..yang bernama sahabat

Showing posts with label Jurnal Hari. Show all posts
Showing posts with label Jurnal Hari. Show all posts

Sunday, 29 March 2015

Lily Khalilah Bab 3







Bab 3
Memanfaatkan teknologi terkini, tempoh edah dilalui Lily Khalida dengan tenang. Teman-teman maya memberikan semangat walaupun dia berhati-hati setiap kali menekan kunci enter. Tidak mahu membaraikan sebarang rahsia peribadi di dada maya. Walhal, itulah yang paling suka dibaca dan dinikmati para pelayar laman sosial, pada kebanyakan ketika.
“Cik…”
Setelah salam dijawab, suara Maziah kedengarannya tersangat cemas. Tersekat-sekat bagaikan di sebelahnya terdapat penculik sedang menghunus pisau ke batang lehernya.
“Maziah, kenapa?” Lily melangkah keluar menuju ke beranda. Deretan kenderaan yang tidak pernah putus melewati jalan utama Taman Seri Manja mendepani kondo mewah yang didiaminya hampir sebulan lalu. Kereta-kereta yang melintasi kopitiam Old Time White Coffee umpama kereta mainan merangkak perlahan sebaik mendekati simpang tiga lampu trafik memecahkan laluan ke Petaling Utama dan Lebuhraya Kesas.
Dia melilau-lilaukan mata, mencari kelibat Maziah di antara sekian banyak manusia yang lalu lalang di bawah. Jika ada. Memanglah tidak jelas wajahnya 100%. Namun karekter fizikal dan lenggok tubuh dan lenggang jalannya boleh dicaminya walaupun Maziah baru bekerja dengannya. Tambahan pula, penampilan busana Maziah yang selalunya sangat kontras dan tak kena gaya, memudahkan proses ‘pengecaman’ tersebut.
“Cik…saya sesat,” adu Maziah. Suaranya kedengaran sebak dan panik.
“Awak kat mana?” Lily menegakkan bahu seakan tersentak dengan pengakuan Maziah. Tadi, Maziah yang meminta kebenaran untuk membeli barangan dapur di pasar raya besar di seberang jalan. Takkan sekarang dia sesat.
“Dekat tempat saya pergi ni la…”
“Laa…macam mana boleh sesat pulak. Masa pergi tadi boleh sampai?” tanya Lily antara gelak dan simpati. Namun, dicapai juga kunci kereta. Dengan niat untuk menyelamatkan Maziah, dikuncinya pintu dan pintu gril dengan segera.
“Awak tunggu kat muka pintu. Jangan pergi mana-mana. Bergerak pun jangan!” arah Lily sebelum mematikan talian dan ketawa. Maziah! Maziah! Pergi pasar raya di depan rumah pun boleh sesat. Macam mana kalau aku suruh dia beli barang kat Pavilion ke, mahu sesat sampai Kodiang ni.
*****
“Kalau saya pengsan ke, sakit ke, macam mana saya nak tinggalkan awak? Pasar raya tu kat depan kondo kita aje…” bebel Lily sebaik Maziah meloloskan diri ke dalam kereta. Barang-barang yang dibelinya sudah diletakkan di but belakang sebaik Lily membunyikan hon tadi. Maziah tidak menjawab. Sengih seperti selalu pun tidak. Sesekali dia mengesat peluh dingin di dahinya.
“Macam mana awak boleh telefon saya pulak. Tahu pulak nombor telefon saya?” uji Lily tersenyum-senyum, menunggu kereta di depan keluar daripada petak parkir sebelum meneruskan perjalanan.
“Ada orang tolong telefonkan. Saya tak pandai la guna telefon ni, cik. Boleh tak cik beli telefon yang ada lampu picit tu? Dulu kat kampung, mak saya pakai telefon macam tu.” Maziah menghulurkan telefon pintar versi terkini yang memang dibelikan oleh Hajah Roziah untuk pembantu rumahnya. Semua.
“Lampu picit?” Lily ketawa besar sebelum membelok masuk dan memarkirkan kereta di depan sebuah restoran makanan segera.
“Ha’ah. Sesak-sesak nak bangun malam tak payah bukak lampu,” terang Maziah lagi. Tersengih. Terpamer barisan giginya yang kelihatan seperti bangunan di ibu kota. Tinggi rendah, tajam tumpul, semua ada.
“Dahlah, awak ni. Nanti saya ajar. Tolong beli apa-apa untuk makan tengahari kita. Awak tak payah masaklah. Saya pun rasa malas nak masak…” ujar Lily menghulurkan dua keping not RM50 kepada Maziah. Maziah tidak bergerak dari tempat duduknya. Malah tidak membuka pun tali pinggang keledarnya. “Apa lagi ni?” tanya Lily menoleh. Dilihatnya wajah Maziah seperti ternampak hantu. Bulat besar matanya.
“Saya tak pernah pergi beli makanan kat tempat macam ni. Nanti kalau saya minta yang bukan-bukan, kena gelak pulak.”
“Ish! Awak ni dari hulu pendalaman mana?” Lily mencapai kaca mata hitamnya yang tersimpan di dalam laci papan pemuka. Ikatan rambutnya diburaikan dan dikemaskan dengan cakaran kedua-dua belah tangan. Getah rambut itu melilit pergelangan tangannya.
“Kalau abah nampak, masak saya, Maziah,” ujar Lily, keluar dari kereta. Sebaik dia berpaling, Maziah sudah pun berada di belakangnya.
“Saya temankan cik. Kalau puan hajah atau tuan haji tanya, nanti saya jawab,” jamin Maziah, membetulkan cekikan tudung berwarna oren berbunga biru di bahagian atas kepala. Mereka beriringan masuk ke restoran makanan segera itu yang sudah tentu menarik pandangan banyak mata. Lily bertubuh tinggi lampai, berblaus lengan panjang dan skirt labuh potongan lurus berwarna hitam. Rambutnya lurus mencecah dada dan derap langkah teratur dengan sandal bertumit yang melindungi sebahagian kakinya yang putih melepak. Berbeza dengan teman di sebelahnya, berbaju kurung tergantung dengan warna kusam beserta tudung yang boleh memancarkan sinar matahari siang dan malam. Namun, Lily tidak kelihatan kekok berbual-bual dengan Maziah.
“Cik…itulah budak lelaki yang tolong saya tadi.” Maziah menepuk lengan Lily sambil tangannya lurus menunjuk kea rah kelibat seorang lelaki yang berjalan di siar kaki di luar restoran tersebut. Lily hanya memandang sekilas, kemudian pandangannya kembali kepada deretan menu yang terpapar di dinding bahagian atas kaunter tempahan itu. Seakan terdengar namanya disebut, budak lelaki itu menghentikan langkahnya, membuka kaca mata hitamnya dan memandang kea rah mereka lantas tersenyum. Maziah turut membalas senyumannya walaupun tak pasti sama ada senyuman itu untuk dirinya.
Sewaktu dia dilanda panik kerana tidak dapat mengingat jalan yang dilaluinya tadi, dikeluarkan telefon yang memang diarahkan Lily agar dibawa ke mana sahaja. Jenuh dia menekan-nekan permukaan telefon itu, tetapi tiada apa pun yang keluar. Mulut hendak memaki hamun tetapi hati berkata jangan. Maka, dia duduk bersila di luar pasar raya besar berhampiran deretan kedai cermin mata. Dia memandang telefon lebar itu dengan pandangan berkaca.
“Kenapa kak?”
Satu suara lunak menegurnya. Maziah menyapu cairan di bawah hidungnya dengan hujung baju.
“Nak telefon cik puan saya, tapi saya tak reti,” adu Maziah, tanpa cuak.
“Mari sini, saya tengokkan.” Pemuda berbaju t belang merah hitam dan berseluar jeans itu bertinggung di sebelah Maziah. Maziah menghulurkan telefon tersebut kepadanya.
“Siapa nama dia?” tanyanya sambil jemarinya meleret ke bahagian contact.
“Lily Khalidah.”
“Cantik.”
“Ha’ah. Dia memang cantik. Kulit dia putih macam telur kena kupas. Gebu aje. Kat pipi dia, tak ada seketul jerawat ke, jeragat ke. Lepas tu dia selalu senyum –“
Maziah tidak sempat menghabiskan kata-katanya apabila lelaki muda berambut hampir mencecah bahu itu menghulurkan telefon tersebut dengan gambar Lily Khalidah terpapar dan gambar telefon juga speaker yang diaktifkan menggemakan bunyi nombor yang sedang didail.
*****
“Maziah…nak order apa?” Cuitan di pinggang mengejutkan dirinya. Kelam kabut dia berpusing dan menghadap kea rah kaunter tempahan itu.
“Ni…upah pasal awak sesat hari ni,” sakat Lily lagi. Maziah terkebil-kebil. Sukar menghadam gurauan perempuan yang masih nampak anggun itu. Dia mengangguk sahaja. Kalau menggeleng nanti, difikirnya aku tak mahu dibelanja. Siapa yang tak merasa ayam goreng? Aku jugak!

Monday, 2 March 2015

Awak Kat Mana?

gambar : google
Assalamualaikum.

Insiden hari bertunang yang lebih menduga sabar aku ialah bila rombongan pihak lelaki terlewat sejam. Sebabnya ada dua buah kereta dalam konvoi tu sesat. Lepas tu tunang aku pulak tak ikut sekali. Pak Lang yang lead masa merisik tu pulak ingat-ingat lupa rumah aku. Yelah, Cik Jah...bukannya pergi hari-hari.
Tak ke haru-biru jadinya.

Oh tak cukup haru lagi. Nak menambahkan haru, mak aku lepak kat muka pintu bilik penunang (belum jadi pengantin) dan bersyarah pasal ni:

a) entah-entah dia tipu
b) entah-entah dia dah lari
c) entah-entah dia nak main-main aje
d) entah-entah mak bapak dia tak suka kat awak

dan macam-macam entah lagi. Aku memang stres gila sebab masa tu tak ada telefon bimbit nak diredah dan telefon tanya, "awak kat mana, awaak...awak kat mana?" Tak adalah aku terfikir nak berastgahafar ke, husnuzon ke, berzikir ke. Aku buat apa? Aku tanggalkan layah (veil) dan aku menangis.

Takdir Allah jugak, jam 1.00 lebih sikit, mereka tiba. Itulah arrange lagi masa tak hormat waktu solat!

Dan mintak maaf cakap, lama juga aku nak menjernihkan hubungan dengan mak lepas tu...

Sunday, 1 March 2015

Pengsan Berjemaah dengan Mak

gambar : google
Assalamualaikum.

Kata orang masuk kandang kambing mengembek. Masuk kandang kerbau menguak. Masuk kandang buaya, kalau sempat lari, larilah.
tapi tunang aku sudah salah masuk daaa...

Dua kali mak aku pengsan. Sekali masa bertunang, dan hampir masuk tiga kali termasuk nak pengsan berjemaah dengan aku sebab rombongan pihak lelaki lambat sampai.

Insiden cincin tu ialah bila cincin merisik aku 'ditarik' sebaik cincin tunang tersarung. Kata Mak Ngah Bedah (al fatihah) ini antara apa yang termaktub dalam Adat Perpatih. (Lepas tu, aku siap beli buku mengenai Adat Perpatih - nak pastikan info sahih)

Mak aku sudah jerit satu kampung daaa....

Katanya ini sudah kasi malu sama dia. Macam anak dia sudah kena tebuk tupai (nauzubillah) Argh! cepat-cepat aku dok bersimpuh jam tu jugak. Mak pengsan sambil sebelum tu berwasiat bagai kat ayah. Kalau dia mati...bla..bla...bla...dramatik betul mak aku.

Terpaksalah aku dengan perasaan terpaksanya menelefon tunang aku suruh hantar balik cincin tu. (eleh...alasan! yang sebenarnya aku pun seronok sebab dia datang ke rumah. Tak kira dah dia nak drive sampai dua jam lebih dari Jelebu nak ke Mentakab tu...)

Saturday, 28 February 2015

Terajang Versi Shake Hand

gambar : google
Assalamualaikum.

Sebut fasal fail (ingat nak entri pasal fail cover Erik Estrada) ada satu insiden terjadi masa hari akad nikah aku, 18 tahun lepas. Tapi Allah mentakdirkan mak dah tak dapat melihat, maka kekecohan tak lah sampai ke dalam bilik pengantin. Kalau tak, mahunya keluar tv kisah seorang pengantin bersilat dengan songket lipat paras lutut! dengan maknya.

Ayah, Abang Asri (abang sepupu ipar) dan juga pak sedara aku dah menggelabah sakan dah jam tu. Mana taknya, tok kadi (Ustaz Aziz, al fatihah) dah bersila baik punya. Tapi, semua dokumen yang nak ditengoknya tak ada. Dalam makna kata lainnya HILANG!

Tak tahulah, aku atau ayah yang salha letak, tapi memang kecoh gila. Cuma aku (pengantin) aje yang tak tahu. Dek, kerana jodoh tu dah tertulis dengan hero idaman Malaya aku tu, dan tak tahulah apa saudara-mara lelaki aku buat, maka dapatlah si dia shake hand dengan Ustaz Aziz.

Aku tak berani nak tanya ayah pasal tu, takut kena terajang versi 'shake hand'


Friday, 27 February 2015

Funtastic Parents - Kids for Jannah






Assalamualaikum

Keesokan harinya pulak 15 Feb 2015 berlangsung satu ceramah keibubapaaan yang dianjurkan oleh Vogue Malaysia yang berpaksi pada slogan Funtastic Parents Kids Of Jannah. Acara-acaranya termasuklah ceramah dan drum circle untuk anak-anak. Ini kali kedua aku terlibat dengan aktiviti ini – maksud aku jadi peserta. Kali pertama di PPAS Shah Alam. 

Lokasinya kat perkarangan blok aku dengan kerjasama KRT Blok M dan N bersama Yayasan Bank Rakyat, Tabung Haji, Komuniti 1M, RTC, LPPKN dan JKKKP. Acaranya berlangsung pada 2 petang tapi terlajak beberapa ‘setengah’ sebab penceramahnya sesat. 

Tajuk yang dibawa ialah Membina Generasi Cemerlang yang dikendalikan oleh tuan Nor Azam bin Haji Mokhtar, graduan UITM dan pemegang ijazah kedoktoran dalam pelbagai bidang. Yang aku tahu, Vogue Malaysia yang dipresidenkan oleh Pn Jamilah Hanim ni memang mempunyai pasukan motivator dan speaker yang hebat-hebat.

Ceramahnya berlangsung santai. Tak adalah rigid nar. Yang sempat aku catatkan ialah generasi Y @ Why perlu dididik untuk berfikir di luar kotak, pandai cari peluang dan perlu kuat semangat.


acara cabutan bertuah....aku? hmmmm
Hmmm…jenuh juga nak memikirkan untuk menarik mereka keluar dari ‘kotak’ tu – nak-nak kotak Kpop tu….

Thursday, 26 February 2015

Maraton Cinta di Pasaran

Arnieza Bella, Noraz Ikha, Nur Dila bersama pasukan TISS dan Fumi Edar
Syarifah Syaqirah mahu bermaratonkah lagi kali ini. Setelah beberapa kali dia meninggalkan tok kadi terpinga-pinga, pengantin lelaki ternganga-nganga dan ahli keluarga menutup muka. Apa masalah sebenarnya Syarifah Syaqirah sehinggakan dia perlu beredar daripada dimensi bernama majlis perkahwinan yang diimpikan oleh setiap gadis?

Maraton Cinta 360 Arnieza Bella

Dee a.k.a Dara atau nama sebenarnya Nadaira memang gila berangan. Kebolehan berangannya sehingga masuk tahap ekstrem sebab boleh mengangaukan dua manusia sekaligus. Masalahnya, dua manusia ni si Nick dengan Imad ni angaukan dia jugak ke?

Dee Angaurian - Puss Vakker 

Ross Nur Faezah meletakkan syarat yang bukan-bukan untuk Aaron Fahmi walaupun sebenarnya terdesak nak kena kahwin sekali harung dengan kakaknya, Kak Ida. Entah dari mana datangnya pula si Akim Zikry yang buat semak dan haru-biru segala-galanya.

Engkau Curi Hati Aku - Noraz Ikha

Cinta semalam memang sukar nak dilepaskan. Apatah lagi seandainya segala-gala mengenainya sentiasa berpeleseran di ruang mata. Apakah dengan menerima cinta baru tanpa berprasangka bermakna cinta silam sudah dilupa?


Hati Kama - Nur Dila


RM28.00/RM30 SS

Deposit ke akaun Maybank Berhad 1641 6489 7289 Monalita Mansor (emel : monalitamansor@gmail.com)

dan PM NAT (nama alamat dan no telefon anda) ke inbox Monalita Mansor

Kuliah Dhuha Dr. Robiah K. Hamzah - Awesome



Makna Kejayaan Dalam Hidup

Tarikhnya 14 Februari 2015. Masanya 10.00 pagi. Tempatnya di Surau Al Islah, PJS1, dekat dengan restoran mamak tempat aku mengeteh. GPS, aku tak tahu! Penceramah jemputan ialah Dr Robiah K. Hamzah. Ustazah tersohor lulusan bahasa dan linguistik. Tak sedar aje rahang aku terbuka sekejap.
Aku sampai ngam-ngam jam 10, sama sampai dengan penceramah (tak senonoh betul! Bukan apa, cita-cita tinggi nak jadi penceramah jugak) Tapi! Aku manage dapat seat first class depan sekali. Bak kata Prof Kamil dalam bukunya yang masyhur tu, di Malaysia, manusia tak berebut-rebutkan saf depan. Pergilah ke ceramah mana pun.

Aku rasakan sejam setengah tu singkat sangat. Sepatutnya sejam aje, tapi kami drag masa kecederaan sebab sejam Dr Robiah baru cerita pasal hadiah daripada Allah yang pertama.  Topik yang dibawa ialah Makna Kejayaan Dalam Hidup. Beliau mengungkapkan bahawa kejayaan itu, bukan letaknya pada material semata-mata – satu kenyataan yang semua orang tahu tapi susah nak percaya. Dunia adalah tempat pengumpulan saham menuju akhirat – satu kenyataan yang semua orang tahu tapi susah nak buat.
Manusia dibekalkan harta sementara yang perlu dimanipulasi seoptimum mungkin untuk mengaut sebanyak mana saham yang boleh dikutip untuk dibawa balik ke akhirat. – satu kenyatan yang semua orang tahu tapi ramai yang buat tak tahu

Harta yang dipinjamkan itu ialah fizikal kita, roh, akal dan otak yang kesemua itu perlu dihargai dengan salah satu caranya Terapi Syukur yang sangat menyentuh hati. Ia adalah pernyataan kesyukuran kepada Allah kerana kurniaan setiap panca indera dan pelengkap jasad yang ada pada diri manusia.
Sebelum berakhir dengan jamuan nasi berlauk kari kambing (alhamdulillah…murah rezeki tukang sponsor) Dr Robiah mengingatkan jemaah agar sentiasa berlapang dada dan ikhlas kerana keikhlasan dalam berbuat apa sahaj menentukan kehidupan lebih bermakna. 

Gambar? : tak tahu anak dara I pi simpan kut mana. Nanti cari. 

Wednesday, 25 February 2015

Tertinggal Keretapi

gambar : carian Google
Assalamualaikum,

Aku mungkin banyak aura negatif kot. sebab tu anak bertuah yang aku jaga ni pun kurang mendengar. Anak bertuah ni sebenarnya, anak saudara aku sendiri. Masa dulu-dulu yang pada zaman dahulu, aku akui aku memang seperti katak bawah tempurung. Semua takut, takut jatuh, takut malu, takut kena ketawa.

Memang aku akui, sedikit sebanyak ia menyelamatkan aku daripada mencuba benda yang bukan-bukan. Namun pada kebanyakan ketika, aku ketinggalan. - Kesian betul.

Tuesday, 24 February 2015

Apa kerja? Asyik Merengek

gambar : pinjam google
Assalamualaikum.

Aku ada juga dengar, budak-budak yang terlebih makan gula, tak kiralah gula-gula atau air bergula atau sesuatu yang manis akan terlebih-lebih aktifnya. Erk...aku dulu terlebih aktif ke? rasanya tak. Terlebih sudu ada. Manja tak memasal!

Aku ingat, aku mula bertransformasi jadi manusia normal masa tingkatan empat. Masa tu aku kena sound pasal masa bercakap asyik nak merengek entah benda-benda. Kalau orang suka tak apa, ni buat orang menyampah. Itu belum kes hentak-hentak kaki lagi.

'Pelaseran' secara tepat itu telah menghentakkan kepala hotak aku dan menyedarkan aku, 'oi! mak ayah kau jauh la! jangan nak terhegeh-hegeh!'

allamak. Aku ingat lagi 3 orang hamba Allah yang sound aku tu. Terima kasih la.

Sunday, 7 December 2014

Siapa Salah?

gambar : blogger
Hari tu, aku buat satu tugasan berkenaan gejala moral ponteng sekolah. Terjumpa satu buku koleksi kes-kes kaunseling di sekolah menengah. Mak ai...tersentap sekejap aku baca bila pada kebanyakan ketika anak-anak kita dah memang stres dengan pelbagai masalah orang dewasa yang patutnya tak patut mereka rasa.

Entahlah....

Saturday, 6 December 2014

Peri Penting Semantik Dalam Keperluan Berbahasa

gambar : blogger
Memetik definisi daripada Kamus Dewan edisi 4 semantik menjunjung takrif bidang kajian atau analisis yang memperincikan makna kata dan ayat.  Frasa semantik berasal daripada perkataan Yunani bermaksud penting atau bererti.  J.W.M. Verhan, 1996, mentakrifkan semantik sebagai cabang linguistik yang membahaskan isu erti dan makna.  Manakala Abdul Chaer, 1994 menjelaskan bahawa semantik adalah bidang kajian linguistic yang objek penelitiannya adalah makna bahasa. 
            Kata yang merupakan satu unit ujaran yang bebas memerlukan elemen semantik untuk menjamin komunikasi menjadi lebih berkesan.   Hasil daripada komunikasi berkesan akan memungkinkan gagasan atau ilham yang ingin disampaikan difahami. 
Guru Bahasa Melayu perlu mengenali secara dekat ciri dalam bidang kajian semantik termasuklah aspek makna denotasi dan konotasi, makna konteks, hubungan makna dengan kebudayaan, perubahan makna dan bentuk-bentuk makna daripada hubungan semantik seperti sinonim, antonim, hiponim dan sebagainya. 
Setelah maklum bahawa semantik adalah sebahagian daripada ilmu linguistik maka tidaklah dapat ditolak keberadaan peranannya di dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.  Guru-guru Bahasa Melayu khususnya perlu mempunyai pengetahuan dalam bidang semantik kerana ia memberi impak yang berpanjangan kepada murid-murid.  Impaknya nanti bukan sahaja melibatkan hal-ehwal sosial malah mungkin juga berlarutan kepada aspek politik, ekonomi mahupun agama. 
  Impak pertama dapat dilihat dari segi hubungan makna dengan kebudayaan.  Pengetahuan semantik dapat membantu pembawaan diri murid-murid di tengah-tengah masyarakat kemudian hari.  Masyarakat Melayu adalah masyarakat yang mempunyai peraturan sosiobudaya yang sangat ketat.  Secara halusnya, terdapat susunan status dan darjat di dalam hierarki dan ketidakfahaman dalam menguruskan makna sesuatu perkataan yang diucapkan akan memalitkan kesan negatif kepada komunikasi sosial. 
Dibawakan contoh penggunaan ganti nama “saya”, “aku” dan “gua”.  Walaupun secara umumnya ia membawa maksud ganti nama diri pertama, dari segi makna dengan kebudayaan, ia sudah memberi tiga takrifan berbeza menurut kesesuaian lokasi khalayak pada ketika itu.   Frasa “saya” digunakan apabila untuk membahasakan diri kita apabila berkomunikasi dengan orang yang baru dikenali, ketika bercakap dengan orang yang lebih tua atau di dalam majlis rasmi.  Manakala ganti nama “aku” lebih serasi digunakan apabila berkomunikasi di kalangan kawan-kawan terdekat dan rapat dengan kita.  Seterusnya ganti nama “gua” adalah bahasa slanga atau bahasa basahan yang sering digunakan dalam perbualan tidak rasmi atau ada  masanya ketika mahu mencetuskan konflik dengan seseorang. 
Contoh seterusnya ialah bahasa pinjaman daripada bahasa Arab iaitu mahram dan muhrim.  Tanpa pengetahuan semantik, selama-lamanya kita telah terkeliru kerana ia berasaskan kata dasar yang sama iaitu perkataan haram.   Sewenang-wenangnya pula kita menggunakan bahasa pinjaman tersebut tanpa rasa bersalah walhal ia membawa makna yang berbeza.  Di dalam Wikipedia sendiri membawakan pengertian mahram dan muhrim sebagai bentuk-bentuk daripada hubungan semantik seperti bahasa Melayu yang ditambah imbuhan.  Padahal, walaupun ia hanya dibezakan dengan ‘a’ dan ‘i’ ia membawa dua makna yang jauh menyimpang.
Kesemua ciri-ciri tersebut bukan sahaja berkait rapat dengan keperluan untuk ‘lulus periksa’ tetapi, lebih jauh daripada itu ia menyumbang kepada kemantapan penggunaan Bahasa Melayu di kalangan khalayak generasi muda di belakang hari.  Pengetahuan semantik harus diterapkan dan dibiasakan oleh guru Bahasa Melayu demi menjamin keindahan Bahasa Melayu itu sendiri agar tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas. 
Bayangkan betapa ruwetnya kerosakan atau penganiayaan terhadap Bahasa Melayu dewasa ini.  Anasir-anasir seperti penggunaan bahasa sms, bahasa pinjaman, bahasa rancu, bahasa pasar dan basahan amat membimbangkan ditambah lagi penyebarannya seumpama virus yang tidak dapat dilihat, tetapi dirasakan.   Lebih parah lagi bahasa-bahasa tersebut membawa elemen denotasi dan konotasi juga makna konteks yang jauh menyimpang dan mengelirukan. 
  Pengetahuan di dalam bidang semantik amat diperlukan untuk mendidik murid-murid dari segi makna denotasi dan konotasi.  Generasi hari ini generasi cepat matang dan melihat sesuatu hanya berdasarkan akal pemikiran logik sahaja.   Guru Bahasa Melayu memainkan peranan untuk memperkenalkan aspek denotasi dan konotasi terhadap sesuatu istilah atau simpulan bahasa  (sebagai contoh).  Ini berikutan penggunaan istilah-istilah tersebut adalah gambaran kesantunan bangsa Melayu itu sendiri.  Bangsa yang mempunyai adab yang terpelihara walaupun sekadar untuk menyampaikan sesuatu maksud yang ringkas. 
            Sebagai contoh, gurindam untuk mempersilakan tetamu mengambil tempat duduk yang berbunyi ‘tempat cawan pada piringnya, tempat cerek pada tungkunya.’  Gurindam tersebut jika disuluh dari segi makna denotasinya bermaksud kedudukan benda-benda tersebut berserta pasangannya. 
Tetapi, apabila dikaji daripada segi makna konotasi, ia membawa maksud setiap orang harus mengambil tempat yang sesuai dengan status kehadirannya di dalam majlis itu.  Jika kita hadir sebagai tetamu, kita  harus berada  di kerusi yang disediakan untuk tetamu.  Begitu juga sekiranya kita membawa fungsi yang berbeza seperti pengerusi majlis, ahli jawatankuasa ataupun pasukan penyedia juadah. 
            Sekiranya guru bahasa Melayu tidak mempunyai pengetahuan sebegitu, bagaimana ia dapat membantu murid-muridnya memperkayakan pengetahuan leksikon mereka?  Sedangkan pengetahuan itu diperlukan untuk memberi nilai tambah di dalam kertas karangan mereka.  Pengetahuan leksikon itu nanti juga akan membantu menambah keyakinan diri mereka apabila berkomunikasi dengan pelbagai peringkat apabila meningkat dewasa kelak.    
            Sebagai kesimpulannya, pengetahuan semantik kepada guru Bahasa Melayu adalah amat perlu berasaskan cakupan jangka pendek dan jangka panjang.  Ia membabitkan pula rangkupan menyeluruhi aspek sosial, ekonomi dan politik.
 Cakupan jangka pendek memungkinkan pelestarian kecemerlangan murid-murid di dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.  Seterusnya memberi imej yang cemerlang buat diri murid  sendiri, guru dan sekolah. 
Cakupan jangka panjang pula adalah hayat ilmu yang berterusan yang menjadi nilai tambah buat diri murid-murid dan guru itu sendiri.  Murid yang kaya storan leksikonnya akan mendapati dirinya lebih berkeyakinan dalam segi hubungan sosial.  Mereka akan dapat meresapkan diri  di dalam pelbagai golongan masyarakat dengan kelebihan pengetahuan semantik ibarat pepatah masuk kandang kami mengembek, masuk kandang harimau mengaum. 
Dari sudut ekonomi pula, kekuatan menggunakan bahasa dapat membantu menambah keyakinan pihak lawan atau pembeli untuk mendekati kita berasaskan kemahiran berbahasa yang memikat hasil kebijaksanaan mengenal pasti ciri-ciri semantik ketika berbahasa.  Akhirnya, bertitik tolak daripada pengetahuan menguasai leksikon dengan baik, segala khilaf dan perselisihan yang melibatkan aspek politik di dalam negara boleh ditangani dengan berhemah dan profesional.  Hasilnya, keamanan akan terus dikecapi selama-lamanya.  Seperti juga pengetahuan mengenai cabang linguistik lainnya seperti sintaksis, fonologi dan fonetik, semantik memainkan peranan penting dalam menentukan usaha memartabatkan imej Bahasa Melayu agar terus konsisten seiring arus zaman.   




Rujukan:
Semantik, Portal Pendidikan Utusan diperolehi pada  September 22, 2013 daripada http://www.tutor.com.my/stpm/semantik/semantik.htm
Definisi Semantik, (2001, August 24) RujukNota, diperolehi pada September 22, 2013 daripada: http://rujuknota.blogspot.com/2011/08/definisi-semantik.html

Abdullah Hassan, Aripin Said & Ainon Mohd, (2007) Pantun & Gurindam Untuk Majlis Rasmi & Perkahwinan.  PTS Millennia Sdn Bhd, Selangor 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...