BAB SATU (1)
NADA
ketukan yang kelang-kabut masih menghuni meja sebelah. Sesekali dia mengerling
kepada empunya jari. Tiada respon diterima. Seolah-olah ketukan dan kalau
dikatakan tarian pen itu beserta tuan punyanya juga tenggelam dalam kotak
dunianya sendiri.
Nayla
menyelak-nyelak malas helaian pelbagai service
request yang menadah di depannya.
Jujur sejujurnya dia benci bekerja dengan kertas; dengan komputer yang
tidak memberi reaksi dan sekadar mendengar dan menadah apa sahaja luahannya.
Di
sebalik dinding sebelah sana ,
petugas kaunter hadapan masih sibuk melayan pelanggan semakin ramai menjelang
waktu makan tengahari. Kaunter perbankan komersial di kawasan sibuk itu
bertambah sibuk terutama pada awal minggu dan akhir minggu.
Kadang-kadang
kerana rutin begitu, para petugas kaunter memperlahankan kelajuan setiap satu
transaksi mereka. Bagi pelanggan mereka diberi dua pilihan. Menunggu atau
beredar. Pilihan ketiga; yang kadang-kadang ada; pelanggan mengemukakan aduan. Kadang-kadang
terus ke media tempatan dan satu salinan kepada Bank Negara. Tarian pen yang memekakkan
itu terhenti serentak beriring dengan sebuah keluhan. Nayla tidak bereaksi
waima mengerti ada yang membutuhkan bantuannya.
“Tolong
aku sekejap…” Wanita lebih kurang
sebayanya itu bersuara juga akhirnya. Nayla menolak kerusi, bangun mendapatkan
Hanisah tetapi tersentak dengan nada dering paling biasa di pendengaran yang menjengah
lagi.
“Ya
mak….” Suaranya perlahan sebaik sahaja melafazkan jawapan salam. “Tak ada.” Dia membetulkan anak rambut yang menganggu
perbualan sambil menjawab dengan wajah yang sukar dimaniskan, “betul. Orang tak
tipu…” Nayla melontar keluhan kecil sambil mengetuk-ngetuk pen di tangannya ke
meja. “Itukan dah lama… cuba
mak tengok tarikhnya.”
Wanita kelahiran
bumi Cik Siti Wan Kembang yang berwajah manis di meja sebelah itu tersenyum
simpul setelah berjaya mencuri dengar perbualan mereka.
“Buat
apa nak tipu mak kau?”
Nayla menarik
kerusi. Duduk betul-betul mengadap komputer membuatkan Hanisah terpaksa
mengengsot memberikan ruang.
“Dah
tahu gemuk tu…beranjaklah sikit,” rungut
Nayla tanpa menjawab soalan itu dan matanya lekap pada helaian Electronic Journal yang terpapar pada
perisian Words di komputer.
“Hey!
Dengar aku cakap ni.” Serentak dengan kata-kata Hanisah itu, Nayla spontan mengibas-ngibaskan
jarinya yang diketuk dengan pen. Hanisah ketawa tanpa kesal.
“Zalimnya
kau ni. Aku dah suka dan rela nak tolong,
kau sakitkan aku pula.”
Digosok-gosoknya
belakang jarinya. Hanisah melambakkan tawa lagi. Surana, yang berada di meja kanan
bersebelahan meja Nayla meletakkan jari ke bibirnya.
“Berdosa
tipu mak tau,” asak Hanisah.
“Mana
ada. Aku cakap yang betullah.” Nayla membela diri sambil matanya
dikecilbesarkan ke skrin monitor di depannya.
“Betullah
sangat,” ejek Hanisah, sinis.
“Okey
puan, sekarang comparison kau tak balance berapa dan EJ kau tak balance
berapa? Nak aku tolong ke tak nak?” Nayla
membanting tubuh ke kerusi seraya berpeluk tubuh. Bicaranya beralih serius.
Hanisah
mencantumkan kesemua tapak tangannya. Nayla kemudian berdiri bercekak pinggang
dalam kebaya Kota Bharu yang menyerlahkan keanggunannya sebagai gadis graduan
bertaraf eksekutif. Kulitnya putih kuning dengan hidung mancung diapit mata
bulat besar yang dikawal kening tebal di atasnya. Waktu hampir menujah ke jam
dua belas Bermakna giliran mereka untuk
keluar berehat sudah hampir.
‘Wei…ma ada telefon kau?’ sebuah mesej pesanan
ringkas terpapar daripada Eza sebaik sahaja dia mematikan nada deringnya. Eza,
sepupunya yang baru habis sekolah, kawan baiknya dan juga kawan ‘teramat baik’ ibunya.
‘Ada.’
No comments:
Post a Comment