..yang bernama sahabat

Sunday, 27 November 2011

MAAL HIJRAH MUNCUL LAGI

Maghrib 1 Muharram muncul lagi. Di mana saya?, anak-anak dan suami? Malu untuk mengakui tetapi hipokritlah saya seandainya sekadar mengucapkan Salam Maal Hijrah dengan hijab sebagai muslimah sejati walhal sebenarnya saya berada di dalam panggung wayang 3D di Sunway Pyramid menikmati Puss In The Boot...

Ha..ha..

Tetapi sejam sebelum itu (acara Movie Outing ini adalah aktiviti anjuran JTI Tobacco (M) sebagai mengisi kalendar aktiviti kebajikan kakitangan mereka...syabas untuk mereka!!) saya bersidai di tepi eskalator menyaksi sekian gelagat anak muda Melayu khususnya dan Malaysia amnya.

Saya cuma mampu berzikir di dalam hati mendoakan agar anak-anak saya nanti tidak termasuk di dalam senarai hitam hati saya sepanjang saya memerhati di situ. Saya berusaha memujuk hati bahawa inilah resam dunia muda tetapi gagal. Entahlah...

Mungkin saya terlalu konservatif agaknya. Tidak mengikut peredaran zaman atau mungkin lupa zaman muda saya dulupun begitu juga (Tuhan, ampunkan aku...)

Bagaimanapun, SALAM MAAL HIJRAH untuk saya, suami dan anak-anak serta semuanya. semoga kita menjadi lebih balik dari semalam....

wan, sepayung cinta

5 pagi 22 November 2011, Uwan (Siau binti Leman) bonda kepada ayah mertua pergi mengadap Illahi setelah hampir dua tahun terlantar akibat strok.
Siapa Wan di hati saya?
Kenapa saya menangis beria-ia padahal tiada pertalian darah antara kami?
Wan menemani saya pada hari pertama saya mendaftar masuk ke dalam keluarga suami secara rasmi. Dengan celotehnya yang entah apa-apa, yang saya tak faham langsung. Tentang siapa atau  mengenai apa..cuma langsungnya ialah Wan mengenali latar keluarga kandung saya yang berasal dari pendaerahan Batu Kikir. Tanah yang sama tempat Wan disemadikan.

Wan kemudian menemani saya sewaktu saya berpantangkan Affan Bukhary lapan tahun yang lepas. Dengan celotehnya yang sama. tentang orang-orang kampungnya yang entah siapa dan memang saya tak kenal langsung.

Tapi itulah Wan. Mungkin panca inderanya kelimanya diambil Tuhan tetapi panca indera keenamnya menerangi hidup saya sekeluarga. Wan mengajar saya erti sabar, erti menerima takdir seadanya. Erti menghargai apa yang kita ada.

Emak saya dan Wan berkongsi nasib yang sama, kehilangan panca indera tetapi berbeza irama hidup yang sama-sama mewarnai hidup saya.

Saya bersyukur dipermudahkan tugas mengendalikan jenazah Wan sebagai khidmat terakhir seorang cucu yang tiada pertalian darah cuma terikat atas nama perkahwinan.

Sunday, 6 November 2011

Aidil Adha mampir lagi. Kita masih terus memperkatakan tentang pengorbanan. Sinonim dengan pengorbanan Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Ismail A.S.

Dan, saya teruskan terima kasih saya buat Puan Khadijah Abdullah, yang mengorbankan masa senggangnya membesarkan saya. En. Mansor Samsuddin yang menghabiskan sebahagian hidupnya untuk mencari rezeki untuk membesarkan saya. Puan Ramlah Wahid yang melahirkan saya dan mengorbankan hati serta perasaan menyerahkan saya kepada orang lain untuk dibesarkan. seteruskan terima kasih untuk allahyarham En. Abd Manaf Limat yang mengorbankan setitik benihnya untuk memberikan saya peluang melihat dunia.

seterusnya untuk En. Azman Abdul Aziz, yang mengorbankan dirinya menyintai saya juga anak-anak yang rela berkorban kasih sayang untuk saya..selamanya. Terima kasih Anis Suraya Maznum, Ummi Zahra, Umar Bukhary dan Affan Bukhary.

Thursday, 3 November 2011

Hidup Itu, InsyaAllah.

Saya suka kata-kata Ramli Awang Murshid dalam salah satu mahakarya kembara Laksamana Sunan, Mati itu Pasti, Hidup InsyaAllah.

Kak Rahah, kawan merangkap bekas boss memberitahu sebentar tadi. Kakitangannya berusia 31 tahun pengsan di tempat kerja dan pergi mengadapNya selepas tiga hari.  Segala-galanya begitu pantas dan bagai petikan suis menyedarkan dia dan juga saya.

Betapa singkat hidup ini, sedang kita bertungkus lumus mengejar kebahagian duniawi, bergelut dengan tugas yang tak habis-habis, terfikirkah kita pada sesuatu yang pasti itu.. KEMATIAN. atau saya 'lembut'kan sedikit ayatnya..masa untuk berehat...SELAMA-LAMANYA.

Semoga saya juga boleh 'berehat' dengan 'aman'....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget