..yang bernama sahabat

Monday 16 March 2015

Lily Khalilah Bab 1



BAB 1
LILY KHALILAH membantingkan tubuh ke sofa empuk tiga tempat duduk berwarna gelap di ruang tamu. Kasut tumit tinggi saiz lapan masih tergelimpang di muka pintu berhampiran tempat kasut. Hari ini hari malas sedunia. Malas simpan kasut, malas masuk ke bilik, malas menghidupkan televisyen dan lampu. Maka jasadnya terbungkus dalam kesuraman menjelang senja di dalam rumah teres setingkat itu. Cahaya matahari petang menyimbah melalui pintu gelangsar yang terbuka sedikit.
            “Puan…”
            Dia mendengar pintu gelangsar ditolak. Dia mendengar ada bisik-bisik dan bicara halus di antara dua manusia atau lebih. Pasti, dia masih selamat kerana bisik-bisik itu bukan sebahagian daripada komplot berniat jahat, Lily tegar menutup mata dan menggalang dahinya. Matanya dipejam.
            “Puan…” panggil suara itu sambil tangannya menggoyang-goyangkan kepala lutut Lily yang dibungkus seluar panjang warna hitam itu. Ada jasad yang melabuhkan tubuh berhampiran betisnya. Rambut Lily yang panjang sebahagiannya jatuh menjuntai hampir mencecah lantai kerana kedudukan kepalanya yang tidak terletak di atas tangan sofa.
            “Ciklah…Kak Dah!” Lily membetulkan tetapi dia masih tidak menggerakkan diri.
            “Kak Dah minta maaf, cik. Kak Dah minta maaf…” Wanita bernama Kak Dah yang kurus jengkung dibungkus baju kurung berwarna biru laut itu menerpa ke arah Lily. Sambil mengongoi, tangan Lily ditarik dan diciumnya. Lily tersentak dan gesit bangun.
            “Apa Kak Dah ni?” tanya Lily. Kak Dah mengesat birai matanya dengan hujung jari. Kak Dah menangis macamlah dia dah naik ke dalam pengusung jenazah.
            “Kalau Kak Dah tak bawa Nisa ke sini dulu, mesti-“  Kak Dah masih duduk bertimpuh sambil meramas-ramas jari.
            “Ala…Kak Dah ni. Tak ada maknanya. Semua tu dah ditakdirkan. Bukan salah Kak Dah pun…” ujar Lily, tenang sambil mengikat dan mengemas semula rambutnya yang berwarna kemerah-merahan itu. Dia menggosok-gosok jemari telunjuk di bawah hidung, meredakan sedikit rasa tidak enak yang tiba-tiba menganggu.
            “Cik nak makan apa?”
            “Tak laparlah, Kak Dah. Siapa ni?” tanya Lily sebaik matanya singgah pada sesusuk tubuh berdiri tegak berhampiran pintu. Berbaju kurung dengan tudung bawal yang dicekik hingga ke pangkal leher berwarna kuning terang. Kontras dengan kulitnya yang berwarna gelap.
            “Ni...Maziah.” Kak Dah menggamit perempuan muda yang dinamakannya tadi. Maziah mendekati mereka dan takut-takut berani, bersalam dengan Lily. Mukanya kelihatan cemas seakan Lily sudah bertukar menjadi singa betina. Dia terangguk-angguk sebaik Lily melebarkan senyuman.  ‘Muka cemas dia macam aku ni singa lapar,’ getus hati kecil Lily.
            “Mak punya kerjalah ni?” teka Lily terus mengeliat beberapa kali, memulihkan urat pinggang yang lenguh.
            “Ia,” jawab Kak Dah, muncul seketika di muka pintu dapur, kemudian menghilang semula. Si Maziah menurut sahaja langkah Kak Dah. Kak Dah masuk ke dapur, dia ikut masuk. Kak Dah ke sinki, dia ikut ke sinki. Kak Dah datang dekat ke peti sejuk mengambil penyapu, dia ikut juga.
            “Eh! kau duduk sana boleh tak? Tak pun kau tolong jerang air tu. Rimas aku!” rungut Kak Dah. Tudungnya disangkutkan ke belakang kerusi. Maziah ikut membuka tudungnya dan disidaikan di belakang kerusi bertentangan.  Maziah mengangguk dan mencapai cerek air.
                                                  “Kau tahu masak air tak?” tanya Kak Dah yang baru mengeluarkan set cawan daripada kabinet atas dapur basah. Cuak pula Kak Dah dibuatnya. Di manalah agaknya emak si Lily mendapat calon pengganti si Nisa ni. Bisu ke, gagap ke, sukar nak diterpa. Sepanjang perjalanan dari rumah keluarga Lily tadi hanya angguk, geleng dan sengih sahaja yang dipamernya. Kak Dah mengagak umurnya akhir 20-an, atau lebih tua lagi. Kulitnya yang gelap dan dahi yang sentiasa berkerut itu mungkin menambahkan umur tuanya setakuk dua lagi.
Maziah mengangguk sambil tersenyum. Cerek yang penuh berisi air itu dibawanya ke sudut berhampiran yang meletakkan periuk nasi dan ketuhar.
            “Kak Dah, nak pinjam Maziah sekejap.” Lily muncul dan menarik tangan Maziah yang belum sempat melekatkan palam tiga pin ke rumahnya. Dibawanya gadis yang tidak diketahui statusnya itu masuk ke dalam bilik tidurnya. Terngadah gadis itu melihat bilik agam seumpama peraduan di raja itu. Kepala katilnya bagaikan bersadur emas berkerawang awan larat dengan tilam berinci-inci tebalnya.  Pada dinding sebelah dalamnya kabinet berwarna senada enam pintu ternganga kesemuanya. Deretan baju-baju yang kelihatan indah di mata Maziah bergantungan. Di dalam sebuah almari paling hujung, kesemua baju yang bergantungan masih di dalam plastik lagi.
            “Tolong lipat baju-baju ni masuk beg ya,” arah Lily dengan tangan menuding ke arah dua buah beg beroda yang ternganga kosong di atas katil.
            “Cik Puan nak pindah ke?” Maziah bertanya. Dia mula mencapai sehelai demi sehelai baju yang harum dan lembut kainnya itu, dilipat dan dimasukkan ke dalam beg.
            “Malas saya nak duduk sini lagi,” ujar Lily. Berkeliling pandang pada keseluruhan bilik sebelum kembali sibuk memasukkan buku-buku di dalam laci kabinet bawah almari soleknya ke dalam kotak. Katil, almari, malahan bilik ini menjadi saksi pada banyak kelukaan yang semakin terhadam perlahan-lahan.  Dipejamnya mata rapat-rapat dan mendengus, seakan mengusir semua kenangan yang menyakitkan itu.
            “Laa…kenapa ni? Cik nak pergi mana?” Kak Dah yang sedang menatang dulang lengkap dengan sepiring lepat pisang berdiri di muka pintu bilik Lily. Lily dan Maziah memandang Kak Dah hampir serentak sebaik mendengar suaranya tadi. Lily menggamit Kak Dah dan menepuk-nepuk meja kecil di sebelah katilnya.
            “Saya nak jual rumah ni.”
            “Cik nak pindah balik duduk Istana Menanti ke?” teka Kak Dah dengan senyum melebar. Sebahagian isi lepat pisang berisi kelapa di tengahnya sudah berada di dalam mulutnya. Sambil mengunyah, sebelah tangannya mengusap-ngusap baju kurung sutera yang terdampar di atas katil besar itu.
            “Balik Istana? Tak naklah!” tukas Lily, pantas. “Saya dah beli kondo di Sri Manja. Kak Dah pun boleh tinggal dengan saya. Boleh kita pergi swimming selalu,” usik Lily. Kak Dah mencebik. ‘Mulalah nak mengusik tu! Bukannya dia tak tahu aku ni macam ikan bilis hanyut.’
Istana Menanti yang dimaksudkan Kak Dah ialah banglo keluarga milik Haji Razak dan Hajah Roziah selain mengisi ahli keluarga lain yang terdiri daripada adik-adik Lily. Tidaklah dia rimas dengan keluarga besar itu melainkan ada ketikanya merasakan diri kekurangan dan rendah diri. Untuk menghindar rasa itu, dia hanya mendekati Istana Menanti pada ketika-ketika tertentu untuk mengekalkan rasa positif di dalam diri.
            “Ia. Saya tahu, emak mesti tak benarkan Kak Dah main air kat kondo saya,” ujar Lily tersenyum.
            “Tahu tak apa. Sebab tu akak bawa Maziah ni. Kak Hajah suruh dia temankan Lily.”
            “Maziah ni?” tanya Lily semula. Matanya menari mengikut rentak tangan Maziah yang sedang melipat kain sepasang demi sepasang dan menyusunnya di dalam beg. ‘Mahunya tahun depan aku pindah ni.’



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...