..yang bernama sahabat

Wednesday 31 October 2012

Aku Bukan Zuriatmu


Cerpen ini juga mengandungi panduan menikahkan anak angkat perempuan menurut ajaran Islam berdasarkan pengalaman penulis sendiri.  Semoga mendapat manfaat.  Dihantar ke Penulisan 2U pada 7/10/2012

“Aku terima nikahnya Nur Atikah dengan mas kahwinnya tiga ratus ringgit tunai”. Saat anggukan Tuk Lang dan Pakcik difahami Tuan Kadi, air mata bergenang di kelopak mata. Bukan kerana aku dikahwinkan atas paksaan. Bukan! kerana aku dan Sufian memang sangat menyintai selepas tiga tahun berkawan.
Bukan! Aku menangis kerana nama Ayah tidak disebut dalam lafaz ijab tadi.

Akulah Jintan, Akulah Halia


AKULAH JINTAN, AKULAH HALIA

Nadia masih terhinggut-hinggut menahan sendu. Tadi mulanya air mata sekadar mengalir tetapi kini semakin melebat. Sehingga melahirkan esakan yang tidak dapat ditahan-tahan. Rengekan kecil di dalam buaian langsung tidak dipedulikan. Hentaman kata-kata Firdaus bergema di setiap sudut pendengaran.
“Dah tahu abang jahat kenapa tak kahwin dengan ustaz? Firdaus membesarkan biji matanya apabila

Alahai Haji Alang



Hajah Mariah baru sahaja meletakkan kopi panas di atas meja makan ketika deru motosikal buruk Haji Alang semakin sayup di pendengaran. Dia tercangak-cangak di muka pintu dapur. Seingatnya tadi, Haji Alang yang minta dia buatkan kopi. Mindanya mencakar mencari sebarang petunjuk. Tiada apa-apa makluman daripada Haji Alang tentang hala tujunya.
Haji Alang menekan pedal minyak motorsikalnya. Kalau boleh terbang,

Sekeras Waris Selembut Sillaturrahim


Maafkan Nida, Wan.
Anida menjiruskan air perlahan-lahan di bahu kiri Wan. Air jirusan pertama di sebelah kanan telah disempurnakan ibu pada lambung kanan. Menyoroti sunnah nabi memulakan anggota kanan dari kaki dibawa naik ke atas.
Ini sahaja tempat permandian yang mampu kami sediakan. Bukan bilik air yang berkepala paip emas. Bukan bilik air seluas sebuah rumah pangsa. Bukan juga tab mandi jakuzi yang membolehkan air susu dan air bunga bercampur wangian aromaterapi.
Cuma sebuah peti kayu yang ditampal zink kiri kanan dan disebelah bawahnya berjarak sebesar dua ruas ibu jari untuk memudahkan air lalu.

Tuesday 30 October 2012

Bondaku Besan Ratu - Bab 11


BAB SEBELAS (11)

            DUGAAN menghadapi peperiksaan besar di dalam hidup sebagai pelajar akhirnya ditempuh jua.  Ikatan mahabbah terus larut bertiketkan persahabatan yang tercipta di dalam bentuk yang tak terjangka.  Begitulah besarnya kuasa Yang Maha Esa.  Sesuatu yang dipandang malang oleh manusia, Rupa-rupanya kurniaan tak ternilai dianugerah Allah.
           
Kedatangannya ke Limburg atau lebih tepat lagi pemukiman kecil Megelsweg lebih berupa lawatan daripada kedatangan pemastautin.  Biarpun katanya kepada Mama, dia akan terus berada di sisi Papanya.

Monday 29 October 2012

Bondaku Besan Ratu - Bab 10


BAB SEPULUH (10)

            “KAU pasti dia masih simpan semuanya lagi?”  Puan Izzie menyoal lagi.

Soalan yang sama diulangi sejak tadi.  Mereka berdua bertungkus lumus di dapur semenjak tadi.  Mengharapkan anak gadis yang tiga orang itu, hanya piring dan mangkuk ditinggalkan di dalam sinki.  Mereka sudah menghilang menurut jejak Amirul entah ke mana.  Puan Hidayati sudah penat mengangguk.
           
“Kita nak masak apa ni?” 

Puan Izzie melihat sahaja kelincahan sahabatnya itu menguasai ruang dapur.  Susup-sasap, usik sana, cecah sini,  cili api sudah siap ditumbuk beserta kunyit hidup sedang menua.  Serai sudah bertitik menanti ketibaan ikan keli salai yang dijanjikan Encik Azhari hendak dibeli di Pasar Minggu Kuala Klawang.

Ikut Kata Hati Monalita Mansor : Biografi Muhammad bin Abdullah

Assalamualaikum.  Asalnya buku ini saya tarik dari rak PPAS Pekan Sri Manja sebab tertarik dengan keadaan buku itu sendiri.  Berkulit tebal, cantik.   Masa meminjam dulu, masih bekerja.  Mana ada masa nak baca.

Tapi, bagaimana nak diterangkan ya.   Menyelaknya lembar demi lembai, saya tidak dapat menghentikan pembacaan.

Sunday 28 October 2012

Ilham Bahagia - Bab 6


BAB ENAM (6)

RESTORAN mamak 24 jam itu riuh rendah dengan suara mereka yang menguasai tiga buah meja yang disambungkan.  Masing-masing yang kelihatan segak tadi sudah mula menyerlahkan ciri-ciri sebenar.  Ada yang mengeluarkan kemeja dari seluar. Yang berlengan panjang sudah melipatnya hingga ke siku.  Ternyata bersantai dengan kawan-kawan lama; terpisah dek kerjaya dan komitmen keluarga adalah sesuatu yang dirindukan.   Bersama-sama menguak memori lucu dan sadis zaman pengajian.
“Saya hantar awak balik.” Aizat berdiri di pintu kereta Nayla.  Menghalangnya daripada membuka pintu.
“Awak hantarlah dengan kereta awak.  Saya bawa kereta saya.”
“Kereta saya Zaidi dah bawa balik.”  Aizat menunjuk ke satu arah.  Keretanya sedang meninggalkan perkarangan restoran mamak itu.
“Habis, macam mana boleh terniat nak hantar saya pula?  Jalan kaki?  Satu lagi, awak nak tidur kat mana malam ni?”
“Dah pagi dah,” beritahu Aizat setelah melihat jam di tangannya.

Saturday 27 October 2012

Ikut Kata Hati Monalita Mansor - Nama Beta Sultan Alauddin

Assalamualaikum, Salam Eid Adha

Khatam buku ni Nama Beta Sultan Alauddin karya Faisal Tehrani.  Beberapa hari yang lepas.  Tapi tak sempat nak ulas kerana sibuk buat persiapan Aidil Adha.

Bukan ini pada asasnya terletak dalam rak Novel Remaja di PPAS Pekan Seri Manja.  Tetapi apabila membacanya baris demi baris, saya mencadangkan remaja tua, remaja purba, remaja kertu amat perlu membacanya.  Amat perlu.  Begitu juga remaja purba yang akan menjadi calon pilihanraya ataupun akan bertugas sebagai petugas di mana-mana markas pilihanraya (maklumlah nak dekat pilihanraya), bacalah buku ini.

Wednesday 24 October 2012

Bondaku Besan Ratu Bab 9








BAB SEMBILAN (9)
            BERKALI-kali Wafi memohon maaf.  Baik kepada Encik Azhari mahupun kepada Puan Hidayati.  Melalui mamanya disalurkan lagi kata maaf supaya disampaikan permohonan itu kepada mama Zaw.  Dia tak sengaja dalam sengaja.  Tak sengaja untuk bertindak mendakap Zaw.  Takkan nak dibiarkan terjelepuk dan terbujur menelentang di depannya.  Kalaulah Zaw terjatuh dan kepalanya terhantuk ke batu bagaimana? 

Sengaja kerana menyambut tubuh tinggi lampai itu.  sama juga alasannnya.  Takkan dibiarkan sekadar memandang sedang lelaki itu termaktub punya satu nafsu sembilan puluh sembilan akal.  Takkan satu daripada sembilan puluh sembilan itu tidak boleh digunakan sebagai penyelamat.

ikut kata hati Monalita Mansor : Pemasaran Gerila Untuk Penulis

assalamualaikum,

tetiba aku kena baca buku yang ada kena mengena dengan marketing.  Adoi! menyampah! menyampah! memang menyampah.  Tapi aku bukan pekerja bank lagi.  Kena buat marketing untuk 'break the eggs'.  Aku buat marketing untuk 'market' diri sendiri sekarang.

Puan Hidayati Jamil, bekas rakan sekerja aku yang kini Perunding Kewangan dan Hartanah berjaya aku jadikan contoh.  Perbincangan kami hari tu, jangan sesali masa yang kau buang semasa bekerja dahulu.  Cikgu Besar daripada semua cikgu di dalam tangan kita sekarang.  Pengalaman.

Aku terpaksa bangkit untuk memasarkan hasil karya aku di dalam bidang penulisan yang semakin kompetitif.  Maka membacalah aku akan buku-buku sebegini yang aku pinjam daripada Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS)  Pekan Seri Manja dekat rumah aku.

Keseluruhannya, memasarkan diri sendiri harus bermula di dalam diri. Buku karya Jay Conrad Levinson, Rick Frishman, Michael Larsen dan David L. Hancock ini bukanlah kitab mutlak untuk penulis 'terapung' macam aku.  tetapi, ia memberikan panduan yang boleh diaplikasi di dalam dunia penulisan di Malaysia yang tidak sebesar mana ini.

Taktik-taktik yang disenaraikan, boleh ikut tetapi kena sesuaikan dengan kemampuan diri.  Tetapi harus diingat, beberapa taktik tidak bersesuaian dengan keperluan kita sebagai penulis muslim.  Aku sedang menukar stereng penulisanku daripada menulis kerana minat, kepada menulis kerana Allah.  Aku inginkan sedikit sebanyak hasil tulisanku memberi pengajaran yang baik buat pembaca di luar sana. InsyaAllah.

 **habuan pasti datang kepada mereka yang sabar dan sanggup berusaha secara agresif,  Thomas Edison**

Ikut kata hati Monalita Mansor : Budak U Langkah Pertama



Budak U Langkah Pertama karya Khairy Tajudin dengan ilustrator Faris Mohd Hazmin.  Aku mengenali Khairy Tajudin tak lama.  Stail pembacaan aku, perenggan pertama sangat kritikal.  Kalau tak cathcy, memang aku letak tepi.  Budak U, melepasi ujian pertama.

Baca keseluruhan cerita, kalau pernah jadi budak U atau setidak-tidaknya menuntut di pusat pengajian tinggi yang sewaktu dengannya memang terasa menggamit memori.  Walaupun ceritanya tak detail sangat, tapi bagi yang sudah berpengalaman, akan dibantu dengan pengalaman.  Bagi yang belum berpengalaman, boleh jadikan ia motivasi.

Biarpun aku ringkaskan novel ni novel dakwah untuk remaja - novel tarbiah terbitan Galeri Ilmu, Khairy masih mengekalkan mood pelajar, mood gila-gila dalam masa yang sama mengekalkan elemen tarbiah sama ada kalian yang baca sedar atau tidak.

Dari segi nawaitu, menulis untuk berdakwah, Khairy sudah mencapai tujuan itu.  Cuma aku tercekik sikit bila baca bab sejarah Tanah Melayu yang cuba diketengahkan.  Boleh diperkemaskan lagi.  kadang-kadang sejarah juga boleh menjentik hati manusia untuk kembali ke jalan yang lurus.

selepas epik kembara sufi milik Ramli Awang Murshid, ini novel dakwah yang bagus untuk remaja baca.  Masih hunky panky tapi tidak kesasar.  Persahabatan, cinta, kasih sayang, terangkum dan diangkat dengan baik untuk teladan pembaca.

Di mata Affan, novel ni meleret-leret.  Dia pulak kurang rajin membaca.  Tapi bila tengok komik buah tangan Faris dengan lukisan kat belakang tu... aku percaya sekejap lagi novel ni lunyai direbut dek mereka, empat beradik.

*Novel ni ada sambungannya.  Akupun tengah menunggu.  Kalau kau orang berminat, boleh pm terus penulisnya.  Cari list friend dalam timeline aku.  Khairy Tajuddin penulisnya.

Tuesday 23 October 2012

pecah kepala

Aku terlibat dengan karya kreatif mahupun karya fiksyen begitu lama.  Tiba-tiba diminta bantu menaip tugasan yang memerlukan aku memerah otak kiri dan kanan sekaligus bermain kata-kata berasaskan fakta.
aduh!
aku bagaikan terkurung dalam sangkar kata-kata yang sentiasa mengikat tangan dan kaki.  tidak membenarkan minda terbang membebaskan kata seperti selalu.  Anak-anakpun bertanya, "kenapa mak, idea tersangkut?  bila melihat aku kerap termenung dan membiarkan diri diulit kebisuan.
sesungguhnya aku bersyukur, merasai pengalaman bergelar pelajar biarpun di institusi pengajian yang tak berapa tinggi.  Setidak-tidaknya aku memahami keretakan kepala para pelajar menyiapkan assignment yang entah apa-apa tetapi amat bermakna dalam menentukan nilai segulung ijazah ataupun diploma.


Bondaku Besan Ratu - Bab 8


BAB LAPAN (8)

            PUAN Izzie menarik Puan Hidayati ke satu sudut.  Barang-barang sudahpun dipunggah masuk ke dalam rumah oleh Wafi, Encik Azhari, Zaw dan kawan-kawannya.   Zakeeya sudah menuruni bukit menuju ke anak sungai tempatnya selalu bermain.  Rumah pusaka besar di atas bukit itu didiami oleh abang Puan Hidayati yang dipanggil Ayah Chik oleh Zaweeya dan adik beradiknya.

            “Itu Abang kau?  Yang aku…?”  Puan Izzie tidak menghabiskan kata-katanya.  Puan Hidayati sudah mengangguk.
            “Dia tahu tak?”

Monday 22 October 2012

Bondaku Besan Ratu - Bab 7


BAB TUJUH (7)

            “BALIK kampung?”  Suara Puan Izzie kedengaran teruja.  Tidak bertanya lebih lanjut apa rancangan sebenar sahabatnya terus mengiyakan.  Merencana kata-kata untuk memaklumkan kepada Wafi.  Ditekannya paparan telefon berwarna merah di telefon bimbitnya dan mencari Wafi.

            “Balik kampung Zaweeya?”  Wafi melontar soalan semula.  Gelengan pantas tanpa henti tanda dia langsung tidak bersetuju.  Langsung tidak.  Cadangan yang paling gila di antara yang gila.  Mamanya tahu yang dia tidak boleh bertemu roma dengan perempuan samseng itu.

Bondaku Besan Ratu - Bab 6




BAB ENAM (6)
           
            “Ampun patik tuanku.  Sembah derhaka patik sembahkan.  Adapun pada pandangan patik yang hina ini, adalah lebih baik tuanku berhempas fikir mengenang akan keadaan negeri yang belum aman ini.  Adapun lanun-lanun masih mengganas di laut.  Merompak hasil nelayan, maka kurang pendapatan negeri.
            Di sebelah utara pula tentera Tuanku sedang bersiaga menanti gerombolan Raja Helang Olak Lapan yang tidak berpuas hati kerana hasratnya meminang paduka kekanda Tuanku Puteri Intan Baiduri ditolak paduka ayahanda Tengku. Usahlah dikenang perawan mengidung mainan alam khayalan ketika beradu itu, ampun Tuanku.”

Sunday 21 October 2012

Ilham Bahagia - Bab 5


BAB LIMA (5)

“SELAMAT datang ke Alumni Pengurusan Perniagaan 2004.  Nampaknya tak banyak yang berubah.  Cuma mungkin ada yang dah berkeluarga.  Ada yang merangka-rangka.  Ada yang dah berjaya jauh ke depan.  Apapun, kita harapkan alumni ini akan terus menjadi penghubung antara kita.  Kisah-kisah silam dulu jadikan kenangan zaman remaja buat teladan untuk anak-anak kita nanti.”
Suara Zain, pengerusi alumni tenggelam timbul dalam riuhnya perjumpaan pertama yang benar-benar menggamit rindu zaman belajar.
“Kau masih dengan dia lagi?”  Zahra, teman sebiliknya dari semester satu hingga semester akhir, berbasa basi.  Hidangan di depan mereka dihadap rakus.
            “Siapa?”  Nayla bertanya soalan bodoh.           
“Aizatlah…”
“Buat masa ni, aku belum jumpa orang lain.”
“Kau tak mencari.” Protes Zahra.
“Dia kerja kat Sabah kan?” Sampuk Jeslina di sebelah Zahra.
“Bukankah hari tu aku jumpa dia dengan seorang minah ni…sikit punya mesra berpegang tangan,” berkerut dahi Jeslina.  Air muka Nayla berubah. Zahra menyigung Jeslina.
“Orang lain agaknya.” Tukas Hafiz yang dari tadi mendiamkan diri.  Suasana bingar pula dengan suara alunan lagu  ‘Kaulah Kekasihku” dari kumpulan AXL.
Sabah tu besarlah, Jes.”  Zahra membangkang untuk menyedapkan hati.
“Iya..tapi tempat aku,” Jeslina menekankan dan sekejap sahaja dialek kesabahannya kedengaran.
“Kalau ya pun apa salahnya.  Aku nak harapkan apa? Cuba kau orang fikir?  Dia dekat sana, aku kat sini.”
“Kahwinlah cepat-cepat.”  Cadang Hafiz.  Garpu di tangannya tergantung.
“Aku memang nak kahwin dengan dia.  Tapi dia tak nak kahwin dengan aku.  Aku dengar dia dah ada orang lain.”  Aizat menjeling Nayla.  Tetapi kemudiannya mengangkat keningnya memandang Hafiz.  Aizat menarik kerusi dan duduk rapat di antara Nayla dan Hafiz.  Hafiz bergerak memberi ruang.
Nayla dan Zahra berpandangan.  Berkata-kata menggunakan sepasang pancaindera itu. Kepakaran mereka berdua semenjak dulu.  Hafiz bersalaman dengan Aizat.  Begitu juga Jeslina dan Zahra.  Nayla cuba menahan debar di dada yang semakin mengganas.  Bagaikan dara kali pertama ditegur uda.  Mulutnya terkunci rapat.
“Benar kamu sudah ada orang lain?” Jeslina gatal mulut membuka diskusi.  Hafiz membesarkan matanya menudak wjeh Jeslina.
“Sekarang dia sudah jadi bisu,” sela Aizat.
“Janganlah sakat dia macam tu.  Kasihan dia,” bela Zahra. Mengharapkan Nayla mencari mangga kata membuka kunci kebisuannya. Nayla sekadar terus menikmati hidangannya.
“Bila sampai?” Soal Hafiz.
“Petang tadi. Ingatkan ada orang tunggu kita.” Dia mengerling Nayla.  Ada ketikanya bahu mereka bersentuhan tetapi Nayla bertindak menjauhkan diri. Tiba-tiba Nayla bangun.
            “Nak ke mana?”  Zahra juga bingkas bangun.
“Ambil air.”  Nayla mengatur lenggang dalam persalinan anggun blaus hijau muda berleher penuh dengan lengan bercekak dipadankan dengan skirt labuh potongan lurus. Menambah feminin ialah rantai dempak berciri moden di leher.  Kasut Wedges berona senada menambah keanggunannya.
“Cantik kawan kita ni sekarang…untung kau.  Aku ingat masa belajar dulu. Selekeh je…” Hafiz mengangkat ibu jari.  Zahra membuntuti Nayla.
“Kau kenapa ha?” Zahra mencubit pinggan Nayla.
“Argh! Tak pasal-pasal dia nak malukan aku kenapa?”
Setidak-tidaknya cakap sesuatu.  Pertahankan diri kau
“Tahan apa? Mulut dia. Dia nak bercakap…. Biarkan. Penat nanti dia berhentilah.” Nayla memenuhkan minuman ke dalam cawannya dan cawan Zahra.  Mereka sengaja mengambil jalan yang agak jauh untuk lebih peluang berbual-bual.
“Kau dah tak sayangkan dia? Macam masa kat kampus dulu.  Macam yang kau cerita kat aku.  Sampai naik muak aku dengar tiap kali kita nak tidur?” Soal Zahra separa menjerit melawan kekuatan pembesar suara yang bagai mahu memecahkan gegendang telinga.
Ada ketikanya dia membaling Nayla dengan bantal kerana menganggu tidurnya yang baru bermula.  Nayla suka bercerita bak kisah dongeng pari-pari yang disampaikan dalam pelbagai versi.
“Itu cerita budak-budak…” Nayla juga separuh menjerit.
“Atau kau cemburu dengan kata-kata Jes tadi?”
“Sikitlah….”
“Awak,” cuitan di lengan memeranjatkan Nayla menyebabkan air di dalam cawannya berkocak tumpah sedikit.
Ayatnya tidak dapat dihabiskan bila Aizat mencapai cawan tersebut.  Diletakkan di atas meja dan memberi isyarat kepada Zahra bahawa dia hendak membawa Nayla pergi jauh dari situ.
Digenggam erat tangan yang berlengkar gelang emas selebar jari kelingking di pergelangannya itu menuju ke tempat parkir kereta.  Aizat masih tidak melepaskan pegangannya biarpun sesekali Nayla tertinggal di belakang.
“Awak nak buat apa suruh masuk dalam kereta pula?” Berkerut dahi gadis akhir dua puluhan itu.  Riak cemas terpancar.
“Takkanlah saya nak buat tak senonoh.  Inikan tempat awam.  Lainlah kalau dalam bilik. Kita berdua je,” sela Aizat tersenyum kambing melihat kepanikan Nayla. Itu antara tarikan Nayla yang membuatkan dia semakin terpikat. Panik tak bertempat.
“Kenapa dengan awak? Awak tak rindukan sayakah?” Soal Aizat sebaik sahaja kedua-dua mereka berada di dalam kenderaan.  Tempat letak kereta kelab golf itu masih sibuk dengan kenderaan yang keluar masuk.
“Boleh tak kita jangan cerita pasal rindu. Pasal sayang….” Pohon Nayla.  Mengalih posisi tubuhnya menghadap Aizat yang duduk di tempat pemandu.  Nayla berpeluk tubuh.
“Kenapa? Awak dah ada yang lain?”
“Dan ….boleh tak kita jangan cakap pasal yang lain? Boleh tak kita bercakap secara dewasa dan lihat kenyataannya,”  tegas Nayla memohon pemahaman.
“Okey. Sekarang awak ceritakan realitinya dari pandangan awak.  Saya akan dengar dan cuba fahamkan.” Aizat menghela nafas.
“Kita saling berjauhan.  Saya tak tahu apa yang awak buat di sana.  Awak juga tak tahu apa yang saya buat di sini.” 
“Okey.  Tapi perkara ni kita dah bincang lama sebelum saya dapat kerja di Sabah kan?”
“Itu dulu. Itu masa dunia sekitar kita masih kecil. Sekarang ni semuanya makin melebar.  Semakin luas, semakin besar.”
“Itu yang saya tanyakan pada awak berkali-kali.  Awak dah ada orang lain ke?”
Geleng.
“Habis tu?”
“Entahlah Aizat.  Saya tak pasti dengan perasaan saya sendiri.”  Bolehkah aku beritahu ceritera cinta ini tak akan ke mana kerana tiada restu orang tua.  Nanti, dia akan meminta alasan kenapa orang tuaku tidak melimpah restu. Beribu persoalan menyerbu dan menyendat di dalam tempurung kepala Nayla di kala ini.
“Saya taklah kejam sangat.  Kalau awak rasakan ada orang yang lebih baik, saya terpaksa walaupun tak bersedia undur diri. Tapi dapatkan dia menyayangi awak sebagaimana saya menyayangi awak? Tanya diri awak sendiri.”
“Kenapa perlu cakap tentang perkara yang tak ada?!”  Nayla sedikit membentak.  Senyum terukir di bibir Aizat.  Bermakna dia memang masih setia.
“Macam nilah.  Saya ada di sini sampai minggu depan. Kita jumpa ibu bapa awak.  Saya akan terus terang.  Lepas tu saya hantar emak saya untuk merisik dan kita terus bertunang.  Saya tak sanggup menunggu lagi, Nayla.” Aizat meletakkan telapak tangannya di belakang tangan Nayla.  Bingkas Nayla menarik tangannya.
“Tak. Tak boleh!!”
Kali ini Nayla memang betul-betul panik.  Sedikit terangkat kakinya mendengar cadangan itu.  Peluh kecil merecik di dahi di dalam kedinginan pendingin udara.
“Tapi kenapa?  Sampai bila kita nak macam ni?  Awak nak biarkan saya merana ya?  Awak sanggup tengok saya merana?”  Aizat memegang bahu Nayla dan mereka berhadapan.
“Pandang mata saya dan cakap terus terang apa sebenarnya masalah awak?”
Ketukan bertalu-talu pada cermin kereta dari sebelah pemandu dan penumpang depan mengejutkan mereka. Setiap satu suluhan menujah ke wajah mereka.

Friday 19 October 2012

Bondaku Besan Ratu - Bab 5




BAB LIMA (5)

            “Macamana kau boleh terfikir nak tumbuk hidung budak tu?”  Zareema masih belum berpuas hati dengan penjelasan adiknya tadi. 
Sejarah baru yang berlaku di dalam keluarga mereka.  Zaweeya sedang bersila sambil membahagi-bahagikan majalah Mekar itu mengikut tarikh keluarannya.
           
Zareema berada di dapur, seperti biasa membantu Mama menyiapkan hidangan tengahari.  Sabtu dan Ahad, dia kembali ke rumah.  Pengajiannya di dalam bidang Fashion & Retailing di sebuah universiti swasta itu masih bersisa beberapa semester lagi.  Baki tiga bulan dalam tempoh pengajian dua tahun enam bulan itu nanti akan dihabiskan di kampus Lambeth, jauh di Tanah Ratu. 
 
            “Ih! Berapa kali aku nak cakap.  Aku tertumbuk.  Bukannya sengaja.  Ter!  Ter tu maknanya tak sengaja…,” Zaw menggetap giginya. 

Thursday 18 October 2012

Bondaku Besan Ratu - Bab 4







BAB 4 (EMPAT)

            “SAYA tak kira.  Saya tak mahu terima apapun alasan cikgu.”  Wanita anggun yang baru sahaja menanggalkan kaca mata hitam dengan perkataan CK di bingkainya itu bersuara.  Dalam bahasa Inggeris dan dalam loghat Utara England yang sangat pekat.  Puan Pengetua sedaya upaya bersangka baik.  Membuang rasa meluatnya.
Dia melabuhkan punggungnya ke kerusi tidak berapa empuk di dalam bilik Puan Salbiah itu.  Kipas dari sutera China yang dibelinya juga di negara paksi komunis itu dikeluarkan.  Biarpun kedinginan udara dari pendingin hawa di atas kepala Puan Salbiah itu baru sahaja menyapanya.
            “Sabar, Puan.  Kes ini masih dalam siasatan.  Saya dahpun memanggil ibu bapa pelajar yang menumbuk anak Puan itu,”  Puan Pengetua yang sudah hampir pencen itu memberi penjelasan.  Kisah Wafi Ikhmal ditumbuk Zaweeya kini menjadi kisah gosip terhangat di dalam carta gosip sekolah.

Wednesday 17 October 2012

Bondaku Besan Ratu - Bab 3



BAB TIGA (3)

            KETIKA Zaweeya tiba di rumah,  tiada jawapan pada sapaan salam yang teraju.  Rumah teres dua tingkat lot tengah itu senyap sunyi.  Sebaik sahaja masuk ke dalam rumah, longgokan majalah dan buku-buku lama milik Mamanya menjamu pandangan matanya.  Tersusun elok di tepi dinding bilik stor. Berhampiran peti ais di ruang dapur yang bersambung terus dengan ruang tamu.  Hidayati pula tidak kelihatan di mana-mana.
            Kunci rumah disangkutkan ke tempat yang sepatutnya.  Tiada gugusan kunci lain yang bergantungan.  Bermakna Hidayati sudahpun keluar.  Tetapi kereta Kancil miliknya tidak pula ke mana-mana.  Mungkin Mama ke kedai.  Atau ke rumah jiran-jiran yang berdekatan.  Zaweeya meneka-neka. Zaweeya melaungkan nama Mama dan Keeya.  Tiada jawapan.  Menjengah ke dapur, meja makan bersih tanpa apa-apa mengisi di atasnya.

Tuesday 16 October 2012

Bondaku Besan Ratu - Bab 2



 

BAB DUA (2)

            “PAPA!”  tempikan Zakeeya nyaring kedengaran dari tingkat bawah.  Serentak itu kedengaran juga deraian kaca dan sesuatu sedang berlanggaran di antara satu sama lain.  Azhari bingkas bangun dan turun mendatangi ruang dapur yang terang benderang.

            “Keeya dengar ada orang dalam bilik tu..” Keeya menunjuk ke arah bilik stor bersebelahan ruang dapur.  Suaranya separuh berbisik walaupun sebentar tadi dia bertempik sekuat-kuat hati.

            Mama mereka terlambat datang setelah mengejutkan Zaweeya yang tidak mahu terjaga.  Jenuh ditampar pipi dan ditariknya kaki, tetapi Zaweeya tetap tidak mahu terjaga.  Agaknya, cuma siren bomba sahaja yang boleh membangunkan dia di awal pagi bolong ini.  Hidayati teringatkan zaman pengajiannya dulu. 

Exco Asrama mengadakan latihan kebakaran pada jam dua pagi, lebih kurang.  Kesemua penghuni asrama diarahkan berkumpul di gelanggang bola tampar di depan asrama.  Selesai taklimat, ketika semua penghuni sudah mahu kembali ke bilik masing-masing, barulah teman nan seorang ini terkocoh-kocoh bangun.

“Kalau asrama ni betul-betul terbakar, dah lama awak rentung,” selar warden.
Sedang teman-teman yang lain menahan sakit perut memburai tawa di pagi hari. 

 Azhari mencapai batang mop dan perlahan-lahan mendekati bilik itu.  Dipulas-pulasnya tombol pintu, tetapi bilik itu berkunci.  Diarahkan isterinya untuk mendapatkan kunci bilik yang dilonggokkan sekali dengan kunci pintu utama.  Hidayati menonong ke ruang tamu tanpa membuka lampu.
           
Tidak lama kedengaran jeritan kecil perempuan yang bakal mencecah empat angka tidak lama lagi itu.  Terjatuh kerana terlanggar meja kecil di tepi dinding.  Zakeeya mendapatkan Mamanya sambil membuka lampu.  Encik Azhari menggeleng-geleng mendengar suara Mama yang mengaduh, mendekati telinganya.
           
“Saya suruh ambil kunci aja, bukannya panggil ambulan.  Kenapa awak kelam kabut sangat?”  Tanya Azhari separuh berbisik.  Hidayati  cuma membisu.
           
Lelaki itu memulas tombol pintu perlahan-lahan.  Berhati-hati juga dia meraba suis lampu di tepi dinding bersebelahan pintu.  Sebaik sahaja pintu dibuka, berlarian beberapa ekor tikus ketaktahuan hala.  Ada juga yang cuba memanjat tingkap dan cuba mencari jalan keluar.  Yang lain menghilangkan diri di sebalik timbunan kertas dan barang-barang yang berselerak.
           
Cebisan-cebisan kertas hasil gigitannya bertaburan menyerak.  Ditambah lagi bau hamis hasil kumuhannya.  Hidayati tidak jadi untuk meninjau sama.  Mendengar decitan anak-anak tikus itu sahaja menyebabkan dia geli-geleman.  Papanya mengitar pandang sekitar bilik.  Bimbang ada binatang berbahaya lain berumahtangga di dalam bilik kecil itu.  Menara majalah dan buku-buku lama di tepi dinding serta di dalam almari usang itu menjadi kediaman yang paling nyaman untuk binatang pengotor seperti tikus membiak.  
           
“Comelnya…”  Sela Keeya.  Dia mencangkung melihat lima ekor cindil yang kemerahan-merahan yang belum terbuka matanya.
           
“”Keeya, sudah.  Jangan dekat.  Kotor tu!”  Mamanya melarang.  Papanya juga menggamit Zakeeya.  Kencing tikus yang masih lembap adalah penyebar utama Leptospirosis.  Jangkitan bakteria yang jarang berlaku kepada manusia tetapi pernah meragut nyawa manusia di beberapa tempat di Malaysia.
           
“Keeya buat apa pagi-pagi buta, seorang-seorang kat dapur?”  Soal Azhari sambil  mengunci semula pintu bilik itu.
           
“Keeya haus, nak minum air.”
           
“Kenapa tak bawa bekas air naik ke atas, macam selalu?” tanya pula Mamanya. 
           
“Keeya dah suruh Zaw bawa sebelum tidur tadi.”  Zakeeya membela diri.  Mereka beriringan naik ke atas.  Dia sudah terlupa niat suci murninya untuk membasahkan tekak tadi.
           
“Zaw yang Keeya suruh ambil bekas air?  Nyawa dia saja yang dia tak lupa, Keeya tahu tak.”  Hidayati menghantar Keeya terus ke dalam biliknya. 
           
“Hah! Malam ni baru tikus.  Esok lusa harimaupun ada dalam bilik stor awak tu,”   Azhari sudah memulakan tazkirahnya sebelum solat sunat sepertiga malam.  Hidayati  mengunci bicara terus.  Naik ke atas katil dan menarik selimut.
           
“Awak tak payah nak buat-buat tidur.  Esok, saya nak tahu stor tu dah kemas.   Majalah-majalah lama awak tu, eloknya awak bakar aja,” cadang suaminya.
           
“Eh! Mana boleh.  Awakkan tahu.  Itu semua ada nilai sentimental pada saya.  Itukan peninggalan arwah Abah saya.”  Hidayati  bingkas menyelak selimutnya seraya berpaling kepada suaminya  yang baru duduk di birai katil.
           
“Saya tak kira sentimentalkah, instrumentalkah, black metalkah, yang saya tahu, esok bilik stor tu awak kemaskan,” tegas Azhari.
           
“Ei, gelilah!”  Sela Puan Hidayati mengenangkan anak-anak tikus yang berceretek di dalam laci buruk.  Betul-betul berdekatan dengan koleksi majalah kesayangannya.  Sebahagiannya adalah milik arwah Abah dan abang-abangnya.  Dibelikan oleh arwah Abahnya kerana dia tahu, Hidayati sangat meminati majalah itu yang kini sudah tiada di pasaran.
           
Selain itu, ia adalah kenang-kenangan zaman kecil dan zaman awal remajanya bersama keluarga.  Bersama arwah Abahnya dan abang-abangnya.  Segala momen-momen indah itu, terakam di dalam setiap helaian majalah khusus untuk pelajar yang terbit sebulan sekali pada waktu itu.
           
Setiap bulan, wang saku yang terkumpul akan dihabiskan untuk membeli majalah tersebut.  Ataupun dirayunya Abah atau abang-abangnya untuk membelikan majalah itu kerana wang sakunya tidak mencukupi.
           
“Tak payah awak nak buat muka Aisah Lima Puluh Sen, awak tu!  Saya tetap dengan keputusan saya,” suaminya itu menetapkan kata-kata.

  Sebelum ini sudah diingatkan berkali-kali kepada isterinya itu agar membuang sahaja kertas-kertas buruk itu.  Tetapi isterinya berdegil.  Dengan kehadiran tikus-tikus tadi, setidak-tidaknya alasannya bertambah kuat untuk tidak lagi melihat timbunan kertas-kertas yang dirasakan menyakitkan mata itu.
           
“Assalamualaikum..!”  Salam suci kesejahteraan itu cuma bersambut selepas dilagukan sebanyak tiga kali.  Adab berziarah, jika sudah dilaungkan salam, tiada jawapan haruslah tetamu membatalkan niatnya.  Bermakna tuan rumah belum bersedia untuk menerima tetamu.
           
“Bukankah semalam aku dah ingatkan kau?”  Soal Nur Ain Syafira melihat Zaweeya yang masih belum bersiap lagi.  Masih berseluar katuk berbunga-bunga dengan muka sememeh. 
           
“Aku tengah tolong Mama aku tadi,”  Zaweeya membela diri.

 Biarpun sebenarnya tadi dia hanya tercatuk di depan muka pintu bilik stor itu.  Mamanyalah yang terkial-kial mengutip cindil itu dan membuangnya terus ke dalam tong sampah.  Terkorban juga beberapa helai kertas-kertas peperiksaan Penilaian Darjah Limanya yang disimpannya.  Terkena darah tikus. Hampir mengalir air mata Puan Hidayati melihat api rakus memakan kertas-kertas itu.
           
“Memanglah dia menolong.  Tolong tengok!” 

Budik dan Ain terkekeh-kekeh ketawa.  Bukan sekali dua Hidayati bercerita tentang sahabat mereka yang tinggi kadar Vitamin M di dalam darahnya itu.
           
“Nak ke mana?”  Tanya pula Puan Hidayati yang baru keluar dari bilik stor.  Dihempasnya longgokan majalah dan buku-buku lama itu di luar pintu. 
           
“Hari ni kan Hari Gotong Royong Perdana, dekat sekolah,”  beritahu Budik pula.   Hidayati menepuk dahi.  Betul-betul dia terlupa.  Walhal, dia yang paling sibuk mengingatkan ahli jawatankuasa lain tentang acara itu.  Misi Menghapus Tikusnya dan menyelamatkan khazanah majalah kesayangannya menjadi agenda utamanya hari ini.
           
“Nanti Makcik telefon Pengetua.  Zaw pergilah.”  Kebenaran tanpa susah payah itu disambut senyum simpul Zaweeya yang sudah senada baunya dengan bau kencing tikus.  Tidak berjumpa air semenjak pagi. 
           
“Majalah apa ni, Makcik?”  Budiwati menyelak-nyelak salah satu naskhah majalah yang sudah kekuning-kuningan.  Terkebil-kebil matanya mengeja huruf jawi yang cuma tiga batang sahaja.  Mim Kaf Ra.  Dia menggaru-garu belakang telinganya dengan harapan Ain dapat membaca perasaannya.   Majalah sederhana nipis itu menampilkan konsep dwibahasa.  Jawi dan Rumi. 

Tetapi Ain sibuk pula dengan lambakan majalah-majalah hiburan yang berlonggokan di satu sudut.  Dicapainya satu.  Tidak sampai lima minit, ketawa besarnya sudah meletus.  Budik mendekat dengan rasa hairan yang membukit.
           
“Kau tengoklah fesyen rambut mereka.  Fesyen seluar mereka… Sapu sampah.  Majlis Perbandaran tak payah gaji orang asing kalau macam ni!” 
           
“Ini seluar bell bottom namanya.  Zaman akhir 60an. Bell bottom, rambut afro.  Semua trend masa tu,”  Hidayati menerangkan. 

Teringatkan gambar abang sulungnya di dalam studio.  Kalau mereka berkumpul adik-beradik dan mengulangkaji semua gambar-gambar itu, pasti tawa akan berlambakan Majalah-majalah itu kepunyaan bapa saudara Zaweeya.  Ada di antaranya sudah memegang gelaran haji.  Wajah-wajah popular pada era itu seperti Sharifah Ani, Noor Azizah, DJ Dave, Latif Ibrahim dan ramai lagi menghiasi majalah hiburan itu.
           
“Kalau ada kutu, macam mana nak cari, Makcik?”  Budik kembali dengan soalan kurang cerdiknya. 
           
“Bakar ajalah,”  sahut Zaweeya yang sudahpun bersiap dengan track-suit hitam dan baju t-shirt ko kurikulum hitam berjalur oren.  Teringat kisah bapa saudaranya dikejar arwah Atuk keliling kampung kerana rambut itu. 
           
“Mama jangan lupa telefon Pengetua.  Zaw tak nak menipu dengan dia.  Berdosa.  Tak mahu! Tak mahu.”  Zaweeya menggoyangkan telunjuknya. 

Hidayati ketawa kecil.  Tetapi sedikit kerisauan menapak di hati.  Amatlah tidak berpatutan apa yang dilakukan pada hari ini.  Tetapi, apakan daya, dia memang tidak sanggup melihat majalah-majalah kesayangannya itu menjadi kertas kitar semula walaupun niatnya suci untuk menyelamatkan alam semesta. 
           
“Zaw, aku tanya sikit, boleh tak?”  Mereka berjalan beriringan menuju ke sekolah yang terletak lebih kurang 500 meter dari taman perumahan itu.  Zaweeya memandang wajah Budik yang jernih.  Kerana Budik suka tersenyum.  Sahabatnya yang berbadan kecil itu direnungnya dengan wajah hairan.
           
“Kau tahu baca Jawi tak?”  Ain yang sedang membetulkan tudungnya menoleh.  Lagu ‘Monster’ daripada BigBang yang menghentak gegendang telinganya melalui Ipod tadi diperlahankan.
           
“Kau nak masuk jawi ya?”  Tanya Ain serkap jarang tanpa tahu hujung pangkal.
           
“Oi, masuk jawi tu bersunat!  Berapa kali dia nak bersunat?”  Marah Zaw.  Tangannya menggawang-gawang di depan muka Ain.
           
“Eh, budak perempuan pun kena sunat ke?”  Ain membulaukan matanya.  Dimatikan terus lagu daripada kumpulan lima anak muda dari Semenanjung Korea itu.
           
“Takkan kau tak tahu?”  Suara Zaw yang tidak pernah perlahan itu melengking.
           
“Manalah dia nak tahu.  Masa tu dia kecil lagi,” Budik mencelah untuk membela.

 Ain yang masih terkebil-kebil mendengar kenyataan tadi.  Di matanya perlakuan sunat kanak-kanak perempuan sama seperti apa yang berlaku kepada adik lelakinya beberapa tahun yang lepas.
           
“Kalau macam tu..” Ain mengangkat jari telunjuknya.
           
“Wajib bersunat.  Mama aku kata, Rasulullah S.A.W bersabda bersunat tu termasuk di dalam lima perkara fitrah,”  potong Zaweeya.  Perbincangan itu diapungkan dari minda kerana ditimbulkan oleh Zakeeya baru-baru ini. 
           
“Aku nak tanya kau, Min-Kaf-Ra tu apa maknanya?”  Budik cuba mengingat huruf jawi yang melingkar cantik tertulis pada majalah-majalah lama yang dilihatnya sedang dikemas oleh Puan Hidayati sebentar tadi. 
           
“La..itupun kau tak tahu?”  Ain melambakkan tawanya.  Sungguh-sungguh.  Membuatkan Zaw dan Budik berpandangan di antara satu sama lain.  Tiada dialog atau aksi raja lawak di dalam pertanyaan Budik tadi.
           
“Oi, Oi,”,  Zaw mencuit bahu Ain.  Serta-merta Ain menghentikan tawanya.
           
“Sopan sikit.  Nanti, orang ingat aku dengan Budik ada saka pontianak,”  Zaweeya bersuara selamba sebelum menarik Budik jauh sedikit dari Ain.  Menghadapi sebarang kemungkinan dicubit atau ditampar.  Ain menarik muka.
           
“Apa yang lawak sangat dengan soalan aku tadi?”  Wajah sekolah dengan beberapa blok bangunan bercat warna peach berada di depan mereka tadi.
           
“Tak.. aku tak sangka kau bersungguh-sungguh nak tahu,”  perjelas Ain mengenai rasional ketawanya yang ala-ala pontianak harum sundal malam itu.
           
“Tulisan jawi tu kan milik orang Melayu.  Unik.  Orang India ada tulisan Tamil mereka.   Orang Cinapun ada tulisan Cina mereka.  Orang Korea bangga dengan Hangul mereka.  Kau tak ingat masa Jhing Ee dengan Wei Lee mengutuk kita dalam kelas dulu.  Dia orang tulis dalam bahasa Cina,”   Di mata Ain tergambar wajah Jhing Ee yang ada iras-iras Rainie Yang. 

Berambut lurus berbadan tinggi lampai.  Selalu bertekak dengannya tetapi sekejap sahaja berbaik semula.  Mereka sering kutuk mengutuk dengan bahasa yang tidak wajar, tetapi sebagai rakan sekelas, mereka sangat terbuka.  Kadang-kadang, dia diajar bahasa Hokkien yang mudah-mudah dan ayat-ayat yang ringkas.  

Sebab itu, apabila terdapat aktiviti kelas, jarang kelas mereka kekurangan ahli.  Kesemua mereka memberi sokongan.  Kedua-duanya terhangguk-hangguk bagai belatuk dipaksa mematuk oleh Zaweeya. 


“Okey, tapi Mim-Kaf-Ra tu apa?”  tanya Budik lagi, tidak sabar.  Perlahan-lahan mereka mendekati kelompok kelas mereka yang becok-becok mulut pelajarnya.

“Mim tu sama dengan M.  Kaf tu huruf ruminya K.  Ra untuk..”

“R,”  jawab Budik.  Bosan.  Terpaksa melalui jalan yang panjang untuk mengetahui sepotong ayat jawi tadi.

“M, K,  R, apa bunyinya kawan-kawan?”  Ain mengambilalih tugas mengajar.

“Mkr?  Makar.  Mekar?”  Ain dengan Zaw bertepuk tangan.

  Berjaya menamatkan teka silangkata yang menyesakkan minda semenjak tadi.  Mereka bertiga bergerak mengikut teman-teman lain yang sudah diagih-agihkan tugas oleh guru bertugas tadi.  Mereka diarahkan membersihkan kawasan laluan pejalan kaki yang diteduhi pokok besar di bahagian tepi sekolah. 

Mereka yang teruja, sudah bersedia dengan senjata masing-masing.  Zaw dengan pencakar sampah.  Ain dengan plastik sampah hitam dan Budik dengan penyapu.  Zaw sudah menyingsing kaki seluar treknya.  Bekerja di bawah teduhan pokok adalah satu bonus dan sangat dicemburui rakan-rakan lain.

“Kenapa kau dengan Mama kau berkemas?  Kau orang nak pindahkah?”  tanya Ain melekatkan fon telinganya. 

“Tak, malam tadi Keeya jumpa tikus dengan cindil.  Papa naik angin.  Papa suruh Mama buang semua majalah-majalah lama tu.  Tu yang Mama ajak aku tolong.  Nasib baik kau orang datang…”

“Heei.. gelinya aku dengar,” Budik mengeliang-ngeliotkan badannya.  Bagaikan anak-anak tikus sebesar ibu jari itu hendak disuapkan ke dalam mulutnya.

“Oi, ni siapa punya jari tercicir ni?”  Satu jeritan di belakang mereka membuatkan ketiga-tiga mereka menoleh.  Pelajar-pelajar lain yang berserakan dengan tanggungjawab masing-masing menoleh.  Ada yang ketawa.  Ada juga yang tidak peduli.  Meneruskan tugasan masing-masing.

“Kau punyalah!” sigung Budik. 

Zaweeya menarik pencakar sampah di tangannya.  Sudah tinggal batangnya sahaja.  Jarinya yang berwarna hijau terletak elok di atas jalan di hujung kaki sang pembesar suara itu tadi.  Patutlah tadi ada bunyi bising pencakar mencecah jalan tar dan kemudian senyap sahaja.  Pencakar sampah itu diheretnya sahaja.  Kalau di rumah, pasti sudah menerima tempikan naga Tasik Bera!

Lambat-lambat, Zaw mendekati empunya suara tadi.  Ditolaknya Budik supaya mengambilnya.  Budik tidak mahu.  Ditariknya Ain, Ain juga tidak mahu.  Menunjukkan plastik nipis berwarna hitam.  Bermakna dia sudah bertanggungjawab ke atas sampah-sampah yang akan dimasukkan ke dalam plastik itu nanti.  Tanggungjawab Zaweeya adalah terhadap pencakar sampah berwarna hijau yang terlantar di hujung kaki pelajar lelaki itu.

“Lain kali berborak lagi sampai tak ingat dunia.  Tu nasib baik pencakar sampah.  Lain kali, kalau dah beranak, anakpun tinggal,”  sindir pelajar lelaki berkulit putih kemerah-merahan bertubuh sederhana itu.  Dia bercekak pinggang.  Rambut potongan rugged tegak mencacak bagai menjolok langit.  Dia tersenyum.  Zaweeya mendengus.

“Suka hati akulah.  Aku tak susahkan kaupun kan.  Kau sibuk kenapa?”  Zaweeya menunduk mencapai plastik pencakar itu sebelum cepat-cepat berundur.  Wajahnya masam sungguh.  Menyampah.  Benci.  Aku memang tak boleh tengok muka dia!  Aku memang tak boleh mendengar suara dia!

“Kau kenapa hah?  Aku cakap elok-elok.  Kau tak puas hati dengan aku kenapa?” 

Zaweeya cuma mengangkat tangan tanpa menoleh.  Membiarkan soalan itu terlantun-lantun.  Ain dengan Budik berpandangan.  Tetapi tidak mahu melontarkan komen.  Wajah tercekik asam paya itu cukup untuk mengisyaratkan bahawa Zaweeya tidak mahu ditanya apa-apa tentang insiden tadi.

Pengalaman tidak ditegur selama seminggu oleh Zaweeya cukup menyiksakan.  Puncanya,  pelajar kelas Perdagangan yang menegur Zaweeya tadi itulah.  Ain sekadar bergurau.  Tambahan pula, usik-mengusik itu memang makanan mereka.  Tiada niat lain selain dari itu.  Tetapi bagi Zaweeya dia membuat paduk besar.  Nyata kebenciannya kepada pelajar lelaki itu bukan dibuat-buat.  Menyebut nama di hadapannya pun tidak dibenarkan.

Budik pula yang sibuk menjadi orang tengah.  Menjadi tukang hantar kata.  Tukang hantar surat.  Zaweeya terus beku.  Tetapi, orang tengah yang memang selalu duduk di tengah di antara kedua gadis tinggi lampai ini, tidak mampu melaksanakan tugasnya.  Nur Ain Syafira Mohd Faizal, si putih gebu berusaha berbagai-bagai cara.  Zaweeya Azhari, si kuning langsat, langsung tak makan dek pujukan.

“Kau ada telefon dia tak?”

“Dia tak jawab,”  Ain menjawab dengan muka sayu.

“Mesej?”

Geleng.

            “Apa kata kau tweet dia?”  Budik memetik ibu jari. 

Mentol sebesar lampu tidur bergentayangan di atas kepala.

Geleng.  Budik mengeluh.

            “Hah, macam ni…”  Budik menarik tudung Ain. 

Senget tudung yang putih itu dibuatnya. Jahitan sempadan dagu sudah naik ke pipi.  Tudung itupun tertarik ke depan.  Nyaris tidak tertanggal.
           
    Mereka berduapun menjalankan misi memujuk.  Hari pertama, Ain tidak dapat menghantar mesej daripada laman muka bukunya kerana namanya sudah diblok oleh Zaw.  Dia menggunakan alamat muka buku Budik.  Hari ini dikongsi gambar  Zelo.  Hari kedua Woohyun dalam aksi comelnya.  Hari ketiga Chanyeol yang nakal.  Hari keempat wajah ayu Yuri dari kelompok SNSD menghuni muka bukunya.  Hari kelima, sebagai ikhtiar terakhir mereka berdua, keluarga besar SMTOWN. 
           
Petang Jumaat, usai kelas tambahan Matematik di Laman Bacaan di sekolah, Zaw mendatangi mereka sambil tersengih-sengih.  Mereka kembali bersatu dengan janji tidak mahu menganggu hak privasi membabitkan perasaan yang harus dihormati.

“Aku rasakan ‘mamat’ tu ada hati dekat Zaw, tau!”  Budik menimbulkan spekulasi.  Berhati-hati dia mencari kelibat Zaweeya.  Melihatkan Zaweeya sedang mencakar daun-daun kering,  jauh daripada mereka, dia menyambung kata.

“Tapi aku hairan dengan Zaw, kenapa Zaw jaki sangat dengan dia?”

“Manalah aku tahu.  Kau bukan tak tahu dia.  Ada perkara dia nak kongsi.  Ada perkara dia tak mahu kongsi dengan kita,” balas Ain.

“Eh! Kau ada dengar lagu Dazzling Girl tak?”  Ain menoleh ke belakang.  Mereka sedang bercangkung berhadapan.  Semenjak tadi sekadar mencabut rumput-rumput kecil di pangkal pokok bunga.  Zaweeya sudah mendekat.  Patutlah Budik menukar topik tiba-tiba sebagai siren kecemasan.

“Jom pergi kantin.  Aku hauslah,” ajak Zaweeya mengesat peluh yang merenik di dahinya.  Akibat jarang bersenam.  Baru sepuluh minit mengeluarkan peluh, sudah terjerit-jerit melayan tekak kekeringan. 


http://melayukini.net/2012/05/anak-perempuan-yang-belum-khitan/

*cindil - anak tikus
*paduk - salah
*jaki - marah
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...