ANAKANDA yang dikasihi,
Kita
sudah berada di garisan penamat derita.
Setidak-tidaknya untuk fragmen susun suai gambar yang ketiga daripada
empat fragmen yang ada. Sebelum papa
lanjutkan lagi nota ini, segunung harapan papa adalah anakanda menerima
segala-galanya ini sebagai sesuatu yang telah tertulis oleh pencipta kita. Pencipta yang mahu melihat ketelusan dan
kekuatan seketul daging bernama hati yang diciptakannya terbungkus rapi di
dalam tubuh.
Anakanda
Bertha yang papa kasihi,
Kalau
ini kita namakan kesalahan, marilah kita mencari punca sebenar kesalahan
itu. Kalau ini ingin kita namakan
takdir, marilah kita menelusuri kembali perjalanannya yang membelit kita berdua
sehingga sampai saat ini kita masih dibelitinya. Menyesalinya tanpa henti. Menudingi sesiapa sahaja yang melintasi ruang
lingkup waktu milik anakanda, papa dan mama itu.
Papa
terlontar ke pendaerahan kecil Tjimahi di Tanah Bandung bukanlah atas kerelaan
papa. Kerakusan dunia menjadikan
orang-orang kecil seperti papa harus akur.
Harus membiarkan hidung dicucuki seperti lembu. Semata-mata untuk melampiaskan cita-cita
besar pelaung-pelaung modenisasi kononnya.
Semata-mata mahu ikut serta di dalam marathon penjarahan gila ke atas
negeri-negeri bawah angin bersama-sama British dan Portugis.
Papa
hanya anak muda naif daripada Noord Brabant, jauh di bumi yang disempadani
Belgium dan Jerman kini, Belanda. Papa
memakai seragam dengan lekatan tiga paku untuk sebagai tanda taat setia memikul
senjata untuk negara, bangsa dan agama.
Tetapi, bukan untuk membela negara Indonesia. Bukan untuk memberi nyaman kepada rumpun
bangsa berbilang itu. Bukan juga untuk
meninggikan kibaran panji agama mentauhidkan Allah, milik mereka.
Papa
datang dengan semangat ditiupkan untuk memakmurkan tanah Belanda. Untuk mengharumkan nama tanah yang lebih
rendah daripada aras laut itu sebaris dengan Portugis; yang sudah berbangga dengan irama Jingkling
Nonanya yang menapak di Melaka seawal 1511.
Papa datang dengan semangat untuk menyarungi pemikiran bangsa Indonesia
dengan peradaban baru yang lebih terkini dan memahkotakan pemikiran mereka
dengan Perjanjian Lama dan Baru yang dirangkum di dalam Bible untuk
menggantikan apa yang sedia ada.
Nona
manis bernama Adeline Hunter yang kelihatannya segar dalam haruman budaya
Indonesia menyapa pandangan papa yang memungkinkan kelahiran anakanda pada
tanggal 24 Mac 1937. Dia membawa nama
Adeline Petrus Hertogh dan papa dan mama
menamakan kamu Huberdina Maria Hertogh.
Kamu anak manis yang tembam pipinya kami baptiskan di gereja Roman
Katolik St. Ignatiuous oleh Paderi de Koster.
Entah
di mana salahnya. Entah di mana
silapnya. Mungkin juga, ia adalah
sebahagian percaturan keluarga Rotschild yang membonekakan Hitler dan sekutu
Amerika dan British, Perang Dunia Kedua pecah membubarkan nanah sengsara buat
seluruh umat manusia. Sebagaimana
adatnya kehidupan terkadang di atas dan terkadang di bawah, kuasa Belanda
menjunam di hujung mata pena yang memeterai surat penyerahan kuasa oleh Jeneral
Ter Poorten pada 8 Mac 1942 kepada ketumbukan Jepang di Batawi. Maka, di bawah perjanjian Geneva, askar
Belanda harus diheret pergi sebagai tawanan Jepang tidak terkecuali juga
ayahanda.
Hidup
di kem tawanan lebih berupa kematian pada hakikatnya. Bernafas di dalam lumpur peperangan,
bergelumang dengan penderaan dan siksaan adalah makanan yang membunuh ramai
daripada kami. Hidup bertiketkan
gelandangan tawanan perang menyaksikan maruah diri entah di mana. Kemuncak penyiksaan adalah penzahiran kudrat
yang bersisa seruas jari untuk
menyiapkan landasan keretapi maut di Burma pada 1943. Selama itu, ingatan papa pada anakanda dan
mama serta saudara-saudara kamu tidak pernah putus walau sepicingpun.
Anakanda
Bertha yang papa kasihi,
Malang
sekali apabila papa dan mama terpaksa kembali ke Bergen op Zoom tanpa kehadiranmu. Terasa ada kelompongan di mana-mana kerana
ketika papa dibawa pergi usiamu baru menjangkau enam tahun. Kamu adalah anak perempuan bongsu papa yang
paling manis. Apabila papa tanyakan
kepada mamamu, katanya kamu dilarikan seorang perempuan Melayu ke Tanah
Melayu. Apabila papa tanyakan lagi
bagaimana rentetan kejadian, mamamu membisu.
Papa tidak mahu mendesak. Papa
tahu, dia sudah terlalu trauma menjalani hidup sendirian tanpa suami ketika
saat-saat sukar biarpun kakekmu berada di sisi.
Namun, kakekmu juga bukan dari kalangan bangsawan terbilang.
“Aku
rindukan Bertha,” mamamu sering merintih semenjak kepulangan kami ke tanah
selatan Belanda itu.
Biarpun,
adik beradikmu seramai enam orang itu menjadikan dia sibuk saban waktu,
sesaatpun diri anakanda tidak pernah dilupakan.
Papa pula terpaksa meneruskan hidup dengan pencarian sebagai pekerja
kilang roti di bumi selatan tanah kelahiran papa ini.
“Aku
harap abangmu dapat membantu kita,”
pujuk papa.
Pamanmu
yang papa maksudkan masih berada di Indonesia ketika itu. Dialah yang mengusahakan segala-galanya
sehingga papa mendapat tahu anakanda berada di Kemaman setelah dilarikan wanita
itu. Dia juga yang mengusahakan segala-galanya
sehingga pentadbir British di Wilayah Timur bernama A.A. Locke dapat mengesan
lokasi sebenar anakanda.
Betapa
lapangnya hati papa ketika itu.
Seboleh-bolehnya papa dan mama mahu membawa anakanda kembali bersama
kami. Apalah ertinya keluarga jika ia
tidak saling melengkapi. Papa dan mama
bimbang dengan pelbagai perkara yang menimpa anakanda semasa anakanda
dilarikan. Sementelahan pula, susuk anakanda ternyata jauh berbeza dengan
mereka. Sudah tentulah mengundang
pelbagai kesukaran.
Anakanda
Bertha yang papa sayangi,
Apa
yang papa tidak ketahui adalah, anakanda sebenarnya bukan dilarikan. Apa yang tidak diberitahu mama dan kakekmu
ialah, anakanda sebenarnya diserahkan secara sukarela dengan bersaksikan mata
pamanmu, Paman Soewaldi. Apa yang papa
tidak ketahui ialah anakanda sebenarnya sangat berbahagia dengan kasih sayang
ibu angkat bernama Che Aminah yang menjaga anakanda bagaikan menatang minyak
yang penuh.
Apa
yang disorokkan mama adalah, dia sebenarnya tidak pernah ditipu Che
Aminah. Cerita dia tertangkap ketika
berbasikal ke Bandung untuk mendapatkan anakanda adalah bohong
semata-mata. Dongeng tentang dirinya dan
Kem Tahanan Darmo di Surabaya adalah pelengkap skrip yang ditulis oleh mereka
yang berkepentingan dan memperalatkan mama dan papa.
Mereka, mama,kakek dan pamammu begitu bijak
mengais simpati papa seperti juga cerita mereka di mahkamah. Segala yang buruk-buruk ditudingnya kepada
ibu angkatmu. Jika segala-galanya
diuruskan secara telus oleh pihak yang berupaya dan berkuasa, papa percaya
gurisan takdir anakanda tidak berakhir begini.
Anakanda
Bertha yang papa rindui,
Janganlah
anakanda terus menyalahkan diri sendiri atas apa yang berlaku. Huru-hara yang tercetus dan bermula di
perkarangan Mahkamah Tinggi Singapura itu bukanlah terhempap di atas pundak
anakanda seorang. Begitu banyak agen
pencetus yang menjadikan ia di antara sejarah besar dunia yang tidak mungkin
dilupakan oleh sesiapa yang terlibat, walau apapun tanggapan mereka. Kita adalah sebahagian daripada
pelakon-pelakon hidup yang dibayar dengan harga yang pedih untuk menjayakan
misi mereka.
Mama
juga sebenarnya kelihatan tidak begitu beria-ia inginkan kepulanganmu. Papa cuba memahami dia. Mungkin keperitan hidup tanpa kehadiran papa
menjadikan dia mangli dengan ketiadaan dirimu.
Mungkin juga baginya, ketiadaanmu tidak menjadi apa kerana dia sudah
letah meladeni hidup yang sukar dan kerenah anak-anak yang pelbagai.
Anakanda
Bertha Maria yang tetap papa sayangi,
Di
sebalik semua ini, rupa-rupanya ada sinar yang kita sendiri tidak
menyedarinya. Perjuangan mendapatkan
dirimu kembali telah menyatukan rakyat Belanda seluruhnya. Bermula dengan usaha Jawatankuasa Bertha
Hertogh. Sokongan demi sokongan
daripada seluruh Belanda menghurungi papa dan mama serta rumah kecil kita itu. Begitu juga di tanah jajahan Singapura. Rakyat tanah jajahan tanpa mengenal anutan
dan keturunan di bawah pimpinan Karim Ghani bersatu untuk mempertahankan
dirimu. Malahan ia merebak sehinggakan
ke Tanah Melayu. Benarlah kata sahabat
yang berkongsi duka kami di Burma dahulu.
Melayu itu adanya pantang dicabar.
Maruah tercalar, bangkit ia berjuang sepenuh jiwa tanpa kesasar.
Anakanda
Bertha yang tabah,
Papa
ingin memohon maaf kerana terlalu sibuk untuk mengambil tahu trauma yang
menyelubungimu. Papa hanya tahu setelah
tubuh renta ini tidak mampu lagi memperbetulkan keadaan. Papa hanya mengetahuinya setelah dirimu
sudah tidak tertelan lagi dengan trauma itu.
Maka kamu luahkan sembilan tahun kemudian di dalam De Telegraf. Segala duka bersama kami kau telanjangi tanpa
meninggalkan sedikitpun ruang untuk papa dan mama memohon maaf. Papa cuba juga memahami sikap dinginmu
terhadap kami. Lebih-lebih lagi terhadap
mama.
Ternyata
senyummu pada hari perkahwinan keduamu bersama Wolkenfelt sebenarnya adalah
samaran untuk menjauhi kami. Sehinggakan
kalian sanggup berkahwin di luar cara yang sepatutnya dan memalukan kami sekeluarga. Sedangkan papa tidak tahu bahawa lukamu kian
memarah dan bernanah.
Kerap
papa terdengar bisik-bisik jiran tetangga tentang kalian berdua. Ulah anakanda dan mama. Bertekak-tekak di jalanan bagaikan melepaskan
apa yang terbuku sekian lama. Papa
sepatutnya menghargai kehadiranmu pada tahun-tahun terawal kedatanganmu. Tetapi, papa terlalu sibuk untuk mengambil
tahu. Tanggungjawab untuk menyuapi mulut
ahli keluarga adalah lebih utama buat papa waktu itu.
“Saya tidak pernah, walaupun sehari
berasa seperti di rumah sendiri ketika tinggal dengan mereka. Saya lebih suka ke sekolah ataupun dilayani
oleh rahib,”¹ katamu kepada akhbar itu.
Tuhan!
Kata-kata itu bagaikan petir yang menghilangkan deria dengar papa buat
seketika. Apakah makna seorang bapa
apabila anak sendiri mengungkapkan perkataan benci, rimas ketika berada bersama
keluarga. Papa merasakan papa adalah
bapa yang gagal kerana sebenarnya papalah yang menjauhkan dirimu jauh daripada
kami. Lebih jauh ketika kamu berada di
Tanah Jajahan dulu. Lebih jauh ketika
kita terpisah ketika kami di bumi Bandung dan kamu di bumi Kemaman. Biarpun jasadmu berada di dalam ruangan mata,
rohmu jauh berlayar di laut perasaan.
Kadang-kadang sengaja kamu biarkan hanyut.
“Di
rumah, saya mesti membasuh kain dengan air yang sangat sejuk. Sehingga tangan saya bengkak dan
bernanah. Saya tidak dibenarkan
menggunakan air panas – nanti lebih bayaran bil bulanan,” ² Tuhan, mengalir air mata papa membaca
pengakuanmu, Bertha. Betapa sebenarnya
tiada erti bahagia buat dirimu ketika bersama-sama kami. Inilah,
inilah kegagalan paling cemerlang buat seorang lelaki bergelar bapa!
Betapa
kegembiraan kami melihat sekujur tubuhmu berada di depan mata kami, sebenarnya
permulaan derita yang langsung tidak pernah pulih semenjak dirimu dilarikan
dari Singapura. Sebenarnya kamilah yang
melarikan kamu daripada kebahagiaanmu.
Kamilah yang merentap tanganmu atas nama hak sebagai ibu bapa lantas
menceraikan kasih dan sayang yang terbina ikhlas di antara dirimu dan keluarga
barumu di sana. Kamilah ibu bapa yang
derhaka. Kamilah ibu bapa yang
mengkhianati kepercayaan Tuhan yang menganugerahkan zuriat bernama Bertha.
Di
dalam De Telegraf itulah, kau memburaikan segala-galanya. Betapa tidak pernah berlaku ‘pencurian
zuriat’ seperti yang didakwa ibumu sebelum ini.
Dia sendiri dengan sukarela menyerahkan kamu pada Che Aminah bersama
sebuah mesin jahit kerana desakan hidup ketika itu. Papa sudah kehilangan kata. Apa yang telah berlaku sudah terlalu jauh
untuk ditelusuri kembali dan diperbetulkan.
Dirimu sudah semakin jauh dan jauh daripada kami.
Anakanda
Bertha yang tetap papa sayangi,
Ketahuilah olehmu bahawa kita
sebenarnya berkongsi mimpi buruk yang sama.
Bebatan-bebatan buruk itu sebenarnya tidak pernah jauh daripada diri
kita. Ia sentiasa berlegar dan menanti
masa untuk meliliti kita semula. Maka
terpulanglah kepada diri sendiri bagaimana untuk mengusirnya pergi jauh-jauh.
Papa
sangka, mimpi buruk itu akan berakhir apabila perang berakhir. Apabila dapat melihat isteri dan anak-anak di
depan mata. Apabila dakapan hangat dan
air mata rindu anak-anak dapat dirasai secara nyata dan bukannya sekadar meraba
ilusi. Perang sebenarnya menjadikan
manusia itu terbelah dua. Perang tidak pernah
memenangkan sesiapa. Biarpun panji-panji
kemenangan dicacakkan sampai terus ke hati dan minda.
Anakanda
Bertha yang manis selamanya,
Papa
memohon pengertian seorang anak buat papanya.
Papa memohon agar ada kewarasan dalam mentakrifkan segala apa yang papa
dan mama lakukan terhadap dirimu adalah semata-mata berdasarkan atas kasih
sayang. Papa memohon setelah anakanda
juga menjalani liku yang sama. Menjadi
ibu dan sentiasa ingin membahagiakan anak-anak.
Sentiasa inginkan anak-anak merasai panasnya kasih sayang dan sejuknya
haba kerinduan saat berjauhan.
Anakanda
Bertha,
Janganlah
anakanda terus menyalahkan diri engan apa yang berlaku. Ia adalah ketentuan Tuhan dan manusia
diberikan ilham untuk tidak membenarkan anakanda membuat pilihan. Tuhan, melalui mamamu menghalang kasih sayang
Che Aminah mengalir terus kepadamu dalam pelukan keibuan. Tuhan, melalui Hakim Brown; melalui penilaian
undang-undang sekularnya; pada 2
Disember 1950 memutuskan bahawa perkahwinan anakanda dengan anakanda Mansor Adabi
bubar kerana ia berlaku tanpa keizinan papa dan anakanda ketika itu masih di
bawah umur.
Janganlah
anakanda menghukum diri kerana anakanda bukanlah punca kepada kesemua
peristiwa-peristiwa berdarah di bumi Singapura yang telah terpisah rohnya itu
dengan Tanah Melayu. Kesemuanya adalah
hanyalah antara sabitan sebab dan akibat yang telah digariskan Tuhan untuk
menduga sejauh mata kekuatan hati kita.
Sejauh mana kita kembali kepadaNya.
Memohon keampunan dan memohon ketenangan hati yang tidak akan kelihatan
di permukaan. Tetapi terasa di jiwa.
Janganlah
menghukum diri dengan mendera hati melayan kesal kerana kekesalan itu
sepatutnya milik papa dan mama. Milik
papa kerana tidak menghalusi dan menggunakan kewarasan akal sepenuhnya. Milik mama kerana gagal bersabar dengan ujian
Tuhan, walaupun sekelumit jika dibandingkan dengan duka perasaan yang
ditanggung rakyat Indonesia totok sendiri.
Hilang tanah, hilang maruah, hilang agama, hilang negara dan bangsa
secara keseluruhannya berbanding dengan mama yang cuma hilang anak.
¹ Lihat Bertemu
Vermuelen dan Akhbar, hlm 349
² Ibid
Bibliografi
Muhammad Alexander 2009, Yakjuj &
Makjuj Bencana Di Sebalik Gunung, PTS
Islamika Sdn Bhd
Afareez Abd Razak Al Hafiz 2009,
Benarkah Iskandar Bukan Zulqarnain, PTS Millennia Sdn Bhd.
Fatini Yaacob, Natrah Cinta Rusuhan Air Mata, Penerbit
UTM 2010
No comments:
Post a Comment