..yang bernama sahabat

Thursday 5 March 2015

Bentuk-Bentuk Sastera


gambar : Google

1.0 PENGENALAN
Salah anggap terhadap fungsi dan peranan sastera dalam masyarakat menjadikan sastera di Malaysia lesu dan terpinggir. Tidak ramai yang memahami bahawa sastera sebenarnya adalah akar umbi kepada jati diri sesuatu bangsa. Sastera adalah wadah yang menakung peradaban bangsa semenjak zaman berzaman dan masih diteruskan sehingga kini. Sastera adalah kanta pembesar yang memberi manusia peluang memandang dunia dengan mata manusia dengan deria tambahan.
Sejarah merekodkan pemisahan kesusasteraan dengan sejarah dicetuskan oleh perkembangan sistem pendidikan baharu hasil campur tangan Inggeris di negeri-negeri Melayu. R.J. Wilkinson dan R.O Windstet dikatakan adalah perintis kepercayaan bahawa terdapat dua konsep di dalam sastera dan sejarah iaitu tawarikh dan hikayat. Sabaruddin Ahmad mentakrifkan kesusasteraan ialah manifestasi daripada gerak jiwa manusia yang wujud dalam pernyataan bahasa. Pada hakikatnya, kesusasteraan atau seni sastera itu ialah bingkisan kata yang dipersembahkan oleh sasterawan sebagai hadiah kepada masyarakat.  (Sabaruddin Ahmad, 1963)               

2.0 DEFINISI SASTERA

Prof. Dr. Hasyim Yahya, mendefinasikan kesusasteraan sebagai sebuah ciptaan seni yang disampaikan melalui bahasa. Ia menjadi indah berakar-umbikan perkataan susastera di dalam bahasa Sanskrit. ‘Su’ membawa maksud indah, baik atau lebih bermakna. ‘Sastera’ pula bermaksud buku. Apabila disimpulkan bolehlah dinyatakan bahawa sastera adalah kumpulan buku yang menghimpunkan sesuatu yang indah, baik dan memberi makna kepada persekitarannya.
Dewan Bahasa dan Pustaka, melalui Kamus Dewan mentakrifkan sastera ialah bahasa-bahasa yang digunakan di dalam kitab-kitab dan bukan merupakan bahasa basahan. Contoh bahasa sastera yang paling indah ialah di dalam Surah Yusuf yang kini menjadi sandaran kepada genre baru dunia penulisan yang dipanggil sastera islami. Memperluaskan lagi skop definasi sastera ialah pandangan Prof Dr. Hasyim Yahya yang menyifatkan kesusasteraan adalah ciptaan seni yang disampaikan melalui bahasa. Ia mungkin dituturkan iaitu sastera lisan dan juga sastera tulisan. Kedua-dua jenis bentuk sastera ini akan dibincangkan secara lanjut.

3.0 MAKNA SASTERA
Di dalam buku Pengantar Pengajian Kesusasteraan, Ali Ahmad menggariskan makna sastera sebagai sesuatu yang berseni, yang berkaitan dengan kehalusan atau estetika dan bahasa. Selanjutnya beliau mengatakan kesusasteraan itu ialah kehalusan pencipta dan keinginan pembacanya meneroka aspek kehalusan itu. Beliau juga berpendapat bahawa estetika penggayaan bahasa merupakan asas kewujudan hasil kesusasteraan. Dengan menokok pendapat B. Simorangkir-Simajuntak, 1971, mengatakan bahawa kesusasteraan adalah cermin jiwa getar sukma pengarang dan ia harus tumbuh di tengah-tengah rakyat dan untuk rakyat. Kesusasteraan harus menggambarkan suka duka, harap cipta dan kerja cipta rakyat, dapatlah dikatakan kesusasteraan itu terlalu dekat dan telah sebati dengan jiwa umat Melayu semenjak dahulu lagi.
Ini dibuktikan dengan kehadiran pelbagai bentuk hasil kesusasteraan sama ada berbentuk lisan mahupun naratif yang dikumpul dan direkodkan oleh ahli sastera terdahulu. Di dalam perbincangan ini, pengkhususan akan dilakukan bagi membincangkan makna tiga jenis sastera yang dekat di hati rakyat iaitu sastera rakyat, sastera epik dan sastera hikayat.

3.1 Bentuk-bentuk Sastera
Sebelum menelusuri perbincangan mengenai makna tiga jenis sastera yang tersebut di atas, ada baiknya kita mendapatkan sedikit maklumat mengenai bentuk-bentuk sastera. Bentuk sastera terbahagi kepada dua kelompok besar menurut acuan bentuk bahasa iaitu sastera prosa dan sastera puisi. Sastera prosa adalah sastera yang ditulis dengan menggunakan tatabahasa mudah dan disusun dalam bentuk karangan dan lebih mudah difahami. Contoh sastera prosa ialah cerpen, novel, esei ataupun skrip drama.
Manakala sastera puisi didefinasikan sebagai hasil kesusasteraan yang dikarang tetapi di dalam bentuk baris. Kebiasaannya ia merupakan bahasa yang berirama dan mempunyai maksud berlapis. Sastera puisi banyak juga terdapat di dalam sastera rakyat, sastera epik dan dan sastera hikayat. Contoh-contohnya ialah, sajak, gurindam, pantun, syair atau mentera.

3.1.1 Sastera Rakyat
Sastera rakyat diletakkan di bawah naungan sastera lisan kerana proses penyampaian diperturunkan daripada generasi ke generasi secara lisan. Ia dianggap di antara proses kesusasteraan meliputi ciri-ciri hiburan, kritikan, pengkisahan sejarah, nasihat dan motivasi dan tidak statik. Tokok tambah dan perubahan akan sentiasa berlaku disebabkan tiadanya rekod pengumpulan cerita secara bertulis.
Di alam Melayu, sastera rakyat masih kekal sebagai sebahagian daripada identiti kesusasteraan awal umat Melayu. Malahan kedapatan pula profesion sebagai penglipur lara, tukang cerita, tok pawang yang akan bercerita pelbagai versi dan tokok tambah bersifat pralogis yang kadang-kadang melampaui batas logik umum untuk mencantikkan cerita. Abdul Rassid Haji Subet dalam pembentangan kertas kerja Menghayati Sebaginda Bujang dan Anak Cuik Keramat Melalui Pendekatan Moral merekodkan bahawa walaupun kemudiannya tulisan diperkenalkan, sastera lisan (rakyat) tetap berkembang pesat dalam masyarakat Melayu/peribumi tradisional.
Dari segi estetikanya, kehalusan bahasa dan pengaturan irama terlihat jelas sebagai satu kriteria penting untuk memberi keunikan kepada sastera rakyat. Menurut Prof Dr Hasyim Awang, 1985  selain daripada ciri-ciri dinamis, sastera rakyat tidak memperincikan sebarang isu hak cipta di mana pencerita tidak pernah mengakui hak milik kepengarangannya. Malahan, pada kebanyakan ketika ia membahukannya kepada individu yang tidak dikenali yang dipanggil ‘Yang Empunya Cerita’. Secara mudahnya, sastera rakyat merupakan cerita mitos, cerita legenda dan cerita binatang yang digelar juga sastera rakyat naratif. Bagi sastera rakyat bukan naratif, ia boleh terbias jelas di dalam pantun, gurindam, seloka, pepatah dan perbilangan adat, teka teki ataupun jampi serapah. Contoh sastera rakyat yang paling popular ialah Sang Kancil, Legenda Mahsuri atau Legenda Pulau Tioman.

3.1.2. Sastera Epik

Dari segi bahasa, epik didefinasikan sebagai sebuah puisi yang panjang yang menceritakan mengenai individu pahlawan yang berjasa kepada komunitinya.  Kepanjangannya itu meleret sehingga membabitkan watak-watak sampingan yang ramai dan jangka masa penceritaan yang lama. Kebiasaannya latar sastera epik melibatkan zaman kuno atau ratusan tahun yang lampau. Pada kebanyakan ketika, ia agak sukar difahami kerana menukilkan maksud tersirat dan tersurat dalam perjalanan seorang adiwira yang tidak boleh tidak mengaitkan juga faktor mitos, legenda dan dongeng di dalamnya. Ciri sastera epik yang lain ialah ia merupakan sebahagian sumber pensejarahan di dalam sifat adiwira watak utamanya.

Sastera epik juga mengenengahkan unsur bersifat objektif dengan tidak memihak kepada sesuatu pihak atau watak sepanjang penceritaan itu berlangsung. Sastera epik meletakkan nilai-nilai positif di dalam sifat kepahlawanan watak utamanya dan kadang-kadang diselitkan juga unsur ultra-adiwira untuk menggambarkan kehebatan dan keperwiraan tokoh tersebut. Fungsi sastera epik di antara lainnya ialah menyemai sikap positif dan bagi sastera epik kebangsaan, sudah tentu sekali ia bertujuan menanamkan semangat cintakan agama, negara dan bangsa. Contoh sastera epik yang sangat dekat dengan kita ialah Hikayat Hang Tuah. Manakala Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Muhammad Hanafiah adalah contoh karya sastera epik berunsur Islam.


3.1.3 Sastera Hikayat

Berbeza dengan sastera rakyat, sastera hikayat merupakan koleksi cerita-cerita berbentuk tulisan dan ditulis dalam Bahasa Melayu lama serta dalam laras bahasa dan struktur tertentu. Kebiasaannya ia membentangkan cerita-cerita ajaib lagi mistik berunsur hiburan yang mungkin kadang-kala ultra hebat tentang watak ciptaan pengarangnya. Ciri-ciri umum sastera hikayat ialah latar penceritaan sangat luas meliputi alam nyata dan alam khayalan seperti kayangan, istana jin, alam dewa-dewi dan alam hantu syaitan. Watak-wataknya diceritakan sebagai pralogis baik dari segi fizikal (keindahan paras wajah atau kekuatan fizikal pahlawannya) malah meliputi juga unsur-unsur luar biasa yang melampau batas logic.
Pada kebanyakan ketika, plot cerita berbentuk kronologi yang menceritakan pengembaraan watak dan kehebatannya semenjak lahir. Di dalam sastera hikayat juga ditulis mengenai struktur sosial masyarakat yang boleh dijadikan rujukan seperti hubungan rakyat jelata dengan pemerintah dan cara pemikiran masyarakat pada ketika itu.  Sastera hikayat ditulis dengan tujuan memberi hiburan kepada pembacanya. Sastera hikayat terbahagi kepada tiga iaitu sastera hikayat berunsur Islam,  berunsur Hindu dan berunsur hindu Islam.
Sastera hikayat berunsur Islam disebut juga cerita di dalam cerita. Ia juga disebut cerita berbingkai di mana terdapat pelbagai cerita sisipan daripada cerita pokok sedia ada. Sastera hikayat berunsur Islam dibawa masuk melalui Arab Parsi yang menekankan elemen islamik walaupun isi cerita berasal dari kesusasteraan Hindu. Contoh hikayat genre begini ialah Hikayat Bayan Budiman dan HIkayat Seribu Satu Malam.
Sastera hikayat berunsur Hindu ialah ialah kisah sastera yang dipetik sepenuhnya atau sebahagiannya daripada dua kitab epik hindu yang terkenal iaitu Mahabratha dan Ramayana. Kisah-kisah mengenai pengembaraan watak-wataknya ditulis dalam latar yang tidak berdimensi seperti alam kayangan contohnya. Contoh hikayat Melayu yang menerima sentuhan hikayat sastera berunsur Hindu ialah Hikayat Seri Rama dan Hikayat Pendawa Lima.  Sastera hikayat yang terakhir ialah sastera hikayat berunsur Hindu Islam. Seperti sifatnya, karya ini masih berasaskan sastera Hindu tetapi telah disuntik dengan elemen kesusasteraan Islam bersesuaian dengan suasana masyarakat pada ketika itu. Ia ditulis ketika pengaruh kedatangan Islam meluas di alam Melayu. Contoh paling mudah untuk mengenal susuk sastera jenis ini ialah ia memakai dua judul iaitu judul Hindu dan judul Islam. Nama, watak  dan gaya bahasa cenderung menggunakan latar kesusasteraan Arab. Contoh hikayat Hindu Islam ialah Hikayat Si Miskin atau Hikayar Marakarma dan Hikayat Serangga Baru/Hikayat Ahmad Muhammd.

4.0 KESIMPULAN
Setelah mengenali dan memahami ketiga-tiga makna sastera tersebut, dapatlah disimpulkan bahawa kesusasteraan membawa peranan besar dalam pembentukan ideologi masyarakat melayu semenjak bertahun lamanya. Kewujudan sastera rakyat misalnya membawa makna dalam kesan pensejarahan dan susur galur serta situasi sosial umat Melayu ketika itu. Sastera epik pula merupakan wacana yang mendorong manusia, umat Melayu khususnya menjalani kehidupan bermasyarakat secara positif dan menjadi yang terbaik berasaskan contoh teladan yang ada. Manakala sastera hikayat memainkan peranan sebagai penghibur dan sebagai citra budaya bangsa yang masih boleh dibaca dan dikaji sehingga kini.


Bibliografi

Hashim Awang (1986) Glosari Mini Kesusasteraan, Petaling Jaya : Fajar Bakti
Persatuan Sejarah Malaysia (1984) Sastera dan Sasterawan II Kuala Lumpur. United Selangor Press Sdn Bhd.
 Drs. Abd Aziz Hj Omar (2012, May 10), Definisi Sastera/Kesusasteraan Melayu. Diperolehi pada 0ktober 3, 2014 daripada http://azmar-pb.blogspot.com/2012/05/definisi-sasterakesusasteraan-melayu.html
Bahasa Melayu OUM (tiada rekod tarikh), Definisi Kesusasteraan. Diperolehi pada Oktober 3,2014 daripada http://bahasamelayudnisenu.blogspot.com/2010/12/definisi-kesusasteraan.html
Kesusasteraan Melayu Tradisional 922/1 (2008, September 17), Definisi Kesusasteraan. Diperolehi pada Oktober 3, 2014 daripada http://kalimahbestari.blogspot.com/2008/09/definisi-kesusasteraan.html
Wikipedia (tiada rekod tarikh) Sastera Rakyat (Sumber Hashim Awang, 1985). Diperolehi pada Oktober 3,2014 daripada http://ms.wikipedia.org/wiki/Sastera_rakyat
Kesusasteraan Melayu 1-STPM (tiada rekod tarikh), Sastera Epik. Diperolehi pada Oktober 3, 2014 daripada http://www.scribd.com/doc/15792642/SASTERA-EPIK
Kesusateraan Melayu SPTM, (2011, Oktober 16) Skema Jawapan KMM922/1 Peperiksaan Percubaan 2011. Diperolehi pada Oktober 3, 2014 daripada http://cgpauzi.blogspot.com/2011/10/skema-jawapan-km-9221-peperiksaan.html
Mimbar Kata (tiada rekod tarikh) Sastera Hikayat. Diperolehi pada Oktober 3,2014 daripada http://mimbarkata.blogspot.com/2013/05/sastera-hikayat.html
Suak Menerung (2009, May 20) Sastera Hikayat. Diperolehi pada Oktober 3,2014 daripada http://suakmenerung.blogspot.com/2009/05/sastera-hikayat.html
Utusan Sarawak, Stail Seni dan Budaya, (2008, Jun 26) Mengenali Sastera Rakyat. Diperolehi pada Oktober 3, 2014 daripada http://cetasasbuya.blogspot.com/2008/06/mengenali-sastera-rakyat.html
Kesusasteraan Melayu Tradisional (tiada rekod tarikh) Ringkasan Pembahagian Sastera Lisan. Diperolehi pada Oktober 3,2014 daripada http://smsotutong.tripod.com/sastera_melayu/id3.html
Uthaya Sankar SB, Sasterawan Malaysia (2011, April 1) Wawancara Nizam-Uthaya. Diperolehi pada Oktober 1, 2014 daripada http://uthayasb.blogspot.com/2011/04/wawancara-nizam-uthaya.html

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...