..yang bernama sahabat

Sunday 29 March 2015

Lily Khalilah Bab 3







Bab 3
Memanfaatkan teknologi terkini, tempoh edah dilalui Lily Khalida dengan tenang. Teman-teman maya memberikan semangat walaupun dia berhati-hati setiap kali menekan kunci enter. Tidak mahu membaraikan sebarang rahsia peribadi di dada maya. Walhal, itulah yang paling suka dibaca dan dinikmati para pelayar laman sosial, pada kebanyakan ketika.
“Cik…”
Setelah salam dijawab, suara Maziah kedengarannya tersangat cemas. Tersekat-sekat bagaikan di sebelahnya terdapat penculik sedang menghunus pisau ke batang lehernya.
“Maziah, kenapa?” Lily melangkah keluar menuju ke beranda. Deretan kenderaan yang tidak pernah putus melewati jalan utama Taman Seri Manja mendepani kondo mewah yang didiaminya hampir sebulan lalu. Kereta-kereta yang melintasi kopitiam Old Time White Coffee umpama kereta mainan merangkak perlahan sebaik mendekati simpang tiga lampu trafik memecahkan laluan ke Petaling Utama dan Lebuhraya Kesas.
Dia melilau-lilaukan mata, mencari kelibat Maziah di antara sekian banyak manusia yang lalu lalang di bawah. Jika ada. Memanglah tidak jelas wajahnya 100%. Namun karekter fizikal dan lenggok tubuh dan lenggang jalannya boleh dicaminya walaupun Maziah baru bekerja dengannya. Tambahan pula, penampilan busana Maziah yang selalunya sangat kontras dan tak kena gaya, memudahkan proses ‘pengecaman’ tersebut.
“Cik…saya sesat,” adu Maziah. Suaranya kedengaran sebak dan panik.
“Awak kat mana?” Lily menegakkan bahu seakan tersentak dengan pengakuan Maziah. Tadi, Maziah yang meminta kebenaran untuk membeli barangan dapur di pasar raya besar di seberang jalan. Takkan sekarang dia sesat.
“Dekat tempat saya pergi ni la…”
“Laa…macam mana boleh sesat pulak. Masa pergi tadi boleh sampai?” tanya Lily antara gelak dan simpati. Namun, dicapai juga kunci kereta. Dengan niat untuk menyelamatkan Maziah, dikuncinya pintu dan pintu gril dengan segera.
“Awak tunggu kat muka pintu. Jangan pergi mana-mana. Bergerak pun jangan!” arah Lily sebelum mematikan talian dan ketawa. Maziah! Maziah! Pergi pasar raya di depan rumah pun boleh sesat. Macam mana kalau aku suruh dia beli barang kat Pavilion ke, mahu sesat sampai Kodiang ni.
*****
“Kalau saya pengsan ke, sakit ke, macam mana saya nak tinggalkan awak? Pasar raya tu kat depan kondo kita aje…” bebel Lily sebaik Maziah meloloskan diri ke dalam kereta. Barang-barang yang dibelinya sudah diletakkan di but belakang sebaik Lily membunyikan hon tadi. Maziah tidak menjawab. Sengih seperti selalu pun tidak. Sesekali dia mengesat peluh dingin di dahinya.
“Macam mana awak boleh telefon saya pulak. Tahu pulak nombor telefon saya?” uji Lily tersenyum-senyum, menunggu kereta di depan keluar daripada petak parkir sebelum meneruskan perjalanan.
“Ada orang tolong telefonkan. Saya tak pandai la guna telefon ni, cik. Boleh tak cik beli telefon yang ada lampu picit tu? Dulu kat kampung, mak saya pakai telefon macam tu.” Maziah menghulurkan telefon pintar versi terkini yang memang dibelikan oleh Hajah Roziah untuk pembantu rumahnya. Semua.
“Lampu picit?” Lily ketawa besar sebelum membelok masuk dan memarkirkan kereta di depan sebuah restoran makanan segera.
“Ha’ah. Sesak-sesak nak bangun malam tak payah bukak lampu,” terang Maziah lagi. Tersengih. Terpamer barisan giginya yang kelihatan seperti bangunan di ibu kota. Tinggi rendah, tajam tumpul, semua ada.
“Dahlah, awak ni. Nanti saya ajar. Tolong beli apa-apa untuk makan tengahari kita. Awak tak payah masaklah. Saya pun rasa malas nak masak…” ujar Lily menghulurkan dua keping not RM50 kepada Maziah. Maziah tidak bergerak dari tempat duduknya. Malah tidak membuka pun tali pinggang keledarnya. “Apa lagi ni?” tanya Lily menoleh. Dilihatnya wajah Maziah seperti ternampak hantu. Bulat besar matanya.
“Saya tak pernah pergi beli makanan kat tempat macam ni. Nanti kalau saya minta yang bukan-bukan, kena gelak pulak.”
“Ish! Awak ni dari hulu pendalaman mana?” Lily mencapai kaca mata hitamnya yang tersimpan di dalam laci papan pemuka. Ikatan rambutnya diburaikan dan dikemaskan dengan cakaran kedua-dua belah tangan. Getah rambut itu melilit pergelangan tangannya.
“Kalau abah nampak, masak saya, Maziah,” ujar Lily, keluar dari kereta. Sebaik dia berpaling, Maziah sudah pun berada di belakangnya.
“Saya temankan cik. Kalau puan hajah atau tuan haji tanya, nanti saya jawab,” jamin Maziah, membetulkan cekikan tudung berwarna oren berbunga biru di bahagian atas kepala. Mereka beriringan masuk ke restoran makanan segera itu yang sudah tentu menarik pandangan banyak mata. Lily bertubuh tinggi lampai, berblaus lengan panjang dan skirt labuh potongan lurus berwarna hitam. Rambutnya lurus mencecah dada dan derap langkah teratur dengan sandal bertumit yang melindungi sebahagian kakinya yang putih melepak. Berbeza dengan teman di sebelahnya, berbaju kurung tergantung dengan warna kusam beserta tudung yang boleh memancarkan sinar matahari siang dan malam. Namun, Lily tidak kelihatan kekok berbual-bual dengan Maziah.
“Cik…itulah budak lelaki yang tolong saya tadi.” Maziah menepuk lengan Lily sambil tangannya lurus menunjuk kea rah kelibat seorang lelaki yang berjalan di siar kaki di luar restoran tersebut. Lily hanya memandang sekilas, kemudian pandangannya kembali kepada deretan menu yang terpapar di dinding bahagian atas kaunter tempahan itu. Seakan terdengar namanya disebut, budak lelaki itu menghentikan langkahnya, membuka kaca mata hitamnya dan memandang kea rah mereka lantas tersenyum. Maziah turut membalas senyumannya walaupun tak pasti sama ada senyuman itu untuk dirinya.
Sewaktu dia dilanda panik kerana tidak dapat mengingat jalan yang dilaluinya tadi, dikeluarkan telefon yang memang diarahkan Lily agar dibawa ke mana sahaja. Jenuh dia menekan-nekan permukaan telefon itu, tetapi tiada apa pun yang keluar. Mulut hendak memaki hamun tetapi hati berkata jangan. Maka, dia duduk bersila di luar pasar raya besar berhampiran deretan kedai cermin mata. Dia memandang telefon lebar itu dengan pandangan berkaca.
“Kenapa kak?”
Satu suara lunak menegurnya. Maziah menyapu cairan di bawah hidungnya dengan hujung baju.
“Nak telefon cik puan saya, tapi saya tak reti,” adu Maziah, tanpa cuak.
“Mari sini, saya tengokkan.” Pemuda berbaju t belang merah hitam dan berseluar jeans itu bertinggung di sebelah Maziah. Maziah menghulurkan telefon tersebut kepadanya.
“Siapa nama dia?” tanyanya sambil jemarinya meleret ke bahagian contact.
“Lily Khalidah.”
“Cantik.”
“Ha’ah. Dia memang cantik. Kulit dia putih macam telur kena kupas. Gebu aje. Kat pipi dia, tak ada seketul jerawat ke, jeragat ke. Lepas tu dia selalu senyum –“
Maziah tidak sempat menghabiskan kata-katanya apabila lelaki muda berambut hampir mencecah bahu itu menghulurkan telefon tersebut dengan gambar Lily Khalidah terpapar dan gambar telefon juga speaker yang diaktifkan menggemakan bunyi nombor yang sedang didail.
*****
“Maziah…nak order apa?” Cuitan di pinggang mengejutkan dirinya. Kelam kabut dia berpusing dan menghadap kea rah kaunter tempahan itu.
“Ni…upah pasal awak sesat hari ni,” sakat Lily lagi. Maziah terkebil-kebil. Sukar menghadam gurauan perempuan yang masih nampak anggun itu. Dia mengangguk sahaja. Kalau menggeleng nanti, difikirnya aku tak mahu dibelanja. Siapa yang tak merasa ayam goreng? Aku jugak!

Sunday 22 March 2015

Lily Khalilah Bab 2




Bab 2
Kel, keluar yuk
Mana boleh
Apa pasal tak boleh. Kau bukannya nak mintak izin sapa-sapa lagi.
Aku dalam edah la, ngok!
C’mon babe. It’s over. Buat apa kau nak berkabung bagai dengan bekas laki tak guna satu sen kau tu.
Aku bukan berkabung la. Aku dalam edah.
Edah dengan berkabung bukan sama ke?
Suka hati Tok Moyang Salleh kau! Edah untuk perempuan bercerai hidup atau mati. Berkabung untuk perempuan bercerai mati.
Ala…sama aje. Laki kau tu dah kira mati
Woi! Hukum agama jangan dibuat lawak
Whups…sorry ustazah.
Datang rumah aku. Aku belanja makan.
Ajakannya dibalas dengan emoticon sengih dengan bentuk hati yang terjojol di kedua-dua belah mata.  Whatsapp kiriman Niza, sahabat baiknya disambut dengan sengihan juga. Disusunnya buku-buku yang berselerak di atas meja dan diletakkan kembali ke dalam kabinet berkaca. Maziah masih belum keluar dari bilik air semenjak tadi. Cuak pula dibuatnya. Jam sudah menghampir ke pengakhir dhuha.
            “Maziah!”
            “Maziah!” laung Lily sedikit tinggi.
            “Cik Puan? Dah lapar ke?” tanyanya, menanggalkan ikatan kain batiknya yang diselak dan diikat ke paras pinggang sebentar tadi. Menelan liur dia melihat betis Maziah yang semak-samun itu. 
            “Awak buat apa dalam bilik air tu. Senyap aje. Saya ingat dah memengsankan diri,” usik Lily mendekat ke arah bilik air peribadinya. Bilik air itu kelihatan bersih dengan bau pencuci antiseptic yang segar.
            Maziah, selain daripada pembantu rumah dan peribadi Lily di kediamannya itu sudah dilantik diam-diam oleh Haji Razak dan Hajah Roziah menjadi pengintip tak bergaji.  Segala gerak-geri Lily akan dilaporkan secara berkala oleh Maziah. Namun, walaupun diintip sebegitu rupa, Lily sendiri menetapkan batas memandangkan ini adalah kali kedua dia bergelar ibu tunggal.
            “Dah la tu. Mari kita masak. Nanti kawan saya nak datang.”
            “Kawan? Lelaki ke perempuan, cik?” tanya Maziah, cemas.
            “Kita tunggu.” Lily mengenyit mata. Tuala yang tersidai di penyangkut di dinding bilik dicapainya dan mencelahi ruang antara pintu bilik air dengan Maziah yang masih tercengang. ‘Apa yang nak aku cakap pada Hajah Roziah nanti?’
*****
            “Siapa tu beb?” tanya Niza sebaik meletakkan beg tangannya ke atas kerusi makan. Kemudian, dihenyaknya tubuhnya ke kerusi.  Buku lali kini berada di atas lututnya. Digosok-gosoknya sambil mulutnya berdecit-decit.
            “Maid baru aku la. Mak suruh duduk dengan aku kat sini. Macamlah kalau tak ada maid, aku akan kebulur,” terang Lily sambil menyenduk nasi yang dikerumun asap ke dalam mangkuk besar.
            “Ganti Nisa la tu. Oportunist!” tuduh Niza. Menggetap gigi. Perempuan yang asalnya diambil Hajah Roziah menjadi pembantu rumah akhirnya turut sama membantu suami Lily. Niza beberapa kali terserempak dengan perempuan dari  Jawa Timur berkulit cerah putih gebu itu. Kelihatannya sangat naïf dan Niza sendiri tidak dapat menuding jari kepada siapa sebagai pencetus kecurangan itu. Nisa atau bekas suami Lily yang kelihatannya alim kucing itu.
            “Dah la tu…dah jodoh mereka. Lagipun mereka pun dah nak kahwin,” pujuk Lily. Wajahnya tidak menampakkan kekesalan.
            “Dah nak kahwin? Maksud kau selama ni yang mereka berkepit, berdua-dua macam laki bini masa kau kerja, belum kahwin la?” Niza menjengilkan biji mata. Lily menjongket bahu.
            “Dah…jangan nak marah-marah. Maziah masak tilapia masak asam tempoyak. Istimewa untuk engkau. Bila edah aku habis esok, kita rempit sampai Temerloh. Kita cari patin asli punya.” Lily menarik tangan Niza. Tangannya masih berada di bahu gadis berbeza usia dengannya yang baru sahaja duduk di kerusi makan. Pandangannya meniti satu persatu hidangan di depan mata.
            “Banyaknya! Nak makan ke nak melantak ni?” tanya Niza sambil mengangkat tangan sebaik sendukan nasi kali kedua mencecah ke pinggan lebar berbunga biru itu. Tilapia masak tempoyak Cuma hidangan utama dengan empat lagi mangkuk mengapitnya dengan pelbagai resepi. “Kau ni biar benar, Kelly. Frust gila ke bila Nan tu main gila?” tanya Niza lagi sambil membawa sudu yang sudah dicedok dengan kuah ikan patin tadi ke mulut.
            “Frusta pa bendanya?”
            “Iyalah. Yang aku tahu, memasak dan makan adalah antara terapi melepaskan ketegangan. Kau stress ke bila dapat title janda untuk kali kedua ni?” tanya Niza tanpa berlapik.
            “Hoi! Choi! Arniza Bella. Mulut tak pakai kain dalam. Tak ada alas!” jerit Lily seraya ketawa kuat. Maziah yang sedang menuangkan sirap ke dalam gelas, sedikit tersentak. ‘Amboi! Tak padan dalam edah, ketawa tak pandang kiri kanan.’
                “Satu hal lagi Kelly yang aku nak tanya.” Niza mengangkat jari telunjuk. MElepaskan suapan terakhirnya tadi berlalu ke dalam perut dengan jayanya sebelum menyambung semula. Lily sekadar mengangkat muka menunggu sambil menggigit petai yang dari tadi dipegangnya.
            “Kenapa kau tak pergi kerja sampai tiga bulan, hah?”
            “Abah aku tak bagi. Dia suruh aku buat kerja dari rumah. Dalam tempoh edah perempuan memang tak boleh keluar rumah, kecuali darurah. Macam mencari rezeki, ada kecelakaan…gitu.”
            “Habis…aku tengok orang lain tu tak macam kau. Artis tu… tak jaga pun…” soal Niza, menyuap lagi.
            “Isunya kalau darurat, nak mencari rezeki, kenalah keluar. Tapi harus dengan niat itu sahaja. Dah habis bekerja, baliklah. Macam aku, Haji Razak tu bos aku. Dah dia tak benarkan, aku ikutlah. Asalkan gaji jalan,” terang Lily menolak nasi yang terbabas dari bibir dengan belakang jari.
            “Untunglah kau. Anak bos!”
            “Tak ada maknanya anak bos. Abah aku memang buat begitu.”
            “Betul ke kau tak sedih Kelly?” soal Niza lagi sambil tangannya menyentuh belakang tangan Lily yang terlampar berdekatan dengannya. Lily memberhentikan suapan. Nasi dan sedikit isi ikan yang terkumpul yang hendak dihantar ke mulut, diletakkan semula ke dalam pinggan. Matanya tepat memandang wajah sahabatnya itu merangkap kaki tangan di bawah butik seliaan Hajah Roziah.
            “Tempat jatuh lagi dikenang, Niza. Lagi pulak tempat menumpang letak kepala. Adnan tu baik apa?” BErgetar dadanya menyebut nama bekas suaminya itu. Lelaki sederhana yang tidak pernah menjanjikan bulan dan bintang, malah menjadi kawan baik suatu ketika selepas dia diceraikan kali pertama. Menjaganya di hospital saat dia dirawat selepas dipukul separuh mati oleh suami pertamanya dahulu. Adnan Kusyairi juga yang menyelesaikan hal-hal guaman berkaitan dengan tuntutan tak munasabah bekas suaminya hanya kerana ingin menyakitkan hatinya.
            Namun segalanya terpadam spontan daripada ingatan indahnya seperti terpadamnya api disimbah air yang banyak. Lebih-lebih lagi sekian banyak drama dan aksi dipertontonkan oleh Adnan Kusyairi bagi menghijab kecurangannya.
            “Maaf beb… aku tak patut buat kau sedih,” ujar Niza mencemik dan mendekati Lily. Sambil berdiri, bahu Lily dirapatkan ke pingggangnya dan bahu teman berusia 40 tahun genap pada tahun ini itu diusap-usapnya.
            “Itulah sebabnya aku pindah ke sini. Kat rumah lama tu banyak sangat kenangan dengan Nan,” terang Lily, menyambung kembali suapannya.



               

Monday 16 March 2015

Lily Khalilah Bab 1



BAB 1
LILY KHALILAH membantingkan tubuh ke sofa empuk tiga tempat duduk berwarna gelap di ruang tamu. Kasut tumit tinggi saiz lapan masih tergelimpang di muka pintu berhampiran tempat kasut. Hari ini hari malas sedunia. Malas simpan kasut, malas masuk ke bilik, malas menghidupkan televisyen dan lampu. Maka jasadnya terbungkus dalam kesuraman menjelang senja di dalam rumah teres setingkat itu. Cahaya matahari petang menyimbah melalui pintu gelangsar yang terbuka sedikit.
            “Puan…”
            Dia mendengar pintu gelangsar ditolak. Dia mendengar ada bisik-bisik dan bicara halus di antara dua manusia atau lebih. Pasti, dia masih selamat kerana bisik-bisik itu bukan sebahagian daripada komplot berniat jahat, Lily tegar menutup mata dan menggalang dahinya. Matanya dipejam.
            “Puan…” panggil suara itu sambil tangannya menggoyang-goyangkan kepala lutut Lily yang dibungkus seluar panjang warna hitam itu. Ada jasad yang melabuhkan tubuh berhampiran betisnya. Rambut Lily yang panjang sebahagiannya jatuh menjuntai hampir mencecah lantai kerana kedudukan kepalanya yang tidak terletak di atas tangan sofa.
            “Ciklah…Kak Dah!” Lily membetulkan tetapi dia masih tidak menggerakkan diri.
            “Kak Dah minta maaf, cik. Kak Dah minta maaf…” Wanita bernama Kak Dah yang kurus jengkung dibungkus baju kurung berwarna biru laut itu menerpa ke arah Lily. Sambil mengongoi, tangan Lily ditarik dan diciumnya. Lily tersentak dan gesit bangun.
            “Apa Kak Dah ni?” tanya Lily. Kak Dah mengesat birai matanya dengan hujung jari. Kak Dah menangis macamlah dia dah naik ke dalam pengusung jenazah.
            “Kalau Kak Dah tak bawa Nisa ke sini dulu, mesti-“  Kak Dah masih duduk bertimpuh sambil meramas-ramas jari.
            “Ala…Kak Dah ni. Tak ada maknanya. Semua tu dah ditakdirkan. Bukan salah Kak Dah pun…” ujar Lily, tenang sambil mengikat dan mengemas semula rambutnya yang berwarna kemerah-merahan itu. Dia menggosok-gosok jemari telunjuk di bawah hidung, meredakan sedikit rasa tidak enak yang tiba-tiba menganggu.
            “Cik nak makan apa?”
            “Tak laparlah, Kak Dah. Siapa ni?” tanya Lily sebaik matanya singgah pada sesusuk tubuh berdiri tegak berhampiran pintu. Berbaju kurung dengan tudung bawal yang dicekik hingga ke pangkal leher berwarna kuning terang. Kontras dengan kulitnya yang berwarna gelap.
            “Ni...Maziah.” Kak Dah menggamit perempuan muda yang dinamakannya tadi. Maziah mendekati mereka dan takut-takut berani, bersalam dengan Lily. Mukanya kelihatan cemas seakan Lily sudah bertukar menjadi singa betina. Dia terangguk-angguk sebaik Lily melebarkan senyuman.  ‘Muka cemas dia macam aku ni singa lapar,’ getus hati kecil Lily.
            “Mak punya kerjalah ni?” teka Lily terus mengeliat beberapa kali, memulihkan urat pinggang yang lenguh.
            “Ia,” jawab Kak Dah, muncul seketika di muka pintu dapur, kemudian menghilang semula. Si Maziah menurut sahaja langkah Kak Dah. Kak Dah masuk ke dapur, dia ikut masuk. Kak Dah ke sinki, dia ikut ke sinki. Kak Dah datang dekat ke peti sejuk mengambil penyapu, dia ikut juga.
            “Eh! kau duduk sana boleh tak? Tak pun kau tolong jerang air tu. Rimas aku!” rungut Kak Dah. Tudungnya disangkutkan ke belakang kerusi. Maziah ikut membuka tudungnya dan disidaikan di belakang kerusi bertentangan.  Maziah mengangguk dan mencapai cerek air.
                                                  “Kau tahu masak air tak?” tanya Kak Dah yang baru mengeluarkan set cawan daripada kabinet atas dapur basah. Cuak pula Kak Dah dibuatnya. Di manalah agaknya emak si Lily mendapat calon pengganti si Nisa ni. Bisu ke, gagap ke, sukar nak diterpa. Sepanjang perjalanan dari rumah keluarga Lily tadi hanya angguk, geleng dan sengih sahaja yang dipamernya. Kak Dah mengagak umurnya akhir 20-an, atau lebih tua lagi. Kulitnya yang gelap dan dahi yang sentiasa berkerut itu mungkin menambahkan umur tuanya setakuk dua lagi.
Maziah mengangguk sambil tersenyum. Cerek yang penuh berisi air itu dibawanya ke sudut berhampiran yang meletakkan periuk nasi dan ketuhar.
            “Kak Dah, nak pinjam Maziah sekejap.” Lily muncul dan menarik tangan Maziah yang belum sempat melekatkan palam tiga pin ke rumahnya. Dibawanya gadis yang tidak diketahui statusnya itu masuk ke dalam bilik tidurnya. Terngadah gadis itu melihat bilik agam seumpama peraduan di raja itu. Kepala katilnya bagaikan bersadur emas berkerawang awan larat dengan tilam berinci-inci tebalnya.  Pada dinding sebelah dalamnya kabinet berwarna senada enam pintu ternganga kesemuanya. Deretan baju-baju yang kelihatan indah di mata Maziah bergantungan. Di dalam sebuah almari paling hujung, kesemua baju yang bergantungan masih di dalam plastik lagi.
            “Tolong lipat baju-baju ni masuk beg ya,” arah Lily dengan tangan menuding ke arah dua buah beg beroda yang ternganga kosong di atas katil.
            “Cik Puan nak pindah ke?” Maziah bertanya. Dia mula mencapai sehelai demi sehelai baju yang harum dan lembut kainnya itu, dilipat dan dimasukkan ke dalam beg.
            “Malas saya nak duduk sini lagi,” ujar Lily. Berkeliling pandang pada keseluruhan bilik sebelum kembali sibuk memasukkan buku-buku di dalam laci kabinet bawah almari soleknya ke dalam kotak. Katil, almari, malahan bilik ini menjadi saksi pada banyak kelukaan yang semakin terhadam perlahan-lahan.  Dipejamnya mata rapat-rapat dan mendengus, seakan mengusir semua kenangan yang menyakitkan itu.
            “Laa…kenapa ni? Cik nak pergi mana?” Kak Dah yang sedang menatang dulang lengkap dengan sepiring lepat pisang berdiri di muka pintu bilik Lily. Lily dan Maziah memandang Kak Dah hampir serentak sebaik mendengar suaranya tadi. Lily menggamit Kak Dah dan menepuk-nepuk meja kecil di sebelah katilnya.
            “Saya nak jual rumah ni.”
            “Cik nak pindah balik duduk Istana Menanti ke?” teka Kak Dah dengan senyum melebar. Sebahagian isi lepat pisang berisi kelapa di tengahnya sudah berada di dalam mulutnya. Sambil mengunyah, sebelah tangannya mengusap-ngusap baju kurung sutera yang terdampar di atas katil besar itu.
            “Balik Istana? Tak naklah!” tukas Lily, pantas. “Saya dah beli kondo di Sri Manja. Kak Dah pun boleh tinggal dengan saya. Boleh kita pergi swimming selalu,” usik Lily. Kak Dah mencebik. ‘Mulalah nak mengusik tu! Bukannya dia tak tahu aku ni macam ikan bilis hanyut.’
Istana Menanti yang dimaksudkan Kak Dah ialah banglo keluarga milik Haji Razak dan Hajah Roziah selain mengisi ahli keluarga lain yang terdiri daripada adik-adik Lily. Tidaklah dia rimas dengan keluarga besar itu melainkan ada ketikanya merasakan diri kekurangan dan rendah diri. Untuk menghindar rasa itu, dia hanya mendekati Istana Menanti pada ketika-ketika tertentu untuk mengekalkan rasa positif di dalam diri.
            “Ia. Saya tahu, emak mesti tak benarkan Kak Dah main air kat kondo saya,” ujar Lily tersenyum.
            “Tahu tak apa. Sebab tu akak bawa Maziah ni. Kak Hajah suruh dia temankan Lily.”
            “Maziah ni?” tanya Lily semula. Matanya menari mengikut rentak tangan Maziah yang sedang melipat kain sepasang demi sepasang dan menyusunnya di dalam beg. ‘Mahunya tahun depan aku pindah ni.’



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...