..yang bernama sahabat

Friday 6 March 2015

Kaitan Di Antara Perkembangan Moral dan Penaakulan Moral



Kaitan Antara Perkembangan Moral dan Penaakulan Moral
Perkembangan moral bersangkutan secara langsung dengan penaakulan moral apabila guru perlu mengaplikasikan kemahiran penaakulan moral yang tinggi untuk mengecam tahap penaakulan moral murid di sekolah. Dengan melakukan proses saringan ini, maka proses perkembangan moral secara positif dan tersusun murid-murid dapat dirangsang peringkat demi peringkat. Di antaranya ialah apabila guru mempunyai kemahiran empati dan bertoleransi dengan murid, kaedah pengajaran yang bersesuaian dapat direncana oleh guru bagi merangsang pemikiran rasional murid-muridnya.

Kajian pakar juga membuktikan wujudnya perkaitan di antara kedua-dua elemen ini. Pakar membahagikan peringkat perkembangan moral kepada beberapa tahap iaitu tahap prakonvensional, tahap konvensional dan poskonvensional. Ketiga-tiga peringkat ini masih mengekalkan keupayaan pengurusan penaakulan moral yang mencakupi  penggunaan minda yang waras dan rasional dalam membuat keputusan tidak kira sama ada untuk mematuhi seperti yang diterangkan di dalam peringkat 1 tahap prakonvensional iaitu orientasi hukuman dan kepatuhan mahupun untuk membela diri atau menjaga kepentingan diri seperti yang diterangkan pada tahap 3 di bawah peraturan orientasi prinsip etika sejagat.

Ini bertepatan dengan konsep penaakulan moral yang menekankan nilai-nilai kepatuhan kepada norma dan susun atur kehidupan bermasyarakat dari segenap aspek. Menurut pakar lagi, para guru perlu mengaplikasi teori perkembangan moral dalam proses taakulan moral murid yang terbahagi kepada dua peringkat. Peringkat 1 adalah peringkat yang dinamakan orientasi hukuman dan kepatuhan. Guru harus menaakul sejauh mana perkembangan moral murid membantu mereka mematuhi sesuatu autoriti yang lebih berkuasa kerana takutkan kepada hukuman atau denda dan sejauh mana mereka menggunakan penaakulan moral untuk mendepani cabaran itu. Pada peringkat ini, perkembangan moral murid yang mementingkan diri sendiri atau dalam erti kata lain untuk menyelamatkan diri sendiri harus diperhatikan dan dipastikan sejajar dengan aspek penaakulan moral.

Pada peringkat kedua pula iaitu orientasi instrumental relativis, moral murid berkembang dengan keupayaan untuk mengambil berat dan mengambil tahu akan hal persekitaran dan orang lain tetapi dengan motif berkepentingan sendiri. Perkembangan moral murid memberitahu mereka perlu menjaga tepi kain orang lain agar mereka tidak ketinggalan di dalam mata pelajaran misalnya tanpa mempedulikan kawan-kawan lain. Peringkat penaakulan moral secara positif seperti bekerjasama, menghormati hak dan mendengar pendapat orang lain dengan lapang dada mulai boleh diterapkan pada peringkat ini.

Guru perlu mempunyai takah penaakulan moral yang tinggi bagi memberi motivasi dan menjadi idola sosial yang sesuai bagi menangani dilema perkembangan moral yang mungkin timbul tatkala proses di atas berlangsung. Ini dapat dilihat dengan keupayaan guru menangani dan membetulkan sekian banyak masalah berkaitan moral di dalam kelas dan mewujudkan suasana kondusif di dalam kelas yang memungkinkan murid lebih bermotivasi dan mampu mencapai tahap penaakulan moral yang positif dengan lebih cepat. Guru perlu mempunyai empati dan sentiasa berusaha mewujudkan situasi menang-menang di dalam kelas sebagai menunjukkan tahap penaakulan moral yang tinggi demi menyeimbangkan tahap perkembangan moral murid.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...