..yang bernama sahabat

Monday 6 January 2014

Cabang Makna Dalam Teori Semantik

foto : Carian Google
Pengenalan
Tarigan, (1985 : 7) mendefinisikan semantik sebagai telahan makna atau kajian yang menelaah lambang-lambang atau tanda yang menyatakan makna dan hubungannya serta peranannya terhadap manusia dan masyarakat.  Semantik meliputi makna, perkembangan dan perubahan leksem.   Semantik merupakan elemen penguat kajian linguistik dalaman selain sintaksis, fonologi dan fonetik serta morfologi. 

Di bawah kata kunci ‘makna’ itu sendiri ahli bahasa membahagikannya kepada beberapa bahagian seperti makna linguistik dan makna sosial.  (Tarigan, 1985 :11)  Makna yang akan dibincangkan di dalam kajian ini adalah makna-makna yang dirangkumkan di bawah leksem atau kata makna linguistik. 

Jenis makna adalah sangat subjektif. Pateda (1990 : 53-70) menghuraikan 25 jenis makna mengikut turutan manakala Abdul Chaer mengelaskannya kepada makna leksikal, gramatikal, kontekstual, referensial dan non referensial, denotatif, konotatif, konseptual, asosiatif, kata istilah, idiom serta kata peribahasa.  (Abdul Chaer 1990: 61)

Objektif
Objektif kajian ini ialah membincangkan dan mengulas mengenai makna-makna yang menjadi sebahagian elemen terpenting dalam subjek semantik iaitu makna leksikal, makna gramatikal, makna kontekstual, makna referensial dan makna asosiatif.  Ia bertujuan untuk meneguhkan pengetahuan mengenai aspek semantik yang perlu difahami di dalam Bahasa Melayu.  Perbincangan juga akan membawa pandangan tokoh-tokoh bahasa serta contoh-contoh yang berkaitan.

Ranah Kajian
Perbincangan akan meliputi pengertian secara terperinci mengenai makna-makna yang telah disenaraikan berasaskan fakta yang diperolehi serta membawa contoh-contoh yang mudah difahami.


1.      Makna Leksikal
Makna leksikal adalah makna unsur-unsur bahasa sebagai lambang benda, peristiwa, dll (Fatimah, 1999 : 13)  Manakala Tarigan (1985 :11) menyatakan makna leksikal adalah sebahagian daripada makna linguistik selain daripada makna struktural.  Makna leksikal juga dirujuk sebagai makna yang ada pada leksem dan berdiri dengan sendiri tanpa terikat dengan apa-apa konteks.  Makna leksikal boleh juga dikatakan makna alami berdasarkan pandangan mata berkenaan apa yang ada pada sifat benda atau peristiwa itu. 
Contoh makna leksikal
1.1.Bunga        - bahagian tumbuhan untuk pembiakan  
 Contoh ayat ‘bunga itu cantik’ mengandungi makna leksikal tentang tumbuhan itu.

1.2. Parut         -  bekas luka –
Contoh ayat : ‘dia meraba parut di mukanya’ - merujuk kepada takrif bekas luka di muka

1.3.Hulu          -  permulaan 
1.4. 
Contoh ayat : ‘Askar British sudah bersiap sedia di hulu Sungai Pahang’ – mengandungi makna leksikal tentang kedudukan askar tersebut di permulaan sungai

1.5.Kendur      - tidak tegang
Contoh ayat : ‘Tali ampaian yang kendur’ – membawa makna keadaan tali ampaian

Kesemua contoh ayat di atas tidak membawa maksud lain, melainkan maksud yang menggambarkan keberadaan objek atau peristiwa itu secara lahiriah. 

2.       Makna Gramatikal

Darwis Harahap (1994 : 49) memperincikan gramatikal adalah nahuan atau tatabahasa.  Lantas makna gramatikal membawa maksud makna yang menjelma selepas berlakunya proses gramatikal yang ditentukan oleh ciri-ciri urutan kata, intonasi dan bentuk.  Ia juga bermaksud makna yang terhasil apabila terdapat imbuhan yang bergabung dengan kata dasar ataupun dengan kata terbitan yang sudah dilekatkan pengimbuhannya.  Bahasawan, Abdullah Yusuf (2009 :3) mendefinisikan ia sebagai bidang kajian semantik yagn mengkaji makna yang muncul daripada proses gramatikal seperti pengimbuhan, penyisipan, penggandaan dan pemajmukan.  Manakala Chaer (2009 : 62) juga memberikan definisi yang lebih kurang sama iaitu makna yang hadir akibat proses gramatikal seperti proses afiksasi, reduplikasi dan komposisi.

2.1 Makna Gramatikal Pengimbuhan
Ia berlaku terbentuk apabila bentuk kata berubah kesan daripada penggunaan imbuhan daripada kata dasar yang melahirkan makna gramatis.   Imbuhan bentuk kata terdiri daripada morfem bebas atau kata dasar dan menarik imbuhan kepadanya sama ada awalan, sisipan, akhiran dan apitan.

Contoh perkataan : dikerjakan.  Kata dasar kerja ditokok dengan imbuhan apitan “di” dan “an” yang membawa maksud gramatikal ‘telah atau sedang dilakukan’ seperti di dalam contoh ayat:
Sawah itu dikerjakan oleh Pak Ali.

Bagaimanapun ia membawa makna berbeza bagi ayat di bawah yang membawa maksud ‘dibelasah’ atau ‘sedang dipukul’ dalam contoh ayat:
Bawang Merah dikerjakan oleh emak tirinya seteruk-teruknya.

            2.2 Makna Gramatikal Penyisipan
Kamus Dewan edisi 4 menganggap sisipan adalah imbuhan kerana sifatnya yang ditokok kepada kata dasar akan membuahkan perubahan makna.  Ia muncul di tengah-tengah kata dasar tetapi dianggap pendam kerena tidak berupaya melahirkan bentuk-bentuk terbitan baharu. 
Terdapat empat bentuk sisipan iaitu –em-, -el-, -er- dan –in- yang terkandung di dalam tiga kategori perubahan makna. 
2.2.1.  Sisipan di dalam kata dasar seperti ‘telunjuk’, ‘gerigi’ yang membawa makna ‘sesuatu’ yang mempunyai sifat ada di dalam kata dasar. 
2.2.2  Sisipan di dalam kata adjektif yang terdapat di dalam frasa ‘selerak’ ‘gemuruh’ dan ‘kerlip’ yang menjunjung makna gramatikal ‘bersifat’
2.2.3  Sisipan di dalam kata kerja yang terdiri daripada kata nama dan kata adjektif yang melalui proses pengimbuhan seperti ‘berselerak’, ‘mengerlip’ dan menjelajah.
    
    2.3    Makna Gramatikal Penggandaan
Penggandaan atau pengulangan ditakrifkan oleh Tatabahasa Dewan (1993 :49) sebagai produksi proses mengganda atau mengulang kata dasar sama ada sebahagian ataupun keseluruhannya.  Kata ganda dicabangkan oleh Abdullah Hassan (2002:36) kepada 5 kelompok iaitu gandaan penuh, gandaan separa, gandaan berentak, gandaan sisipan dan gandaan bebas.  Walau apa pun jenis gandaannya ia membawa makna gramatikal bagi sesuatu perkataan seperti contoh perkataan ‘mata-mata’  tertakluk kepada penggunaan ayat, ia boleh membawa maksud ‘mata yang banyak’ dalam ayat
Dia tunduk apabila perasan ada mata-mata merenungnya.
atau ‘penyiasat/detektif/anggota polis berpangkat rendah’
Ahmad disoal mata-mata sebentar tadi.
      2.4. Makna Gramatikal Pemajmukan
Pemajmukan ialah proses mengahwinkan dua kata dasar atau lebih dan hasilnya memberikan makna yang berbeza dan spesifik terhadap kata dasar tersebut.  Terdapat 2 jenis kata majmuk iaitu kata majmuk yang dieja bercantum dan kata majmuk yang dieja berjarak.  (Tatabahasa Dewan 1993:73)  Prof Abdullah Hassan pula menggariskan pemajmukan sebagai frasa yang mempunyai dua perkataan atau lebih tetapi bersifat satu perkataan seperti contoh perkataan ‘atur cara’.  Perkataan ‘atur’ dan ‘cara’ merungkaikan dua makna yang berbeza tetapi apabila proses gramatikal pemajmukan berlaku ia membawa makna gramatikal bermaksud ‘susunan program yang sudah diatur’ ataupun ‘satu unit dalam sistem teknologi maklumat’

3.       Makna Kontekstual
Konteks dari segi pengertiannya bermaksud bidang atau ruang pengaruh bagi maklumat yang ditunjukkan oleh makna ayat atau perkataan dalam maklumat tersebut.  Ia mungkin juga berpunca daripada satus dan sifat unsur yang berlainan mengikut situasi dan tempat penggunaan unsur tersebut.  Makna kontekstual terhasil daripada hubungan antara ujaran dan situasi pada waktu ia digunakan.  Sarwiji (2008:71) juga berpendapat, makna kontekstual adalah makna kata yang berpadanan dengan konteksnya.  Chaer (1994: 201) menegaskan bahawa makna kontekstual adalah makna sebuah leksem yang berada dalam konteks.  Konteks pula merangkumi pengertian berkenaan dengan situasi penggunaannya iaitu tempat, waktu dan lingkungan.
            Perhatikan contoh-contoh ayat di bawah untuk perkataan ‘badan’
a)      Kaum wanita sangat prihatin dengan perubahan bentuk badan
Makna kontekstual perkataan ‘badan’ ialah ‘fizikal atau rupa tubuh seorang manusia.’  Konteks penggunaan ayat ialah dalam lingkungan manusia atau wanita.
b)       Badan bukan kerajaan dianggap wira dalam isu ini
Maksud ‘badan’ bagi ayat di atas adalah ‘organisasi atau pertubuhan’ yang terangkum dalam konteks situasi ia digunakan pada masa ayat itu dituturkan. 
c)      Retak badan dan takdir setiap orang berbeza
Perkataan ‘badan’ di sini bergabung dengan retak menjadikan ia perkataan baru membawa maksud ‘nasib.’ 
d)     Mereka sedang mengaplikasi gerakan alun badan
Penggunaan perkataan ‘badan’ di dalam ayat di atas ini membawa maksud ‘pergerakan’ dan makna kontekstual ini didefinisikan dari istilah sains sukan. 

4.        Makna Referensial
Kridalaksana (1993 : 133) menakrifkan makna referensial atau makna rujukan atau makna acuan adalah makna bahasa yang rapat dengan dunia di luar bahasa (objek atau gagasan fikiran).  Sebagai contoh perkataan ‘baju’ atau ‘seluar’ adalah makna rujukan bagi pakaian yang boleh dilihat dengan mata kasar di dunia ini.  Ia sinonim dengan sesuatu yang dapat dijelaskan dengan analisa komponen iaitu denotatif. 
Djajasudarma (1993) pula memberikan definisi makna referensial sebagai makna yang berhubungan langsung dengan kenyataan atau rujukan atau acuan.  Ia juga disebut makna kognitif kerana berasaskan acuan.  Makna ini biasanya berasaskan sifat kata nama.  Contoh makna referensial ialah bentuk kata dalam kata nama khas seperti Taman Medan, Taman Jaya yang merujuk kepada acuan tempat.
           
5.      Makna Asosiatif

Kamus Dewan Edisi Empat mendefinisikan makna asosiatif atau makna kiasan sebagai makna kata yang tidak merujuk  kepada makna harfiah tetapi memaksudkan makna yang tersurat atau boleh juga dikenali sebagai makna konotasi. 

Setiawati Dermujowono, menulis bahawa makna asosiatif adalah perkaitan atau perhubungan (asosiasi) yang muncul dalam fikiran seseorang apabila mendengar perkataan tertentu.  (Kushartanti, et.al,2005).  Ia boleh jadi dipengaruhi unsur dalaman seperti perasaan ketika itu atau unsur luaran seperti pengetahuan dan pengalaman.
Makna asosiatif dikelaskan di bawah makna konotatif, makna stilistik, makna afektif, makna reflektif, makna kolokatif dan makna idiomatik.

Contoh penggunaan makna asosiatif ialah perkataan ‘api’  yang membawa maksud ‘kemarahan atau emosi negatif kepada orang yang sedang bermasalah’. 

Sebagai itlakannya dapatlah disimpulkan bahawa kajian semantik meliputi aspek kajian makna yang sangat luas dan berkaitan seperti yang dibincangkan di atas.   Ia melibatkan pengkajian linguistik yang sangat teliti terhadap konsep makna di dalam setiap perkataan.  Tidak dapat tidak ia memayungi semua aspek denotatif dan konotatif makna juga perubahan makna disebabkan proses pembentukan bahasa seperti pengimbuhan, penggandaan dan sebagainya. 

Sebagai sebahagian daripada elemen bahasa yang menjadi wahana komunikasi manusia, kajian semantik dilihat memperindahkan bahasa dengan kajian-kajian melibatkan aspek gramatikal, leksikal, denotatif, konotatif, asosiatif, referensial dan non referensial dan sebagainya.   


 
foto : Carian Google
Bibliografi

Makna gramatikal,  6 April 2012, Sosiolinguistik Melayu –Sofuan, diperolehi  September 26, 2013 daripada http://sosiosofuan.blogspot.com/2012/04/25-makna-gramatikal.html

Pemajmukan,  Oktober 2009, Muhammad Yusri bin Yusof, Laman web tatabahasa Melayu diperolehi pada September 27, 2013 daripada http://www.oocities.org/yus7441/index.htm

Makna leksikal dan gramatikal, 12 December 2011,  Iwan Alinurdin, diperolehi September 25, 2013 daripada http://iwanalinurdin.blogspot.com/2011/12/menggunakan-makna-bentuk-bentuk-kata.html

Makna leksikal dan gramatikal,  1 Mei 2003,  Semantik (makna leksikal dan gramatikal) diperolehi September 26, 2013 daripada http://melydelviya.blogspot.com/
Makna kontekstual dan konseptual , tiada rekod tarikh, Little’s Duck Blog, diperolehi September 27, 2013 daripada http://lailyardiyani.blogspot.com/2013/01/makna-konseptual-dan-makna-kontekstual.html
Jenis-jenis makna dalam semantik,     5 Jun 2013, Sesejuk mata memandang, semanis bahasa berbicara, diperolehi September 27, 2013 daripada http://wanmohdaffendy.blogspot.com/2013/06/jenis-jenis-makna-dalam-semantik.html

Makna rujukan, 20 Disember 2011, Rujuk Nota, diperolehi September 27 2013 daripada http://rujuknota.blogspot.com/2011/12/makna-rujukan-dan-makna-bukan-rujukan.html

1 comment:

  1. Ya, masa belajar di UPM dulu pun ada ambil subjek Semantik.

    Em, nak tanya. Akak ada masuk sayembara ITBM ke? Macam mana, ada perkhabaran gembira ke?

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...