..yang bernama sahabat

Friday, 10 January 2014

Pengajaran Penulisan Efektif di Sekolah Rendah

foto : carian google
Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk meneliti proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bidang pengajaran penulisan.  Kajian mencakupi perbincangan dari segi teori, pendekatan, kaedah dan teknik yang digunakan untuk merealisasikan kemahiran penulisan yang efektif yang pada akhirnya membantu murid-murid melahirkan pendapat dan idea mereka secara berkesan dan cemerlang.

1.0 Pendahuluan

Kemahiran menulis adalah di antara cabang kemahiran yang perlu dipelajari oleh manusia untuk melengkapkan proses kelangsungan berbahasa secara natural dan mudah.    Malah di dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah telah dinyatakan dengan jelas bahawa kemahiran menulis adalah keperluan wajib bagi selain daripada kemahiran membaca, mengira dan menaakul yang menjadi elemen pengukuhan aplikasi untuk perlaksanaan modul-modul pembelajaran di alaf baru ini. 
Keempat-empat kemahiran ini perlu melangkah seiring memandangkan keperluan pendidikan Bahasa Melayu dan mata pelajaran lain yang masih menetapkan pengukuran prestasi dan keupayaan murid-murid dinilai secara bertulis.   Menulis tidak seperti membaca memerlukan kaedah yang spesifik dan memerlukan koordinasi minda dan anggota tubuh.  Proses menulis adalah proses berterusan yang tidak tertakluk kepada pengajaran di sekolah tetapi berlangsung sepanjang hidup. 
1.1.Latar Belakang
Definisi Penulisan. 
Walshe, R.D. (1981) menyebut bahawa menulis ialah proses memilih, menggabung, menyusun dan mengembangkan gagasan di dalam ayat, perenggan atau untuk persembahan lisan seperti kuliah dan syarahan secara berkesan.
Menulis memerlukan koordinasi tubuh sekata seperti minda, mata dan tangan untuk memilih ujaran dan kalimat yang sesuai untuk disepakati menjadi seperangkat ayat atau perenggan yang lengkap yang kemudiannya memberi makna dan kesan untuk melahirkan ilham atau idea untuk difahami dan diaplikasi oleh masyarakat umum, jika perlu.   
Menulis adalah proses merekod bahan-bahan ujaran ke dalam bentuk tulisan berdasarkan pendapat, idea, pengalaman.  Ia boleh jadi hanya sekadar simbol-simbol grafik yang disusun menjadi lambang dan membentuk perkataan, ayat dan seterusnya menzahirkan bahasa dan gagasan  tersusun yang memberi makna dan memberi manfaat kepada khalayak pembaca dan pendengarnya.
Daripada A.C. Krizan dan Joyce. P Logan (2000) mentakrifkan menulis adalah proses menyampaikan maklumat dan maksud.   Proses penyampaian itu boleh jadi juga melalui grafik yang digabungkan dan berkait rapat dengan lambang bunyi yang diucapkan semasa kita bercakap sehingga dapat melahirkan gagasan yang difahami dan diikuti.  Maklumat bertulis mempunyai keupayaan untuk disimpan dan dimanfaatkan dengan pelbagai cara seperti wahyu-wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W yang dikumpul dan direkodkan pada zaman Saidina Othman sehingga memberi kebaikan kepada umat Muslim meskipun ratusan tahun sudah berlalu. 
Bloomfield (1933: 21) di dalam Lyons. (1995 : 253) mengatakan bahawa penulisan bukanlah bahasa, tetapi cara mencatatkan bahasa dengan tanda yang dapat dilihat.  Tanda-tanda yang dapat dilihat itulah yang dinamakan simbol atau huruf yang disatukan sehingga menjadi perkataan yang membawa makna.  Lyons (1995 : 13) mentakrifkan penulisan ialah bahasa yang disampaikan melalui bunyi atau grafik malahan melalui cara yang tidak terhingga banyaknya. 
Sukatan Pelajaran Malaysia menitikberatkan pencapaian murid-murid di dalam bidang penulisan agar pada akhirnya, selepas mereka tamat pengajian kemahiran ini boleh digunakan untuk mereka melahirkan pendapat, mengumpul maklumat, menyusun idea dan hujah secara efektif dan tuntas.  Penglahiran gagasan secara tersusun ini akan membolehkan perasaan dan pengalaman murid-murid dikongsi dan digunakan untuk pelbagai tujuan.  Salah satunya ialah untuk lulus cemerlang di dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.
Sukatan Pelajaran Malaysia juga menggariskan beberapa rentangan kriteria yang perlu dikuasai oleh murid-murid dalam menghasilkan pelbagai jenis penulisan yang menepati kehendak pembelajaran dan melahirkan idea yang jelas tentang kefahaman mereka terhadap apa yang mereka pelajari.  Fungsi-fungsi kemahiran tersebut termasuklah
1.1.1    Mendirikan tapak yang berstruktur teguh dengan menggunakan modul pembelajaran terbaik agar murid-murid dapat menulis dengan baik, cekap dan pantas.
1.1.2    Membolehkan murid-murid mengeja dan memahami perkataan serta menyusun ayat dengan betul dan boleh difahami.
1.1.3.   Membolehkan murid-murid menggunakan kemahiran menulis untuk mengulangkaji pelajarannya dengan kaedah membaca semula tulisan atau nota, draf atau teks atau membaca buku luar sebagai tambahan dan ilmu bantu untuk mengukuhkan pehamanannya terhadap pelajarannya.
1.1.4.   Memberi peluang kepada murid-murid melahirkan gagasan, hujah dan pendapat mereka secara tersusun di dalam bentuk tulisan.
1.1.5.   Mengembangkan minat menulis dan mengarang di kalangan murid-murid.  Ada kanak-kanak yang sudah mempunyai bakat tersendiri dan mempunyai kemahiran menulis tetapi tidak digilap.
1.1.6.   Memperkayakan kosa kata dan memperluaskan pengetahuan tentang bahasa dan tulisan.
1.1.7    Menyiapkan diri murid-murid untuk menghadapi peperiksaan. 

1.2.Ranah Kajian
Kajian akan meliputi perbincangan mengenai cabang teori, model, pendekatan, kaedah dan teknik yang digunakan di sekolah pada sepanjang proses pengajaran penulisan.  Perbincangan akan menjurus kepada kaedah-kaedah dalam proses menulis terpakai  pada sesi Pengajaran dan pembelajaran di dalam pengajaran penulisan seperti kaedah pengucapan terkawal, Kaedah pengucapan bebas dan  kaedah retorika.   Kajian juga akan menjengah kepelbagaian di dalam pengajaran penulisan lainnya seperti prinsip-prinsip menghasilkan karangan serta pendekatan yang sepatutnya digunakan.

1.3 Kaedah Kajian
Kajian meliputi carian bahan-bahan bacaan sama ada berbentuk fizikal dan maya.  Turut dilakukan ialah lawatan ke perpustakaan dan temuramah rambang terhadap beberapa orang murid sekolah rendah terhadap mata pelajaran karangan di sekolah.   Turut dilakukan ialah analisis terhadap beberapa karangan murid-murid Tahun 5 di sebuah sekolah rendah di Selangor.

2.      Teori Pengajaran Penulisan
Terdapat beberapa teori pembelajaran yang dikaitkan secara langsung dengan pengajaran penulisan tetapi tiada satupun yang disepakati secara tuntas.   Ia bersangkutan dengan teori pemerolehan bahasa iaitu rentetan  peringkat perkembangan manusia  daripada lahir sehingga ia membesar.  Antara teori yang dikemukakan ialah Teori behaviorisme, kognitif, mentalis dan interaksionalis.  Kesemua teori ini dikaji sehingga melahirkan teori pembelajaran bahasa yang dipraktiskan oleh guru-guru semasa proses pembelajaran bahasa di dalam bilik darjah berlangsung.
2.1.Teori Behaviorisme
Ia adalah teori yang merujuk kepada gerak balas yang berlaku apabila ada rangsangan daripada guru dan menghasilkan pembelajaran.  Ia dipelopori oleh Bloomfield, Edward Spir, Boss dan Brooks yang merupakan ahli bahasa dan dikaji oleh ahli psikologi seperti  Ivan Pavlov.   Ia merangkumi ciri-ciri seperti;
2.1.Proses timbal balik rangsangan dan gerak balas, 
2.2.Gerak balas yang berulang-ulang akan dilakukan untuk memperolehi ganjaran
2.3. Gerak balas yang dipantau dengan peneguhan positif akan lebih kerap diulangi
2.4.  Gerak balas yang kerap akan menghasilkan kebiasaan
2.5. Proses pembelajaran bahasa adalah proses penekanan terhadap latihan dan pengulangan yang mencorak kebiasaan.  Ia adalah proses mekanis yang memerlukan koordinasi daya mental
2.6.  Proses pembelajaran memerlukan pengukuhan berbentuk ganjaran , pemantauan dan pembetulan serta merta.
2.7. Latih tubi adalah keperluan sepanjang proses pembelajaran berlangsung. 
2.8.  Pembelajaran bahasa menitikberatkan persekitaran bilik darjah yang kondusif kepada seluruh ahli yang terlibat seperti guru dan murid-murid. 
   Teori  ini boleh diadaptasi oleh guru-guru untuk sesi latih tubi dan penyediaan isi dan
   data-data untuk membentuk sebuah karangan.     Ahli behaviorisme menegaskan bahasa
   pengajaran bahasa mestilah dimulakan dengan kemahiran lisan.  Maka, teknik sumbang
   saran dalam pengumpulan isi , fakta dan data di dalam kelas  amat menepati teori ini. 

2.2.Teori Kognitif
Teori lain yang ialah Teori Kognitif yang dipopularkan oleh Jean Piaget yang menitikberatkan perkembangan kognitif murid-murid  melalui latihan mengingat, mengekod dan menyimpan maklumat bersesuaian dengan kebolehan mental mereka.  Pendapat yang dipersetujui oleh ahli pemikiran kognitif lain seperti Robin Lakoff, D. Slobin dan Mangantar Simantunjak ini menegaskan bahawa proses ini (pembelajaran bahasa) adalah proses internal yang abstrak.  Ia berlaku di dalam minda dan tidak dapat diukur melalui tingkah laku.  Mazhab kognitif ini menggariskan ciri-ciri berikut sebagai tunjang utama teori yang dibawa mereka iaitu
2.2.1.Pengetahuan terhasil daripada pemikiran manusia secara semulajadi
2.2.2. Teori ini merangkumi elemen kesejagatan yang ada hubungan dengan kognitif
2.2.3. Bahasa bersifat kreatif, tidak berlegar di dalam seputar persoalan objek, peristiwa, pengalaman perilaku atau pengalaman naluriah seperti yang didakwa oleh pemikir teori behaviourisme
2.2.4. Otak/kognitif menjadi sarana penting dalam pemprosesan bahasa
2.2.5. Fikiran harus berada di dalam pemikiran sebagai satu komponen yang tidak boleh terpisah

2.3.Teori Mentalis
Ahli pemikir kognitif juga terlibat melahirkan teori mentalis yang juga dikenali sebagai Koda Kognitif atau Innatis ini.  Teori ini menegaskan bahawa bahasa adalah aktiviti mental, milik istimewa manusia yang dikurnia bersama-sama kelahirannya.    Teori ini menekankan bahawa pengetahuan bahasa, penafsiran makna seseorang dilahirkan oleh proses di dalam otak dan saraf. 
Oleh itu, George A. Miller direkodkan sebagai mencatatkan bahawa proses mental dilakukan oleh seorang pendengar apabila menghadapi pertuturan yang meliputi proses memadan, menerima, mentafsir, memahami dan mempercayai. 
Di antara ciri-ciri teori mentalis yang berkait rapat dengan pengajaran penulisan ialah
2.3.1.Semenjak dilahirkan, manusia sudah dibekalkan dengna jentera penguasaan bahasa.  Manusia mempunyai kebolehan semula jadi untuk merumus dan membentuk ayat-ayat mengikut sistem bahasa yang mereka ada.
2.3.2. Kecekapan yang merupakan rumus-rumus  atau tatacara bahasa sudah berada di dalam mental manusia. Manakala prestasi yang merupakan penggunaan atau penghasilan daripada apa yang berada di dalam stor mental manusia.  Kedua-dua elemen ini saling kait mengait menurut teori mentalis.
2.3.3.Murid-murid mesti diajar dengan ayat yang gramatis, iaitu yang sempurna menurut hukum hakam tatabahasa kerana ia memainkan peranan penting dalam proses pembentukan ayat.
2.3.4.Kemahiran membaca dan menulis adalah keutamaan dan kemahiran tatabahasa pula hendaknya diajar secara formal.

2.5 Teori Interaksionalisme
Teori lain yang turut terlibat di dalam proses pengajaran ialah teori interaksionalisme.       Teori ini meletakkan pembelajaran bahasa sebagai komponen wacana dan melibatkan mental dan linguistik.  Mark Halliday menegaskan bahawa kebolehan pembelajaran bahasa tidak boleh bergantung sekadar kepada kebolehan kognitif semata-mata. 
Ini kerana, menurut beliau, kemahiran kognitif hanya membolehkan murid-murid mentafsir makna tetapi belum tentu pentafsiran itu boleh dilahirkan di dalam bentuk bahasa yang sewajarnya tanpa bantuan linguistic.
Teori ini menitikberatkan aktiviti komunikasi di mana penyampaian makna adalah subjek utama di dalam proses pembelajaran dan pengajaran bahasa.  Ia menekankan bahawa latihan berterusan harus diberikan kepada murid-murid agar mereka memperolehi kekuatan mempelajari struktur bahasa dan interaksi agar dapat menggunakan bahasa dengan fasih dan lancar.

2.6 Teori Konstruktivitisme
Teori terakhir yang dibincangkan ialah teori konstruktivisme.    Teori ini juga berputik daripada pandangan kognivitisme iaitu pengetahuan manusia dibina secara aktif oleh manusia itu sendiri melalui daya pemikirannya.  Segala maklumat yang diterima oleh murid-murid akan diserap dan disesuaikan dengan maklumat sedia ada untuk membentuk storan baru di dalam fikirannya.
 Teori pemikiran yang dibawa oleh Mc Brien & Brandt (1997) ini antaranya menegaskan bahawa manusia tidak sekadar menerima pengetahuan tetapi membina pengetahuan melalui informasi yang diterima otaknya.  Melalui pengalaman sedia ada, murid-murid membina pengetahuan dengan cara menguji idea dan pendekatan, mengadaptasinya dan meletakkannya bersama-sama pengetahuan sedia ada di storan baru.  Teori ini lebih dikenali juga dengan teori pengajaran dan pembelajaran berpusatkan murid.  Guru bertindak sebagai penyumbang gagasan dan pereka bentuk bahan pengajaran dan terpulang kepada murid-murid untuk menganalisis idea,  mengolah semula atau mengadaptasinya bersesuaian dengan pengetahuan yang sedia ada di dalam mindanya. 
Berdasarkan teori-teori di atas, dapatlah disimpulkan bahawa,  teori pengajaran penulisan adalah sebahagian daripada proses pemerolehan bahasa melalui prinsip yang empat yang saling berkaitan itu iaitu kemahiran membaca, mengira, menulis, dan menaakul.  Kesemua proses tersebut melibatkan koordinasi minda dan anggota lainnya sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas.      

3.Kaedah-Kaedah Yang Digunakan dalam Pengajaran Penulisan
Kamus Dewan mentakrifkan kaedah sebagai cara atau aturan  dalam melakukan sesuatu.  Dapatlah dikatakan bahawa kaedah adalah seperangkat tindakan sistematik yang menepati prinsip dan tatacara yang telah dipersetujui untuk dilaksanakan demi mencapai sesuatu visi.  Sharifah Alwiah Alsagof (1986) memperincikan kaedah mengajar sebagai peredaran ke arah satu tujuan pengajaran yang telah dirancang dengan teratur.  Secara amnya, segala apa tindakan yang dilakukan guru, bahan-bahan yang digunakan untuk memberi kefahaman kepada murid-murid untuk mencapai objektif pengajaran dikatakan kaedah seperti pendapat Hassan Langgulung (1981), kaedah ialah jalan mencapai tujuan.
Seperti yang dinyatakan di atas, sehingga kini tiada kaedah standard atau rigid terhadap proses pengajaran penulisan atau bahasa di sekolah.  Ia menjadi fleksibel mengikut keupayaan murid-murid, situasi dan latar belakang mereka.  Justeru, guru-guru mempunyai peluang untuk menggunakan mana-mana kaedah yang dirasakan sesuai asal sahaja tidak melanggar kriteria-kriteria di bawah;
3.1.1Menepati visi dan misi sukatan pelajaran Bahasa Melayu KBSR dan KSSR
3.1.2.Seiring dengan objektif pengajaran dan pembelajaran yang telah digariskan
3.1.3.Berpadanan dengan keupayaan murid-murid berlandaskan pemerhatian terhadap tabiat dan latar belakang,dan umur.
3.1.4.Kaedah juga harus berpadanan dengan keupayaan, pengalaman dan kepakaran guru itu sendiri. 
3.1.5.Pengaplikasian kaedah tersebut dapat dilaksanakan di dalam rancangan masa yang ditetapkan.
3.1.6.   Harus bersesuaian dengan kemudahan yang ada seperti prasarana dan peralatan Teknologi Maklumat dan Komputer.
Kaedah-kaedah pembelajaran yang akan dibincangkan adalah praktis yang dilaksanakan mengikut kesesuaian elemen-elemen yang telah digariskan di atas.  Kesemuanya memerlukan kebijaksanaan guru untuk menganalisis dan mengenalpasti kaedah terbaik yang harus diaplikasikan sebagai sarana pengajaran untuk mencapai objektif yang telah digariskan.  Di antara kaedah-kaedah yang sedia ada  ialah kaedah natural, kaedah terus, kaedah nahu terjemahan, kaedah oral-aural, kaedah kod-kognitif dan kaedah bahasa komuniti.  Untuk  kaedah pengajaran penulisan, hanya beberapa kaedah sahaja  yang relevan dibincangkan kerana kaedah lain lebih menjuruskan kepada kemahiran membaca dan berinteraksi. 
Untuk pengajaran penulisan kaedah-kaedah yang dikenalpasti ialah kaedah pengucapan terkawal, kaedah pengucapan bebas dan kaedah retorika.  Pengajaran penulisan berkait rapat dengan kebolehan murid-murid mengumpul dan  menganalisis dapatan, mencernanya dan seterusnya mengolah idea tersebut sehingga menjadi seperangkat kata-kata yang mempunyai makna.   Ia dikatakan aktiviti yang agak kompleks kerana memerlukan kemahiran yang rencam.   Di dalam pengajaran penulisan karangan terdapat beberapa kaedah yang popular yang telah diguna pakai di sekolah dan ada juga beberapa cadangan tentang kaedah yang boleh diterapkan untuk menghasilkan penulisan yang cemerlang.
Penulisan telah dibahagikan kepada dua oleh Zainol Ismail (2003:7)  iaitu penulisan berformat seperti surat kiriman, syarahan, ceramah, ucapan, rencana dan berita.  Manakala penulisan tidak berformat atau bebas pula adalah termasuk rangsangan bergambar, pengalaman/cerita, melengkapkan cerita, autobiografi dan peribahasa.    Salleh Mohd Akib di dalam Kamaruddin Hj Hussien (1988: 198) pula membahagikan penulisan kepada 3 jenis iaitu penulisan lisan, penulisan biasa dan penulisan terkawal. 
Karangan ditafsirkan sebagai proses menghasil dan menyusun ayat dengan cara yang sesuai mengikut kehendak penulisnya atau soalan ataupun orang-orang yang berkaitan dengan apa yang ditulis.  Gao Hui-Yang menegaskan bahawa;
Composition should compromise both oral dan written training in other words, children should be taught to express ideas in both spoken and written forms.

3.2.Kaedah Pengucapan Terkawal
Pincas berpendapat bahawa penulisan karangan bebas adalah proses penciptaan dan kreativiti.  Maka seharusnya ia  berbeza dengan mana-mana kaedah pengajaran saintifik yang rigid dan skema, malahan tertakluk kepada pilihan jawapan.  Jika jawapan diberikan bersalahan dengan senarai jawapan, maka ia dianggap salah dan tidak diberi markah.   Beliau berpendapat bahawa penekanan harus diberikan secara berperingkat-peringkat bermula daripada penggantian perkataan di dalam ayat yang berbeza bentuk kepada penggantian ayat –ayat di dalam perenggan.  Kaedah ini boleh juga dianggap kaedah terus di dalam pembelajaran bahasa di mana guru akan memberitahu apa yang perlu dilakukan sebelum murid dibebaskan untuk memperkembangkan istilah penggantian mereka sendiri secara bebas. 
Beliau menggariskan ciri-ciri berikut sebagai peringkat-peringkat latihan di dalam pengajaran penulisan iaitu penggunaan pelbagai leksikon dan pembentukan ayat di dalam latihan penulisan dan lisan.  Pelajar yang dibenarkan menghasilkan  tulisan hanya apabila dipastikan bahawa mereka menghargai dan memahami pelbagai tahap ciri penulisan.  Program penulisan karangan yang melibatkan penggantian pelbagai.  Pincas juga mengandaikan bahawa penggunaan bahasa adalah manipulasi  daripada corak tetap yang dipelajari daripada prosses imitasi.  Apabila ia telah difahami dan dipelajari secara konsisten, barulah terhasil keaslian  dalam variasi.

3.3.  Kaedah Pengucapan Bebas
Eramus (1960) menggariskan beberapa ciri kaedah pengucapan bebas seperti murid-murid digalakkan menulis secara cepat dengan sedikit ulangkaji.  Kaedah ini menekankan latihan yang banyak sepanjang penulisan pelajar  dan keutamaan terhadap kuantiti ini menjadikan hasil penulisan pelajar lebih sempurna kerana murid-murid sentiasa membuat latihan.    Beliau lebih menitikberatkan aspek kuantiti dengan hujah bahawa kuantiti adalah proses penambahbaikan dari masa ke semasa untuk mendapatkan hasil tulisan yang cemerlang.
Beliau menghujahkan lagi bahawa metod ini akan menguatkan pemahaman bahasa pelajar dengan pengalaman membetulkan kesilapan dan penemuan perkataan-perkataan baru yang akan menambah kepelbagaian kosa kata mereka di dalam jajaran sintaksis.  Menurutnya ini hanya boleh dilakukan apabila murid-murid melalui  melahirkan hasil penulisan melalui kuantiti dan kualiti akan datang kemudian. 
Penghujahan beliau disokong oleh Chastain (1976) berasaskan pemerhatian dan kajian yang dibuat oleh Brieve di UCCA.  Melalui program tersebut, semakin banyak bahan dihasilkan, semakin berkurangan kesilapan bahasa dilakukan di dalam tulisan mereka.   Brieve mengulas bahawa sepanjang program tersebut, karangan mingguan di antara 300 hingga 500 patah perkataan dan penulisan ilmiah sepanjang 1000 patah perkataan telah diberikan kepada pelajar.  Karangan diperiksa dengan teliti dan pelajar yang menerima gred A diminta menulis semula karangan mereka.
Brieve menguatkan hujahnya dengan mengatakan bahawa terdapat pengurangan kadar kesalahan di dalam karangan tatkala kuantiti karangan yang dihasilkan meningkat.  Beliau menekankan bahawa, penekanan terhadap kuantiti akan menghasilkan kefasihan dan kejelasan terhadap kesalahan yang lepas sama seperti yang berlaku di dalam latihan matematik.
Begitupun khilaf terus berlaku kerana dikatakan tiada bukti jelas yang benar-benar menyokong hujah-hujah di atas.  Malahan, terdapat pula bukti bertentangan yang menegaskan bahasa latihan penulisan pantas untuk sesuatu topic dan ditulis sebanyak mungkin dalam satu kerangka masa yang ditetapkan dapt meningkatkan kemampuan murid-murid menyusun isi-isi dalam karangan mereka dengan lebih mudah, khususnya ketika mendepani peperiksaan. 

3.4.Kaedah Retorika
Retorika adalah merujuk kepada seni penggunaan bahasa yang menarik dan berkesan dalam melahirkan gagasan untuk memujuk  atau mempengaruhi khalayak mengenai sesuatu perkara.  Deskripsi ini dinyatakan oleh Nik Safiah dan Wan Malini.  Ia melibatkan perkara-perkara seperti penciptaan, susunan dan stail dalam penulisan.   Di antara elemen retorika yang terkenal ialah keberkesanan bentuk-bentuk prosa deskriptif, naratif, ekspositori dan argumentatif.  Kehadiran asas retorika di dalam teks boleh dirasai apabila kedapatan elemen-elemen skema berdasarkan maklumat atau isi yang boleh disusun.   Teks akan menekankan penyusunan isi yang berbeza berdasarkan perenggan-perenggan yang telah mungkin diproses melalui gaya analisis, analogi, kontras masa, falsafah dan sebagainya.  Oleh kerana ikatan tersebut, murid-murid akan terhalang daripada untuk menulis secara spontan dan memendekkan kejelasan pemikiran mereka. 
Kaplan mencadangkan pembaca menjadi sebahagian daripada komunikasi formal yang membolehkan pengembangan perenggan dibentuk melalui proses induktif dan deduktif.  Tambahan pula, kaedah ini menitikberatkan bentuk-bentuk pengembangan perenggan yang berlainan seperti yang ditegaskan Kaplan (1966) melalui Bander yang menegaskan bahawa setiap satu perenggan yang terdapat di dalam sesebuah penulisan berkecenderungan mempunyai jalinan pengembangan yang berbeza-beza seperti pengembangan selari atau pengembangan terus. 

Sebagai kesimpulannya, terhadap pelbagai kaedah yang perlu disesuaikan oleh guru-guru di dalam proses pengjaran dan pembelajaran menulis karangan dan usaha mendapatkan karangan yang cemerlang.  Guru-guru harus jelas dengan objektif dan keupayaan murid-muridnya ketika merangka sesuatu sekuen latihan yang hendak digunakan.  Terdapat kaedah yang mungkin sesuai untuk sesebuah sekolah berdasarkan latar belakang dan lokasi murid-murid serta beberapa aspek lain yang perlu diambil kira.

4.Teknik Pengajaran Penulisan
Teknik adalah seperangkat pengetahuan atau himpunan kelakuan atau cara di dalam kaedah.  Tidak terkecuali, teknik dikatakan sebagai perlaksanaan kaedah atau taktik yang digunakan oleh para guru untuk mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Daripada Kamarudin Hj Husin & Siti Hajar Hj Abdul Aziz (1988) menegaskan teknik pengajaran ialah perlaksanaan dan perjalanan suatu organisasi yang berlaku secara nyata dan melibatkan murid-murid dan alatan pengajaran sebagai wahana  di dalam bilik darjah yang dipastikan boleh mencapai sesuatu objektif. 
Sebagai contoh, sekiranya guru-guru menggunakan kaedah pengucapan bebas di dalam pengajaran dan pembelajaran penulisan maka, teknik yang boleh digunakan oleh para guru adalah teknik pengajaran berpandu, teknik pendekatan bebas, dan teknik pendekatan proses.atau teknik-teknik yang bersesuaian bergantung keapda pengalaman, ketokohan dan kewibawaan guru sendiri. 
4.1. Teknik Pengajaran Berpandu
Teknik pengajaran berpandu  merupakan teknik yang paling popular dan digunakan dengan pengawasan guru sepenuhnya.  Boleh dikatakan teknik merangkumi latih tubi dan soal jawab ini adalah gabungan kaedah pengucapan terkawal, yang memerlukan murid-murid menghasilkan kuantiti karangan yang banyak di samping mengenalpasti kesalahan yang dilakukan semasa proses menulis itu berlangsung.   Guru akan memberikan tajuk dan dan kemahiran terpenting di dalam mengarang iaitu mengenalpasti bidang isi, organisasi dan ekspresi.  
Ketiga-tiga elemen ini dapat digunakan ketika proses menilai sesuatu penulisan.  Penting sekali, murid-murid didedahkan dengan prinsip utama bidang kepengarangan iaitu apa yang hendak dikata (isi), bagaimana menyusun apa yang dikatakan (organisasi) dan bagaimana hendak mengatakan apa yang hendak dikatakan.  (ekspresi).  Teknik ini adalah berasaskan pendekatan deduktif iaitu di mana guru-guru akan memperkenalkan, menerangkan peraturan dan seterusnya memberikan langkah-langkah untuk menghasilkan bentuk penulisan tersebut. 
 Marohaini dan Zulkifli (1997) juga telah mencadangkan agar guru memberikan penumpuan terhadap aspek penghasilan gagasan atau isi yang baik berbanding proses mengarang itu sendiri.  Tugas murid ialah menyiapkan latihan tersebut dan sebaik-baiknya dilakukan berulang-ulang untuk mendapatkan hasil tulisan yang baik dan cemerlang.   Teknik ini dinamakan teknik pengajaran berpandu di mana murid-murid akan dipandu oleh guru dan dikawal daripada melakukan kesalahan.  Pada peringkat awal, isi dan bahasa akan disediakan oleh guru dan murid-murid akan diarahkan mengisi tempat kosong atau membina ayat berdasarkan petikan gambar. 
4.2 Teknik Sumbangsaran
Selain daripada itu, bagi karangan yang berasaskan fakta atau gambar, guru-guru boleh juga mempraktiskan teknik sumbangsaran atau perbincangan yang melibatkan murid-murid sepenuhnya.  Mereka boleh dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil dan membenarkan murid-murid mengembangkan idea secara kolaboratif dengan pantauan guru.  Teknik yang berasaskan pendekatan bebas ini membolehkan murid-murid bebas melahirkan pendapat masing-masing secara kritis dan analitikal berdasarkan maklumat yang dibekalkan oleh guru. 
Teknik ini lebih sesuai digunakan untuk sesi pengajaran dan pembelajaran untuk tahap dua.  Pada tahap ini murid-murid diberikan kebebasan untuk menentukan hala tuju idea mereka selagi masih berpegang kepada tiga prinsip mengarang yang disebutkan di atas.    Murid-murid juga boleh memanipulasi apa sahaja bahan sama ada di luar atau di dalam bilik darjah selagi ia tidak terkeluar daripada skop penghasilan penulisan mereka.   Penulisan bentuk ini boleh dibahagikan kepada bentuk ilmiah seperti bentuk laporan, pidato, syarahan, debat yang memerlukan bantuan fakta atau penulisan kreatif dalam bentuk penceritaan.

Teknik seterusnya yang boleh dicerap masuk di dalam pengajaran dan penulisan di sekolah ialah teknik berasaskan pendekatan proses yang menitikberatkan  proses penghasilan karangan berbanding hasil.  Murid-murid akan dipantau sepenuhnya dan dibimbing secara berperingkat bermula daripada peringkat pra-penghasilan seperti membuat draf sehinggalah kepada menyusun isi, menyunting dan mengedit, membetulkan kesalahan bahasa, kosa kata, aspek gramatikal, olahan, hujah dan pelbagai lagi.  Teknik ini mungkin lebih sesuai digunakan untuk proses penulisan yang berakhir sehingga ke peringkat penerbitan.

Sebagai itlakannya, ada pelbagai teknik yang boleh digunakan di dalam pengajaran penulisan selain daripada yang disebut di atas.  Dewasa ini, dengan kecanggihan teknologi maya, guru-guru mungkin boleh memaksimumkan penggunaan gajet-gajet dengan menyelitkan teknik-teknik seperti, simulasi, permainan bahasa, soal jawab untuk variasi pengajaran penulisan yang menarik dan penting sekali menyediakan pelajar mendepani peperiksaan.   Di dalam sebuah kajian terhadap penulisan murid sekolah menengah, Faridah, Norreiny dan Raja Mohd Fauzi (2001) mendapati guru yang menggunakan pendekatan konstruktivisme yang melibatkan proses kognitif seperti perbincangan ataupun sumbangsaran boleh menambah minat murid-murid dan memberi rangsangan kepada mereka untuk menulis dengan lebih baik.

5.Model Pengajaran Penulisan
Model Pengajaran Penulisan Berdasarkan ‘youtube’ Cakapan Berirama Ma’ahad Tahfiz Sains bertajuk Budi Bahasa Budaya Kita.
Pengajaran dan Pembelajaran : Menulis karangan berpandukan rakaman video tidak kurang daripada 80 patah perkataan.
Tajuk : Budi Bahasa Budaya Kita
Bahan : rakaman ‘youtube’ Cakapan Berirama Ma’ahad Tahfiz Sains.

Hasil daripada model pengajaran ini ialah sebuah karangan berdasarkan isi-isi yang dipersembahkan oleh para pelajar tersebut yang berdurasi selama lapan minit yang boleh ditonton oleh murid-murid sama ada di dalam makmal komputer ataupun melalui tayangan projektor di dalam kelas atau dewan.   Selain daripada menarik minat murid-murid untuk menikmati suasana pengajaran dan pembelajaran lain daripada yang lain, ia juga meningkatkan kemahiran menaakul murid-murid secara tidak langsung.
Bagaimanapun,  selain daripada menggunakan peralatan tertentu, murid-murid harus diingatkan supaya memberi tumpuan kepada bahan tersebut kerana mereka harus mencatat isi-isi penting berdasarkan apa yang mereka tonton dan dengar.
Langkah 1
Ketika menggunakan kaedah ini, guru-guru harus memastikan beberapa perkara seperti
5.1.Gambar dan sistem audio berada di dalam keadaan sempurna.  Ini adalah kerana, keberkesanan model ini bergantung sepenuhnya kepada bantuan audio kerana murid-murid harus mendengar dan memberi tumpuan dengan teliti.
5.2.Guru akan mengarahkan murid-murid mendengar dan memikirkan isi-isi penting serta  fakta yang boleh dicerna daripada tayangan video tersebut.
5.3.Murid-murid mesti mencatat setiap isi dan fakta mahupun hujah yang difikirkan boleh menjadi isi-isi pokok di dalam pembinaan karangan mereka. 
Langkah 2
Guru-guru boleh meneruskan pengajaran dan pembelajaran dengan menggunakan teknik sumbangsaran atau perbincangan.  Murid-murid akan dibahagi-bahagikan kepada beberapa kumpulan.  Berikan had masa untuk perbincangan secara lisan dan akhir sekali, isi-isi penting yang diperolehi dicatat dan dibentangkan oleh setiap kumpulan.
Idea-idea yang dibentangkan oleh setiap kumpulan akan dicatatkan dan hendaklah dipastikan juga ahli kumpulan lain memberi perhatian agar tidak berlaku pertindihan idea.  Murid-murid boleh juga dipilih secara rawak untuk membuat ayat secara lisan berdasarkan idea tersebut dan guru bertindak membetulkan sebarang kesalahan tatabahasa dan aspek-aspek lain. 

Langkah 3
Selepas pembentangan selesai, setiap kumpulan dikehendaki menyiapkan sebuah karangan berdasarkan idea-idea yang telah dikumpulkan oleh setia kumpulan.  Guru akan bertindak sebagai fasilitator bagi memastikan penggunaan tatabahasa, gramatikal dan ejaan tidak diabaikan oleh murid-murid ketika mereka menyiapkan karangan. 

Karangan tersebut akan disemak oleh guru selepas dibentangkan sekali lagi oleh ahli kumpulan dengan melantik seorang ketua untuk membacakannya di hadapan kelas.  Tugas terakhir murid-murid dikehendaki menyiapkan sebuah karangan berdasarkan tajuk dan kefahaman mereka semasa sesi pembincangan.   Selepas karangan dihantar, guru-guru hendaklah menyemak dengan teliti dan memastikan murid-murid membetulkan kesilapan, jika ada di dalam karangan mereka. 

Dapatan Analisis
Kajian telah dibuat berdasarkan 5 sampel karangan murid-murid tahun lima di sebuah sekolah di Selangor.  Mereka telah memilih soalan 1 daripada 3 soalan.  Soalan tersebut ialah : Setiap murid mempunyai sahabat baik.  Tulis karangan yang bertajuk “Sahabat Baik Saya”. Murid-murid tersebut telah diajar menggunakan kaedah yang paling popular iaitu kaedah latih tubi.  Melalui kaedah ini, guru membincang dan menyenaraikan isi-isi penting di papan hitam.  Murid-murid akan diberikan mencantikkan isi-isi tersebut di dalam sesi sumbangsaran dan seterusnya menyiapkan latihan yang diberikan. 



Isi
Daripada kelima-lima contoh tersebut, didapati kefahaman murid mengenai isi adalah 100 peratus.  Kesemua mereka dapat menguasai bidang isi iaitu apa yang hendak dikata.  Kesemua mereka dapat menulis dengan jelas mengenai subjek yang hendak diceritakan iaitu ‘sahabat baik’.

Organisasi
Dari segi kebolehan bidang organisasi ataupun kebolehan menyusun apa yang hendak dikatakan, didapati 100 peratus murid-murid dapat menguasainya dengan cemerlang.  Malah ada yang dapat melakukannya dengan baik tanpa mengenepikan aspek pengenalan, pertengahan isi dan penutup karangan.

Ekspresi
60 peratus iaitu 3 daripada 5 karangan tersebut mempunyai permulaan ayat yang sama iaitu “Saya Mempunyai Sahabat Baik.”  Secara umum meskipun kurang tepat, boleh dikatakan murid-murid ini tidak dapat mengembangkan ayat menggunakan idea sendiri untuk permulaan ayat dan menggunakan ayat yang sama yang telah diberikan oleh guru di papan hitam.  Kemungkinan mereka menghadapi masalah untuk mengatakan apa yang dikatakan ataupun dikenali kebolehan mengeksploitasi bidang ekspresi.  Begitu juga dengan aspek tatabahasa daripada segi penggunaan huruf besar, kesalahan ejaan dan isi yang terkeluar daripada tajuk yang menyebabkan mereka kehilangan markah.  dikembangkan dengan baik lagi. 





Kesimpulan.
Setelah membincangkan mengenai pendekatan, teori, kaedah, model dan teknik, dapatlah dirumuskan bahawa pengetahuan secara holistik merupakan satu keperluan yang mendesak di dalam sesi pengajaran dan pembelajaran penulisan.  Sememangnya, tiada pendekatan, kaedah atau teknik khusus di dalam menghasilkan kualiti dan kuantiti cemerlang di dalam pengajaran penulisan tetapi guru-guru mempunyai seleksi yang luas dengan kepelbagaian pendekatan dan konsep yang telah dibincangkan di atas.  Keutamaan adalah memastikan objektif pengajaran berkesan mencapai matlamatnya. 
 Di antara ciri pengajaran berkesan ialah kepelbagaian penyampaian dan kejelasan penyampaian oleh guru.   Di antara objektif penulisan ialah memperkembangkan imaginasi dan pemikiran kritis murid-murid  di samping menyediakan murid-murid yang berpengetahuan menyampaikan maksud melalui penulisan yang betul.  Di samping menitikberatkan proses penulisan yang sesuai, tidak ketinggalan juga ialah pemuliharaan hukum bahasa baku yang melibatkan tatabahasa, ejaan, kosa kata serta sebutan yang betul di dalam aktiviti menulis dan membaca.




Bibliografi
  
Video penerangan Mengenai KSSR, May 18, 2012  diperolehi daripada : http://www.moe.gov.my/bpk/v2/kssr/index.php
Pengertian Menulis. Yulia Alamudin. Oktober 29, 2009 diperoleh pada Oktober 27, 2013 daripada http://pembelajaranmenulis.blogspot.com/
Teori Behaviorisme.  Rabiatul Faezah Rameli, Norasma Yasimin binti Suliman dan Shahrul Nazmi bin Mohamad.   September 20, 2010 diperoleh pada Oktober 27, 2013 daripada http://teoribehaviorismeivanpavlov.blogspot.com/
Pendekatan, Kaedah Serta Cara Mengajar Penulis.  YazidBiz369. April 22, 2011 diperoleh pada November 1, 2013 daripada http://yazidbiz369.blogspot.com/2011/04/pendekatankaedah-serta-caanra-mengajar.html
Teori Pemerolehan Bahasa.  Fadhilah Sulaiman.  Tiada tarikh.  Diperoleh pada November 1, 2013 daripada http://www.scribd.com/doc/160244171/KULIAH-4-Teori-Pemerolehan-Bahasa
Pengajaran dan Pembelajaran Penulisan.  Zamzuri Mohamed.  April  8, 2010.  Diperoleh pada November 10, 2013 daripada http://retibasa.blogspot.com/2010/04/pengajaran-pembelajaran-penulisan.html
Prinsip Pengajaran Penulisan.  Abdul Sukor Shaari.  Tiada tarikh.  Diperoleh pada November 10, 2013 daripada https://docs.google.com/presentation/d/1zTWTaEDhguCPj84PXwsqMNWufCFFOlYVPnw2EYGaXy8/edit#slide=id.p13
__________ . KRB 3023 Penulisan dan Kaedah Unit 1- Unit 5.
Tuan Jah Tuan Yusof.  Kaedah Pengajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah.  Selangor.  Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Ke Kang He & Mark Shin Kee Shun. 2015 Teaching Writing in Chinese Speaking Areas. In Mark Shin Kee Shun and De Lung Zhang  (Eds).  Springeronline.com.  USA.
A.C. “Buddy” Krizan dan Joyce P. Logan.  2000.  The Basic : Writing.  South Western Educational Publishing USA.
John Lyons. 1995.  Bahasa Natural dan Tatabahasa Sejagat.  Esei dan tesis dalam Linguistik.  DBP.


Abu Hassan Abdul dan Abd. Rashid Md Idris.  2012.  Seni Mengarang.  Tanjung Malim.  Perak.  Pusat Pendidikan Luar UPSI.

Lampiran 1

Rakaman video klip Cakapan Berirama – Budi Bahasa Budaya Kita daripada http://www.youtube.com/watch?v=nxU_BDLKEPc

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget