..yang bernama sahabat

Friday 22 February 2013

Ikut Kata Hati : Budak U2 - Back To Campus oleh Khairy Tajuddin

khairytajuddin@blogspot.com


Alhamdulillah, Budak U2 :Back To Campus buah tangan Khairy Tajuddin selesai saya khatamkan pada 21/2/2013

Keseluruhannya, ia lebih baik daripada naskhah penulis terdahulu.  Plotnya berjalan kemas bertepatan dengan genre novel ini sendiri yang ditujukan khusus untuk para remaja awal dan remaja pertengahan.... (tak ketinggalan remaja kertu dan remaja purba)

Sesuatu yang menarik, penulis menggunakan laras bahasa tinggi.  Laras bahasa sama dalam novel Dalam Mihrab Cinta, HabiburRahman.  Masih lagi sesuatu yang baru, dalam kebangkitan novel-novel remaja menggunakan bahasa mudah dan ringkas.  Sehinggakan di dalam dialog/cakapan juga, laras bahasa sedemikian juga digunakan.

  Agak janggal awalnya, tapi pendapat peribadi saya pembaca harus menyesuaikan diri dengan bahan bacaan.  Terpulang kepada mereka untuk membacanya sebagai bahasa pasar dengan menukarkan ‘kah’ kepada ‘ke’, ‘hendak’ kepada ‘nak’.  Tidak sukar kerana sebenarnya kemahuan datang dari hati.

Watak yang paling memberi impak bagi saya adalah watak Daim.  Biarpun watak antagonis ini digambarkan sebagai tahap ‘dewa kronik’, kehadirannya sentiasa dinantikan dan memberi nilai ‘wow’ dalam karya ini.

Siapa kata protagonis memang hero dalam karya?  Sesiapa boleh menjadi hero di tangan seorang pengarang yang baik seperti yang berlaku di dalam naskhah ini. 

Watak Nuar berlangsung seadanya, sebagai watak putih yang mengimbangi watak Hakimi.  Ketiga-tiga watak ini adalah simbiosis takah-takah nafsu manusia.  Sesuatu yang sinonim dengan kehidupan manusia normal.

Faktor penarik minat pembaca dalam memahami tips-tips yang diperturunkan oleh penulis dikuatkan lagi dengan ilustrasi oleh teman ilustrator yang sama, Faris Mohd Hazmin.

Banyak tips-tips menarik seperti mencari kekuatan dalaman (dalam nasihat-nasihat Nuar) memilih motosikal, memilih komputer riba, mencari pendapatan sampingan, tips motivasi juga panduan menghadapi peperiksaan yang bukan sahaja berguna untuk remaja yang bakal menghadapi peperiksaan.  

Berguna juga untuk mak-mak remaja dalam merancang jadual pembelajaran bagi anak-anak yang bakal mendepani peperiksaan besar.


Sebagai mak remaja aka remaja purba, saya terhibur dengan novel ini.  Bolehlah saya berikan ***** bintang. 

Tuesday 19 February 2013

Pawaka Bab 7





“HA?” Puan Zaiton  yang sudah memutih uban di kepalanya bertanya lagi. Nadra menutup mulut menahan tawa.  Puan Rohana dan Encik Hashimpun begitu. Damia sudah awal-awal lagi menghidupkan enjin sebaik sahaja barang-barang dari dalam bonet dipindah masuk ke dalam rumah Nenek.

“Nadra… anak angkat mak!”  Danish meninggikan suara.

Walaupun mulutnya diletakkan di pinggir telinga Puan Zaiton.  Puan Zaiton mengangguk-angguk sebelum meludahkan cairan merah ke hujung kakinya. Bersempelat sisa sirih pinang  itu di merata-mara tempat di halaman.  Biarpun dia mempunyai satu tin susu khas untuk menabung sisa yang bercampur air liurnya itu.

            Nenekpun ketawa.  Meski pendek, bagai meraikan kepulangan mereka. Encik Hashim satu-satunya anak lelaki Puan Zaiton.  Lima yang lain, semuanya perempuan. Cuma apabila cuti sekolah ataupun musim perayaan, rumah tua itu bertambah seri.  Anak cucu bergilir ganti datang dan pergi.

Sunday 17 February 2013

Tip Menulis Ala 3 Dol....




Tiba-tiba Che’ jadi cengil dalam dua tiga bab yang lepas.  Macam hilang identiti la plak.

Okey, ayuhlah kita kembali ke jalan yang lurus dan benar serta diredhai….

Kita terus menelusuri terowong ilmu, susur masuk ke topic yang lebih serius.  (kendurkan senyuman dan fokus!)

Che’ rasa Che’ akan bahagikan tajuk ini kepada 3 episod.  Sebab Che’Mon rasa perbincangan ini akan jadi menjela-jela.  Ainon Mohd (2011) sahaja bercerita hampir 10 bab dalam bab PLOT ni.

Friday 15 February 2013

Aku Anak Vokey 4


1990
“OKEY, awak semua tahu tak kenapa nama-nama awak dipanggil?”   Abang senior yang memperkenalkan dirinya sebagai Azli itu mengitari kelompok kami.  Ramai.  Rasanya hampir separuh daripada pelajar junior yang baru mendaftar semalam,  berada di dalam kelompok itu.  Termasuk aku.  Beberapa orang abang senior lain yang aku agak AJK Orientasi atau apapun namanya turut kelihatan di depan bangunan asrama putera tiga tingkat itu.  Dewan makan sudahpun kosong selepas waktu sarapan berakhir. 

Saturday 9 February 2013

Tip Menulis Ala Koboi 7


Assalamualaikum,
Kemaafan kerana tiba-tiba menjarakkan diri daripada blog ini, terkekang dengan garis-garis mati yang setiap minggu mengejar.  Lalu Che’ Mon harus berlaku adil dengan meletakkan keutamaan di tempatnya.

Che’ Mon bawakan topik latar

Sharif Shaary, Rahman Shaari dan Mohd Rosli Salidin (2012) mendefinisikan latar sebagai:-

-         penerangan mengenai waktu/ruang/suasana terjadinya sesuatu peristiwa dalam karya

Thursday 7 February 2013

Aku Anak Vokey 3


BUMI perbukitan Bentong masih lena diseliputi kabus ketika teksi disewa mak dan abah sampai di depan sekolah.  Padang menghijau menyambut kami di sebelah kiri.  Di sebelah kanan terdiri agam dewan besar yang disambungkan ke bangunan utama pentadbiran dan bangunan sekolah dengan trek pejalan kaki berbumbung. 

Di seberang jalan, saujana mata memandang kehijauan membungkus bukit umpama banjaran berjajar tiga beradik.  Di bukit yang tengah, kelihatan seperti pintu gua, tidak berpokok.  Jika ditenung lama-lama menimbulkan seram. 
           
Tiada yang berubahpun.  Pakaian seragam masih sama.  Bezanya kasut sekolah berwarna hitam.  Apa rasionalnya, akupun tak tahu.  Aku membawa fail peribadi menuju ke meja pendaftaran bertulis, pengurusan pejabat.  PPJ.  Basa-basi ucapan selamat datang daripada kakak senior yang teruja mendapat bacuk mengisi kemahiran membuli mereka!
           

Tuesday 5 February 2013

Mbak, kamu novelis ya?


Teruja?
Bodohlah kalau saya katakan saya tidak teruja.   
http://kavyan.blogspot.com/2013/02/baca-cerpen-kavyan-2012.html


maklumat-maklumat ini penting buat perkembangan kerjaya saya sebagai penulis. Penuliskah saya?  saya pernah ditanya seorang penulis tersohor 'akak ni penulis novel ke?'  atau dalam bahasa Indonesianya, "mbak, kamu novelis ya?' apa perasaan anda (yang menulis) kalau ditanya begitu?

biarpun hati sedikit tersentap, pertanyaannya itu merupakan panggilan hormat @ courtesy call untuk saya berlari dengan lebih pantas lagi.  bukan masa untuk menangisi waktu-waktu yang tercicir 17 tahun lepas.  Inilah antara tongkat-tongkat tempat saya menahan semangat yang kadang-kadang rimpuh.  

bukan Monalita Mansor, namanya kalau masih duduk menongkat lutut di muka pintu membicarakan sejarah yang langsung tidak dihargai.  saya akan terus bangkit bersama semangat teman-teman lain.  Semoga kekuatan ini tidak berderai di tengah jalan.  

hari ini, saya mengisytiharkan saya Monalita Mansor bukan novelis, cerpenis, tetapi PENULIS.  Saya mahu menulis mengenai apa sahaja.  Apa sahaja.

Sunday 3 February 2013

Tip Menulis Ala Koboi - 6 (i)



Nota : tips ni tak ada kena mengena dengan kedatangan Psy ke Malaysia sempena CNY ya...

Sebenarnya, Che’ yang rasa topik ni berat, macam tak terdaya kaki menyeretnya sebab tu Che’ berhenti kelmarin.  Semalam, Che’ berehat seketika,  masih menilai-nilai amal, menginsafi kepulangan sepupu suami Che’ yang kembali ke rahmatullah semalam.  Dipinjamkan Allah selama 18 tahun.  Che’ masih bernyawa sampai saat ini, berapa banyak pula dosa yang Che’ buat setiap hari.  Che’ takut dengan seksa kubur.

Dilanjutkan dengan topik watak dan perwatakan, Che’ rasa kalau Che’ ambil PMR tahun ni, dengan teks kajian KOMSAS tu, pasti, dengan yakin Che’ tak boleh lulus.  Rasanya banyak lagi rahsia dalam teknik-teknik penulisan yang Che’ belum baca.  Nanti Che’ gagau-gagau mana-mana library lagi, cari buku dan kita kongsi kat sini ya...

Sahabat dan kerabat yang Che’ sayang...

Selanjutnya Pak Othman Puteh menegaskan bahawa pengarang yang BIJAKSANA adalah pengarang yang:
-  
        Bertindak mengawal minda pembaca untuk ‘lekat’ dengan karyanya.

-          Berusaha sehabis baik untuk khalayak sentiasa ingin tahu apa berlaku pada watak-wataknya.

Tetapi,

Untuk mengawal orang lain, kita perlu kawal diri (penulis) dahulu.    Jumaat, dalam Tanyalah Ustazah, Ustazah Asni Mansor berkata, kita memang tak boleh ubah orang untuk cintai/sukakan kita, tapi kita boleh ubah diri kita untuk dicintai.  Sebaiknya kita, untuk menjadi penulis, sentiasa menjaga aura positif kita.  Pastikan ia sentiasa melebihi aura negatif.  Aura positif tu apa?
SENYUM. Senyum dulu dalam masa sebulan ni.  bulan depan cuba tengok apa yang berlaku.  Lepas tu komen kat bawah ya.

Sambung...

                Sebagai penulis, kita harus terlibat sama dengan watak.  Berlaku jujurlah dengannya.  Contoh: jika anda jaki jipang tahap jin toncit dengan Shah Rukh Khan, tapi kerana khalayak pembaca sukakan dia, andapun menulis.  Anda paksakan diri anda tentang dia, watak protagonis pula tu.  Che’ pasti 200% tak sampai 100 muka surat, karya anda akan ‘putus’

                Penulis perlu tahu serba sedikit psikologi manusia.  Mengenal setiap jenis ‘perasaan’ sama ada baik atau buruk.  Ilmu bantu itu sebenarnya ada dalam diri kita, juga orang-orang di sekitar kita.  ‘baca’ mereka,  ‘perasaan’ mereka melalui aksi, respon dan perkataan mereka. 

                Watak-watak di dalam karya juga harus berubah.  Ingat, karya kreatif ialah berkenaan kemanusiaan.  Hakikat penciptaan manusia itu sendiri ialah tiada ketetapan.  Boleh berubah-ubah.  Bagaimanapun,jangan ubah watak tergesa-gesa!

Contoh : Ombak Rindu

AA tetiba aje jadi baik.  Sayangkan MK tanpa sebab walhal semalam dialah manusia paling dingin dan keras macam ais di Alaska.  Alih-alih hari ni, tak ada ribut, tak ada tsunami dia berubah.  Penulis tak memberitahu walaupun bagi hint kenapa AA berubah.  Best tak cerita macam tu?  Best, tapi tak mendebarkan! (Apa nama watak AA dlm Ombak Rindu?)

Dr. Othman Puteh (1992:34)  seterusnya mengungkap bahawa penulis harus memaparkan watak secara wajar. 

Paparan 

Watak fizikal – suara gaya, fizikal dan penampilan  (barang harus diingat, dalam sastera hasanah, pemaparan watak-watak ini adalah tugas watak sendiri, bukan tugas penulis)

Semakin lama, semakin mendalam pemaparan tentang perasaan dalam watak.  Menyoroti istilah tak kenal maka tak cinta.  Semakin kita mengenal watak itu, semakin dalam yang kita ingin tahu tentang dirinya. 

Dr Othman Puteh (1992:34) berkata “sewaktu anda melukiskan watak, berilah kesempatan watak-watak itu bergerak, beraksi sendiri.  Justeru itu, dedahkan (show) watak-watak itu kepada pembaca dan elakkan dari menjelaskannya (tell).  Dengan kata lain, dalam cerita anda itu, tunjukkan sahaja kepada pembaca anda,  jangan beritahu atau jelaskan watak itu kepada pembaca. Inilah dikatakan dramatizing.  Untuk memungkinkan hal ini, pengarang haruslah tidak campur tangan, tidak memberi komentar, dan yakinlah pada watak-watak itu”

Inilah juga kelemahan Che’ yang cuba Che’ perbaiki ketika menulis :- sibuk nak campur tangan dalam konflik dan watak dengan memberi pendapat.

  Contoh memberi pendapat :  Hana memandang wajah adiknya.  Mungkin merasakan adiknya tidak memberikan perhatian, dia menjerit ... perkataan mungkin merasakan adalah campur tangan penulis, pada pendapat Che’.  Sebab, penulis sudah memberitahu pembaca.  Padahal hal itu boleh diberitahu oleh watak sendiri.

Akhir kata, untuk lahir sebagai penulis, diri perlu akrab dengan pelbagai pengetahuan seperti kemanusiaan dan alam yang menjadi nilai tambah yang cukup baik.  

Watak kita tidak boleh bergerak di dalam kekosongan dan latar juga akan kosong tanpa watak.  Di dalam novel-novel yang berjaya, watak yang teliti dan tuntas pemaparannya adalah kunci utama.  Maka penciptaan watak imaginasi yang logik adalah tulang belakang penciptaan karya. 

Friday 1 February 2013

Tip Menulis Ala Koboi 6

Assalamualaikum,
Jumpa lagi.  Hari ini kita berbicara mengenai watak dan perwatakan.

Kriteria yang terpenting.  sebab tak pernah lagi che' baca karya kreatif yang tak berwatak.  tak semestinya manusia.  kadang-kadang haiwan dipersonifikasi dan diberikan 'perasaan' seperti manusia.


Che’ Mon teruskan dengan membicarakan mengenai watak dan perwatakan. (elemen seterusnya kalau ikut buku sastera..
Dr Othman Puteh (1992:29) mendefinisikan watak adalah pelaku, nama atau dipermudahkan dengan persoalan siapa.  Individu ciptaan pengarang yang akan bergerak di dalam karya melalui plot dan dibantu oleh anyaman gaya bahasa beserta konflik-konfliknya.
Umumnya, dalam kebanyakan karya, penulis cenderung menggunakan watak manusia.  Tetapi ada juga watak-watak  bukan manusia yang dipersonifikasikan.  Karya-karya berbentuk satira, simbolik dan alegoris kebiasaannya berbentuk begitu.  Contoh mudah ialah Toy Story atau Transformers.

Che’ perturunkan beberapa istilah yang seorang penulis patut tahu atau pernah dengar setidak-tidaknya.

Protagonis

Watak utama/tumpuan  yang menggerakkan cerita.  Ia dikesan dengan kesungguhan penglibatannya yang dilukiskan oleh penulis.  Mungkin juga jarang muncul tetapi apabila muncul ia meninggalkan kesan.   Kadang-kadang kedudukan watak utama boleh dikesan dengan memerhatikan hubungannya dengan watak lain.  (sentiasa berkaitan dengan banyak watak lain)

Antagonis

Watak utama berlawanan dengan protagonis.  Fungsinya menjadikan karya lebih menarik dengan konflik-konflik yang ditimbulkan.

Watak sampingan

Penyokong watak utama sama ada antagonis ataupun protagonis.  Sangat penting untuk mengukuhkan watak utama dan mewarna cerita.
Ada juga pengarang bijak yang mempelbagaikan permainan watak dengan menaikkan watak sampingan dan menenggelamkan watak utama atau menyelang-nyelikan keutamaan watak.

Daripada ketiga-tiga pecahan tadi – subjek-subjek di bawah pula perlu ada untuk menguatkan watak

Watak bundar (bulat)

Watak 3 dimensi yang kompleks.  Hampir menyerupai manusia dengan sisi baik dan buruk.  Ia dipaparkan beransur-ansur sepanjang cerita.  Dr Othman Puteh (1992:31) mengungkapkan  “untuk menampilkan watak yang demikian, haruslah menyerlahkan konsistensi dalam perwatakan bagi memungkinkan munculnya keruwetan yang padu.”

Watak pipih (datar)

Watak bersifat statik  – kebolehubahannya terlalu tipis.   Ia digambarkan daripada satu aspek atau satu tanggungjawab tertentu sahaja.  Contoh watak ini adalah watak stereotaip ibu tiri atau ibu mertua.  Watak ini juga terdapat dalam cerita-cerita didaktis yang tidak memerlukan perkembangan watak. 

Melukis watak:

Hah!  Di sinilah dapat dibezakan manusia biasa dengan penulis.  Penulis atau pengarang boleh mengamati, melukis dan menyatakan berkenaan perwatakan manusia yang dilihatnya.  Malah kadang-kadang kerana keterbiasaan itu, ada penulis malahan boleh membaca gerak hati seseorang melalui perawakan ataupun tulisannya di facebook/twitter/blog dan yang sewaktu dengannya.  Jangan main-main.
Contoh:
Senaraikan watak-watak dan perwatakan yang boleh anda ekstrak daripada mereka-mereka yang tak berdosa ini... (siapa ni, che’ pun tak tahu)

Lalu berbalik kepada pemahaman manusia bernama penulis terhadap ketajaman pancaindera keenam mereka itu.  Juga tidak pula kepada teknik penulisan yang digunakan; yang telah diperolehi melalui pembacaan dan pengalaman.

Anda dinasihatkan tidak melukiskan watak manusia sebenar yang anda tahu secara terperinci.  Katakanlah anda minat gila dengan Aaron Aziz,  anda boleh menzahirkan mengenai apa sahaja mengenainya.  Hidungnya, matanya, mukanya, tapi setidak-tidaknya tinggalkanlah sedikit ruang untuk watak anda bebas menjadi dirinya dan bukannya Aaron Aziz.   Janganlah namanya pun anda letakkan Aaron Aziz.  Ini untuk mengelakkan implikasi undang-undang seandainya sesuatu yang berkaitannya berlaku.  Contohnya saman fitnah atau saman malu.

Ada baiknya kita mencipta sendiri watak-watak tersebut, diekstrak daripada beberapa orang manusia dan diberikan perangai, latar dan fizikal mengikut acuan kita.
Berat ke topik ni...
Kita rehat dulu....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...