..yang bernama sahabat

Wednesday 8 January 2014

Definisi Menaakul, Pemikiran Kreatif dan Inovasi dalam KSSR

foto : carian Google
Kemahiran menaakul adalah salah satu daripada empat kemahiran teras dalam Kurikulum Sepadu Sekolah Rendah KSSR selain daripada kemahiran membaca, menulis dan mengira.  Menaakul adalah proses membuat pertimbangan logik berasaskan faktor sebab dan akibat seperti yang dinyatakan di dalam Kamus Dewan.   Menaakul adalah proses semula jadi minda manusia yang sentiasa memerhati dan akhirnya menilai pro dan kontranya sesuatu subjek yang berada dalam penilaian mereka.  Para sarjana mengungkapkan penaakulan itu adalah proses kognitif sebab musabab terjadinya peristiwa atau perkara berasaskan maklumat-maklumat seperti data dan fakta.  Berdasarkan maklumat-maklumat itu kemudiannya masalah diselesaikan secara literal.   Ia juga sedikit sebanyak melibatkan proses membuat keputusan di dalam kehidupan seharian berpaksikan logik akal dan sandaran kepada impaknya  keputusan.  Menaakul, membantu murid-murid membuat inferens berdasarkan kemahiran memahami faktor sebab dan akibat.

Kemahiran menaakul menggalakkan murid-murid meneroka dan mengembara ke alam akal fikir secara tuntas untuk menjana idea baru apabila berhadapan dengan risiko.    Ia memerlukan mereka berfikir secara teliti dan fleksibel.  Kemahiran menaakul memerlukan minda yang stabil dan berasaskankan faktor-faktor seperti berfikiran kritis, kreatif dan inovatif, berani dan bijak menyoal, ghairah dengan rasa ingin tahu, mempunyai inisiatif berfikir sendiri dan fleksibel, saling bekerjasama, sanggup mengambil risiko, berpandangan jauh dan bijak membuat bandingan.  Pada asasnya, menaakul adalah sebahagian daripada proses berfikir.  Takah-takah berfikir seperti berfikir secara kreatif dan kritis adalah penyumbang kepada gerak kerja penaakulan untuk menentukan logik dan rasionalnya sesuatu perkara.   Akhirnya ia akan membuahkan strategi berfikir iaitu konsep mengkonsepkan atau menumpu kepada titik tumpu masalah, menyelesai dan membuat keputusan. 

Asas kemahiran menaakul adalah menyimpan, mengguna semula, memadan dan prosedur eksekutif.  Proses paling penting ialah menyimpan, di mana maklumat disimpan dalam storan minda untuk jangka masa panjang.   Proses penyimpanan boleh dilakukan dengan menggunakan kaedah mencatat, melukis  dan membuat lakaran imej.  Proses mengguna semula pula ialah proses menggali maklumat yang disimpan untuk jangka masa panjang tadi untuk dijana semula dan digubah menjadi gagasan yang baharu.   Proses seterusnya ialah proses memadan.  Proses memadan ini adalah umpama proses suai padan yang membolehkan murid  yang melibatkan proses maklumat baru yang dibawa masuk ke otak berpadanan atau tidak dengan maklumat sedia ada di storan minda mereka.   Cabang-cabang proses memadan adalah mengkategori iaitu murid-murid diminta mengelaskan idea untuk mempercepatkan proses berfikir dan pemecahan spesifik terhadap maklumat yang diterima; generalisasi yang membolehkan murid mencerna maklumat baru dan menyuaipadankan dengan situasi yang baharu; penaakulan analogi iaitu gabungan kemahiran mengkategori dan generalisasi yang digunakan mendepani maklumat baru dengan lebih berkesan;  penilaian logic iaitu membandingkan maklumat dapatan dengan maklumat sedia ada sahih dan logic dan penilaian nilai; iaitu proses memadankan nilai baru dengan nilai sedia ada yang sudah distorkan di dalam otak. 

Proses terakhir ialah prosedur eksekutif iaitu peringkat merealisasi.  Prosedur ini berperanan menyelaras kemahiran bagi membantu pembinaan dan struktur kognitif yang baru dan menyusun semula yang lama.  Tiga kemahiran dilibatkan di dalam proses ini iaitu penghuraian, penyelesaian masalah dan penggubahan.  Penghuraian ialah proses membuat inferen terhadap maklumat dan murid perlu menggunakan lima kemahiran menjana maklumat seperti di atas tadi untuk mendapatkan solusi.  Lebih-lebih lagi apabila maklumat sedia ada tidak lengkap dan menyukarkan murid-murid membuat pemahaman.  Proses seterusnya ialah penyelesaian masalah iaitu proses mendapatkan maklumat dan strategi bagi mengatasi halangan.  Ia termasuklah prosedur penerangan masalah, penentuan hasrat,             senarai cadangan penyelesaian dan pilihan, pemilihan strategi, pengujian cadangan penyelesaian, penilaian dapatan daripada cadangan penyelesaian dan kajian semula langkah-langkah tersebut seandainya keadaan memerlukan.   Keseluruhan kreativiti dan pemikiran kreatif harus dikerah bagi menentukan kualiti penyelesaian yang diambil nanti.  Kemahiran akhir ialah penggubahan iaitu proses melahirkan maklumat baru untuk mengeluarkan idea secara bertulis atau lisan.  Di dalam sekian banyak kemahiran menaakul, hanya penaakulan logical yang meliputi penaakulan induktif dan deduktif digunapakai. 

Pemikiran kreatif adalah merujuk kepada kemahiran mencerakin dan melahirkan idea yang asli dan berunsur generatif.  Gagasan baru ini terbentuk apabila ilham sedia ada digabungkan dan dicerna.   Pemikiran kreatif terletak di bahawa proses kemahiran berfikir selain kemahiran menaakul, dan berfikiran kritis.  Kreativiti secara abstraknya ialah penghasilan idea. Kebolehan menghasilkan idea baru atau menggabungkan idea sedia ada dipanggil proses kreatif.  Pemikiran kreatif melibatkan proses-proses seperti menjana idea, menghubungkait, membuat inferens, meramal, membuat hipotesis, mensintesis, mengitlak dan membuat gambaran mental.


Takrifan inovasi adalah pengaplikasian kreativiti.   Ini bermakna, inovasi hanya wujud selepas proses kreativiti itu berlangsung yang tentunya dimulakan dengan kemahiran berfikir dan menaakul.   Kreativiti adalah proses mengerah minda untuk berfikir dan inovasi pula ialah proses produktif. Inovasi umpama batang, dahan, daun, bunga dan buah daripada kreativiti yang menjadi akar tunjangnya.   Di antara objektif menggalakan pemikiran kreatif dan inovatif  adalah untuk membolehkan murid-murid menghasilkan idea kreatif dan inovatif; mempunyai keterampilan diri dan personality individu kreatif, menguasai kemahiran dalam proses kreativiti, kebolehan berkomunikasi dan menyampaikan idea, mengaplikasi kemahiran dan pengetahuan berfikir secara kritis dan kreatif dalam penyelesaian masalah, perbandingan, membuat keputusan dan menguruskan kehidupan seharian.  

3 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...