..yang bernama sahabat

Thursday 2 January 2014

Komen 2 : Annur Puteri

Teks : Annur Puteri

Kredit :  http://www.annurputeri.blogspot.com


REVIEW: KABUS RINDU KARYA MONALITA MANSOR

TAJUK: KABUS RINDU
KARYA: MONALITA MANSOR
TERBITAN : EMP

Sebuah novel bertemakan percintaan yang diadun dalam karya sastera dan bukan buku cerita semata-mata. Itu yang AP boleh rumuskan tentang KABUS RINDU (KR).

Tema KR agak konvensional iaitu percintaan. Namun demikian ciri konvensional ini bijak diselimuti keindahan sastera oleh penulisnya memandangkan tema ini cuba diberi kelainan dengan mengadunkan kisah cinta Zaweeya dan Wafi dengan elemen cerita-cerita hikayat melalui teknik intertekstualiti yang digunakan penulis. Inilah kelainan paling besar boleh AP kesan dalam karya ini lantas menjadikan ini menarik untuk ditelaah bukan daripada segi konfliknya namun dari segi teknik dan ilmu bantu yang sarat.

Menekuni karya ini, dapat AP buat kesimpulan bahawa penulisnya bukan sekadar mahu bercerita tentang sepasang remaja yang awalnya tidak sebulu, tapi lebih kepada untuk mengangkat martabat genre novel itu sendiri. Penulis tidak mahu menghidangkan cerita klise yang tidak mempunyai sebarang pengisian, sebaliknya mahu mengajak kita berfikir bahawa kita masih boleh menulis kisah cinta yang tidak terlalu komplikated dalam sesebuah novel namun dalam masa yang sama mengangkat martabat sastera dan bahasa itu sendiri. Di samping itu juga, karya ini hanyalah wacana untuk menyampaikan banyak perkara. Menyampaikan kecintaan penulis tentang satu-satu isu. Significant watak-watak yang berlegar dalam novel ini yang gemar menggunakan tulisan jawi menunjukkan kepada kita bahawa sebagai bangsa melayu yang mempunyai bentuk tulisan sendiri, sepatutnya kita berganding bahu mengangkat kembali martabat tulisan jawi dalam masyarakat kita.

Penulis juga bijak mengisi semua aspek perhubungan dalam novel ini, hubungan cinta dua remaja walaupun tidak cinta murahan, hubungan suami isteri, hubungan persahabatan dan kekeluargaan, semua cukup rempahnya. Malahan, 'kemeriahan' watak Zaweeya yang dikelilingi sahabat-sahabat baik seperti Ain, Budik,Norman,Amirul dan keeratan hubungan adik-beradik antara Zaweeya, Zameera dan Zakeeya tentu sahaja mencetuskan suasana lucu dan mencuit hati. Golongan remaja tentu sukakan penerapan kisah-kisah mereka ini. Ada dialog lucu dan bersahaja membuatkan kita mampu tersenyum sendiri. Pendek kata, dalam usianya, penulis mampu menghidupkan suasana remaja yang relevan dengan zaman baik dari segi cara bergaul, cara cakap, gajet-gajet dan juga bentuk komunikasi terkini. (Kalau AP sendiri sudah tentu tidak mampu :) )


AP juga gemarkan gaya bahasa dalam KR. Bahasanya cantik dan kena dengan jiwa AP. Daripada gaya bahasa ini kita tahu penulisnya bukan calang-calang orang dalam bidang ini. Penulis tentu seorang yang cintakan bahasa dalam masa yang sama cintakan juga ilmu dan kesusasteraan!

Bagaimanapun, AP agak kurang berpuas hati apabila perkaitan antara gangguan yang dialami Zaweeya akibat dari pembacaan dalam majalah Makar, iaitu tentang kemunculan Indera Laksamana dalam bentuk halusinasi tidak diperincikan dan tinggal tergantung begitu sahaja. Ap menyangkakan pada akhiran karya akan dijelaskan mengapa perkara ini berlaku sehinggakan Norman si watak sampingan dan Wafi juga mengalami masalah halusinasi ini namun tidak dijelaskan mengapa mereka turut mengalami gangguan tersebut. Mungkinkah secara kebetulan semata-mata atau memang berlaku unsur mistik di situ.

Dalam masa yang sama, AP berpendapat, watak Siti Solehah tidak perlu muncul kembali kerana konflik sebegini mudah ditebak. Karya ini nampak lebih cantik bagi AP sekiranya Siti Solehah tidak muncul kembali.



Jujurnya, sebagai peminat karya bermutu tinggi AP mengharapkan lebih daripada nama besar dalam arena penulisan, Monalita Mansor. Mengharapkan beliau lari daripada elemen konvensional iaitu tidak meletakkan imej serba-serbinya sempurna bagi protagonis dan antagonis sebagaimana karya-karya yang berlambak di pasaran. Pun begitu AP akur dengan keadaan pasaran sekarang iaitu penggemar karya kreatif yang sebilangan besarnya terdiri daripada remaja suka jika dihidangkan dengan watak cantik, untuk wanita, segak, kaya dan tampan untuk lelaki.

Pun secara keseluruhan, AP terhibur membaca naskah ini kerana AP seorang yang tidak hanya memandang kepada jalan cerita, sebaliknya AP akan perhatikan semua aspek termasuk unsur sastera yang ada dalam sesebuah karya.

Syabas untuk penulis kerana tidak ramai mampu bercerita, mengangkat martabat bahasa dan mengekalkan ciri kesusasteraan dalam sesebuah karya. Syabas juga kerana kisah dalam novel ini merangkumi semua perkara. Relevan dengan realiti kehidupan. Ringkasnya, ia memang karya menarik dan wajar dibaca oleh semua penggemar karya sastera yang cuba lagi dari kebiasaan.

Tahniah sekali lagi

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...