..yang bernama sahabat

Monday, 27 January 2014

Ilham Bahagia - Versi Pemurniaan

BAB SATU (1)
NADA ketukan yang kelang-kabut masih menghuni meja sebelah. Sesekali dia mengerling kepada empunya jari. Tiada respon diterima. Seolah-olah ketukan dan kalau dikatakan tarian pen itu beserta tuan punyanya juga tenggelam dalam kotak dunianya sendiri.
Nayla menyelak-nyelak malas helaian pelbagai service request yang menadah di depannya.  Jujur sejujurnya dia benci bekerja dengan kertas; dengan komputer yang tidak memberi reaksi dan sekadar mendengar dan menadah apa sahaja luahannya.
Di sebalik dinding sebelah sana, petugas kaunter hadapan masih sibuk melayan pelanggan semakin ramai menjelang waktu makan tengahari. Kaunter perbankan komersial di kawasan sibuk itu bertambah sibuk terutama pada awal minggu dan akhir minggu.
Kadang-kadang kerana rutin begitu, para petugas kaunter memperlahankan kelajuan setiap satu transaksi mereka. Bagi pelanggan mereka diberi dua pilihan. Menunggu atau beredar. Pilihan ketiga; yang kadang-kadang ada; pelanggan mengemukakan aduan. Kadang-kadang terus ke media tempatan dan satu salinan kepada Bank Negara. Tarian pen yang memekakkan itu terhenti serentak beriring dengan sebuah keluhan. Nayla tidak bereaksi waima mengerti ada yang membutuhkan bantuannya.

“Tolong aku sekejap…”  Wanita lebih kurang sebayanya itu bersuara juga akhirnya. Nayla menolak kerusi, bangun mendapatkan Hanisah tetapi tersentak dengan nada dering paling biasa di pendengaran yang menjengah lagi.

“Ya mak….” Suaranya perlahan sebaik sahaja melafazkan jawapan salam. “Tak ada.”  Dia membetulkan anak rambut yang menganggu perbualan sambil menjawab dengan wajah yang sukar dimaniskan, “betul. Orang tak tipu…” Nayla melontar keluhan kecil sambil mengetuk-ngetuk pen di tangannya ke meja. “Itukan dah lama… cuba mak tengok tarikhnya.”
Wanita kelahiran bumi Cik Siti Wan Kembang yang berwajah manis di meja sebelah itu tersenyum simpul setelah berjaya mencuri dengar perbualan mereka.

“Buat apa nak tipu mak kau?”

Nayla menarik kerusi. Duduk betul-betul mengadap komputer membuatkan Hanisah terpaksa mengengsot memberikan ruang.

“Dah tahu gemuk tu…beranjaklah sikit,”  rungut Nayla tanpa menjawab soalan itu dan matanya lekap pada helaian Electronic Journal yang terpapar pada perisian Words di komputer.

“Hey! Dengar aku cakap ni.” Serentak dengan kata-kata Hanisah itu, Nayla spontan mengibas-ngibaskan jarinya yang diketuk dengan pen. Hanisah ketawa tanpa kesal.

Zalimnya kau ni.  Aku dah suka dan rela nak tolong, kau sakitkan aku pula.”

Digosok-gosoknya belakang jarinya. Hanisah melambakkan tawa lagi. Surana, yang berada di meja kanan bersebelahan meja Nayla meletakkan jari ke bibirnya.

“Berdosa tipu mak tau,” asak Hanisah.

Mana ada.  Aku cakap yang betullah.”  Nayla membela diri sambil matanya dikecilbesarkan ke skrin monitor di depannya.

“Betullah sangat,” ejek Hanisah, sinis. 

“Okey puan, sekarang comparison kau tak balance berapa dan EJ kau tak balance berapa? Nak aku tolong ke tak nak?”   Nayla membanting tubuh ke kerusi seraya berpeluk tubuh. Bicaranya beralih serius.
Hanisah mencantumkan kesemua tapak tangannya. Nayla kemudian berdiri bercekak pinggang dalam kebaya Kota Bharu yang menyerlahkan keanggunannya sebagai gadis graduan bertaraf eksekutif. Kulitnya putih kuning dengan hidung mancung diapit mata bulat besar yang dikawal kening tebal di atasnya. Waktu hampir menujah ke jam dua belas  Bermakna giliran mereka untuk keluar berehat sudah hampir.

‘Wei…ma ada telefon kau?’ sebuah mesej pesanan ringkas terpapar daripada Eza sebaik sahaja dia mematikan nada deringnya. Eza, sepupunya yang baru habis sekolah, kawan baiknya dan juga kawan ‘teramat baik’ ibunya.

‘Ada.’



Saturday, 25 January 2014

Komen 4 oleh Yang Lain daripada grup Buku Tiga Lima



Tajuk : Kabus Rindu
penulis : Monalita Mansor

ketika novel ini sampai ke tanganku, aku sangat tertarik dengan kaver dan tulisan tajuknya, emm, pada aku sangat cantik dan sesuai utk sebuah novel cinta. Oops! Ok, aku bukan peminat novel cinta, hehehee Cuma aku tertarik utk membaca novel ini kerana sinopsisnya yg kurasakan agak berbeza dgn cerita cinta biasa, kira macam cinta yg melangkaui sempadan masa laa sbb ada watak indera laksamana dan kembang dahlia dan berlatar belakangkan zaman silam.

selain kaver dan tulisan tajuknya, aku memuji gaya penulisannya yg santai dan lancar, aku merasakan penulis menggunakan sepenuh pengalamannya semasa zaman kecilnya serta mengabungkan dengan pengalaman / keletah anak2 zaman sekarang yg sinonim dgn K-pop, facebook, twiter dan handset canggih, kiranya novel ini menepati selera remaja sekarang, dan aku harap semoga novel ini diterima baik oleh golongan remaja masakini..

Pada aku novel ini tidak berat dari sudut konflik dan kekeluargaan, ia lbh menjurus kepada bagaimana cara remaja masakini menghadapi delima percintaan dan mengajak kita (pembaca) melihat permasalahan keluarga dari kacamata remaja. Apa yg setiap remaja akan rasa dan alamai jika berlaku konflik antara ibu bapa dan pilihan keluarga.

secara jujurnya aku tak dapat apa yg aku harapkan dalam novel ini, aku mengharapkan penglibatan watak indera laksamana atau setidak2nya diawal sangkaanku aku, aku mengharapkan cinta yg melangkaui sempadan masa ini pasti penuh dgn rintangan dan cabaran, jika tidak dapat sehebat cinta haryani kepada saifudin jails, sekurang2nya aku memerlukan sesuatu yg dapat membuat aku rasa teruja utk terus mengikuti bab demi bab dalam novel ini namun..

mengakhiri bacaan novel ini, aku sedikit kecewa, aku tak Nampak apa kaitan watak indera laksamana atau kembang dahlia dan raja helang olak lapan, kepada zaweeya atau wafi ??? atau kepada norman, budik, ain dan hairul ??? mgkn penulis memasukkan watak itu sebagai penyedap cerita sedang kami (para peminat novel mistik dan thriller) lebih mengharapkan watak itu sebagai penguat cerita.

7 bintang utk novel ini, sesuai utk bacaan remaja dan gaya penulisannya mmg boleh memikat pembaca.

Wednesday, 22 January 2014

Di Hujung Lorong



Dia masih berlegar-legar mencari ruang yang strategik.  Biarpun kehangatan memberi kenyamanan,, sesekala dia terasa ingin meluruskan kaki.  Di luar sana hujan terus membasah bumi.  Di dalam, terasa hujan menyalur juga membawa duka.  Dia tertanya-tanya.  Hujan itu datangnya membawa duka.  Padahal, tersebut di dalam catatan termasyhur Maha Pencipta hujan diturunkan untuk memberi rahmat kepada sekalian makhluk.
            Dia berputar-putar senang.  Suasana di sini mendamaikan tetapi ada rasa kosong melompong yang menyalur terus masuk ke hatinya.  Penat, dia mencari bantalnya dan melelapkan mata.  Tetapi cuma seketika.  Dia berputar-putar lagi.  Sesekali mencuba mencari pintu untuk keluar.
            Terasa ada tangan melekap di dinding dan memaksanya juga berhenti berputar. Dia mencuba untuk mengecam jemari itu tetapi cuma seketika.  Tadi, diletakkan hanya sebagai amaran kepadanya supaya jangan pandai-pandai mencari pintu keluar.  Duduk sahaja diam-diam di dalam sana.
            Mana mungkin dia berbuat begitu.  Sedangkan saban hari dia mendengar bicara-bicara dan cerita di luar sana.  Semuanya indah. Semuanya manis-manis.  Yang sedih dan yang terasa sedikit menganggu adalah aliran rasa yang masuk ke dalam dadanya.
Persoalan mengasak kepalanya. Semenjak awal kedatangannya ke ruang itu, sehingga sebesar ini, pelbagai benda yang masuk ke ruang itu kadang-kadang menyesakkan dadanya.
                        Adakalanya terasa kulitnya mahu mengelupas terbakar.  Sesekala terasa ada sesuatu yang mengitar batang leher ingin mencekiknya.  Tetapi dia masih ampuh berkitar di dalam dan orak-arik di luar itu tidak mampu menyentuhnya.
Dia percaya, kehadirannya mungkin dalam paksa tetapi telah ditetapkan penciptanya untuk dia berada di situ.  Maka, terlindunglah dia daripada segala paksaan untuk mengeluarkan dia dari situ.
“Saya akan jaga dia…” Kalau itulah suara perempuan yang kemudiannya dipanggil ibu, maka haruslah dia berterima kasih kepadanya.  Memberi tumpang pada sebuah persinggahan bernama rahim yang sangat penyayang.  Semenjak bermula sebagai setitis air bergelar nutfah lagi.
            Dia tidak mahu ambil tahu asal kejadian yang mengundang kehadiran sperma di dinding ovum perempuan itu.  Atas desakan atau jemputan siapa dia tidak mahu ambil tahu kerana sudah berjanji untuk tidak ambil tahu.  Ikrarnya dengan pencipta ialah sentiasa tunduk patuh dan redha dengan kejadiannya.
            Ketika dia berstatus alaqah juga dia kerap terdengar lagu-lagu pilu dan getaran terdesak dari dalam dada perempuan yang menumpangkan dia itu.  Dia masih patuh pada ikrarnya tidak mahu ambil tahu.
            Semakin mendekati mudghah dia kadang-kadang merasakan perempuan itu begitu terdesak untuk menghalaunya keluar dari situ.  Tetapi setiap kali dihalau, tuannya Yang Maha Tahu sudah bersedia untuk menghalangnya.
            Perempuan itu semakin terpaksa biarpun sudah menumbuh izam dan lahm di dalam persinggahan yang sangat penyayang itu.  Dia terus merasa nyaman di situ biarpun mulai faham bahawa kehadirannya tidak dialu-alukan sangat.  Laksana orang miskin dijemput mendatangi kenduri kahwin empat hari empat malam empunya istana di kaki bukit.  Cuma tersipu-sipu di balik pagar bagai melukut di tepi gantang.
“Perempuan yang berzina harus dihukum!” Dia mendengar keputusan penghakiman itu tetapi tidak pasti daripada mulut siapa.  Cuma hukuman itu disambut dengan esak tangis berhenjut-henjut dan jiwanya juga turut merasai kesedihan itu.
“Zina bermaksud perbuatan bersetubuh tanpa nikah di antara lelaki dan perempuan yang haram berkahwin.”  Di hari lain dia mendengar definisi itu.  Jika zina itu adalah perbuatan bersetubuh, maka bersetubuh pula bermaksud di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Yang boleh menghalalkan ikatan mereka adalah dengan ijab dan qabul.
            Dia berguling-guling berpusing-pusing mengetawakan sang pembawa definisi. Kalau bersetubuh itu di antara lelaki dan perempuan, kenapa perempuan yang berzina sahaja dihukum.  Kenapa lelaki yang berzina tidak dihukum.
            Apakah kerana lelaki tidak berumahkan rahim yang penyayang maka dia boleh melenggang kangkung meninggalkan pergi benih yang ditabur begitu sahaja?  Kenapa harus ada label kelas kedua sedangkan perempuan sudah mendominasi dunia tatkala lelaki mabuk dengan hedonisme.
“Anak itu anak haram…”  Kali ini dia mendengar lagi suara yang sama melekatkan label atau manila kad besar di perut perempuan itu.  Maka tercucuk hidunglah perempuan itu membawa label itu ke hulu ke hilir.  Apakah kehadirannya bersumberkan nutfah babi atau anjing yang terjebak di dalam kantung telur wanita itu maka dia dilabel haram.
            Dia terus berguling-guling dan berpusing-pusing. Sesekali mengepakkan tangan dan kaki. Bagaikan terlihat-lihat nur memancar memberi jalan ke arah pintu.  Dia ingin ke sana tetapi ada tangan lembut mengusap dinding dan mengenai lututnya.
“Sabar dulu…”  Perempuan itu bersuara.  Lunak suaranya tetapi hatinya tidak begitu.  Dia dapat merasakan debaran kencang yang menyelinap terus ke tangkai hatinya. Dia dapat merasakan alur bimbang semakin melebar di dalam dada perempuan itu.  Dia berpusing-pusing lagi bagai merasakan ada karpet merah yang terbentang menghala ke arah pintu.
            Para bidadari syurga sedang beratur di sepanjangnya menaburkan wangian sebagai ucapan selamat tinggal. Juga sebagai ucapan selamat datang ke persinggahan kedua yang tidak juga kekal lama tetapi sangat mencabar.
            Sedang petualang dari langit juga sudah bersiap sedia dengan konco-konconya untuk memulakan tugas. Beruntunglah dia seandainya mata terbuka disambut azan. Rugilah dia seandainya mata terbuka disambut tohmah maki dan seorang lelaki yang dipaksa untuk mengaku sebagai penabur benih.
            Dia tahu, walaupun Maha Pencipta tahu, mereka tidak tahu. Mereka bukanlah pembaca hati seperti kekasih Maha Pencipta yang maksum. Yang boleh membaca apa yang ada di dalam hati perut Abdullah bin Ubay. Yang boleh berkata-kata dengan pokok,  dengan unta.  Malah dengan daging kambing yang sudah dijadikan lauk salai bergelumang racun yang dihidang perempuan Yahudi untuk membunuh Rasul akhir zaman itu.
            Sinar di hujung jalan semakin terang.  Bagai terdengar suara memanggil-manggil. Bersenandung beramai-ramai bagai inang pengasuh puteri raja dalam filem Melayu terbitan Cathay Keris ataupun Shaw Brothers.
            Kali ini sudah tidak boleh berpusing-pusing.  Terdengar-dengar suara memanggil mengumumkan bahawa masa bermain-main dan berpusing-pusing sudah tamat.  Pengumuman semakin nyaring di telinga kecilnya memberitahu bahawa masa untuk menyepak terajang dengan kaki kecilnya sudah dinokhtahkan.
            Kini, dia harus terus menuju ke lorong itu.  Tetapi itu bukan usaha suara di sekitarnya.  Bukan dengan bantuan bidadari yang merenjis kasturi sebentar tadi.  Semuanya di atas usahanya sendiri.
            Berada di lorong ini sangat melemaskan.  Dia tidak boleh bergerak ke mana-mana.  Dia ingin berundur, kembali ke tempat hangat yang penyayang itu.  Tetapi kepalanya sudah tersekat di persimpangan itu.  Biarpun dinamakan simpang, dia tidak boleh memilih untuk ke kanan ataupun ke kiri.  Dia cuma boleh memilih arah ke depan.
            Sesekala, dia mengeraskan tubuhnya untuk membolehkan dirinya berpisah dengan kelemasan ini.  Dia terdengar suara erangan yang beserta tangisan.   Tetapi, dia tidak peduli.  Dia mahukan dirinya berhembusan keluar semudah pawana yang menerobos jendela.
            Bagaimanapun,  dia masih di situ lagi.  Sedang talian makanannya sedang makin kejap melilit leher. Bak ular sawa mendapat habuan kerbau bunting.  Semakin kuat rontaan, semakin kuat melilit.
            Dia juga tidak faham kenapa tali pusat itu tidak mahu melepaskannya.  Dia mengerti tentang keakraban mereka.  Tetapi sahabat yang akrab tidak akan menyakitkan sahabatnya di dalam apa keadaan sekalipun. Mungkin sang tali mengambil perumpaan bagai isi dengan kuku.  Langsung tidak boleh dipisahkan.  Tetapi pinggir kuku yang tajam, kalau dibiarkan akan mencucuk isi. Sangat menyakitkan.
            Sedikit demi sedikit, dia melihat cahaya.  Hiruk pikuk sekitar kian menguat biarpun masih kedengaran sayup-sayup  Antara dengar dengan tidak.  Tetapi, dia tidak mendengar suara sesiapa.  Hanya bunyi hembusan kipas kuat pengering lantai. 
            Cahaya semakin lama semakin cerlang tetapi saat hidungnya terbebas dari kelemasan, dia merasakan dirinya dibawa ke alam lain.  Merasakan hidungnya yang bersememeh darah kini menjadi laluan air yang masuk laju ke dalam paru-paru.  Air yang ditolak laju menolak tubuhnya sekali ke lorong satu lagi.  Melemaskan dan tidak bercahaya. Syaitan belum sempat mencubitnya kerana dia telahpun dikirimkan ke alam satu lagi.  Dia bangga kerana tidak singgah ke alam fana ini.  Sangat bangga.        
            Dia terdengar-dengar esak tangis yang menggila beserta bunyi flush tandas yang tersangkut.  Perempuan itu mungkir janji untuk menjaganya.

Tuesday, 21 January 2014

Ilham Bahagia - Nayla



‘Kau ada call Pak Tam?’

Tak ada.’

‘Tipu.’

Nayla menaip perkataan ‘tak ada’ dan menghantarnya semula.

‘Pak Tam ada call kau?’

Ada.’

‘Ha.. patut la Ma marah. Dia dapat instinct tu.’

‘Habis takkan aku tak nak jawab call dia.’

‘Wei..call aku la.. habis kredit aku nanti.’

‘Malas.’

‘Kau rindu Pak Tam eh?’

‘Nanti aku reload balik.’

‘Kau rindu Pak Tam eh?’ Soalan yang sama dari Eza terpapar lagi.

‘Rindu jugaklah.’

‘Apa kata. Kau ambil cuti kita pergi makan angin. Kita pergi Sabah.’

‘Siapa yang rindu kat Pak Tam ni.  Aku ke engkau?’

‘Menyelam sambil minum air.

‘Tambang kapal terbang?’

‘Kau bayar. Nanti bila aku kerja aku bayar balik.

‘Hotel?’

‘Pak Tam ada.’

‘Kalau Ma tahu kau tolong jawab. Nak?’

‘Apa pula aku?’

‘Dah tua bangka takut kat Ma lagi.’

‘Kalau kau berani sangat pergi cakap kat Ma la.’

‘Aku bukannya takut. Aku hormat.’

Okeylah la. Ada call masuk.’

‘Aku tahu. Mesti Pak Tam.’

“Kenapa lambat angkat telefon?  Ni mesti sibuk layan mesej si Eza.”  Suara Aizat kedengaran ceria di corong sana.

“Taupun.”

“Rindu kat saya tak?”
           
Dia mengumpan dengan persoalan hati yang tidak pernah terjawab sejak dulu. Tidak pernah seminitpun hati ini tidak merinduimu.

“Adalah sikit,” Nayla menjawab sombong.


“Hari ni apa pula masalah awak? Apa yang tak balance? Siapa customer yang kacau awak lagi. Bos awak meroyan lagi ke…saya nak dengar ni. Saya tak pernah penat nak mendengar.”  Sinis ajuan bicara di Aizat di hujung sana sebelum ketawa kecil menyusul.

“Hari ni tak nak cerita pasal kerja.”

“Awak tak nak tanya pasal kerja saya. Susah saya kat sini. Rindu macam nak mati kat awak. Nayla… saya rindukan senyuman awak. Kan seronok kalau kita tak payah habis belajar. Hari-hari saya boleh tengok muka awak.”

“Lepas tu, pinjaman PTPTN tak payah bayar. Pinjaman FAMA tak payah bayar. Penat lelah orang tua yang membesarkan kita tu, tak payah dibalas?”

Sebak hati saat menyebut perkataan FAMA.  Mak dan abah saya tak pernah menyukai awak, Aizat.  Apa yang terhubung di antara kita memekar di taman larangan.

“Maaf, Zat.  Saya rasa ada panggilan masuk ni.  Nanti saya telefon awak semula.”


“Awak sembunyikan se…”  Aizat tidak sempat menghabiskan kata apabila talian telahpun diputuskan.

Monday, 20 January 2014

Kuala Semantan Menangis


1985, Tebingan Sungai Pahang.
USEN Toman masih duduk-duduk di jeti.  Belum terniat di hatinya untuk mencapai hendal basikal tuanya untuk mengayuh pulang.  Arus Sungai Semantan yang mencium  arus Sungai Pahang di Kuala Semantan itu larut perlahan-lahan, bersama-sama dan menghilir meninggalkan Usen Toman di jeti. 
            Petang semakin tua tetapi perahu tambang menggunakan enjin bot masih setia berulang-alik menyeberang sungai terpanjang di semenanjung itu.  Ralit Usen Toman memerhati air sungai yang keruh itu.  Rumah-rumah rakit di pinggir Sungai Pahang itu teroleng-oleng didodoi olak yang dibancuh oleh perahu tambang yang menyeberang.
            “Selagi Sungai Pahang ini mengalir sampai ke Pekan, selagi tu kawan tak boleh berhenti Usen,” kata-kata terakhir Jakpa Loceng terngiang-ngiang sepertimana bunyi  loceng basikalnya yang selalu dibunyikan kala melewati lorong di tepi rumahnya.  Jalan utama sebelum tiba di padang bola berhampiran kubur.  Seterusnya jalan besar menghubungkan kampong mereka dengan Temerloh.
            “Kerja bahaya ni, Pa,”  Usen Toman mengingatkan.  Bukan sekali ini.  Berkali-kali. Walaupun dia sendiri takut-takut berani. 
            “Kawan tak tergamak melihat orang-orang kampung hidup dalam ketakutan, Sen,”  Tangan lebar Jakpa Loceng menepuk dinding papan rumah pusaka turun-temurun milik Usen Toman itu. 
Bertempiaran debu halus berserakan hasil tepukan tadi.  Usen Toman melibas-libaskan baju ke belakang badannnya yang telanjang.  Daun rokok pucuk yang sengaja tidak dinyalakan masih terjepit di mulutnya.
            “Kawan tahu.  Tapi satu perkara yang awak kena ingat.  Kalau Jepun tahu, satu kampong ini akan menerima padahnya.  Awak tak ingat macamana orang Cina Sg Lui kena tembak?  Lelaki perempuan, kecil besar habis sekali sekelip mata sahaja tengahari itu…?” 
Usen cuba mengingatkan risiko buat penduduk Kampung Buntut Pulau dan Temerloh khususnya kalau rancangan Jakpa Loceng dan kawan-kawannya ‘membersihkan’ kempetai-kempetai Jepun sampai ke pengetahuan pemerintah kompeni mereka di Bandar Temerloh. 
Tragedi pembunuhan beramai-ramai ketika matahari tegak di atas kepala di pekan Sungai Lui beberapa bulan lepas atas alasan sebegini juga.  Kempetai Jepun berbangsa Melayu diseret gerila MPAJA ke dalam hutan dan ditamatkan nyawa tanpa ampun. 
Semuanya bertitik-tolak daripada kekejaman Jepun terhadap orang-orang Cina berlarutan daripada dendam Perang Manchu nun jauh di Tanah Besar.   Jakpa Loceng tidak lupa bagaimana kesemua penduduk dibahagikan mengikut keturunan.  Setelah tiada siapa yang mengaku terlibat dengan bersekongkol dengan gerila MPAJA.   Jakpa Loceng menutup mata.  Seakan-akan tragedi pembakaran hidup-hidup para wanita di dalam kedai yang dikunci dari luar itu sedang berlangsung di depan matanya. 
            “Kejam! Ya amat kejamnya,”  terpacul kata-kata dari mulut Jakpa Loceng. 
Petang itu, petang terakhir Usen Toman bersama Jakpa Loceng.  Selepas itu, tiada lagi berita berkenaan lelaki kurus tinggi yang suka menyanyi lagu-lagu R. Azmi itu.   Usen Toman gagal memujuk Jakpa Loceng.  Usen Toman merasakan Jakpa Loceng tidak perlu memikul senjata sampai ke dalam hutan untuk berjuang.  Tetapi, apa pilihan yang mereka ada ketika itu.  Merekalah timun yang hampir lunyai. 
            Ketika Usen Toman juga akhirnya melangkahkan kaki memikul senapang yang lebih berupa pistol yang diikat pada kayu ke dalam hutan Bentong, berkelana mencari makna merdeka, barulah dia memahami apa yang ada di dalam perut Jakpa Loceng. 
            “Kawan penat mendengar janji.  Daripada British, Jepun, membawa ke British semula, kita ni digula-gulakan sahaja.  Kalau sudah dinamakan penjarah dan penjajah, sampai kiamatpun tak akan berubah!”  Berapi-api Usen Toman berucap kala itu. 
Kalau Jakpa Loceng hanya melepaskan rasa hatinya kepada Usen Toman sahaja berbeza dengan Usen Toman sendiri.  Pendirian, perasaannya dilepaskan pada Perhimpunan Mencari Makna Merdeka di Padang Besar Temerloh.  Pada masa itu, Usen Toman sudah tidak peduli.  Dia merasa sangat terkongkong di bumi sendiri. 
Terkongkong bagaikan dibiarkan berlegar di dalam kandang besi yang luas.  Mata sahaja lepas tetapi jasad terkurung.   Padang besar itu pada waktu siangnya menjadi medan mereka bermain tembak-tembak, berlatih perang sepertimana zaman kecil dahulu.  Bermain senapang berpelurukan biji terung pipit .  Terkena badan, perit terasa. 
            Usai perhimpunan itu dia melangkah pergi.  Bisik-bisik mengatakan kesemua pemidato pada perhimpunan itu akan dibawa menghadap barisan tertinggi pemerintah British di Pahang.  Dia kelewatan menyusuri jejak Jakpa Loceng kerana menyangkakan sang pembebas berkulit putih itu membawa berita gembira untuk semua.  Rupa-rupanya hampa.  Apabila kemerdekaan hanya berjarak 48 jam sebelum Jepun menyerah kalah, Usen masih menyimpan asa.  Dia tidak perlu menyusul Jakpa Loceng.  Tetapi rupa-rupanya dia tersilap.
            Usen Toman mengesat birai mata tuanya yang tiba-tiba bertakung.  Lama selepas merdeka, dia kembali ke kampung.  Sangkanya kepulangannya disambut umpama wira.  Bermati-matian dia berkampung di dalam hutan, mengenepikan rasa selesa, membuang semua keinginan untuk menjadi manusia ‘biasa’ semata-mata ingin memberikan kebebasan luar biasa buat generasi selepasnya.
            “Perjuangan menggunakan senjata, menggunakan kekerasan tidak membawa kita ke mana.  Perdamaian boleh dicipta kalau kita sedia bertolak-ansur.  Bersedia untuk berfikir lebih jauh untuk kepentingan masyarakat Malaya secara keseluruhannya.  Kekerasan hanya akan mencambahkan dendam.  Menjadikan permusuhan hidup subur zaman berzaman.  Untuk siapa dan buat apa?” 
Usen Toman tidak menolak pendapat itu.  Tetapi ingin ditanya lagi pada penutur bersongkok tinggi di atas pentas itu, apakah dia mempunyai pilihan kalau tiada pilihan langsung dihidangkan di depan mata.
            “Kawan nasihatkan awak mengucap semula.  Balik pada Islam.  Awak ni dah jauh sesatnya,”  Usen Toman masih mengingati kata-kata itu.  Kata-kata Tok Empat Jalil yang pedas dalam lembut.
            Ketika itu, dia baru sahaja menghirup dalam-dalam, puas-puas, udara segar bumi kelahirannya.  Serong pandang saudara mara, biarpun mengguris hati, dihenyak ke tepi.  Kalau dia dikatakan penjunjung ideologi bawaan Marxist-Leninist, menyantuni atheis, berapa ramai pula yang berani mendekat untuk mengorek gejolak isi dadanya.  Tiada.  Melainkan tuduhan dan nista yang terus menjadi kudapan buatnya selagi bernyawa.
 Itulah kali pertama dan terakhir rumah buruk hampir robohnya itu dikunjungi orang.  Selepas itu, dia dibiarkan menelusuri makna renta rumah pusaka itu sama seperti dirinya juga.  Niatnya yang satu menjunjung kedaulatan agama dan bangsa tinggal niat yang tergantung layu di gapura hasrat.
            Tok Empat Jalil boleh mengatakan apa sahaja.  Sesat.  Barat.  Bukan dia yang berada di tempatnya ketika itu.  Usen Toman meludah ke tanah.  Sisa ludah yang tertinggal di pinggir bibirnya yang terkeleweh itu dikesatnya.  Jika dikirakan sakit hati, sakit lagi hatinya dituduh sesat daripada dipaksa menyanyi lagu Jepun  pada setiap pagi.  Jika dikira bengang, bengang lagi kepalanya sekarang daripada hentakan buntut senapang tentera gemuk pendek itu kerana tidak  tunduk hormat ketika melintasi mereka.


            Kalau diturutkan gilanya, mahu sahaja dia berlari di sepanjang Jalan Sultan Abu Bakar itu dan melepaskan das demi das pada penghirup merdeka yang tidak mengenang budi itu.   Begitupun, Usen Toman sudah terlalu rimpuh waima untuk meninggikan suara sekalipun.  Kenang-kenangan ketika mengeluarkan ucapan berapi membakar semangat anak muda sebayanya hanya layaran kaku di ruang mata. Kudratnya benar-benar telah disedut semangat hutan dan ditinggalkannya bersama remah-remah kisah yang dipanggilnya perjuangan itu.
Tanpa sedar, Usen Toman teresak-esak menangis saat rembang petang menjelang.  Sungai Pahang bergerak perlahan, seolah-olah ingin memujuk hati renta yang sudah terlalu jauh rajuknya itu.
            “Aki.”  
Seorang budak perempuan bermuka comot dengan baju kurung yang tergantung baju dan kainnya menegur. 
            “Kenapa tiap-tiap hari Aki menangis?  Aki ada banyak air mata.  Saya menangis kalau dipukul mak sahaja,”  jujur budak perempuan itu memberitahu perbezaan mereka berdua.  Usen Toman ketawa anak mendengar kata-kata budak perempuan bermuka comot itu.
            “Mana Ayu tahu Aki menangis tiap-tiap hari?” 
Usen Toman memandang budak perempuan bernama Ayu itu yang berdiri tegak menghadapnya.  Kalau dia tidak membodohkan diri berdiri di atas tiket perjuangan itu, pasti budak perempuan bermuka comot bernama Ayu itu adalah salah seorang cucu-cucunya.  Perjuangan bodohnya kini hanya membuahkan kesepian.  Perjuangan bodoh!  Usen Toman senyum sinis.  Katalah apapun.  Bukan kalian yang menyarungi jasadku ketika pilihan bukan soalan. 
            “Ayu pergilah balik.  Nanti mak Ayu risau,”  arah Usen Toman memandang ke arah salah satu rumah rakit yang berbaris di tepi tebing sungai Pahang itu. 
            “Aki tak mahu balik?  Dah nak Maghrib ni.  Mak kata, waktu Maghrib banyak syaitan berkeliaran.  Tak boleh duduk di luar rumah,” Ayu petah memberitahu.  Usen Toman berdiri.  Rambut keperangan bak bulu jagung tak terurus kepunyaan Ayu itu digosoknya. 

2012

            Papan tanda putih bertulis Temerloh berdiri megah di seberang tebing sana.  Jambatan gantung yang siap dibina setelah tertangguh beberapa kali sentiasa sibuk dengan pengunjung.  Ayu memerhati tebing sungai Pahang yang pernah menjadi lapik lantai rumahnya dahulu. 
            Laluan pekan sehari itu masih di situ.  Malahan semakin mengembang.  Wajah Pekan Sari Temerloh sudah jauh anggun berbanding dahulu.  Dibedaki dengan meriahnya kedai-kedai yang menghuni Lurah Semantan.  Perhentian bas untuk bas-bas sekitar Temerloh sudah lama berpindah.  Dari tapak kecil bersebelahan masjid ke kawasan rendah yang terpaksa menerima limpahan Sungai Pahang pada satu-satu ketika apabila sungai itu sudah tidak tertahankan diri.
Landskap pinggiran Sungai Pahang itu juga sudah hilang rupa asal. Dua pintu kedai Cina menjual pinggan mangkuk di atas bukit betul-betul menghadap ke arah sungai kini tinggal tapak sahaja.  Jeti perahu tambang telah dibina semula dengan binaan berasaskan batu.  Wakaf bertingkat menggantikan lokasi rumah rakit yang pernah melihat dia membesar, dibina untuk kemudahan pengunjung menikmati deru riak sungai Pahang yang masih belum berubah.
Ayu melepaskan keluhan.  Dia rindukan Sungai Pahang yang dulu.  Dia rindukan suara emaknya terjerit-jerit di dalam rumah yang terondak-ondak  di birai sungai yang baik hati menarik alir Semantan bersama-samanya menuju ke kuala.   Sayangnya rakaman Sungai Pahang paling utuh dan spontan hanya kelihatan di dalam filem Tunang Pak Dukun milik syarikat perfileman Cathay Keris.
            Olak kecil Sungai Pahang menyanyikan lagu-lagu sendu milik Usen Toman.  Bagai terngiang-ngiang di telinga Ayu, esakan lelaki tua itu setiap petang setiap kali melemparkan pandangannya ke dada sungai itu. 
            “Ayu jangan dekat dengan orang tua tu.  Orang gila.”  Pesanan yang mengandungi perkataan jangan itulah yang selalu diingkarinya.  ‘Jangan’  merupakan kata azimat bermaksud ada sesuatu yang perlu disebak.  Punca yang membawa kepada perkataan ‘jangan’ itu perlu diketahui.
            “Kenapa dia gila, mak?”  Ayu diterpa rasa ingin tahu.
            “Tak tahu.  Orang kata dia komunis. Sebab lama sangat duduk dalam hutan, dia jadi sasau,”  beritahu emaknya. 
”Komunis tu apa mak?”  Merasakan dirinya kelaparan maklumat, dia bertanya lagi.
”Orang jahat!  Dah, jangan tanya lagi!”
Penjelasan itu dikutipnya dari cerita mulut ke mulut yang bukan milik Usen Toman.  Sedangkan dia boleh bertanyakan cerita sebenarnya kerana orang itu berada di pinggir sungai Pahang setiap petang pada hari-hari terakhirnya.
            “Orang jahatpun boleh pergi masjid, ya mak?”  tanya Ayu lagi.  Bingung akal memisahkan makna baik dan jahat.  Emaknya tidak menjawab.  Cuma melengung dan merentap tangannya yang liat mandi itu.  Kebiasaannya Usen Toman akan mengheret basikalnya menuju ke masjid sebaik sahaja azan Maghrib dilagukan. 
            “Orang jahatpun boleh pergi masjidkah, emak?”  Ayu bertanya lagi.  Mata emaknya bulat besar merenungnya. 
Apabila tidak menerima jawapan yang diinginkan.  Ayu menyerahkan pandang pada Sungai Pahang yang masih jujur meneruskan alirannya.  Tidak pernah menyerah pada bulatnya takdir yang kadang-kadang memaksanya membiarkan beting pasir meninggi di tengahnya. Wajah Usen Toman yang keruh dan berkedut itu membayang di matanya.  Dia tidak percayakan kesasauan atau kejahatan Usen Toman itu.  Tetapi sehingga kini, dia tidak mendapat jawapannya. 

            Esak Usen Toman hilang sebagaimana hilangnya masa lalu dalam alir Sungai Pahang yang nampak tenang tetapi misteri itu.  Ayu terlalu butuhkan jawapan kenapa Usen Toman menjadi ’jahat’ seperti kata emaknya dulu.  
kedua-dua foto : carian google

Sunday, 19 January 2014

Ilham Bahagia - Nayla




Nayla mengibas-ngibaskan jarinya yang diketuk dengan pen. Hanisah ketawa tanpa kesal.

“Zalimnya kau ni.  Aku dah suka dan rela nak tolong, kau sakitkan aku pula.”

Digosok-gosoknya belakang jarinya. Hanisah melambakkan tawa lagi. Surana, yang berada di meja bersebelahan meja Nayla meletakkan jari ke bibirnya.

“Berdosa tipu mak tau,” sakat Hanisah lagi.

“Mana ada.  Aku cakap yang betullah.”

“Betullah sangat.”
“Okey puan, sekarang Comparison kau tak balance berapa dan EJ kau tak balance berapa? Nak aku tolong ke tak nak?”   Nayla membanting tubuh ke kerusi seraya berpeluk tubuh. Bicaranya beralih serius.

Hanisah mencantumkan kesemua tapak tangannya. Nayla kemudian berdiri bercekak pinggang dalam kebaya Kota Bharu yang menyerlahkan keanggunannya sebagai gadis graduan bertaraf eksekutif. Kulitnya putih kuning dengan hidung mancung diapit mata bulat besar yang dikawal kening tebal di atasnya. Waktu hampir menujah ke jam dua belas  Bermakna giliran mereka untuk keluar berehat sudah hampir.

‘Wei.. Ma ada call kau?’

Satu mesej pesanan ringkas terpapar daripada Eza sebaik sahaja dia mematikan nada dering telefonnya. Eza, sepupunya yang baru habis sekolah dan kawan baiknya dan juga kawan baik ibunya.

Ada.’

Dia membalas melalui SMS juga; berlalu ke mesin pengimbas untuk mengimbas service request yang akan dihantar ke Loan Center melalui emel. CCTV yang melata di mana-mana akan memperlihatkan kerja sebenarnya nanti kalau dia asyik melayan telefon bimbit.

‘Ma nampak kau ada like post Pak Tam, dia tengah naik hantu ni.’

‘Naik hantu ke naik syaitan ke, aku tak ada masa nak layan!’ Getus hati Nayla yang sudah mula mengkal. Dia duduk kembali di mejanya. Hanisah sudahpun mengemaskan meja. Membetulkan tudung dengan tuntutan janjinya agar Nayla menyelesaikan kes CDMnya. Nayla mencapai pengikat rambut dan mengemaskan mahkota kesayangannya separas bahu itu. Diikat tinggi seakan-akan sanggul.

“Macam dalam pantanglah pula.  Besar masalah ni.”

Dia berpusing ke arah kanannya. Surana tersenyum sambil menutup mulut.

“Aku nak fokus ni.  Hari ni nak balik cepat.” Nayla menetapkan matlamat yang belum pasti untuk hari itu.

“Cepatlah sangat.  Kalau mak tiri kau kata cek tak balance karang… kau ingat boleh balik ke?” sindir Surana, merujuk kepada teman sekerja yang berbadan dua dan berangin dua, Nalini. Kerana itu dia mendapat gelaran mak tiri. Angin kus-kus yang sukar dibaca walaupun pada hakikatnya hatinya memang baik.


Teman bekerja yang juga teman bertekak. Mengisi hari-hari bekerja dan membuatkan masa seakan tidak memberi izin untuk menarik nafas. Biarpun cabaran bekerja dalam organisasi pelbagai bangsa ini terasa semakin hari semakin mencabar.  Sebenarnya ia lebih memberikan dia ruang untuk menjauhi apa yang dirasakan lebih menyesakkan dada.

Saturday, 18 January 2014

Mimpi Bukhtanassar

SAAT terbuka pandangan menjelang pagi, segera dititahkan semua cerdik pandai istana untuk menceritakan kembali mimpinya.  Sekaligus menafsirkan mimpi itu.  Gempar seisi istana dengan kehendak raja.  Mencari mimpi dan menafsirkannya.  Tukang tilik dan nujum di raja bekerja keras membuka kitab dan lembar ilmu kuno mencari titik yang menggerakkan minda mereka mencari letaknya mimpi raja kesayangan mereka yang tiba-tiba kabur.  Tetapi tidak ditemukan.  Maka pecahlah khabar mengenai Nabi Daniel, tawanan Yahudi dari tanah Palestin yang alim.  Beralihlah mereka kepada waris jurai keturunan Yahuza atau Bunyamin atau Lawi iaitu anak kepada Nabi Yaakob itu.
Dalam mimpi itu, patung itu sangatlah agam.  Besar lagi gagah.  Tegak dan tinggi di hadapan bagai mencabar dirinya tapi kerana ia hanya patung, tiadalah bimbang akan ia. Jika patung itu bergerak menghunus pedang, maka tidaklah dia akan berdiam.  Dia adalah Bukthanasar anak kepada Nabopolassar.  Raja kerajaan besar Babylon.  Kerajaan yang diambil namanya daripada bahasa Akkadia, ‘Babilu’ yang membawa makna ‘pintu masuk dewa’. 
  Kepala patung itu bersinar kemilauan dengan logam paling berharga iaitu emas tua.  Emas, galian gilaan manusia menjadi penanda takah kebanggaan manusia.  Semakin banyak, semakin tebal, maka semakin tinggilah darjah keegoaan kecuali buat orang-orang yang meletakkan zuhud sebagai jalan hidup.
Dada dan lengannya daripada perak, logam berharga berada di tempat kedua selepas emas tetapi kilauannya tidak begitu memukau.  Bagaimanapun, nilai dan kecintaan terhadapnya tetap mampu mengalpakan manusia yang meletakkan dunia di atas junjungan kepalanya. 
Perut dan pinggangnya diperbuat daripada tembaga atau gangsa dan semakin menurun, semakin kurang berharga buatannya.  Pahanya daripada besi dengan kakinya separuh besi dan separuh tanah liat.  Sedang asyik baginda melihat patung itu, sebongkah batu yang entah dari mana tiba-tiba jatuh menghempap kaki patung itu dan menghancurkannya sekaligus.  Menjadi debu-debu lantas menghilang pergi ketika ditiup angin.
Bukthanasar atau Nebukadnezar itu tidak berkata apa-apa lagi.  Perkataan Nabi Daniel itu bagai memantak masuk ke dalam cepu kepalanya satu persatu.
“Begitulah mimpi tuanku,”
“Terangkanlah kepada beta, takwilkanlah seandainya kamu memang benar utusan llahi,”  kata bijak pandai kerajaan beta, hanya kamulah yang mampu mentakwil mimpi pelik itu,” titah Raja Bukthanasar kepada Nabi Daniel.
Selepas Nabi Daniel menceritakan perihal mimpinya yang kabur sebaik mata terbuka tadi.  Nabi kaum Yahudi yang kini menjadi tawanan Babylon selepas pengepungan Jerusalem.   Jerusalem dibersihkan buat kali keduanya oleh angkatan Raja Bukthasar dan sekutunya bangsa Barbar Scythia Gog.  Sisa-sisa penduduknya dipunggah dalam keadaan hina ke Babylon dan menjadi tawanan.  Begitu juga dengan alatan kuil, perkakasan emas dan perak turut sama diangkut ke Babylon. 
Raja Bukhtasar memerintahkan Raja Israel, Zedekiah dibunuh sementara Nabi Jeremiah diberi jaminan hidup olehnya.  Bangsa degil itu akhirnya tumbang selepas engkar dengan ingatan Nabi Jeremiah seperti yang termaktub di dalam Surah Al-Israk 17:4 bermaksud ‘dan Kami tetapkan terhadap Bani Israel dalam kitab itu.  Sesungguhnya kamu akan membuat kerosakan di muka bumi ini dua kali dan pasti kamu akan menyobongkan diri dengan kesombongan yang besar’.
 Taman tergantung buah tangan untuk Permaisuri Amuhia kelihatan gagah dan indah dari pandangan matanya.  Terletak  berhampiran Sungai Euphrates diharapkan meleraikan rindu Amuhia kepada Medes.  Memandangkan Mesopotamia ini hanyalah lembah tandus dan batuan buram yang tidak menarik di pandangan mata wanita itu.  Didirikan di pinggir bukit dan dinaikkan tanaman hijau dan sumber air pada teres-teres yang lebih berupa anjung yang bertaman.
“ Wahai tuanku pemerintah Babylon.  Kerajaan besar dan agung dan muluk tiada seumpamanya.  Diberikan kesempatan oleh Allah untuk merasai sedikit daripada nikmat kekuasaanNya.  Adapun patung itu adalah perlambangan kerajaan-kerajaan pagan dunia yang akan musnah satu persatu.  Dimusnahkan oleh seketul batu tanpa campur tangan manusia yang menghancurkan kakinya yang diperbuat daripada besi dan tanah, sekaligus memadamkan terus api kebanggaan yang menjadi tonggak kehidupan manusia,” ujar Nabi Daniel, teratur.
Ingatan Allah adalah bahawa,  kesemuanya itu adalah milik Allah.  Kalian boleh mendapatkannya kerana dijadikan segala isi bumi untuk kemudahan manusia.  Tetapi, Allah juga berhak mengambilnya bila-bila masa kerana segala makhluk termasuk seorang raja besar seperti Bukthanasar sekalipun adalah milik Allah.
“Bahagian pertama yang akan musnah adalah bahagian kepala yang dipadukan daripada emas tua.  Emas tua adalah melambangkan kehebatan kerajaan Babylon ketika ini.  Ketika tuanku berada di atas takhta dan memerintah sebahagian besar dunia ini.  Kerajaan paling sistematik semenjak diasaskan oleh Hamurrabi ini akan berkubur selepas tuanku.  Seperti mana Allah menguburkan kaum-kaum yang engkar di muka bumi ini.  Kaum nabi-nabi sebelum ini yang angkuh menongkat langit, membelakangi pencipta.  Padahal, langit yang ditongkatpun hanya pinjam-pinjaman. 
Patung emas tulen yang menjadi sembahan rakyat Babylon turun-temurun itu juga akan turut serta hancur bersama-sama bangsa itu sendiri.  Seluruh empayar Babylon dari Mesir hingga Assyria.  Begitulah takwil hamba.”
Raja Bukthanasar tersenyum di dalam gundah.  Raja yang menyatukan Babylon dengan memasukkan Assyria dan Madia di dalam peta kerajaannya.  Juga menakluki Judah dan memperhambakan seluruh umat Yahudi dan dikurung di Babylon.  Setidak-tidaknya semuanya berlaku selepas ketiadaan dirinya.  Biarpun berbangga kerana kerajaan Babylon itu tinggi darjatnya.  Di kepala letaknya dan daripada emas pula, hatinya diusik curiga.  Mati itu tetap menakutkan!
“Lalu, dada dan tangan perak itu bagaimana?”  Tanya baginda lagi. Mahkota kebesaran bersalut emas bergemerlapan di atas kepalanya.  Para menteri yang turut berada di dalam balai penghadapan itu turut khusyuk mendengar kata-kata Nabi Daniel.
Maka berkatalah Nabi Daniel, tawanan dari tanah letaknya tempat sembahyang yang tidak habis dibina Nabi Sulaiman A.S. itu.
 “Adapun dada dan tangan perak itu adalah perlambangan kerajaan Parsi yang tidak sehebat Babylon.  Kerana itu ia dilambangkan dengan perak.  Masih berharga tetapi nilainya kurang sedikit daripada emas. Dengan izin Allah, hamba berkata bahawa Raja Kurush, raja terhebat empayar Parsi akan menghabiskan kerajaan Babylon dengan tangannya sendiri.  Baginda akan menaiki takhta setelah menembusi Medes, Lydian dan Babylon.   Babylon akan menyerah kepadanya begitu sahaja berikutan kehebatan Raja Kurush menggunakan licik akalnya.”
Raja Kurush akan mengembalikan kegemilangan Yahudi dan menyerahkan tanah Palestin kepada mereka.   Meluaskan jajahan kerajaan Parsi sehingga ke pinggir laut Mediterranean, Laut Caspian dan Lautan Hindi.  Sebahagian negeri-negeri di perbatasan Laut Hitam, Laut Merah dan Teluk Parsi. Raja Kurush akan memecahkan tembok kuarantin bangsa Yahudi yang akan bertemu dengan Nabi Uzair yang telah ditidurkan selama seratus tahun.  Nabi Uzair yang akan menulis kembali Taurah hanya melalui  ingatan.   Nabi Daniel tersenyum.
“Apakah selamanya dada tangan perak itu akan berkuasa?  Bukankah mereka juga akan hancur?”  Raja Bukthanasar bertanya lagi dengan dada yang sebak.  Tangan kanannya yang bersalut gelang emas umpama sarung tangan itu mengurut-ngurut janggutnya.  Wajah permaisuri tercinta yang berada di beranda bertentangan dengan singgahsananya menjengah pandangan. 
“Tidak dan benar,  yang mulia Tuanku,”  jawab Nabi Daniel.  Dua jawapan yang mengelirukan pada satu masa.
“Tidak, sebagaimana janji Allah, bahawa tiada yang kekal abadi melainkan Dia. Benar, kerana selepas 200 tahun, Alexander Yang Agung,  penakluk dari Macedonia Yunani pula yang akan mempamerkan kuasanya,”
  Kononnya dia adalah anak kepada  raja Parsi Darayee Darab dengan anak gadis Raja Philip, pemerintah Rom.  Tetapi Raja Philip menyembunyikan kesahihan itu dan mengatakan Alexander adalah anaknya sendiri.  Menguasai empayar Parsi sepenuhnya dan diperluaskan sehingga ke Anatolia dan ke benua India.
“Dialah yang tuanku lihat sebagai perut dan paha gangsa.  Baginda akan menakluki dunia sehingga ke tanah India.  Dan, sekiranya kematian tidak menghalang baginda, mungkin dunia berada di dalam genggamannya.   Tetapi,  hamba masih ingin menegaskan bahawa, ketaatan haruslah telus kepada Allah yang satu.  Bukannya pada hebatnya kerajaan.  Bukannya kerana indahnya istana, kerana semuanya itu akan terhapus.  Jika dikatakanlah Allah hancur, maka leburlah ia sekelip mata,”  mata  Raja Bukthanasar terkebil-kebil mendengar penjelasan Nabi Daniel itu.  Masih jauh dari hatinya.
“Maka selepas itu, muncullah pula kerajaan Rom sebagaimana dilambangkan di dalam mimpi tuanku.  Jari jemari patung yang separuh tanah liat dan separuh lagi diadun daripada besi itu menggambarkan empayar Rom itu sendiri yang terbahagi-bahagi.   Nampaknya begitu keras tetapi tidak sehebat emas, perak dan tembaga,”
  Empayar Rom sendiri didirikan dalam resapan mereka ke dalam golongan Hellenistik Yunani.  Berakar umbi di tanah jajahan Yunani sebelum membahagi diri kepada Bizantine dan Rom Barat.  Lebih menjalar ke sebelah utara sehingga ia bagaikan menguasai Laut Mediterranean itu sendiri.
“Ternyata, campuran besi dan tanah liat itu tidak akan melekat sehingga bila-bila.  Ia akan menjadi separuh ampuh separuh rapuh.  Mereka bersatu dengan ikatan batiniah tetapi bukan kerana Allah.  Maka, kerana itu mereka tidak akan bercampur sehinggalah empayar itu berakhir.  Empayar Rom tidak dipatahkan kekuasaannya oleh satu empayar baru tetapi akan terus rapuh kerana kegagalan kerajaannya bersatu sebagaimana kedudukan jari-jari kaki yang terpisah,”
Suka atau tidak, mimpi berkenaan patung itu adalah ilham Allah buat seorang raja yang dipilihNya.  Bukhtanasar hanyalah sarana untuk menyampaikan peringatan keras Allah terhadap bangsa Israel yang terlalu keras kepala.  Amaran demi amaran baik keras mahupun lembut telahpun dipertontonkan oleh Penguasa kerajaan langit dan bumi tetapi hati mereka umpama batuan hitam pekat likat yang keras. 
Patung emas, perak, tembaga, besi dan tanah liat itu akhirnya dihancurkan dengan seketul batu.  Memberi makna bahawa perhiasan, bagaimana bernilai tetap akan menemui kehancuran.  Malahan kehancurannya datang dalam keadaan tidak disangka dan dihancurkan oleh sesuatu yang dipandang rendah oleh mereka.
Akan datang seorang utusan Allah yang menyatukan umat manusia tanpa meletakkan keghairahan meluaskan tanah jajahan sebagai penunjuk kuasa.  Dia datang sebagai penutup kepada para nabi dengan kelembutannya menangani cabaran dengan izin Allah.  Ketegasannya menentang kemungkaran terhadap pencipta yang akhirnya mengubah wajah dunia.  Dialah Muhammad.

Mereka sudah mengetahuinya.  Lama sebelum kelahiran baginda lagi.  Malahan kaum Yahudi menantinya dan mengenali susuk pembawa rahmat sekian alam itu lebih daripada mengenali anak mereka sendiri.  Malangnya, sebagaimana yang dilakukan terhadap nabi-nabi terdahulu mereka menghijabnya dengan pelbagai alasan berbaur keangkuhan.  Begitu juga dengan kaum Nasrani yang tidak mahu menerima kenabian Rasul yang dicop mohor di belakang badannya dengan mohor ‘Nabi Penutup’.  Maka, adalah malang buat mereka yang bersusah-payah membutakan mata sendiri semata-mata untuk mencelikkan nafsu yang sebenarnya menyesatkan mereka.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget