsa keadaan.  Betul-betul mangsa.  Tetapi ia bertukar menjadi pemangsa apabila sesuatu yang paling berharga yang paling disayanginya lenyap terus.  Api dendam terus membakar dan syaitan dalam topengan apa pun memainkan peranan.

Bahasa di dalam novel ini cukup santai lantas memberi sedikit kelegaan pada suasana tegang di sepanjang pembacaan.  Watak-watak sampingan seperti Rahim, Wani, Fatimah menyuntik warna dalam novel ini dan sentiasa ada pengajaran untuk dihayati. 

seksi siut tapi tak ada unsur-unsur 'seksa' dalam novel ni, saya jamin.
Penamatnya adalah penamat yang pada mulanya saya jangka tetapi meleset. Saya sukakan penggunaan teknik penamat yang sebegini, memberi pembaca ruang untuk bertenang.  Namun membuat pecutan saat akhir dengan pengakuan demi pengakuan yang mengejutkan.  

Kecuali ada satu kesalahan kecil yang membuatkan saya terkucil sedikit, selain itu DRU berjaya membawa mesej bahawa yang haq akan terus kekal dan yang batil akan kecundang, biarpun perjuangan itu sangat lama dan merimpuhkan.

Banyak mesej moral terutama untuk kita masyarakat Melayu di dalam novel ini.  Di antaranya hasad dengki, cemburu, malas, panas baran apabila ditokok dengan kebodohan dan campur tangan syaitan, tidak dapat tidak menghasilkan kerugian. 

Selamat Membaca.


Wednesday 25 September 2013

Ikut Kata Hati : Nayagi - Kisah Dari Siru Kambam (Kumpulan Cerpen Uthaya Sankar SB)

kredit : carian google
Di bawah ini adalah versi asal; 

Uthaya Sankar melukis watak Madhavi yang naïf dengan baik, sehingga terasa ke hati. Apabila dia girang, saya turut merasa girang.  Kesedihan kerana dipaksa berkahwin dengan orang yang tidak disukainya juga meresap memberi simpati di jiwa. 
           
 Saya suka Nayagi kerana ia kisah kahwin paksa, belasan tahun sebelum trend plot kahwin paksa menjadi popular di kalangan novelis sekarang.  Untuk versi ulasan penuh, anda boleh baca  DI SINI


Tuesday 24 September 2013

Idaman Hati



NAZA BLADE 250 cc Idaman Hati

 Apasal pulak tulis entri pasal motor ni?  Inilah motor idaman hamba dengan suami.  Hari tu terserempak dengan dua bikers di traffic light.  MasyaAllah, punyalah excited kami berdua.  Mengalahkan yang empat orang kat belakang tu.

Tapi, dalam novel yang akan dikeluarkan Oktober ini, aku gambarkan Wafi bikers tu. Tak caya, baca kat bawah. 


Dia datang dari luar rumah membawa khabar yang diterima daripada papanya. Dirangkulnya leher Hidayati dan diciumnya pipi yang tidak lagi selicin dulu itu bertalu-talu.  Bagaikan pipi itu milik kakaknya Zaweeya.  Ain dan Budik berpelukan.  Semenjak kehilangan Zaweeya, mereka juga tidak senang duduk.  Berkampung di rumah sahabatnya itu.   Segala kerinduan bagaikan terpecah dan rasa tidak sabar terus menggebu di hati.
           
Mereka, tanpa suara bergegas ke kenderaan masing-masing.  Ain dan Budik tanpa meminta izin memadatkan diri ke dalam kereta Izzie.  Wafi tanpa menyapa mamanya dulu, terus menderum memandu jentera beroda dua berkuasa 250 cc; pergi mendahului yang lain.

Zakeeya dan kakaknya tanpa suara juga membenarkan Azhari yang tidak tidur seperti manusia lain tidur semenjak kehilangan Zaweeya itu memandu.  Semuanya bagaikan ingin terbang.  Ingin cepat tiba untuk menemui seorang manusia yang tiba-tiba meniti namanya di bibir mereka.   Dirindui kehadirannya. 
           

Monday 23 September 2013

Sifir Cuti Sekolah



Kisah Halimah, ibu beranak lima yang merangka-rangka bajet keluarga terutama menjelang cuti sekolah.  Kisah ini mengungkap realiti yang berlaku di dalam sebuah keluarga ‘miskin bandar’.  Tiada solusi khusus, melainkan kekuatan di dalam diri untuk keluar dari kepompong kemisikinan biarpun diri tidak sempurna.

 


DIA melepaskan tangan daripada menekan kalendar di dinding yang memapar gambar kuda berlari.  Setiap kuda berlari dalam barisannya.  Di baris atas dan di baris bawah.  Minggu depan, cuti sekolah bermula lagi.  Halimah masuk ke dalam bilik.  Bekas plastik berisi syiling berkerincing bunyinya ditarik keluar dari gerombolan tempat kain. 

            Halimah mencongak-congak.  Beras tinggal sepot.  Gaji masih berbeza dua ekor kuda lagi jaraknya.  Cuti sekolah bermakna anaknya yang lima itu akan sentiasa ada di rumah.  Akan sentiasa menghingarkan suasana.  Akan sentiasa menadah perut minta diisi.

            Kalau orang lain risaukan lokasi percutian, Halimah risaukan lauk-pauk yang bakal dihidangkan.  Adakah?  Atau sekadar nasi goreng buat sarapan, makan tengahari dan makan malam.  Kalau beras kehabisan, bermakna mereka menjadikan lempeng sebagai makanan ruji.

            Tidak dapat tidak, air matanya yang tak pernah kering di pipi mengalir lagi.  Dia bukan tinggal di dalam hutan.  Dia bukan orang Asli.  Dia tinggal di pinggir Kuala Lumpur.  Dia tinggal di rumah batu.  Bukan rumah papan yang dihunggis anai-anai.  Bukan atap yang mencucuri tengah rumah ketika hujan monsun menyapa dalam irama sepoi bahasa. 

            Istananya bertingkat lima.  Indah tapi bakal meretak kerana terdiri di atas timbunan sampah yang dikuangbalik dan dimampatkan.  Agaknya sampah memang sebati dengan sampah!  Halimah menyumpah.  Mereka yang tinggal di sini dulunya dianggap ‘sampah’ pembangunan.  Ditebas dan dibersihkan dan dilonggokkan semula di atas  buncitan timbunan sampah yang telah datar.

            Dahulu, istana kecil mereka hanyalah papan-papan usang di bawah pencawang elektrik.  Disusun dalam ertikata tidak tersusun dan menjadilah ia rumah.  Meski kecil, ia membahagiakan.  Meski setiap malam berkongsi tidur dalam jalaran lebuh raya tikus dan lipas serta haiwan lain. 
           
Istananya kini mengisi tiga bilik dan ruang dapur yang semuat tiga manusia di dalam satu-satu masa.  Dia mensyukuri, walaupun gaji bulanannya harus ditarik lagi sekitar ratusan ringgit.  Dikepal letak ke tepi untuk membayar ansuran rumah.  “Jika tidak rumah akan dilelong dan puan boleh diisytihar muflis atau bankrap,”  kata pegawai bank yang hadir sama ketika proses menandatangani surat perjanjian jual beli dan pinjaman bank di ibu pejabat pemaju. 

            Gerun menyerkup diri mendengar perkataan lelong itu.  Di mana hendak dihantar diri seandainya dihalau keluar dari rumah sendiri.  Malu?  Dia sudah tidak kisah dengan perkataan itu.  Kalau ditegur oleh jiran-jirannya ketika keluar pergi bekerjapun dia memang tidak tahu malu.  Dia menyengih sahaja.

            “Apalah kau ni, Mah.  Pakailah baju elok sikit.  Baju kurung ke.  Ini tak.  Seluar bunga-bunga oren.  Baju biru.  Tudung macam pelangi,”  tegur Mak Cik Sarifah ketika dia terhegeh-hegeh menuruni tangga menuju ke tempat kerja.  Halimah cuma tersengih-sengih.  Tangannya menarik sedikit tudung yang sudah leper sengkuapnya.  Melekap ke muka.

            “Baju kurung saya ada.  Tapi baju raya.  Sayang pula,”  lurus Halimah memberitahu. 

Mak Cik Sarifah menggeleng-gelengkan kepalanya.  Tapi tangannya masih nyaman terletak di bahu Halimah.  Mereka beriring-iringan turun dari tingkat lima.

            “Limah…Limah.  Kasihan mak cik tengok kau ni,”  Mak Cik Sarifah bersuara lirih.  Halimah cuma tersengih.  Kayuhan kakinya harus dilajukan ke depan.  Tidak perlu bertangis pilu dengan simpati.  Tidak membawa ke mana-mana. 

Sunday 22 September 2013

Kemahiran Seorang Manusia

Betulkan Yang Biasa, Biasakan Yang Betul (49)

Saya terjumpa gambar istimewa ini di blog Bonda Mahaya Mohd Yassin bersama Prof Muhaya Muhammad.
(Pencerahan daripada seorang sifu besar di dalam bidang penulisan.  Saya abadikan di sini, buat ingatan saya dan anak cucu.  Bahawa pesan-pesanan beliau begitu erat dalam perjalanan masa.  Tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas.) 


Gambar : Carian google
 
Berdasarkan sekelumit pengalaman mengendalikan ceramah, bengkel, kursus dan menyunting karya berbentuk kreatif dan deskriptif dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat, saya berpendapat bahawa
kita perlu menguasai dan meningkatkan keempat-empat kemahiran berbahasa;
 

i) kemahiran mendengar
 

ii)kemahiran bertutur
 

iii) kemahiran membaca
 

iv) kemahiran menulis

Keinsafan nan bercapah di dalam diri, memandangkan majlis ilmu ialah wadah memperoleh pengetahuan dan pengalaman demi ibadah dan dakwah;
 

i) dalam majlis ilmu, hanya seorang yang berbicara pada satu-satu masa (penceramah/peserta/pengulas), yang lain mengamati isi kandungan ceramah secara berkuali (mencatat)
 

ii) pada ketika yang sesuai, luahkanlah pendapat, pandangan dan kritikan yang membina dengan waras, berkaitan, yakin, lancar dan sopan
 

iii) membacalah~persiapkanlah diri (penceramah/peserta) dengan asas yang perlu agar perkongsian bestari berlangsung dengan selesa dan bererti
 

iv) menulislah untuk melastarikan kesinambungan tamadun, tanpa jemu dengan sebaik-baik persembahan ( ~ nasihat untuk diri, menjelang Maghrib ini.)

Mahaya Mohd.Yassin,
Sabtu, 15 Zulkaedah 1434/21 September 2013

Saturday 21 September 2013

Biar Pendam Jangan Dendam 3

Sebaik paluan kompang yang menggegarkan isi dewan dan menggugahkan semangat itu terhenti, langkah sepasang pengantin dalam persalinan merah itu disambut dengan alunan calempong dan kata-kata aluan serta usikan daripada pengacara majlis.  Ilhan dan pasangannya tersenyum dengan langkah teratur serta tangan erat berpimpinan.  Wajah pengantin.  Berseri-seri bagai mendakap purnama.  Tersimbah cahaya daripada bulan dalam pelukan. 

            Di satu sudut berhampiran pelamin, layar putih mulai menayangkan momen-momen indah pengantin, juga telusuran masa dari kanak-kanak sehingga menjadi suami isteri.  Ketika slaid menayangkan wajah Ilhan semasa belasan tahun, sekeping gambar dia bersamaku terpapar.  Aku tersentap.  Gambar diambil ketika aku mulai menjejak ke tingkatan satu.  Pagi hening yang menyaksikan tangisanku kerana mahu ditinggalkan di asrama. 
            Aku akan merindui Ilhan.  Aku akan merindui semua keindahan yang kami lalui bersama sepanjang waktu membesar.  Aku merindui redup matanya.  Aku merindui pujuknya yang tenang ketika aku teresak-esak mengadu kesusahan.
            “Nani, cepatlah!”  Along Jiha yang entah dari mana munculnya menarik tanganku. 
            “Nak ke mana along?”
            “Eh, makan beradaplah.  Kan itu untuk ahli keluarga?”
            “Ala, tak payahlah, long.   Kalau semua nak makan, siapa nak layan tetamu.  Tengok baba dan ummi pun ada kat situ lagi.”  Aku menjuihkan bibir kea rah pintu masuk.  Ummi dan baba masih sibuk beramah mesra, bersalaman dengan para tetamu.  Datang dan pergi.
            “Habis tu takkan along dengan abang aje kat atas tu?”
            “Apa salahnya?  Angah pun ada.  Cukuplah tu.  Wakil keluarga.”    Along merenung mataku.  Aku berpaling.  Aku tak perlukan simpati sesiapa sekarang.  Lebih-lebih lagi along.  Hanya mempamerkan kelembikan jiwaku mendepani semua ini.
Aku mengambil semula bakul dihias reben di tangan along.  Kembali bergerak dari meja ke meja.   Along Jiha juga berpaling, memaniskan wajah menaiki pentas makan beradap yang terletak berdepan dengan pelamin di sebelah kanan dewan.  Dipisahkan oleh lantai dewan dengan tetamu yang masih setia menanti majlis bersanding. 
            “Kain sutera kain belacu,
            Dipakai orang zaman dahulu,
            Ceria Pak Dollah sambut menantu
            Tahun depan dapatlah cucu.

            Dipakai orang zaman dahulu,
            Pacak tongset duli kurnia,
            Ingin nak jadi calon menantu,
            Agak-agak Pak Dollah, ada lagi tempat kosongnya?”


Pantun kedua daripada pengacara majlis itu menggamatkan suasana.  Terburai isi ketawa di sana sini.  Aku lihat baba mengangkat ibu jari ke arah pengacara majlis tersebut.  Ketawa bersahutan lagi apabila ada yang terpandangkan gelagat spontan baba.
            “Ni adik pengantin ke?”  Tiba-tiba satu soalan terpacul daripada mulut seorang wanita ketika aku sudah mahu meninggalkan meja bulat tersebut.  Aku anggukkan sahaja.
            “Cantik.  Dah bekerja atau masih belajar?”  Tanya wanita bertudung labuh berwajah manis itu. 
‘Eh, ini majlis kahwin abang saya mak cik!  Bukan sesi temuduga cari jodoh untuk saya pulak!’  getus hatiku. 
            “Kalau macam ni cantiknya,  tahun depan kak Ita dan Bang Dollah dapat menantu lagilah,” ujar seorang lagi wanita di sebelahnya.  Yang lain membalas dengan ketawa perlahan dan ada yang sekadar membalas dengan sejuring senyuman. 
            “Maaf nak ya, mak cik gurau aje.  Suka tengok muka anak ni.  Tenang aje.”  Kata wanita bertudung labuh tadi.
 Aku hadiahkan sebuah senyuman paling manis.  Hatiku sudah terbang, terawang-awang mencecah siling dewan seperti belon Doraemon yang dijual di tapak pesta terlepas ke awan.  Aku bersalaman dengan mereka sebagai tanda menghargai pandangan mereka.  Senyum terukir, bermain terus di bibir walaupun tadinya aku terasa mahu membaling bakul ini kepada pengacara majlis itu.
            Dari meja ke meja, aku terus disapa.  Tidak seperti sebelumnya.  Ini yang aku tak suka!  Memang betullah orang tua ni!  Kerana pantunnya nak cari calon menantu untuk anak baba, aku pula yang mendapat tempiasnya.  Puncanya juga mungkin baju ahli keluarga berwarna merah jambu bertanah merah yang sedondon belaka.   Tentulah aku yang disyaki sebagai dara ummi dan baba sebab Along Jiha dan angah Azie sibuk mengusung anak masing-masing ke hulu ke hilir. 
            Aku mengambil keputusan beredar.  Duduk diam sahaja di meja cenderamata.  Aku minta salah seorang anak saudaraku menggantikan tempatku.  Budak-budak, walaupun belasan tahun, kerja begitu masih merupakan terapi permainan buat mereka.  Berjalan dari meja ke meja.  Mengagih-agihkan cenderamata, terasa diri sangat berkuasa. 
            Usai majlis makan beradap, pengantin dibawa menuju ke pelaminan.  Ketika melalui meja cenderamata ini,  secara tak sengaja aku terpandang Ilhan.  Matanya bagai memohon maaf, semuanya tanpa rela dan berbagai-bagai alasan lagi.  Aku cepat-cepat menoleh, sebelum aku dikesani menangis.  Nanti habis gempar majlis baba dan ummi.  Semua orang gembira, aku pula yang berduka. 

            Aku memohon diri, masuk ke dalam tandas.  Di depan cermin besar, sepanjang-panjang dinding tandas itu, aku hanya berdiri tegak.  Wajah sendiri aku renung.  Dalam samar terasa susuk Ilhan berdiri di sebelahku.  Aku pejamkan mata.  Kejap.  Aku ingin melupakan apa yang berlaku.  Aku ingin melupakan.    Pergilah Ilhan.  Pergilah dari hatiku.

Friday 20 September 2013

Biar Pendam Jangan Dendam

       
    “Wei, kau dah tahallul ke belum?  Dah banyak benar duit nak beli kambing?”  Satu suara beserta tepukan lengkap lima jari berkelepek* di belakangku.   Pemunya suara itu terus mara dan berdiri di sebelahku.  Bahuku dipaut mesra.  Senyum dilemparkan kepada wanita-wanita yang berada di depanku.

            “Maaf, cik kak-cik kak sekelian.  Dia ni masih dalam ihram.  Free style pulak tu.”  Terang Eri tanpa diminta dan pantas menarik tanganku. 

            “Kau ni.  Pantang tengok perempuan kan?  Yang tu tadi dah sama tua dengan mak, kau tahu?”  hampir terkeluar bola mata Eri menudaki wajahku.  Tangannya pantas  mengeluarkan gunting kecil daripada poket kecil di tali pinggang berwarna hijau di pinggangnya.

            “Kau ni, cakap tu berlapiklah sikit.  Peminat aku tu.  Eii…makbul doa kau tu, apa aku nak jawab dengan mak?”  Terasa mahu aku gunting sahaja bibir si Eri ni.  Tidak dipeduli langsung malah kadang-kadang dia langsung tidak memikir sebelum melepaskan kata-kata.

            “Tahupun takut!”  dia mencebir sambil mengangguk-angguk.  Gunting kecil di tangannya dilipat kembali. 

            “Peminat nak bergambar, takkan aku nak kata tak boleh.  Lagipun ini tanah suci.  Sedangkan jemaah negara lain kita tegur, ini pula dari negara sendiri.”

            “yalah.  Yalah.  Aku yang salah.  Kaupun satu.  Kau tak ingat ke antara larangan ihram yang membabitkan perempuan.  Kau tu bujang lagi.   Lainlah macam aku.”  Bangga Eri membandingkan statusnya dengan statusku. 

Aku tidak mengendahkannya.  Labu betis terasa bagaikan mahu tertanggal daripada kantungnya.  Kalau tak kuat semangatku ini, Zohorku tertunai di surau hotellah jawabnya. 

            “Aku tunggu kau dekat Pintu Satu.  Sampai nak tertidur aku kat situ.  Kenapa lama sangat?”

            “Eh, aku baru habis saie ni kan?  Kaupun nampak.”  

Aku dan Eri beriringan.  Menentang arus jemaah Saie.  Sesekali, kami menepi memberi laluan buat jemaah lelaki yang berlari-lari anak di lengkung lampu hijau sepanjang trek saie itu.  Tidak mahu aku memberitahu Eri bahawa tawafku tertunda dua pusingan gara-gara si gadis bermata cantik itu.  Selain daripada ceramah percuma, tidak ketinggalan ketawa besarnya akan beriring juga. 

            “”Jom naik tingkat satu.  Lepas Zohor nanti kita balik.”  Saran Eri.  

Aku mengikut sahaja.  Di tingkat satu terdapat ruang yang disediakan penyaman udara.  Manakala ruang yang lebih terbuka dengan mata lepas bebas memandang Kaabah disediakan kemudahan kipas. 

            “Aku tengok perempuan tadi tu pandang kau semacam aja.”  Luah Eri sebaik sahaja kami meletakkan sila di atas karpet merah itu. 

            “Malaslah aku nak fikir.”  Tukasku, walaupun sebenarnya hatiku terganggu dengan kata-katanya. 

Akulah lelaki yang paling malang di dunia ini, Eri.  Perjalanan menuju puncak jodoh begitu berliku-liku.  Cabarannya juga bukan kecil-kecil anak.  Tetapi hati yang paling dalam terselit bagai mengembang kuncup memberi nafas, ada cinta yang sedang memekar di tanah milik komuniti  pagan satu ketika dahulu ini. 

“Kita doa sama-sama, okey.  Lupakan yang lepas-lepas tu.  Soal hidup mati, jodoh memang kerja Allah.  Nak marahpun tak guna.”  Pujuk Eri.

“Aku tak marahlah!” kata-kataku disambut ketawa kecil oleh Eri.  Aku sedang meninggikan suara sambil memberitahu yang aku berada dalam keadaan tenang.   Orang mabuk pun tahu aku sedang marah!


“Nak marah, marahlah.  Dia tak akan balik pada kau juga.”  Tersentap pangkal jantung menjadikan nafasku sesak mendengar walaupun setakat ganti nama terhadap gadis itu.  Aku tahu siapa yang dimaksudkan Eri. Dia bukan sahaja memusnahkan pelamin anganku.  Dalam masa yang sama, memusnahkan semua mimpi kedua orang tuaku.  Anganan emak dan ayah untuk melihat aku diselimuti bahagia dalam dakapan seorang isteri.

Teori dan Kaedah Bacaan Awal Kanak-kanak

Untuk bacaan jemput klik di sini

Thursday 19 September 2013

Pakej Iklan Soho Directory

Pakej Iklan 1 hingga 4
Pakej Iklan 1:

RM50- 1 gambar, link fan page, link blog
Tempoh 6 bulan
Renew RM50 untuk 6 bulan

RM100- 2 gambar, link fan page, link blog, keterangan produk, keterangan, 1 testimoni produk, ulasan blog pilihan
Tempoh 12 bulan

Renew iklan RM100 untuk setahun

RM250
2 gambar, link fan page, link blog, keterangan produk atau perkhidmatan, 1 testimoni, ulasan blog pilihan
Tempoh 12 bulan
-servis bonus 1: siapkan email dan blog (bagi yang tidak ada blog bisnes)-yang ini kalian create email dan blog sahaja
-percuma ebook super wahm super mom

Renew iklan hanya RM100 setahun

pakej 4: RM300
2 gambar, link fan page, link blog, keterangan produk atau perkhidmatan, 1 testimoni, ulasan blog pilihan
Tempoh 12 bulan
-Servis bonus 1: siapkan email dan blog
-Servis bonus 2: siapkan fan page bisnes, borang link produk


Percuma 1-ebook super wahm super mom (bernilai RM25)
Percuma 2: ebook asas blog (bernialai RM50)

Harga sebenara, RM375, bayar hanya RM300 sahaja. Renew iklan hanya RM100 setahun.

Kelas Asas Blog



AKADEMI BEKERJA di RUMAH, khusus untuk suri rumah atau suri separuh masa yang ingin mengubah nasib atau mencuba sesuatu yang di luar daripada rutin rumahtangga.

Manfaat Menyertai Akademi Bekerja di Rumah

1. Belajar menulis blog secara profesional. Profesional di sini bermaksud menjadi magnet untuk mempengaruhi pembaca dengan entri-entri berbisa, informatif yang membuatkan pembaca terus setia dengan blog kita.



Blog anda mungkin mencakupi

- catatan pengalaman
- motivasi, inspirasi dan apresiasi
- catatan-catatan yang boleh dikompilasikan menjadi e-book


2. Belajar berniaga di dalam talian - produk bersesuaian akan diberikan sebagai pemula seperti;


-produk fizikal, produk sunnah, buku digital (e-book)

-agen pengiklanan
-produk runcit dan borong.  
* Jika anda sudah mempunyai produk sendiri, anda akan dibimbing untuk menglobalkan pasaran produk anda secara maya melalui saluran blog dan facebook.



Dengan kesedaran untuk berkongsi perkara-perkara di atas, ABdR menyediakan dua kelas berkenaan blog yang boleh disertai oleh suri rumah atau sesiapa yang berminat iaitu



a) Kelas Asas Blog dan Penulisan - anda akan didedahkan dengan teknik-teknik pembinaan blog, teknik menulis blog yang digilai pembaca, bermanfaat sekaligus memberi pulangan semula kepada diri anda.



b) Kelas Asas Blog dan Fan Page - untuk suri rumah yang sifar pengalaman berblog tetai berhasrat menjadikan laman blog dan fan page sebagai pemudahcara untuk berbisnes secara serius di laman maya.  Antaranya anda akan diajar membuka kedai online sendiri.


Pendaftaran terus dibuka secara online.  24 Jam Sehari.  7 Hari Seminggu




Kelas dijalankan secara online




Tiada had masa, mengikut keanjalan masa anda




Bimbingan secara terus oleh guru-guru online yang berpengalaman


Akademi Bekerja Dari Rumah kini sudah mencapai lebih 130 blog dan pendaftaran kini, alhamdulillah setiap hari.
7 guru online sedang bertugas. 10 kelas secara online sedang berlangsung setiap hari. 

Kami menawarkan tiga kelas online di bawah.
1. Kelas asas blog dan penulisan
2. Kelas asas blog dan fan page khusus untuk bisnes
3. Kelas asas blog dan pariwarta (iklan) mudah.my


Yuran 1: RM150
Sebuah ebook rujukan-ebook asas blog

Yuran 2: RM180
Tiga buah ebook- ebook asas blog, ebook mula bisnes butik online, ebook super wahm super mom





Yuran 3: RM200
Empat buah ebook- asas blog, ebook mula bisnes butik online, ebook super wahm super mom
Percuma- 101 Idea Home-Based Bisnes




Yuran 4: RM300
Untuk dua kelas serentak, 3 ebook rujukan, asas blog, bisnes butik, 101 idea home based bisnes

Bayar kelas di sini, piliha salah satu kelas dan nyatakan yuran 1, yuran 2, atau yuran 3
Selepas bayar, isi borang ini 
http://www.kedaibukuonline.biz/index.php/tempahan
email: monalitamansor@gmail.com


Seandainya anda berminat, bila-bila masa saya boleh dihubungi melalui 


facebook :
https://www.facebook.com/affanazman 
atau e-mel: monalitamansor@gmail.com
atau
tinggalkan link facebook anda di ruangan komen untuk saya hubungi anda semula.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...