SAAT
terbuka pandangan menjelang pagi, segera dititahkan semua cerdik pandai istana
untuk menceritakan kembali mimpinya.
Sekaligus menafsirkan mimpi itu.
Gempar seisi istana dengan kehendak raja. Mencari mimpi dan menafsirkannya. Tukang tilik dan nujum di raja bekerja keras
membuka kitab dan lembar ilmu kuno mencari titik yang menggerakkan minda mereka
mencari letaknya mimpi raja kesayangan mereka yang tiba-tiba kabur. Tetapi tidak ditemukan. Maka pecahlah khabar mengenai Nabi Daniel,
tawanan Yahudi dari tanah Palestin yang alim.
Beralihlah mereka kepada waris jurai keturunan Yahuza atau Bunyamin atau
Lawi iaitu anak kepada Nabi Yaakob itu.
Dalam
mimpi itu, patung itu sangatlah agam.
Besar lagi gagah. Tegak dan
tinggi di hadapan bagai mencabar dirinya tapi kerana ia hanya patung, tiadalah
bimbang akan ia. Jika patung itu bergerak menghunus pedang, maka tidaklah dia
akan berdiam. Dia adalah Bukthanasar
anak kepada Nabopolassar. Raja kerajaan
besar Babylon. Kerajaan yang diambil
namanya daripada bahasa Akkadia, ‘Babilu’ yang membawa makna ‘pintu masuk
dewa’.
Kepala patung itu bersinar kemilauan dengan
logam paling berharga iaitu emas tua.
Emas, galian gilaan manusia menjadi penanda takah kebanggaan manusia. Semakin banyak, semakin tebal, maka semakin
tinggilah darjah keegoaan kecuali buat orang-orang yang meletakkan zuhud
sebagai jalan hidup.
Dada
dan lengannya daripada perak, logam berharga berada di tempat kedua selepas
emas tetapi kilauannya tidak begitu memukau.
Bagaimanapun, nilai dan kecintaan terhadapnya tetap mampu mengalpakan
manusia yang meletakkan dunia di atas junjungan kepalanya.
Perut
dan pinggangnya diperbuat daripada tembaga atau gangsa dan semakin menurun,
semakin kurang berharga buatannya.
Pahanya daripada besi dengan kakinya separuh besi dan separuh tanah liat. Sedang asyik baginda melihat patung itu,
sebongkah batu yang entah dari mana tiba-tiba jatuh menghempap kaki patung itu
dan menghancurkannya sekaligus. Menjadi
debu-debu lantas menghilang pergi ketika ditiup angin.
Bukthanasar
atau Nebukadnezar itu tidak berkata apa-apa lagi. Perkataan Nabi Daniel itu bagai memantak
masuk ke dalam cepu kepalanya satu persatu.
“Begitulah
mimpi tuanku,”
“Terangkanlah
kepada beta, takwilkanlah seandainya kamu memang benar utusan llahi,” kata bijak pandai kerajaan beta, hanya
kamulah yang mampu mentakwil mimpi pelik itu,” titah Raja Bukthanasar kepada
Nabi Daniel.
Selepas
Nabi Daniel menceritakan perihal mimpinya yang kabur sebaik mata terbuka
tadi. Nabi kaum Yahudi yang kini menjadi
tawanan Babylon selepas pengepungan Jerusalem.
Jerusalem dibersihkan buat kali keduanya oleh angkatan Raja Bukthasar
dan sekutunya bangsa Barbar Scythia Gog.
Sisa-sisa penduduknya dipunggah dalam keadaan hina ke Babylon dan
menjadi tawanan. Begitu juga dengan
alatan kuil, perkakasan emas dan perak turut sama diangkut ke Babylon.
Raja
Bukhtasar memerintahkan Raja Israel, Zedekiah dibunuh sementara Nabi Jeremiah
diberi jaminan hidup olehnya. Bangsa
degil itu akhirnya tumbang selepas engkar dengan ingatan Nabi Jeremiah seperti
yang termaktub di dalam Surah Al-Israk 17:4 bermaksud ‘dan Kami tetapkan
terhadap Bani Israel dalam kitab itu.
Sesungguhnya kamu akan membuat kerosakan di muka bumi ini dua kali dan
pasti kamu akan menyobongkan diri dengan kesombongan yang besar’.
Taman tergantung buah tangan untuk Permaisuri
Amuhia kelihatan gagah dan indah dari pandangan matanya. Terletak
berhampiran Sungai Euphrates diharapkan meleraikan rindu Amuhia kepada
Medes. Memandangkan Mesopotamia ini
hanyalah lembah tandus dan batuan buram yang tidak menarik di pandangan mata
wanita itu. Didirikan di pinggir bukit
dan dinaikkan tanaman hijau dan sumber air pada teres-teres yang lebih berupa
anjung yang bertaman.
“
Wahai tuanku pemerintah Babylon.
Kerajaan besar dan agung dan muluk tiada seumpamanya. Diberikan kesempatan oleh Allah untuk merasai
sedikit daripada nikmat kekuasaanNya.
Adapun patung itu adalah perlambangan kerajaan-kerajaan pagan dunia yang
akan musnah satu persatu. Dimusnahkan
oleh seketul batu tanpa campur tangan manusia yang menghancurkan kakinya yang
diperbuat daripada besi dan tanah, sekaligus memadamkan terus api kebanggaan
yang menjadi tonggak kehidupan manusia,” ujar Nabi Daniel, teratur.
Ingatan
Allah adalah bahawa, kesemuanya itu
adalah milik Allah. Kalian boleh
mendapatkannya kerana dijadikan segala isi bumi untuk kemudahan manusia. Tetapi, Allah juga berhak mengambilnya
bila-bila masa kerana segala makhluk termasuk seorang raja besar seperti
Bukthanasar sekalipun adalah milik Allah.
“Bahagian
pertama yang akan musnah adalah bahagian kepala yang dipadukan daripada emas
tua. Emas tua adalah melambangkan
kehebatan kerajaan Babylon ketika ini.
Ketika tuanku berada di atas takhta dan memerintah sebahagian besar
dunia ini. Kerajaan paling sistematik
semenjak diasaskan oleh Hamurrabi ini akan berkubur selepas tuanku. Seperti mana Allah menguburkan kaum-kaum yang
engkar di muka bumi ini. Kaum nabi-nabi
sebelum ini yang angkuh menongkat langit, membelakangi pencipta. Padahal, langit yang ditongkatpun hanya pinjam-pinjaman.
Patung
emas tulen yang menjadi sembahan rakyat Babylon turun-temurun itu juga akan
turut serta hancur bersama-sama bangsa itu sendiri. Seluruh empayar Babylon dari Mesir hingga
Assyria. Begitulah takwil hamba.”
Raja
Bukthanasar tersenyum di dalam gundah.
Raja yang menyatukan Babylon dengan memasukkan Assyria dan Madia di
dalam peta kerajaannya. Juga menakluki
Judah dan memperhambakan seluruh umat Yahudi dan dikurung di Babylon. Setidak-tidaknya semuanya berlaku selepas
ketiadaan dirinya. Biarpun berbangga
kerana kerajaan Babylon itu tinggi darjatnya.
Di kepala letaknya dan daripada emas pula, hatinya diusik curiga. Mati itu tetap menakutkan!
“Lalu,
dada dan tangan perak itu bagaimana?”
Tanya baginda lagi. Mahkota kebesaran bersalut emas bergemerlapan di
atas kepalanya. Para menteri yang turut
berada di dalam balai penghadapan itu turut khusyuk mendengar kata-kata Nabi
Daniel.
Maka
berkatalah Nabi Daniel, tawanan dari tanah letaknya tempat sembahyang yang
tidak habis dibina Nabi Sulaiman A.S. itu.
“Adapun dada dan tangan perak itu adalah
perlambangan kerajaan Parsi yang tidak sehebat Babylon. Kerana itu ia dilambangkan dengan perak. Masih berharga tetapi nilainya kurang sedikit
daripada emas. Dengan izin Allah, hamba berkata bahawa Raja Kurush, raja
terhebat empayar Parsi akan menghabiskan kerajaan Babylon dengan tangannya
sendiri. Baginda akan menaiki takhta
setelah menembusi Medes, Lydian dan Babylon.
Babylon akan menyerah kepadanya begitu sahaja berikutan kehebatan Raja
Kurush menggunakan licik akalnya.”
Raja
Kurush akan mengembalikan kegemilangan Yahudi dan menyerahkan tanah Palestin
kepada mereka. Meluaskan jajahan
kerajaan Parsi sehingga ke pinggir laut Mediterranean, Laut Caspian dan Lautan
Hindi. Sebahagian negeri-negeri di
perbatasan Laut Hitam, Laut Merah dan Teluk Parsi. Raja Kurush akan memecahkan
tembok kuarantin bangsa Yahudi yang akan bertemu dengan Nabi Uzair yang telah
ditidurkan selama seratus tahun. Nabi
Uzair yang akan menulis kembali Taurah hanya melalui ingatan.
Nabi Daniel tersenyum.
“Apakah
selamanya dada tangan perak itu akan berkuasa?
Bukankah mereka juga akan hancur?”
Raja Bukthanasar bertanya lagi dengan dada yang sebak. Tangan kanannya yang bersalut gelang emas
umpama sarung tangan itu mengurut-ngurut janggutnya. Wajah permaisuri tercinta yang berada di
beranda bertentangan dengan singgahsananya menjengah pandangan.
“Tidak
dan benar, yang mulia Tuanku,” jawab Nabi Daniel. Dua jawapan yang mengelirukan pada satu masa.
“Tidak,
sebagaimana janji Allah, bahawa tiada yang kekal abadi melainkan Dia. Benar,
kerana selepas 200 tahun, Alexander Yang Agung,
penakluk dari Macedonia Yunani pula yang akan mempamerkan kuasanya,”
Kononnya dia adalah anak kepada raja Parsi Darayee Darab dengan anak gadis
Raja Philip, pemerintah Rom. Tetapi Raja
Philip menyembunyikan kesahihan itu dan mengatakan Alexander adalah anaknya
sendiri. Menguasai empayar Parsi
sepenuhnya dan diperluaskan sehingga ke Anatolia dan ke benua India.
“Dialah
yang tuanku lihat sebagai perut dan paha gangsa. Baginda akan menakluki dunia sehingga ke
tanah India. Dan, sekiranya kematian
tidak menghalang baginda, mungkin dunia berada di dalam genggamannya. Tetapi,
hamba masih ingin menegaskan bahawa, ketaatan haruslah telus kepada
Allah yang satu. Bukannya pada hebatnya
kerajaan. Bukannya kerana indahnya
istana, kerana semuanya itu akan terhapus.
Jika dikatakanlah Allah hancur, maka leburlah ia sekelip mata,” mata
Raja Bukthanasar terkebil-kebil mendengar penjelasan Nabi Daniel
itu. Masih jauh dari hatinya.
“Maka
selepas itu, muncullah pula kerajaan Rom sebagaimana dilambangkan di dalam
mimpi tuanku. Jari jemari patung yang
separuh tanah liat dan separuh lagi diadun daripada besi itu menggambarkan
empayar Rom itu sendiri yang terbahagi-bahagi.
Nampaknya begitu keras tetapi tidak sehebat emas, perak dan tembaga,”
Empayar Rom sendiri didirikan dalam resapan
mereka ke dalam golongan Hellenistik Yunani.
Berakar umbi di tanah jajahan Yunani sebelum membahagi diri kepada
Bizantine dan Rom Barat. Lebih menjalar
ke sebelah utara sehingga ia bagaikan menguasai Laut Mediterranean itu sendiri.
“Ternyata,
campuran besi dan tanah liat itu tidak akan melekat sehingga bila-bila. Ia akan menjadi separuh ampuh separuh
rapuh. Mereka bersatu dengan ikatan
batiniah tetapi bukan kerana Allah.
Maka, kerana itu mereka tidak akan bercampur sehinggalah empayar itu
berakhir. Empayar Rom tidak dipatahkan
kekuasaannya oleh satu empayar baru tetapi akan terus rapuh kerana kegagalan
kerajaannya bersatu sebagaimana kedudukan jari-jari kaki yang terpisah,”
Suka
atau tidak, mimpi berkenaan patung itu adalah ilham Allah buat seorang raja
yang dipilihNya. Bukhtanasar hanyalah
sarana untuk menyampaikan peringatan keras Allah terhadap bangsa Israel yang terlalu
keras kepala. Amaran demi amaran baik
keras mahupun lembut telahpun dipertontonkan oleh Penguasa kerajaan langit dan
bumi tetapi hati mereka umpama batuan hitam pekat likat yang keras.
Patung
emas, perak, tembaga, besi dan tanah liat itu akhirnya dihancurkan dengan
seketul batu. Memberi makna bahawa
perhiasan, bagaimana bernilai tetap akan menemui kehancuran. Malahan kehancurannya datang dalam keadaan
tidak disangka dan dihancurkan oleh sesuatu yang dipandang rendah oleh mereka.
Akan
datang seorang utusan Allah yang menyatukan umat manusia tanpa meletakkan
keghairahan meluaskan tanah jajahan sebagai penunjuk kuasa. Dia datang sebagai penutup kepada para nabi
dengan kelembutannya menangani cabaran dengan izin Allah. Ketegasannya menentang kemungkaran terhadap
pencipta yang akhirnya mengubah wajah dunia.
Dialah Muhammad.
Mereka
sudah mengetahuinya. Lama sebelum
kelahiran baginda lagi. Malahan kaum
Yahudi menantinya dan mengenali susuk pembawa rahmat sekian alam itu lebih
daripada mengenali anak mereka sendiri.
Malangnya, sebagaimana yang dilakukan terhadap nabi-nabi terdahulu
mereka menghijabnya dengan pelbagai alasan berbaur keangkuhan. Begitu juga dengan kaum Nasrani yang tidak
mahu menerima kenabian Rasul yang dicop mohor di belakang badannya dengan mohor
‘Nabi Penutup’. Maka, adalah malang buat
mereka yang bersusah-payah membutakan mata sendiri semata-mata untuk
mencelikkan nafsu yang sebenarnya menyesatkan mereka.
No comments:
Post a Comment