..yang bernama sahabat

Monday 12 January 2015

Hidup Bersama Bahagian Akhir

“Kan saya kata. Bini dia tu lain fahamannya.” Su Melah seperti melepaskan geram.
“Bukankah isteri tu tugasnya menyenangkan hati suami? Masa suami susah ni, bantulah. Reda. Memanglah ganjarannya tak nampak sekarang. Tapi, Tuhan balas dalam bentuk lain. Kalau tak nak susah, cari suami kaya,” bebel Long Jali.
“Kalau bini dia tu, anak saya, senang saya cakapkan.”
“Huh! Nak anak  beli beras pun awak tak berani, lagi awak nak cakap pasal tanggungjawab? Pasal hak? Lupakanlah Cik Melah oii..” Long  Jali menempelak lagi.
Jeritan di luar bilik mengalih perhatian mereka. Su Melah gesit bangun menjenguk. Si adik sedang mengangakan mulut seluas-luasnya dengan tangan menutup mata. Si abang pelat bersuara membela diri.
Su Melah bercekak pinggang. Telunjuknya mengarah kepada dua buah buaian yang meregang, berat mengandung isi. Dua jasad di dalamnya menggeliang-geliut. Si adik, dalam ngongoi menuduh abangnya. Su Melah mendekati kedua-dua buai dan dienjutnya perlahan-lahan. Su Melah menggeleng-geleng apabila dilihatnya Long Jali sudah pun membuka pintu, meninggalkan dia seorang diri, tunggang terbalik meladeni cucu.

*****
“Aku ni dah macam Quran buruk. Anak-anak semua jauh. Balik jarang-jarang sekali,” adu Kak Limah, jiran setaman yang suka bertandang pada waktu petang. Pantang kalau didengarnya suara budak-budak di depan rumah teres setingkat itu, akan muncullah dia menatang buah tangan. Kalau kuih, kuihlah. Kalau buah, buahlah dibawanya. Tak pernah bertangan kosong.
“Sama aje kita, kak.” Su Melah melunjurkan kaki. Kak Limah bersandar di tiang wakaf bersebelahan dengan Su Melah. Su Melah mengosok-gosok kepala lututnya yang sengal.
 “Anak-anak kau baik, Melah. Ajak kau duduk sekali. Aku ni kalau ikut hati, diam-diam aku nak lari pergi memondok.” Kak Limah melampiaskan perasaannya. Mungkin dia sunyi amat di rumah besar peninggalan suaminya itu, fikir Su Melah.
“Kenapa sampai begitu sekali, kak. Kesian pada anak-anak.”
“Kita kesian pada mereka. Mereka ada kesian pada kita? Ada tak mereka telefon tanya khabar kita? Zaman sekarang, anak ramai ke, anak sikit ke, tak menjamin apa-apa.” Kak Limah meluah kesal, kelihatannya tegas, tetapi sepasang matanya digenangi manik-manik jernih.
“Kenapa kau tak nak ikut duduk dengan mereka Limah? Kan senang,” sela Long Jali yang sekadar menjadi pendengar semenjak tadi. Dia menolak sedikit hujung kaki Su Melah dan bertinggir di situ. Sebelah kaki dilipat dan sebelah lagi terjulur menyentuh lantai simen. Sesekali kaki berselipar coklat yang terayun itu menggeser simen.
“Tak kuasa aku. Kalau setakat nak jadikan aku orang gaji, nak basuh kencing berak cuc-cucu, tak payah. Tajuknya konon nak menolong anak, kesian kat anak. Takut terbeban nak bayar taska lah, takut kena dera dengan pengasuhlah. Akhirnya aku nanti yang kena dera.” Kak Limah spontan melepaskan perkataan tanpa berlapik. Su Melah dan Long Jali berpandangan. Seakan memukul kedua-dua belah pipi mereka. Kiri dan kanan, berulang-ulang kali.

*****
“Maknya. Kalau saya tak ada, awak nak pergi memondok ke?” soalan Long Jali yang tiba-tiba saat mata Su Melah tidak dapat ditongkat lagi itu mengundang tawa hambar daripada bibir tuanya.
“Kenapa?”

“Kalau awak teringin, pergilah. Saya izinkan,” kata Long Jali perlahan. Kemudian menelentang, menghela segerombolan nafas. Long Jali mengqiamkan tangannya dan terus diam. Su Melah turut melebarkan layarnya ke alam mimpi. Mimpi merdeka seorang ibu tua.  

Cerpen tersiar di dalam akhbar BH edisi 9/11/2014. Terima kasih editor Sanggar Kreatif.

Sunday 11 January 2015

Hidup Bersama Bahagian 4

Cerpen tersiar di akhbar BH pada 9/11/2014

Kalau selepas dia mati, Su Melah dengan rela diri menjadi penghuni rumah orang tua-tua pun, Long Jali tidak ralat. Biarlah. Kalau itu yang Su Melah rasakan boleh menjamin anak-anak merasa mereka berdua tidak berat sebelah. Di sana tidak, di sini pun bukan. Biar masing-masing meneruskan hidup sendiri tanpa campur tangan mereka, orang tua.
*****
“Anak awak ada jumpa awak, abahnya?” suara Su Melah kedengarannya mengah. Long Jali yang sedang membaca akhbar menoleh. Su Melah baru sahaja menanggalkan tudungnya menyambung, “dia telefon nak jumpa awak. Nak pinjam duit lagi lah tu agaknya,” teka Su Melah.
Long Jali mendengus. Wajah anak keduanya yang seiras Su Melah itu terang di depan mata. Kelihatannya terlalu lembut. Suami tempatnya tertinggi dalam hierarki rumah tangga. Tegas menyatakan pendirian, lembut melahirkan perasaan.
“Duit gaji dia, laki bini, tiga empat kali ganda daripada duit pencen saya. Duit pencen saya juga yang dikejarnya,” rungut Long Jali. Gesit bangun mencapai seluar panjangnya di balik pintu. Banyak yang tidak difahami dalam pentadbiran kira-kira gaji anak-anaknya. Kereta besar dan  rumah besar bukan ukuran akan menyenangkan mata orang tua. Bukan token penghargaan yang boleh dijulang-julang di depan rakan taulan di kampung. Silap haribulan, beginilah jadinya.
“Duit gaji dia. Bini dia tak masuk campur. Sebab dia tak benarkan suaminya tu masuk campur hal ehwal gaji dia. Duit gaji dia, duit dia. Nanti, kalau dia tolong nalar, jadilah anak kita tu suami tak bertanggungjawab. Lepas tangan,” ujar Su Melah, mengingatkan konsep perkongsian hidup yang dipegang oleh menantunya yang seorang itu.
“Huh!” Long Jali meluah rasa. “Dia nak buat apa duit tu?” tanyanya lagi sambil mencapai pula kemeja lengan pendek. Jarum jam di dinding sudah merangkak ke pukul sepuluh. Waktu biasa untuk Long Jali keluar mengambil angin. Duduk di rumah hanya mengusutkan otaknya dengan bunyi teriak tangis dan pekik lolong cucu-cucu.
“Bayar duit rumah. Dah nak kena lelong.”

“Ai…bini dia kan bergaji besar?” Long Jali menoleh sebaik mengetatkan tali pinggang yang hampir sebaya dengan umurnya itu.

Saturday 10 January 2015

Hidup Bersama Bahagian 3

“Orang lain, dah tua-tua boleh duduk-duduk di  kampung. Bersenang-senang. Bertenang-tenang. Menumpukan amal ibadat. Awak masih main kejar-kejar dengan cucu.” Suara Long Jali memecah sunyi lagi.
Su Melah senyum tawar. Betul kata Long Jali. Tapi, bukan cucu sahaja yang dikejarnya. Sarapan, makan tengah hari, makan petang, makan malam, semuanya perlu dikejar sama. Padahal, kalau diikutkan, ibu kepada cucu-cucunya boleh mengambilalih kerja-kerja itu sebaik pulang bekerja. Itu belum termasuk berbakul-bakul baju kotor cucunya. Juga baju-baju anak menantu, laki bini. Baju-baju kerja anak perempuan yang turut meninggalkan anaknya di situ. Belum termasuk kain baju mereka berdua.
            “Dunia dah nak kiamat. Nabi sendiri cakap. Kita beranakkan tuan. Nak balik kampung,  kena minta kebenaran. Kena minta kelulusan. Padahal kita ni, mak bapak mereka.” Long Jali terus melahirkan rasa tidak puas hati. Su Melah diam. Long Jali cuma sakit di hati melihatnya. Su Melah yang merasa sakit badan sekali, keletihan sekali, lebih siksa menanggungnya.
            “Sudahlah. Tak payah awak membebel-bebel. Anak-anak tak suka dengar,” pujuk Su Melah. Dibandingkan dengan dia, Long Jali lebih kuat menceceh. Membebelkan anak-anak tetapi anak-anak tidak mahu mendengar kata-katanya. Apabila lelaki tua pesara Telekom itu bermukadimah, maka masing-masing mulalah angkat punggung.
            “Ikutkan sangat anak-anak macam awaklah kita jadi begini,” marah Long Jali.
            “Saya tak suruh awak ikut saya kan.”
            “Habis? Awak nak suruh saya mati kering seorang kat kampung. Tempat isteri di sisi suami Cik Melah. Kalau awak belum tahu, ni saya nak beritahu. Saya suami awak, hidup lagi. Kebajikan saya sepatutnya awak utamakan. Bukan anak-anak, bukan cucu,” bebel Long Jali. Su Melah merangkak naik ke atas katil, tarik selimut, berpaling menghadap dinding. Tidur lebih baik. Long Jali mengeluh sendiri. Harapnya selepas dia mati nanti, keadaan akan pulih seperti sedia kala. Doanya.

            Kalau selepas dia mati, Su Melah nak memondok, biarlah dia pergi memondok. Kalau itu kehendak dan kemahuan yang membahagiakan dia. Tinggal dengan anak-anak pun amal ibadat tunggang langgang jadinya. Adakalanya solat pun tergelincir. Adakalanya juga, terpaksa diqada bila yang di dalam buai dihenjut tak mahu tidur. Yang masih berjaga sibuk berkejaran melanggar buai. Yang meraung geli-gelemankan isi di dalam lampin mendudu-dudu menyerbu bilik air. 

Friday 9 January 2015

Hidup Bersama Bahagian 2

Diadukan pada anak yang tinggal di kampung, hanya paku buah keras yang diterimanya balik. Tak ada penyakit, cari penyakit. Kata anaknya itu.
            Dulu, sewaktu anak sulungnya baru beranak sulung, Su Melah tak sanggup membiarkan menantunya berpantang seorang diri. Maka, dialah yang bertungkus lumus menjaga menantunya selama berpantang. Sehinggalah berderet-deret anaknya, Su Melah tidak tergamak membiarkan cucu-cucunya dipelihara orang lain. Ditinggalkan rumah pusaka, dia pindah ke Kuala Selangor. Rimas ditinggalkan selalu, akhirnya Long Jali mengikut juga.
            Tinggal dengan menantu, anak orang, banyak pahit daripada manisnya. Berlebihan pula, menantunya tidak dapat sama setara mengikut ragam Su Melah. Su Melah tak sukakan rumah bersepah. Su Melah tak sukakan dapur berkincah. Su Melah pantang kalau kain berangkat dari jemuran terbiar kaku di dalam bakul. Namun, yang itulah perangai menantunya. Pening dengan ragamnya, Su Melah pindah di rumah anak lelaki keduanya. Ketika itu, dia masih bujang tetapi sudah pun bertunang.
            Selepas mereka berkahwin, Su Melah mulalah panas punggung dengan gelagat menantu barunya. Masaknya sejenis sahaja. Kalau kari ayam, kari ayam sahajalah. Tak ada sayur tak ada ulam. Kalau ikan goreng, ikan goreng sahaja, tak ada gulai atau sambal berlada buat penolak selera. Kedekutnya tak terkhabarkan. Kalau apa yang dibeli atau dimasak tidak dimakan Su Melah, mulalah dia menarik muka. Domba aneka rasa diadu pada suaminya. Bergaduh besar anak dengan ibu disebabkan isteri berpangkat tingginya itu.

            Melihatkan itu, anak perempuannya masuk campur. Berperang mulut adik-beradik. Jelu sungguh hati Su Melah mengenangkan perkelahian sedarah daging disebabkan oleh orang lain.  Su Melah dan Long Jali tinggal dengannya yang ketika itu sedang mengandungkan anak kedua. Terboyot-boyot setiap hari memanjat tangga sehingga ke tingkat lima. Mujur juga, rezekinya murah, dapatlah membeli rumah teres di pinggir bandar ini. Menantu lelakinya, bekerja sebagai drebar bas. Itu yang menjadi kesukaan Long Jali. Dia boleh ke sana ke mari tanpa tambang. 

**Cerpen tersiar di BH, 9/11/2014

Thursday 8 January 2015

Hidup Bersama - Bahagian 1

“Mana kita nak lari?” Long Jali memandang Su Melah. Su Melah yang baru selesai bersolat Isyak itu memandang wajah suaminya. Dia berdiri, menarik tali yang terbuai dari bawah perut kipas di dinding, sebelum menanggalkan telekung.
            “Kita pergi memondok nak bang?” usul Su Melah. Suara cucu-cucunya yang berlarian di luar bilik tidak menarik lagi di birai telinga. Seharian, menguruskan mereka menjadikan Su Melah lelah sendiri. Mahukan masa untuk diri sendiri.
            “Tak naklah saya. Tak selesa.” Mentah-mentah Long Jali menolak. Dalam hati, Su Melah memanjatkan doa. Long Jali duduk di atas kerusi berhampiran tingkap. Angin malam menangkap rakus asap rokok yang dihembus keluar olehnya. Marah dengan langsir yang asyik membuai-buai dan menampar pipi tuanya, Long Jali bangun, dikilas dan digulungnya langsir biru tua itu.
            “Dah…kalau begitu, kita ke rumah orang tua-tua ajelah,” cadang Su Melah. Tenang.
            “Hish. Kita ni berharta. Bukannya papa kedana. Kenapa nak pergi ke rumah orang tua-tua pulak?” sanggah Long Jali.
            “Ya, berharta. Tapi apa guna harta kalau anak-anak tak pedulikan kita?”
            “Sebab harta kitalah, mereka pandang lagi kita, Melah ooi. Kalau tak dah lama masing-masing tu tendang kita macam anjing kurap.”
            “Sekarang pun, lebih kurang aje,” balas Su Melah. Ada air bergenang di tubir matanya. Dia menggosok-gosok batang lehernya yang terasa tegang. Bisa-bisa terasa menyengat di seluruh badan. Sendi-sendi tangan dan kaki dirasakan mahu luruh. Entah pada siapa nak diadukan lenguh dan sengal ini pun dia tak tahu

**Cerpen tersiar di akhbar Berita Minggu 9 Nov 2014
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...