..yang bernama sahabat

Thursday 9 January 2014

Penerapan Ciri-ciri Pemikiran Dalam Karya Agung di Sekolah

Add caption
1.0 PENGENALAN
Kesusasteraan Melayu dikatakan bermula daripada prasasti-prasasti bertulis di dalam Bahasa Melayu kuno dalam bentuk syair seperti batu bersurat Talang Tuo atau Jawa Kuno di Kedukang Bukit.  Jelas bahawa karya sastera lebih istimewa kedudukannya berbanding bahasa harian.  Bahasa karya sastera biasanya mempunyai susunan yang indah dengan bantuan kata-kata yang mengangkat pemiliran penuls secara tersirat di dalam karyanya.  Bahasa Melayu dan sastera adalah sebuah hubungan simbiosis.  Hasil daripada pengajaran bahasa yang berpilin dengan sastera akan memberi impak besar di dalam kehidupan.

Sebagai contoh mengheret ciri pemikiran di dalam karya agung Ranjau Sepanjang Jalan dapat membekalkan keinsafan kepada murid-murid.  Pemikiran daripada aspek sosial seperti kemiskinan yang menebalkan semangat juang bermati-matian untuk meneruskan kelangsungan hidup harus diteladani dan diadaptasi oleh murid-murid di dalam kehidupan.  Melalui beberapa kaedah, murid-murid akan didekatkan dengan ciri pemikiran, nilai budaya dan pandangan hidup yang diterapkan oleh Shahnon Ahmad di dalam Ranjau Sepanjang Jalan.    

Kesungguhan Lahuma dan keluarganya bersedia menghadapi cabaran alam semula jadi seperti bah, burung tiak, ketam putih, kemarau, babi hutan, ular dan sebagainya serta berazam untuk mengatasinya harus diteladani.
Seterusnya ciri pemikiran yang diterapkan ialah konsep tawakkal, iaitu penyerahan seratus peratus selepas usaha hidup mati dilakukan sehingga Lahuma meninggal dunia, Jeha hilang kewarasan dan Sanah memikul semua tanggungjawab meneruskan perjuangan bapa dan ibunya. 

John Barell (1991) mendefinisikan pemikiran ialah proses mencari makna serta usaha mencapai keputusan yang wajar.  Pemikiran di dalam karya sastera pula diistilahkan sebagai sesuatu gagasan atau sumbangsaran  yang ingin diterjemahkan oleh pengarang kepada masyarakat pembacanya.  Pemikiran boleh diispirasikan oleh pelbagai faktor seperti aspek ekonomi, politik, sosial dan sosiobudaya.  Seperti di dalam karya Ranjau Sepanjang Jalan, Dato’ Shahnon Ahmad membawa pemikiran mengenai kemiskinan yang menjadi perkara pokok kepada usaha tanpa jemu dan berserah kepada Allah sebagai jalan untuk keluar daripada kepompong tersebut. 

Nilai budaya dan pandangan hidup masyarakat petani digambarkan jelas oleh pengarang di dalam teks Ranjau Sepanjang Jalan ini.  Nilai-nilai budaya merupakan sesuatu yang dipersetujui bersama di dalam satu komuniti masyarakat yang menjadi tabii, kepercayaan beserta simbol atau perbuatan tertentu yang terkait di antara satu sama lain sama ada secara jelas atau tidak terlihat dek mata kasar.  Pengarang di dalam karyanya yang indah akan membawa murid-murid menyelami nilai budaya masyarakat petani era 20-an, pandangan hidup mereka yang pesimis tetapi benar sebagai pengajaran.

2.0 AKTIVITI PENERAPAN
Terdapat beberapa kaedah yang boleh digunakan di dalam proses Pembelajaran dan Pengajaran sebagai wahana untuk menerapkan pemikiran Shahnon Ahmad kepada murid-murid.  Di antaranya ialah 3 teknik kelompok aktiviti yang sesuai semasa proses tersebut iaitu,
2.1. Kumpulan kaedah informatif – kaedah bacaan terarah, kaedah simposium
2.2 Kumpulan kaedah partisipatif – kaedah pernyataan, kaedah lampasan otak, kaedah             perbincangan/diskusi kelompok, kaedah buzz group, kaedah forum, kuiz, kajian kes, kaedah      peristiwa dan main peranan.
2.3. Kumpulan kaedah partisipatif-eksperiensial -  kaedah penemuan, kaedah demostrasi, kaedah ungkapan kreatif dan lain-lain.
Dua kaedah yang menjadi pilihan untuk pengajaran penghayatan karya agung ialah teknik menyelesaikan masalah dan teknik membuat projek.    Kedua-dua kaedah ini lebih menjurus kepada aktiviti murid-murid dengan pengawasan yang minima daripada guru dengan suntikan elemen didik hibur untuk memastikan murid-murid tidak bosan semasa proses tersebut berlangsung.

Teknik Menyelesaikan Masalah
John Dewey dan Gagne merumuskan beberapa langkah menggunakan teknik ini iaitu;
2.4.1  Menyedari masalah
2.4.2  Kenal pasti masalah
2.4.3 Perancangan mencari solusi
2.4.4 Mencari maklumat untuk solusi
2.4.5 Mengenal pasti rumusan penyelesaian masalah
2.4.6 Menilai langkah penyelesaian yang diambil
2.4.7 Mengesahkan penyelesaian masalah.

2.5  Langkah 1
Untuk kaedah ini, guru-guru akan menayangkan beberapa blok petikan dialog atau naratif daripada karya agung di dalam satu persembahan yang dipanggil novel multimedia.  Novel multi media adalah salah satu karya kreatif bentuk baru yang menggabungkan sistem audio, teks, dan grafik di dalam satu masa.  Tujuan penggabungan teknik ini adalah untuk mengukuhkan pegangan ingatan murid-murid terhadap teks tersebut seperti mana mereka menonton siri kartun di televisyen  Setelah dibahagikan kepada beberapa kumpulan, murid-murid dikehendaki mengenalpasti masalah yang dikemukan di dalam petikan tersebut.
Sebagai contoh di dalam naratif:

Lahuma tidak berganjak dari bekas tanah semainya.  Malah, dari bendang 14 relung itupun dia tidak akan berganjak ke mana-mana.  Tanah itu adalah satu-satu tanahnya.  Samalah seperti tanah airnya yang baru merdeka ini.  Tidak ada tanah air lain baginya dan keluarganya.  Hidup mati di tanah airnya sendiri.  Musuh dan malapetaka hanya dilawan saja.  Dan di antara dia dengan musuh cuma ada satu keputusan saja iaitu mati salah seorang.

2.6  Langkah 2
Murid-murid harus mencerakin isu pemikiran Lahuma di dalam petikan ini. Sebagai contoh, di dalam keratan naratif tersebut masalah yang yang ditimbulkan ialah masalah tanah dan semangat Lahuma yang kuat untuk menentang apa sahaja bala yang datang untuk mempertahankan tanah sehingga sanggup mati.

Guru-guru akan meminta murid-murid menyenaraikan masalah-masalah tersebut secara bertulis dan meminta murid-murid membentangkan jalan penyelesaian terhadap masalah tersebut berdasarkan perbincangan sesama mereka.  Guru hendaklah mewujudkan persekitaran pembelajaran yang terbuka tanpa banyak sekatan.  Murid-murid mungkin harus dihidangkan dengan tayangan video multimedia berkenaan keratan tersebut dari masa ke semasa atau sedutan-sedutan pendek daripada filem Ranjau Sepanjang Jalan itu sendiri. 
Guru-guru boleh menggunakan pendekatan soal jawab dengan megemukan soalan-soalan berikut seperti;
2.6.1 Kenapa Lahuma begitu tekad memperjuangkan tanahnya?
2.6.2 Kenapa tidak ada tanah air lain bagi Lahuma?
2.6.3 Kenapa Lahuma begitu tekad melawan musuhnya sehingga sanggup mati?

2.7 Langkah 3
Setelah masalah dikenal pasti, guru hendaklah memandu murid mendapatkan maklumat untuk menyelesaikan masalah tersebut.   Murid-murid dibenarkan untuk membuat hipotesis berdasarkan tanggapan logik dan jujur mereka.  Solusi yang diberikan mungkin sahaja terkeluar daripada topik tetapi selagi ia dapat mengeluarkan nilai positif dari dalam diri mereka, guru harus membenarkannya.  Biarkan mereka mengemukakan pendapat sebagai solusi terhadap pemikiran Lahuma dalam mendepani masalahnya seperti petikan di atas.  
Sebagai rumusan teknik menyelesaikan masalah ini sebenarnya dapat membantu murid-murid berfikir secara rasional dan membina sikap bersedia berhadapan dengan masalah dengan memikirkan bahawa setiap masalah mempunyai jalan penyelesaiannya. 

2.8 Teknik Membuat Projek
Untuk pendekatan seterusnya, Teknik Membuat Projek boleh digunakan sebagai satu kaedah pengajaran dan pembelajaran penerapan Karya Agung di sekolah.  Teknik ini adalah kaedah di mana guru memberikan tugasan dan murid-murid diminta menghasilkan sesuatu kerja secara berkumpulan dan hasilnya dapat dilihat dalam bentuk fizikal.
2.8.1 Langkah 1
Murid-murid dikumpulkan kepada beberapa kumpulan.  Guru akan menerangkan kepada murid-murid ciri-ciri nilai budaya di dalam petikan naratif daripada teks.   Kemudian murid-murid diiminta mencari keratan gambar yang berkaitan dengan petikan tersebut. 
‘Seorang dua mengesyorkan agar kaki yang tertusuk duri nibung itu direndam di dalam air daun karapule atau campur ramuan sintuk bersama akar lengkuas’ ( m/s 97) dan ‘Seorang pawang yang dipanggil cuba membuat air jampi dengan beras kunyit dan kemenyan tetapi duri itu masih juga tersumbat di dalam.’ (m/s 97)

Projek  : Membuat Buku Skrap yang berkaitan dengan nilai budaya dan pandangan hidup seperti di dalam petikan naratif di dalam teks Ranjau Sepanjang Jalan
Pengajaran : Ciri Budaya dan Pandangan Hidup
Kumpulan Sasaran : Murid-murid Tahun 4
Objektif :
Pada akhir pengajaran, murid-murid dapat memadankan dan memahami ciri budaya masyarakat yang digambarkan di dalam teks dengan gambar.
Menggambarkan ciri budaya masyarakat melayu pada seperti era tersebut di dalam teks. 
2.8.2 Langkah 2
Guru akan membacakan atau memberikan keratan perenggan di dalam teks dan menerangkan tentang pengertian nilai budaya dan pandangan hidup seperti yang terdapat di dalam naskhah tersebut.  Murid-murid dikehendaki menyiapkan sebuah buku skrap secara berkumpulan dengan tajuk nilai budaya dan pandangan hidup di dalam Ranjau Sepanjang Jalan.  Guru membahagikan murid-murid kepada beberapa kumpulan.
Guru akan menerangkan format kandungan  projek buku skrap yang perlu disiapkan iaitu;
a)      Muka depan
b)      Penghargaan
c)      Kaedah kajian
d)     Hasil kajian
e)      Rumusan

2.8.3 Langkah 3
Setiap kumpulan dikehendaki mencari tiga keping gambar yang berkaitan dengan petikan di atas.  Sebagai contoh, murid-murid boleh mencari gambar bomoh, beras kunyit dan air jampi. 
Berdasarkan gambar murid-murid dikehendaki membuat beberapa ayat mudah yang berkaitan dengan teks seperti;
a)      Di manakah daun karapule, akar sintuk dan akar lengkuas mudah diperolehi?
b)      Kenapa penduduk Banggul Derdap tidak pergi ke hospital sebaliknya lebih percayakan pawang dan bomoh?
c)      Apakah fungsi lain beras kunyit di dalam masyarakat Melayu?


2.8.4 Langkah 4
Setiap kumpulan akan merujuk kepada guru sebelum setiap kumpulan diminta membentangkan projek mereka.  Pembentangan hendaklah dilakukan dengan bantuan guru sebagai pemudahcara dan murid-murid akan diberikan merit berdasarkan kerjasama di dalam kumpulan dan hasil projek mereka.
2.8.5 Langkah 5
Sebagai langkah rumusan, di akhir pembentangan, guru-guru akan menyoal murid secara rawak mengenai apa yang mereka fahami melalui projek tersebut.  Guru akan menyoal mengenai budaya-budaya lain yang kedapatan di dalam masyarakat Melayu yang boleh dikaitan dengan projek buku skrap murid-murid tersebut. 
Rumusannya, daripada projek buku skrap ini, murid-murid diharapkan dapat bekerjasama secara kritis dan aktif dalam menyumbangkan idea berpandukan teks yang telah diberikan untuk menilai sejauh mana kefahaman mereka terhadap teks tersebut. 

3. KESIMPULAN
Kesimpulannya, untuk penerapan teks sastera di dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat sekolah rendah suatu aktiviti yang benar-benar menarik minat murid-murid harus diketengahkan.  Ini adalah kerana aktiviti yang tidak bertepatan dengan kehendak usia mereka akan mendatangkan kesan negatif seperti ketiadaaan tindak balas daripada mereka, mudah mengantuk dan guru sendiri merasa kecewa kerana pengajaran yang berkesan tidak dapat disampaikan. 
Menurut teori Piaget kanak-kanak dalam lingkungan umur 7 sehingga 11 tahun sudah mempunyai kemahiran berfikir secara logik walaupun masih tertakluk kepada situasi konkrit.   Pada ketika ini penggunaan otak kiri dan otak kanan manusia sedang berkembang pesat dan aktiviti berteraskan didik hibur akan membuatkan murid-murid sentiasa terangsang untuk belajar dan mendapat maklumat.  


Bibliografi

Shahnon Ahmad.  (2006).  Ranjau Sepanjang Jalan.  Selangor.  Alaf 21 Sdn Bhd
Naffi Mat.  (2006) Teknik Mengajar KOMSAS.  Selangor.  PTS Professional Publishing Sdn Bhd.
Seri Lanang Jaya Hj Rohani, Abd Rahman Napiah, Mohd Rashid Md Idris, Naffi Mat, Penghayatan Karya Agung Melayu.  Perak.  UPSI
Definisi Pemikiran, Fidz, tiada tarikh diperolehi pada Oktober 7, 2013 daripada http://www.scribd.com/doc/25161947/Definisi-Pemikiran
Tahap pemikiran kanak-kanak, Mohd Zahran Mohd Halil Mac 7, 2010 diperolehi pada Oktober 28, 2013 daripada : http://zackzahran.blogspot.com/2010/03/perkembangan-kognitif-kanak-kanak.html




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...