..yang bernama sahabat

Wednesday 26 February 2014

Bab 16 : Nadra



“HA?” Nek Ton  yang sudah memutih uban di kepalanya bertanya lagi.
Nadra menutup mulut menahan tawa. Puan Rohana dan Encik Hashim pun tergelak kecil. Damia sudah awal-awal lagi menghidupkan enjin sebaik sahaja barang-barang dari dalam bonet dipindah masuk ke dalam rumah Nenek.
 “Nadra… anak angkat mak!” Danish meninggikan suara. Walaupun mulutnya diletakkan di pinggir telinga Nek Ton. 
Nek Ton yang duduk berehat di muka pintu itu mengangguk-angguk sebelum meludahkan cairan merah ke hujung kakinya. Bersempelat sisa sirih pinang  itu di merata-mara tempat di halaman. Biarpun dia mempunyai satu tin susu khas untuk menabung sisa yang bercampur air liurnya itu.
Nek Ton pun ketawa. Meski pendek, bagai meraikan kepulangan mereka. Encik Hashim satu-satunya anak lelaki Nek Ton. Lima yang lain, semuanya perempuan. Cuma apabila cuti sekolah ataupun musim perayaan, rumah tua itu bertambah seri. Anak cucu bergilir ganti datang dan pergi.
“Ayah tak ada, nenek. Mak aja yang tinggal…”  Nadra menjawab jujur apabila ditanya Nek Ton tentang dirinya. 
Tetapi tidak jujur mengenai ibunya. Kerana dia sendiri tidak tahu siapa dan di mana ibunya. Dari mulut mak cu, perempuan yang mengaku ibu saudara tetapi tidak melaksanakan pengakuan itu sewajarnya, ibunya bukan perempuan baik. Setiap kata-kata yang keluar dari mulut mak cu mengenai ibunya semuanya buruk-buruk belaka. Semuanya kasar, penuh maki dan benci. Kerana itu juga, Nadra cepat memberontak walaupun luaran kelihatannya dia disadurkan dengan kelembutan. Cepat merajuk dan segala sifat negatif menggayut dirinya, tidak mahu lepas.   

Tuesday 25 February 2014

Bab 15 : Danish




“DANISH,”  suara Encik Hashim memalingkan wajah Danish yang baru menukar seluar pendek separas keting. Dia mendatangi ruang tamu itu sambil terus duduk di antara kedua-dua orang tuanya itu.
            “Kamu nak buat apa sementara tunggu keputusan ni?” Tanya Encik Hashim menepuk-nepuk peha pejal anak bujangnya itu.
            “Danish nak kerja kot. Tak tahulah lagi…kenapa abah?” Kedua-dua tangan Danish berada di bahu Encik Hashim dan Puan Rohana.
            “Kawan Danish tu?”
“Nadra lah, bang,”  Puan Rohana membetulkan. 
“Ha, Nadra tupun sama?”
“Iyalah. Tak tahulah kalau mak nak buka kelas memasak untuk dia pula. Senang bila dah kahwin esok.” Danish senyum meleret. Satu cubitan lembut singgah di pipi hitam manis Danish.
“Mak tak suka dengar Danish cakap macam tu lah! Ingat sikit,” Puan Rohana memberi amaran.
Gementar hatinya dengan gurauan Danish itu. Doanya, pertalian di antara Danish dengan Nadra hanyalah sebagai kawan biasa. Jika lebih daripada itu, dibimbanginya sesuatu yang tidak pernah melintas di kepalanya, terjadi pula. Puan Rohana memejamkan mata. Pantas mengusir ingatan-ingatan buruk sebegitu. Mohon diperkuatkan iman anak-anak itu. Biarpun tadi, dengan ekor mata dia melihat gurauan mesra pada tahap yang luar biasa di antara kedua-duanya.
“Danish tak nak balik kampung jenguk nenek?” Encik Hashim memberi cadangan.
Mereka sekeluarga juga sudah lama tidak pulang ke kampung menjenguk ibu Encik Hashim itu. Dia sahajalah tunggak keluarga yang masih bernafas. Masih sihat biarpun tinggal sendiri.

Monday 24 February 2014

Bab 14 : Nadra dan Danish




SEWAKTU dia melihat Nadra berjalan beriringan dengan Azhar, dia ingin memanggil Nadra tetapi Damia juga sedang sibuk berleter. Mengingatkan tentang barang-barangnya yang belum habis diangkut. Dia membiarkan sahaja. 
Tetapi hati diasak curiga, bimbangkan Nadra menyertai Azhar. Dia menyedari rajuk Nadra yang tidak berkesudahan. Semuanya gara-gara tumpuan yang tidak dapat dicabangkan di antara pelajaran dan Nadra sendiri. Ketika hangatnya demam peperiksaan, Danish tidak dapat meredakannya untuk Nadra. Dia sendiri perlu bertungkus-lumus untuk memastikan rekod kecemerlangannya berterusan. Dia juga perlu berhempas-pulas menunaikan janjinya kepada pengetua.
Dia mengetahui arah tujuan Azhar dan sangat takut kalau Nadra menurutnya. Tambahan pula, gadis lurus bendul itu mudah percaya dengan cakap kawan-kawannya tanpa diselidiki dahulu.
            “Kau ni macam kucing nak beranak aje, kenapa?” Soal Damia apabila melihat Danish wara-wiri di depannya. Sekejap sekejap memandang ke arah jalan besar. Sekejap-sekejap merenung ke arah asrama puteri. Bagaikan blok bangunan lima tingkat itu hidangan yang menyelerakan. Sekejap lagi berlegar di lobi asrama putera turun naik, turun naik tangga sisi, tanpa tujuan.
            “Danish pergi jumpa kawan sekejap, kak.” putus Danish sebelum kata setuju terjulur keluar dari mulut kakaknya itu. Tak sempat Damia hendak bertanya lanjut, Danish telahpun membuka langkah seribu.  Menuju ke pintu gerbang sekolah yang tidak jauh dari dewan besar.

Saturday 22 February 2014

Bab 13 : Nadra dan Danish


“AWAK nak ke mana?” 
Bas yang muatannya seperti sardin itu bergerak perlahan-lahan meninggalkan perhentian bas itu. Danish melihat kilasan kecewa di mata Azhar yang berdiri di mata tangga akhir bas uzur itu.
Danish bertanya dengan suara yang sedikit tinggi kerana tahu Nadra tidak berhaluan ketika ini. Diheretnya gadis berkurung batik itu berlindung daripada terik matahari yang membahang. Danish bercekak pinggang. 
Sambil nafas turun naik menanggung lelah mengejar Nadra tadi. Dia masih segak memakai t-shirt berbelang dengan kolar yang dinaikkan. Rambutnya dibiarkan sedikit kusut tetapi masih segak tegak mencacak dibantu gel ala KwangMin. Beg pakaian berwarna hitam milik Nadra itu diletakkan di atas bangku perhentian bas itu.
“Nak baliklah.”  Wajah Nadra mencuka.
 Bergerak-gerak bibirnya menahan sebak. Kecewa dengan Danish yang tiba-tiba menyepi pada hari-hari akhir persekolahan mereka.  Padahal, apa yang tidak diketahui, Danish hampir dibuang sekolah kerananya. Hampir menitis air mata Danish di depan pengetua meraih simpati dan pengertiannya.
“Baik, saya maafkan awak. Tapi awak mesti berjanji sesuatu dengan saya.”  Tegas suara tuan pengetua meminta ikrar Danish tanpa ampun. Tanpa lengah, angguk bertali arus sambil disaksikan oleh Cikgu Anita. Rengusan Nadra, mengejutkannya.
“Awak nak balik ke mana?” tanya Danish. 

Danish mengingat-ingat alamat terakhir Nadra di dalam fail peribadi yang ‘dipinjamnya’ daripada Cikgu Anita dahulu. Fail peribadi yang nyaris memadamkan namanya daripada senarai pelajar sekolah tersebut. Nadra penghuni sebuah rumah anak yatim. Gadis bongsu daripada dua beradik itu kematian bapa dan kehilangan ibu yang tidak dapat dikesan jejaknya.  

Friday 21 February 2014

bab 12 - Nadra dan Danish


“Apa ni?” Tanya Nadra. Teragak-agak. Danish hanya tersenyum.

Nadra, saya tak pandai bergurindam seloka.  Bersajak bermadah juga bukan minat saya.  Tapi, untuk awak, saya usahakan juga.
Kilas mata menerbitkan sinar
Saat itu aku tak mampu untuk berpaling
Mata pejam tidak mampu memadamkan sinar
Mata jaga tidak terdaya menentangnya
Tumpas aku dalam kepasrahan
Berlari dalam selut kepayahan
Kerana tidak dapat melupakan sinar mata itu…
Danish Akhmal – Nur Nadra
p.s.  kawan-kawan saya kata sajak ni poyo. Tapi mereka suka.

Nadra menggeleng-geleng. Dilipatnya baik-baik dan dimasukkan ke dalam saku seluar treknya. Tidak seperti yang dilakukan di depan perpustakaan sebelum ini. Danish menarik nafas lega tetapi tersekat apabila tanpa terima kasih, Nadra berpaling dan melangkah meninggalkannya.
            “Nadra!” panggil Danish dan terus mendapatkan Nadra yang sudah menghentikan langkah. Berpaling semula memandang hairan terhadap pelajar berkulit kuning langsat itu. “Saya ada hal nak beritahu awak ni,” beritahu Danish tanpa diaju tanya.
            “Cakaplah.”
            “Fasal Azhar.” Danish memuktamadkan kata sambil memandang wajah Nadra. Reaksi selamba dipertontonkan oleh Nadra.

            “Cakaplah.”
            
Gambar : Carian Google

Thursday 20 February 2014

Bab 11 - Nadra

Carian Google
USAI mempengerusikan mesyuarat bulanan badan bimbingan dan kaunseling sekolah, Danish terus meminta diri.  Fail yang mengisi salinan yang dikehendakinya terkepit erat di celah ketiak.  Angin pun tak dibenar mengintai.  Dia terus ke perpustakaan sekolah. 
Kali ini, dia harus bertindak segera. Kelengahan hanya akan merugikan. Bertangguh-tangguh hanya akan nantinya menghasilkan kekesalan yang bukan kepalang. Nadra kerap menyingkir ataupun menukar haluan setiap kali mereka terserempak. ‘Menyampah benarkah dia padaku?’ Pesanan yang dibawa Azizan itu tinggal pesanan. Nadra tak muncul.
Paling menyakitkan hati, semalam dia melihat Nadra berbual-bual dengan Azhar. Perbualan disaksikan dengan sepasang matanya dan berpasang-pasang mata termasuk Azizan dan Jumadi. Boleh pula tergelak-gelak dan Azhar ketawa besar. Sangat besar sehingga dirasakan frekuensi penghinaan itu menangkap sehingga ke saraf tunjang. Meski perbualan itu disertai Faizah, gadis kecil teman rapat Nadra itu hilang dalam picingan pandangannya. Sakit hatinya telah memadamkan terus kelibat gadis itu.

Perpustakaan sekolah dibuka sehingga pukul 5 petang. Untuk memudahkan pelajar-pelajar asrama membuat rujukan. Waktu persekolahan sangat menyantak. Mana mungkin menelaah atau menekuni bahan bacaan dengan tenang dalam masa sepuluh minit.

Wednesday 19 February 2014

Bab 10

            “KAU nak kawan dengan dia tak?”  soal Faizah semula. 
Soalan itu tergantung apabila Puan Asmah muncul menjepit buku panduan mengajar dan mengatur langkah terus ke mejanya. Seisi kelas akur dengan arahan ketuanya mengumandangkan kesejahteraan. Ungkapan yang tidak akan terdengar lagi selepas kawasan sekolah ditinggalkan. 
Hanya di dalam siri kartun Upin dan Ipin dengan lenggok tersendiri bikinan Ehsan. Danish meninggalkan jelingan lantas berlari kecil menuju ke kelasnya. Sebaik sahaja kelibat Puan Asmah dilihatnya ketika dia berada di bahagian belakang kelas 5 UPM tadi. Nadra cepat-cepat membetulkan duduknya.  
“Kau rasa macam mana?” tiba-tiba Nadra mendekatkan tubuhnya kepada Faizah. Faizah yang buat-buat khusyuk mendengar penerangan Cikgu Asmah itu terperanjat. Terlepas pensil dalam jepitan jarinya.
“Ish! Kau ni. Macam mana apa?” Tanya Faizah sambil mengutip pensil yang jatuh ke lantai. Terlupa langsung pada soalan yang ditanyanya tadi. Nadra tidak menjawab apabila tenungan Cikgu Asmah terdorong tepat kepadanya. Apabila Cikgu Asmah berpaling dan menulis semula di papan hitam, barulah dia kembali menyengetkan tubuhnya.
“Pasal Danish tu.”
“Dah terpikatlah tu…” usik Faizah. Nadra tersenyum. Aaron Aziz? Jauh panggang daripada api. Namun mukanya manis dan ada naifnya. Perawakannya juga menarik, sesuai
carian Google

Saturday 15 February 2014

bab 9



BAB 9

Beberapa bulan sebelum Damia meroyan!

DANISH AKMAL

Hai,
Saya selalu tengok awak semenjak awak masuk ke sekolah ini.  Saya tahu, awak budak baru, tak ramai kawan.  Boleh tak saya jadi kawan awak?
Danish.
            Danish melipat kertas bertulis tangan itu, sekemas-kemasnya. Kemudian diselitkan di dalam buku rujukan Sains. Buku itu sebentar tadi ditarik dari rak-rak buku rujukan di perpustakaan sekolah. Dia mengambil sudut yang sedikit tersorok.  Menyiapkan nota ringkas itu sebelum melintas di depan sebuah meja. Dia bersiul-siul perlahan, cukup untuk didengar telinga sendiri, buat penguat semangat. 
Seorang pelajar perempuan sedang menekuni sebuah novel sementara menunggu loceng rehat berbunyi. Danish meletakkan buku itu perlahan-lahan seraya menolaknya sehingga bucu buku itu menyentuh bucu novel yang ternganga. Novel itu teralih dan pelajar perempuan itu mengangkat muka. Tajam anak matanya mencengkam pandangan Danish. Wajahnya serius, menggambarkan rasa kurang senang diganggu secara biadap begitu.
            “Ada surat.” Danish bersuara sambil tersenyum cemas lantas meninggalkan meja itu. Berpeluh tapak tangannya saat menjadi posmen tak bermotosikal kepada diri sendiri.
Di luar perpustakaan, Hazif, Azizan dan Jumadi bersorak, memerhati dari celahan tingkap. Lima tapak tangan bersatu, bertukar-tukar tampar. Danish menunjukkan isyarat lega apabila langkah terakhirnya menjejak koridor perpustakaan. Tegak ibu jarinya menuding langit.
            “Kalau dia beritahu cikgu macam mana?” Si pembawa kontra, Jumadi mula mengasak persoalan. Bunyi vokal ‘a’ panjang berserakan dari mulut rakan-rakan yang lain.  Hazif mencekak leher Jumadi dan dibawa ke celah ketiaknya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...