1985, Tebingan Sungai Pahang.
USEN Toman masih
duduk-duduk di jeti. Belum terniat di
hatinya untuk mencapai hendal basikal tuanya untuk mengayuh pulang. Arus Sungai Semantan yang mencium arus Sungai Pahang di Kuala Semantan itu
larut perlahan-lahan, bersama-sama dan menghilir meninggalkan Usen Toman di
jeti.
Petang semakin tua tetapi perahu tambang menggunakan
enjin bot masih setia berulang-alik menyeberang sungai terpanjang di
semenanjung itu. Ralit Usen Toman
memerhati air sungai yang keruh itu.
Rumah-rumah rakit di pinggir Sungai Pahang itu teroleng-oleng didodoi
olak yang dibancuh oleh perahu tambang yang menyeberang.
“Selagi Sungai Pahang ini mengalir sampai ke Pekan,
selagi tu kawan tak boleh berhenti Usen,” kata-kata terakhir Jakpa Loceng
terngiang-ngiang sepertimana bunyi
loceng basikalnya yang selalu dibunyikan kala melewati lorong di tepi
rumahnya. Jalan utama sebelum tiba di
padang bola berhampiran kubur.
Seterusnya jalan besar menghubungkan kampong mereka dengan Temerloh.
“Kerja bahaya ni, Pa,”
Usen Toman mengingatkan. Bukan
sekali ini. Berkali-kali. Walaupun dia
sendiri takut-takut berani.
“Kawan tak tergamak melihat orang-orang kampung hidup
dalam ketakutan, Sen,” Tangan lebar
Jakpa Loceng menepuk dinding papan rumah pusaka turun-temurun milik Usen Toman
itu.
Bertempiaran debu halus
berserakan hasil tepukan tadi. Usen
Toman melibas-libaskan baju ke belakang badannnya yang telanjang. Daun rokok pucuk yang sengaja tidak
dinyalakan masih terjepit di mulutnya.
“Kawan tahu. Tapi
satu perkara yang awak kena ingat. Kalau
Jepun tahu, satu kampong ini akan menerima padahnya. Awak tak ingat macamana orang Cina Sg Lui
kena tembak? Lelaki perempuan, kecil
besar habis sekali sekelip mata sahaja tengahari itu…?”
Usen cuba mengingatkan
risiko buat penduduk Kampung Buntut Pulau dan Temerloh khususnya kalau
rancangan Jakpa Loceng dan kawan-kawannya ‘membersihkan’ kempetai-kempetai
Jepun sampai ke pengetahuan pemerintah kompeni mereka di Bandar Temerloh.
Tragedi pembunuhan
beramai-ramai ketika matahari tegak di atas kepala di pekan Sungai Lui beberapa
bulan lepas atas alasan sebegini juga.
Kempetai Jepun berbangsa Melayu diseret gerila MPAJA ke dalam hutan dan
ditamatkan nyawa tanpa ampun.
Semuanya bertitik-tolak
daripada kekejaman Jepun terhadap orang-orang Cina berlarutan daripada dendam
Perang Manchu nun jauh di Tanah Besar.
Jakpa Loceng tidak lupa bagaimana kesemua penduduk dibahagikan mengikut
keturunan. Setelah tiada siapa yang
mengaku terlibat dengan bersekongkol dengan gerila MPAJA. Jakpa Loceng menutup mata. Seakan-akan tragedi pembakaran hidup-hidup
para wanita di dalam kedai yang dikunci dari luar itu sedang berlangsung di
depan matanya.
“Kejam! Ya amat kejamnya,” terpacul kata-kata dari mulut Jakpa
Loceng.
Petang itu, petang
terakhir Usen Toman bersama Jakpa Loceng.
Selepas itu, tiada lagi berita berkenaan lelaki kurus tinggi yang suka
menyanyi lagu-lagu R. Azmi itu. Usen
Toman gagal memujuk Jakpa Loceng. Usen
Toman merasakan Jakpa Loceng tidak perlu memikul senjata sampai ke dalam hutan
untuk berjuang. Tetapi, apa pilihan yang
mereka ada ketika itu. Merekalah timun
yang hampir lunyai.
Ketika Usen Toman juga akhirnya melangkahkan kaki memikul
senapang yang lebih berupa pistol yang diikat pada kayu ke dalam hutan Bentong,
berkelana mencari makna merdeka, barulah dia memahami apa yang ada di dalam
perut Jakpa Loceng.
“Kawan penat mendengar janji. Daripada British, Jepun, membawa ke British
semula, kita ni digula-gulakan sahaja.
Kalau sudah dinamakan penjarah dan penjajah, sampai kiamatpun tak akan
berubah!” Berapi-api Usen Toman berucap
kala itu.
Kalau Jakpa Loceng hanya
melepaskan rasa hatinya kepada Usen Toman sahaja berbeza dengan Usen Toman
sendiri. Pendirian, perasaannya
dilepaskan pada Perhimpunan Mencari Makna Merdeka di Padang Besar
Temerloh. Pada masa itu, Usen Toman
sudah tidak peduli. Dia merasa sangat
terkongkong di bumi sendiri.
Terkongkong bagaikan
dibiarkan berlegar di dalam kandang besi yang luas. Mata sahaja lepas tetapi jasad
terkurung. Padang besar itu pada waktu
siangnya menjadi medan mereka bermain tembak-tembak, berlatih perang
sepertimana zaman kecil dahulu. Bermain
senapang berpelurukan biji terung pipit .
Terkena badan, perit terasa.
Usai perhimpunan itu dia melangkah pergi. Bisik-bisik mengatakan kesemua pemidato pada
perhimpunan itu akan dibawa menghadap barisan tertinggi pemerintah British di
Pahang. Dia kelewatan menyusuri jejak
Jakpa Loceng kerana menyangkakan sang pembebas berkulit putih itu membawa
berita gembira untuk semua. Rupa-rupanya
hampa. Apabila kemerdekaan hanya
berjarak 48 jam sebelum Jepun menyerah kalah, Usen masih menyimpan asa. Dia tidak perlu menyusul Jakpa Loceng. Tetapi rupa-rupanya dia tersilap.
Usen
Toman mengesat birai mata tuanya yang tiba-tiba bertakung. Lama selepas merdeka, dia kembali ke
kampung. Sangkanya kepulangannya
disambut umpama wira. Bermati-matian dia
berkampung di dalam hutan, mengenepikan rasa selesa, membuang semua keinginan
untuk menjadi manusia ‘biasa’ semata-mata ingin memberikan kebebasan luar biasa
buat generasi selepasnya.
“Perjuangan menggunakan senjata, menggunakan kekerasan
tidak membawa kita ke mana. Perdamaian
boleh dicipta kalau kita sedia bertolak-ansur.
Bersedia untuk berfikir lebih jauh untuk kepentingan masyarakat Malaya secara
keseluruhannya. Kekerasan hanya akan
mencambahkan dendam. Menjadikan
permusuhan hidup subur zaman berzaman.
Untuk siapa dan buat apa?”
Usen Toman tidak menolak
pendapat itu. Tetapi ingin ditanya lagi
pada penutur bersongkok tinggi di atas pentas itu, apakah dia mempunyai pilihan
kalau tiada pilihan langsung dihidangkan di depan mata.
“Kawan nasihatkan awak mengucap semula. Balik pada Islam. Awak ni dah jauh sesatnya,” Usen Toman masih mengingati kata-kata itu. Kata-kata Tok Empat Jalil yang pedas dalam
lembut.
Ketika itu, dia baru sahaja menghirup dalam-dalam,
puas-puas, udara segar bumi kelahirannya.
Serong pandang saudara mara, biarpun mengguris hati, dihenyak ke
tepi. Kalau dia dikatakan penjunjung
ideologi bawaan Marxist-Leninist, menyantuni atheis, berapa ramai pula yang
berani mendekat untuk mengorek gejolak isi dadanya. Tiada.
Melainkan tuduhan dan nista yang terus menjadi kudapan buatnya selagi
bernyawa.
Itulah kali pertama dan terakhir rumah buruk
hampir robohnya itu dikunjungi orang.
Selepas itu, dia dibiarkan menelusuri makna renta rumah pusaka itu sama
seperti dirinya juga. Niatnya yang satu
menjunjung kedaulatan agama dan bangsa tinggal niat yang tergantung layu di
gapura hasrat.
Tok Empat Jalil boleh mengatakan apa sahaja. Sesat.
Barat. Bukan dia yang berada di
tempatnya ketika itu. Usen Toman meludah
ke tanah. Sisa ludah yang tertinggal di
pinggir bibirnya yang terkeleweh itu dikesatnya. Jika dikirakan sakit hati, sakit lagi hatinya
dituduh sesat daripada dipaksa menyanyi lagu Jepun pada setiap pagi. Jika dikira bengang, bengang lagi kepalanya
sekarang daripada hentakan buntut senapang tentera gemuk pendek itu kerana
tidak tunduk hormat ketika melintasi
mereka.
Kalau diturutkan gilanya, mahu sahaja dia berlari di
sepanjang Jalan Sultan Abu Bakar itu dan melepaskan das demi das pada penghirup
merdeka yang tidak mengenang budi itu.
Begitupun, Usen Toman sudah terlalu rimpuh waima untuk meninggikan suara
sekalipun. Kenang-kenangan ketika
mengeluarkan ucapan berapi membakar semangat anak muda sebayanya hanya layaran
kaku di ruang mata. Kudratnya benar-benar telah disedut semangat hutan dan
ditinggalkannya bersama remah-remah kisah yang dipanggilnya perjuangan itu.
Tanpa sedar, Usen Toman
teresak-esak menangis saat rembang petang menjelang. Sungai Pahang bergerak perlahan, seolah-olah
ingin memujuk hati renta yang sudah terlalu jauh rajuknya itu.
“Aki.”
Seorang budak perempuan
bermuka comot dengan baju kurung yang tergantung baju dan kainnya menegur.
“Kenapa tiap-tiap hari Aki menangis? Aki ada banyak air mata. Saya menangis kalau dipukul mak sahaja,” jujur budak perempuan itu memberitahu
perbezaan mereka berdua. Usen Toman
ketawa anak mendengar kata-kata budak perempuan bermuka comot itu.
“Mana Ayu tahu Aki menangis tiap-tiap hari?”
Usen Toman memandang
budak perempuan bernama Ayu itu yang berdiri tegak menghadapnya. Kalau dia tidak membodohkan diri berdiri di
atas tiket perjuangan itu, pasti budak perempuan bermuka comot bernama Ayu itu
adalah salah seorang cucu-cucunya.
Perjuangan bodohnya kini hanya membuahkan kesepian. Perjuangan bodoh! Usen Toman senyum sinis. Katalah apapun. Bukan kalian yang menyarungi jasadku ketika
pilihan bukan soalan.
“Ayu pergilah balik.
Nanti mak Ayu risau,” arah Usen
Toman memandang ke arah salah satu rumah rakit yang berbaris di tepi tebing
sungai Pahang itu.
“Aki tak mahu balik?
Dah nak Maghrib ni. Mak kata,
waktu Maghrib banyak syaitan berkeliaran.
Tak boleh duduk di luar rumah,” Ayu petah memberitahu. Usen Toman berdiri. Rambut keperangan bak bulu jagung tak terurus
kepunyaan Ayu itu digosoknya.
2012
Papan tanda putih bertulis Temerloh berdiri megah di
seberang tebing sana. Jambatan gantung
yang siap dibina setelah tertangguh beberapa kali sentiasa sibuk dengan
pengunjung. Ayu memerhati tebing sungai
Pahang yang pernah menjadi lapik lantai rumahnya dahulu.
Laluan pekan sehari itu masih di situ. Malahan semakin mengembang. Wajah Pekan Sari Temerloh sudah jauh anggun
berbanding dahulu. Dibedaki dengan
meriahnya kedai-kedai yang menghuni Lurah Semantan. Perhentian bas untuk bas-bas sekitar Temerloh
sudah lama berpindah. Dari tapak kecil
bersebelahan masjid ke kawasan rendah yang terpaksa menerima limpahan Sungai
Pahang pada satu-satu ketika apabila sungai itu sudah tidak tertahankan diri.
Landskap pinggiran Sungai
Pahang itu juga sudah hilang rupa asal. Dua pintu kedai Cina menjual pinggan
mangkuk di atas bukit betul-betul menghadap ke arah sungai kini tinggal tapak
sahaja. Jeti perahu tambang telah dibina
semula dengan binaan berasaskan batu.
Wakaf bertingkat menggantikan lokasi rumah rakit yang pernah melihat dia
membesar, dibina untuk kemudahan pengunjung menikmati deru riak sungai Pahang
yang masih belum berubah.
Ayu melepaskan keluhan. Dia rindukan Sungai Pahang yang dulu. Dia rindukan suara emaknya terjerit-jerit di
dalam rumah yang terondak-ondak di birai
sungai yang baik hati menarik alir Semantan bersama-samanya menuju ke
kuala. Sayangnya rakaman Sungai Pahang
paling utuh dan spontan hanya kelihatan di dalam filem Tunang Pak Dukun milik
syarikat perfileman Cathay Keris.
Olak kecil Sungai Pahang menyanyikan lagu-lagu sendu
milik Usen Toman. Bagai terngiang-ngiang
di telinga Ayu, esakan lelaki tua itu setiap petang setiap kali melemparkan
pandangannya ke dada sungai itu.
“Ayu jangan dekat dengan orang tua tu. Orang gila.”
Pesanan yang mengandungi perkataan jangan itulah yang selalu
diingkarinya. ‘Jangan’ merupakan kata azimat bermaksud ada sesuatu
yang perlu disebak. Punca yang membawa
kepada perkataan ‘jangan’ itu perlu diketahui.
“Kenapa dia gila, mak?”
Ayu diterpa rasa ingin tahu.
“Tak tahu. Orang
kata dia komunis. Sebab lama sangat duduk dalam hutan, dia jadi sasau,” beritahu emaknya.
”Komunis tu apa
mak?” Merasakan dirinya kelaparan
maklumat, dia bertanya lagi.
”Orang jahat! Dah, jangan tanya lagi!”
Penjelasan itu dikutipnya
dari cerita mulut ke mulut yang bukan milik Usen Toman. Sedangkan dia boleh bertanyakan cerita
sebenarnya kerana orang itu berada di pinggir sungai Pahang setiap petang pada
hari-hari terakhirnya.
“Orang jahatpun boleh pergi masjid, ya mak?” tanya Ayu lagi. Bingung akal memisahkan makna baik dan
jahat. Emaknya tidak menjawab. Cuma melengung dan merentap tangannya yang
liat mandi itu. Kebiasaannya Usen Toman
akan mengheret basikalnya menuju ke masjid sebaik sahaja azan Maghrib
dilagukan.
“Orang jahatpun boleh pergi masjidkah, emak?” Ayu bertanya lagi. Mata emaknya bulat besar merenungnya.
Apabila tidak menerima
jawapan yang diinginkan. Ayu menyerahkan
pandang pada Sungai Pahang yang masih jujur meneruskan alirannya. Tidak pernah menyerah pada bulatnya takdir
yang kadang-kadang memaksanya membiarkan beting pasir meninggi di tengahnya.
Wajah Usen Toman yang keruh dan berkedut itu membayang di matanya. Dia tidak percayakan kesasauan atau kejahatan
Usen Toman itu. Tetapi sehingga kini,
dia tidak mendapat jawapannya.
Esak Usen Toman hilang sebagaimana hilangnya masa lalu
dalam alir Sungai Pahang yang nampak tenang tetapi misteri itu. Ayu terlalu butuhkan jawapan kenapa Usen
Toman menjadi ’jahat’ seperti kata emaknya dulu.
kedua-dua foto : carian google
No comments:
Post a Comment