Dia masih berlegar-legar mencari ruang yang
strategik. Biarpun kehangatan memberi
kenyamanan,, sesekala dia terasa ingin meluruskan kaki. Di luar sana hujan terus membasah bumi. Di dalam, terasa hujan menyalur juga membawa
duka. Dia tertanya-tanya. Hujan itu datangnya membawa duka. Padahal, tersebut di dalam catatan termasyhur
Maha Pencipta hujan diturunkan untuk memberi rahmat kepada sekalian makhluk.
Dia
berputar-putar senang. Suasana di sini
mendamaikan tetapi ada rasa kosong melompong yang menyalur terus masuk ke
hatinya. Penat, dia mencari bantalnya
dan melelapkan mata. Tetapi cuma
seketika. Dia berputar-putar lagi. Sesekali mencuba mencari pintu untuk keluar.
Terasa
ada tangan melekap di dinding dan memaksanya juga berhenti berputar. Dia
mencuba untuk mengecam jemari itu tetapi cuma seketika. Tadi, diletakkan hanya sebagai amaran
kepadanya supaya jangan pandai-pandai mencari pintu keluar. Duduk sahaja diam-diam di dalam sana.
Mana
mungkin dia berbuat begitu. Sedangkan
saban hari dia mendengar bicara-bicara dan cerita di luar sana. Semuanya indah. Semuanya manis-manis. Yang sedih dan yang terasa sedikit menganggu
adalah aliran rasa yang masuk ke dalam dadanya.
Persoalan mengasak kepalanya. Semenjak awal kedatangannya
ke ruang itu, sehingga sebesar ini, pelbagai benda yang masuk ke ruang itu
kadang-kadang menyesakkan dadanya.
Adakalanya
terasa kulitnya mahu mengelupas terbakar.
Sesekala terasa ada sesuatu yang mengitar batang leher ingin
mencekiknya. Tetapi dia masih ampuh
berkitar di dalam dan orak-arik di luar itu tidak mampu menyentuhnya.
Dia percaya, kehadirannya mungkin dalam paksa
tetapi telah ditetapkan penciptanya untuk dia berada di situ. Maka, terlindunglah dia daripada segala
paksaan untuk mengeluarkan dia dari situ.
“Saya akan jaga dia…” Kalau itulah suara
perempuan yang kemudiannya dipanggil ibu, maka haruslah dia berterima kasih
kepadanya. Memberi tumpang pada sebuah
persinggahan bernama rahim yang sangat penyayang. Semenjak bermula sebagai setitis air bergelar
nutfah lagi.
Dia
tidak mahu ambil tahu asal kejadian yang mengundang kehadiran sperma di dinding
ovum perempuan itu. Atas desakan atau
jemputan siapa dia tidak mahu ambil tahu kerana sudah berjanji untuk tidak
ambil tahu. Ikrarnya dengan pencipta
ialah sentiasa tunduk patuh dan redha dengan kejadiannya.
Ketika
dia berstatus alaqah juga dia kerap terdengar lagu-lagu pilu dan getaran
terdesak dari dalam dada perempuan yang menumpangkan dia itu. Dia masih patuh pada ikrarnya tidak mahu
ambil tahu.
Semakin
mendekati mudghah dia kadang-kadang merasakan perempuan itu begitu terdesak
untuk menghalaunya keluar dari situ.
Tetapi setiap kali dihalau, tuannya Yang Maha Tahu sudah bersedia untuk
menghalangnya.
Perempuan
itu semakin terpaksa biarpun sudah menumbuh izam dan lahm di dalam persinggahan
yang sangat penyayang itu. Dia terus
merasa nyaman di situ biarpun mulai faham bahawa kehadirannya tidak
dialu-alukan sangat. Laksana orang
miskin dijemput mendatangi kenduri kahwin empat hari empat malam empunya istana
di kaki bukit. Cuma tersipu-sipu di
balik pagar bagai melukut di tepi gantang.
“Perempuan yang berzina harus dihukum!” Dia
mendengar keputusan penghakiman itu tetapi tidak pasti daripada mulut
siapa. Cuma hukuman itu disambut dengan
esak tangis berhenjut-henjut dan jiwanya juga turut merasai kesedihan itu.
“Zina bermaksud perbuatan bersetubuh tanpa
nikah di antara lelaki dan perempuan yang haram berkahwin.” Di hari lain dia mendengar definisi itu. Jika zina itu adalah perbuatan bersetubuh,
maka bersetubuh pula bermaksud di antara lelaki dan perempuan yang bukan
mahram. Yang boleh menghalalkan ikatan mereka adalah dengan ijab dan qabul.
Dia
berguling-guling berpusing-pusing mengetawakan sang pembawa definisi. Kalau
bersetubuh itu di antara lelaki dan perempuan, kenapa perempuan yang berzina
sahaja dihukum. Kenapa lelaki yang
berzina tidak dihukum.
Apakah
kerana lelaki tidak berumahkan rahim yang penyayang maka dia boleh melenggang
kangkung meninggalkan pergi benih yang ditabur begitu sahaja? Kenapa harus ada label kelas kedua sedangkan
perempuan sudah mendominasi dunia tatkala lelaki mabuk dengan hedonisme.
“Anak itu anak haram…” Kali ini dia mendengar lagi suara yang sama
melekatkan label atau manila kad besar di perut perempuan itu. Maka tercucuk hidunglah perempuan itu membawa
label itu ke hulu ke hilir. Apakah
kehadirannya bersumberkan nutfah babi atau anjing yang terjebak di dalam kantung
telur wanita itu maka dia dilabel haram.
Dia
terus berguling-guling dan berpusing-pusing. Sesekali mengepakkan tangan dan
kaki. Bagaikan terlihat-lihat nur memancar memberi jalan ke arah pintu. Dia ingin ke sana tetapi ada tangan lembut
mengusap dinding dan mengenai lututnya.
“Sabar dulu…”
Perempuan itu bersuara. Lunak
suaranya tetapi hatinya tidak begitu.
Dia dapat merasakan debaran kencang yang menyelinap terus ke tangkai
hatinya. Dia dapat merasakan alur bimbang semakin melebar di dalam dada
perempuan itu. Dia berpusing-pusing lagi
bagai merasakan ada karpet merah yang terbentang menghala ke arah pintu.
Para
bidadari syurga sedang beratur di sepanjangnya menaburkan wangian sebagai
ucapan selamat tinggal. Juga sebagai ucapan selamat datang ke persinggahan
kedua yang tidak juga kekal lama tetapi sangat mencabar.
Sedang
petualang dari langit juga sudah bersiap sedia dengan konco-konconya untuk
memulakan tugas. Beruntunglah dia seandainya mata terbuka disambut azan.
Rugilah dia seandainya mata terbuka disambut tohmah maki dan seorang lelaki
yang dipaksa untuk mengaku sebagai penabur benih.
Dia
tahu, walaupun Maha Pencipta tahu, mereka tidak tahu. Mereka bukanlah pembaca
hati seperti kekasih Maha Pencipta yang maksum. Yang boleh membaca apa yang ada
di dalam hati perut Abdullah bin Ubay. Yang boleh berkata-kata dengan pokok, dengan unta.
Malah dengan daging kambing yang sudah dijadikan lauk salai bergelumang
racun yang dihidang perempuan Yahudi untuk membunuh Rasul akhir zaman itu.
Sinar
di hujung jalan semakin terang. Bagai
terdengar suara memanggil-manggil. Bersenandung beramai-ramai bagai inang
pengasuh puteri raja dalam filem Melayu terbitan Cathay Keris ataupun Shaw
Brothers.
Kali
ini sudah tidak boleh berpusing-pusing.
Terdengar-dengar suara memanggil mengumumkan bahawa masa bermain-main
dan berpusing-pusing sudah tamat.
Pengumuman semakin nyaring di telinga kecilnya memberitahu bahawa masa
untuk menyepak terajang dengan kaki kecilnya sudah dinokhtahkan.
Kini,
dia harus terus menuju ke lorong itu.
Tetapi itu bukan usaha suara di sekitarnya. Bukan dengan bantuan bidadari yang merenjis
kasturi sebentar tadi. Semuanya di atas
usahanya sendiri.
Berada
di lorong ini sangat melemaskan. Dia
tidak boleh bergerak ke mana-mana. Dia
ingin berundur, kembali ke tempat hangat yang penyayang itu. Tetapi kepalanya sudah tersekat di
persimpangan itu. Biarpun dinamakan
simpang, dia tidak boleh memilih untuk ke kanan ataupun ke kiri. Dia cuma boleh memilih arah ke depan.
Sesekala,
dia mengeraskan tubuhnya untuk membolehkan dirinya berpisah dengan kelemasan
ini. Dia terdengar suara erangan yang
beserta tangisan. Tetapi, dia tidak
peduli. Dia mahukan dirinya berhembusan
keluar semudah pawana yang menerobos jendela.
Bagaimanapun, dia masih di situ lagi. Sedang talian makanannya sedang makin kejap
melilit leher. Bak ular sawa mendapat habuan kerbau bunting. Semakin kuat rontaan, semakin kuat melilit.
Dia
juga tidak faham kenapa tali pusat itu tidak mahu melepaskannya. Dia mengerti tentang keakraban mereka. Tetapi sahabat yang akrab tidak akan
menyakitkan sahabatnya di dalam apa keadaan sekalipun. Mungkin sang tali
mengambil perumpaan bagai isi dengan kuku.
Langsung tidak boleh dipisahkan.
Tetapi pinggir kuku yang tajam, kalau dibiarkan akan mencucuk isi.
Sangat menyakitkan.
Sedikit
demi sedikit, dia melihat cahaya. Hiruk
pikuk sekitar kian menguat biarpun masih kedengaran sayup-sayup Antara dengar dengan tidak. Tetapi, dia tidak mendengar suara sesiapa. Hanya bunyi hembusan kipas kuat pengering
lantai.
Cahaya
semakin lama semakin cerlang tetapi saat hidungnya terbebas dari kelemasan, dia
merasakan dirinya dibawa ke alam lain.
Merasakan hidungnya yang bersememeh darah kini menjadi laluan air yang
masuk laju ke dalam paru-paru. Air yang
ditolak laju menolak tubuhnya sekali ke lorong satu lagi. Melemaskan dan tidak bercahaya. Syaitan belum
sempat mencubitnya kerana dia telahpun dikirimkan ke alam satu lagi. Dia bangga kerana tidak singgah ke alam fana
ini. Sangat bangga.
Dia
terdengar-dengar esak tangis yang menggila beserta bunyi flush tandas yang tersangkut.
Perempuan itu mungkir janji untuk menjaganya.
No comments:
Post a Comment