..yang bernama sahabat

Monday 15 October 2012

Ilham Bahagia - Bab 4


BAB EMPAT (4)

“AWAK tahu betapa sayangnya saya pada awakkan?”
Jemarinya berada erat di dalam genggaman Aizat.  Mata Aizat yang sedikit sepet berada dalam pandangan.  Menyalur debar asrama tak bertepian di dalam dada.
“Sayang….Saya tak sanggup kehilangan awak.  Kita akan berkahwin.  Saya nak bawa awak jauh dari sini.  Saya nak awak selalu ada di depan mata saya.  Tapi saya nak dengar pengakuan dari mulut awak dulu… boleh?”  Dagunya disentuh.
Pandangan Nayla berkaca.  Desir angin petang melagukan irama syahdu bagai mengiringi resah dua hati yang telah terpisah sekian lama.
“Saya…saya tak tahu Aizat.”
“Tak tahu apa?”
Wajah Aizat semakin mendekat. Semakin terasa hangat nafasnya.
“Nayla!”
“Nayla! Selagi Mak tak mati, Mak tak akan izinkan lelaki seperti Aizat dekat dengan kau. Kau ingat tu!!”
“Kau memang tak sedar dirikan? Kau tak nampak ke kau memang tak sepadan dengan anak aku ha?”  Telunjuk Puan Mariam mengacah-ngacah di muka Aizat.
“Mak!”
“Hidung tak mancung. Pipi tersorong-sorong.  Pergi cari cermin.  Suluh dulu muka kau sebelum nak berkawan dengan anak aku!”
“Mak.”
“Saya sayangkan Nayla makcik….”
“Sayang? Boleh jalan dengan sayang kau!”
Wajah Puan Mariam semakin menyinga.
“Mak!”
“Apa salah saya makcik?”
Aizat tertunduk menekur pasir.
“Aku tak mahu keturunan aku nanti buruk macam kau!”
”Mak!!”
Wajah Puan Mariam perlahan-lahan bertukar menjadi singa yang memerah matanya.  Mula membuka ngauman pertama yang menggegar maya.  Memberi isyarat yang dia sangat dominan mempertahankan kawasannya.  Ajaritan terakhirnya melepaskan Nayla dari mimpi ngeri.  Nayla tersentap bangun dengan kaki masih terlunjur.  Meraup.  Melafaz zikir taubat.  Sepertiga malam baru menajangah.  Kenapalah dalam mimpi pun mak mesti ada?
Dia benar-benar cemas kerana menyangkakan mimpi tadi benar.  Setelah beberapa kali memandang sekeliling, dia menarik nafas lega.  Tetapi, leganya tidak lama mengenangkan hujah-hujah Puan Mariam yang terlontar dan mengiang-ngiang di pendengaran.
Kalaulah Aizat tahu cuma itu alasannya bagaimanakah perasaannya?  Pasti hairan kerana di dalam zaman semoden ini masih ada manusia mempertikaikan paras rupa dan menjadikan ia kriteria teratas dalam piramid kebahagiaan hidup.
Puan Mariam menghidu hubungan mereka ketika pesta konvokesyen beberapa tahun dulu.  Awalnya, Nayla mengabaikan sahaja wajah Puan Mariam yang mencuka apabila diajak bergambar bergandingan dengan Aizat.
Sangkanya, wanita suka berdandan itu keletihan kerana perjalanan merentasi lebuhraya yang jauh.  Tetapi, hatinya semakin tidak sedap apabila Puan Mariam tidak mahu berenggang dengannya; apatah lagi membiarkan dia berdua-duaan dengan Aizat. Tiada mesra terhambur dalam kata-katanya.  Tetapi berlainan kalau teman-teman sekuliah mendekati.  Dia berubah 360 darjah.
“Mak, orang dengan Aizat nak jalan-jalan sekejap.”
“Mak ikut.”
Nayla dan Aizat berpandangan. Dahi Aizat berkerut tetapi graduan terbaik yang mendapat anugerah emas itu tersenyum sahaja.
“Makkan penat.”  Nada Nayla sedikit meninggi.
“Mak nak ikut!”   Nada suara Puan Mariam juga meninggi pada aras yang sama.
“Nayla… tak apalah kalau mak nak ikut.”  Lembut suara Aizat memujuk. Mak? Kau belum kenal siapa emakku lagi, Aizat!
“Dah.  Dah! Pergilah.  Jangan bertekak kat sini.  Abah jaga barang kau orang.”  Encik Nasir meredakan suasana sambil terus menyelak helaian akhbar di tangannya.  Tidak memandangpun ke arah mereka.  Suasana hingar di sekelilingnya tidak membataskan tumpuannya. Nayla menarik muka.  Puan Mariam juga menarik muka.  Eloklah tu.  Anak dengan emak sama sahaja.   Bisik hati Encik Nasir.
“Hish! Menyampah.  Menyampah! Awak tak tahu ke saya menyampah…?”  Puan Mariam mencampakkan beg tangannya ke atas tilam.  Terpuntang-panting beg tangan mahal itu melantun-lantun.  Encik Nasir menghidupkan pendingin udara di bilik hotel tiga bintang itu.  Malam ini mereka bermalam di sini sebelum bertolak balik.
“Yang si Nayla tupun satu.. Tersengih-sengih. Tersengih-sengih. Gatal!” Tuduh Puan Mariam.
“Awak dengar tak ni?” Kali ini suaranya benar-benar melekap di depan muka Encik Nasir yang sedang menanggalkan kemejanya.  Ketidakselesaan sudah sampai ke hadnya.  Dia ingin segera mandi.
“Ya.. saya dengar.  Sayapun menyampah. Tapi saya nak mandi dulu.”
“Iiih!  Orang tua ni.”  Puan Mariam menenyeh penumbuknya ke tilam.
“Awak bayangkan rupa cucu kita nanti.  Eiii!… awak tak malu ke orang nanti kata cucu Cik Yam rupa negro? Emaknya cantik.  Mesti ikut kulit ayahnya…Orang Asli lagi lawa awak tahu tak.”
Puan Mariam bersuara lagi sebaik sahaja Encik Nasir melangkah keluar dari bilik mandi.
“Apa kata awak pergi mandi.  Lepas tu solat ke, apa ke, legakan panas hati awak tu,”  saran Encik Nasir sambil tercangak-cangak ke siling hotel.
“Si Nayla ni dari dulu sampai sekarang, degil. Tak mendengar kata.  Kali ni saya tak kira.  Apa nak jadi, jadilah… eh! awak cari apa ni?”
“Kiblat. Dahlah tu…serabut saya dengar. Pergi mandi tu. Lepas tu kita boleh pergi makan.”
“Nak makan dengan Nayla dan budak tu ke? Saya tak naklah. Tak lalu…” Puan Mariam menunjukkan isyarat loya.
“Pergilah mandi.” Arah Encik Nasir.  Sekali lagi.
“Kau ada apa-apa ke dengan budak tak senonoh tu?”
Soalan panas terus menyerbu sebaik sahaja Nayla muncul di muka pintu.  Encik Nasir tenang-tenang duduk di tepi tingkat hotel.  Menikmati panorama malam.  Puan Mariam mundar mandir tak ketahuan hala.
“Kenapa dengan mak ni?”
“Kenapa kau tanya?  Aku tak suka kau berkawan dengan budak tak senonoh tu.”
“Budak tak senonoh mana?”
“ Alah pura-pura tak tahu… yang asyik berkepit dengan kau tadi tu siapa?”
“Itu Aizat.  Apa masalah dengan dia?  Apa mak senonoh benar ke?”
“Nayla…!” Suara Encik Nasir kedengaran sedikit mengeras.  Memanglah Puan Mariam tidak sesempurna mana.  Tetapi bagi Encik Nasir sendiri sedap mata memandang sudah memadai.
“Kau dah bertambah kurang ajar ya!”  Telunjuk Puan Mariam mengacung di depan muka Nayla.  Bicara Puan Mariam berapi-api.
“Kurang ajar apanya?  Yang emak sesedap mulut menghina orang kenapa?”
“Yang kau beria-ia membela dia kenapa?  Tentu ada apa-apa kan?”
“Orang berkawan ajalah…” Ritma suara Nayla sedikit mendatar.  Air mata mula menyerapi tubir mata.  Pandangan ke dada malam menembus masa depan yang semakin sirna cerahnya.
“Daripada cara dia pandang kau.  Kau pandang dia, kau orang bukan berkawan.  Mak lagi dulu makan garam daripada kau.  Mak yang besarkan kau.  Mak tahu apa yang ada dalam perut kau tu.”   Nada Puan Mariam tetap mengeras.
“Kau ingat sikit Nayla.  Kalau mak tak suka, sampai bila-bilapun mak tak suka.  Kalau kau nak kahwin jugak dengan dia, kau carilah mak bapak lain.”  Puan Hakim Mahkamah Tinggi sudah mengetuk penukulnya.
“Siapa pula nak kahwin mak?” Adoi!
“Jangan nak memperbodoh-bodohkan akulah. Umur macam kau ni, kalau dah kenal kat universiti, setahun dua lagi kahwinlah.  Tak sempat mak bapak nak bermanja balik, dah gatal nak berlaki.”
“Malas nak layan mak ni.”
Nayla menghempaskan pintu tanpa peduli ajaritan Puan Mariam di balik sana.
“Awak tengoklah anak perempuan awak yang awak tatang sangat tu.”
Puan Mariam mendapatkan Encik Nasir yang berlagak tenang menatap warna malam.
“Awak tak pernah berlembut dengan dia.” Kritik Encik Nasir.
“Nak lembut macam mana? Awak tengok adab dia dengan saya?”
“Adab awak dengan saya? Sama juga. Membentak-bentak!  Awak ingat saya suka?”
“Eh!  Kitakan bercakap pasal Nayla.  Awak sengaja nak tukar topik ya.” Puan Mariam menukar arah.  Awalnya tadi dia mendekati Encik Nasir untuk meraih sokongan.  Dia masih merungut-rungut sambil menarik selimut.  Naik ke atas katil dan tidur.
Semenjak itu Nayla menyedari yang memberi harapan palsu pada Aizat terasa lebih membahagiakan hati walau hakikatnya dia berbohong.  Tidak mungkin dia membongkarkan rahsia hati kedua orang tuanya semata-mata untuk meraih cinta seorang lelaki.  Semuanya ini menjadikan dirinya terhimpit antara dua dinding yang semakin hari semakin mengasak.  Tanpa disedarinya atau tidak.

“SELAMAT pagi semua. Wajah Puan Faridah ceria pada pagi itu.  Apa tidaknya.  Seorang lagi kakitangan melapor diri dan bermakna beban tugas akan sedikit mengurang.
“This is John. Introduce yourself, John.”
Dan, lelaki Cina dengan nama Kristiannya, John itu memperkenalkan diri dalam slanga New Zealandnya yang sangat pekat.  Mereka yang mendengarnya berpandangan sesama sendiri dan tersenyum-senyum.  Biarpun berketurunan Cina, wajahnya sudah menjadi Cina Malaysia, bermata bulat dengan hidung mancung dan beriras kemelayuan jika tidak mendengar dia bertutur dalam bahasa Hokkien.
“I will attach you with Nayla, she will teach you all aspect of banking operation. Start with Fixed Deposit Department.”  Arah Puan Faridah yang sudahpun berada di sebelah Nayla.  Nayla membesarkan matanya.
“You are the one who capable to teach new hand.  Orang lain semuanya tak penyabar.”
“Penyabarlah sangat.”  Sambut Hanisah sambil ketawa.
“Well, good luck!”  Setelah Puan Faridah kembali ke mejanya, Nayla dan John cuma saling pandang memandang.  Hanisah yang memegang portfolio SST (Self Service Terminal) yang mengendalikan mesin ATM, cek dan deposit tunai sudah berlari-lari ke lobi SST ditemani pengawal bersenjata.
So…nama you Lala?”  John membuka bicara.
“Nayla lah!  Lala. Lala.  Kau ingat aku kerang ke?”  Marah Nayla.
“Eh… maaf.   Tapi Lala sedap kalau digoreng.”
“La… bolehpun cakap Melayu.”
“Mestilah.  Sayakan orang Malaysia.”  John ketawa kecil. Menampakkan susunan giginya yang rapi.  Bibirnya sedikit kelebaman.
You dah ada girlfriend, John?  Nayla bersuara sambil mengeluarkan sebuku resit simpanan tetap daripada laci yang berkunci.
“Wow! What a brave approach.”  John gagal menyembunyikan keterujaannya.
“Jangan perasan okey.  Soalan ini I akan tanya untuk setiap staf baru.  Kalau tak ada, bagus.   Kalau ada, susah sikit.”
“Kenapa?”
“Kerja macam kita, nampak mudah.  Tapi tak tentu masa.  Kadang-kadang bila ada insiden tak boleh balance something, you mungkin kena stayback sampai tengah malam.  Kalau girlfriend you ajanis tak faham, you akan susah nanti.”
“Lagipun, you perlu sentiasa fokus dengan tugas you.
“Awak pula?”
Nayla terhenti daripada menaip kata laluan di papan kekunci di depannya.  Menoleh ke arah John yang duduk betul-betul di sebelahnya.
“Ni soalan interview atau soalan nak mengenakan I?”
“Tak.. I mean no harm. Saja nak tahu.  Tak sangka pula cawangan kecil macam ni ada staf secantik you.  Tak sia-sia mereka post I kat sini.”
Lantak kaulah! John. Aku ada banyak kerja nak dibuat. Menjadi cikgu tak bertauliah juga sudah mengambil sebahagian daripada tugasan.
Amat menajangkelkan buat sebahagian kakitangan kanan untuk mengajar kakitangan baru.  Kebanyakannya akan mengambil masa mereka sendiri dan beban kerja akan meningkat apabila tugas harian terpaksa diletakkan ke tepi.  Lebih menyakitkan hati apabila setelah tiga atau empat bulan diajar, mereka menarik diri.  Berhenti kerja.
“You nak kerja lama kat sini atau ada tawaran lain?”
“If I dapat kerja dengan angel macam you, buat apa cari kerja tempat lain?”
“I’m serious John.  alau you rasa you nak kerja dekat sini sekejap saja, baik you beritahu I sekarang. I tak payah teruk-teruk ajar you.  Buang masa.”   Nayla berterus-terang.
Hey, see. This is my hometown. My parents, my childhood friend, my future girlfriend semua ada kat sini.  Buat apa I belajar penat-penat sampai luar negara, habiskan duit depa kemudian pergi jauh dari depa?”
Nayla sedikit terpukul. Aku menghabiskan duit keluarga, belajar.  Kemudiannya pergi jauh dari keluarga kerana tidak mahu meneruskan sengketa.
“Kau agak-agak berapa lama dia boleh tahan kerja kat sini?”
Soal Nalini sebaik sahaja John melangkah masuk ke dalam bilik pengurus yang terletak di bahagian penjuru hujung sebelah meja Puan Faridah.
”Kenapa, kau nak bertaruh ke?”  Tanya Suel.  Pengawal bersenjata yang sejak tadi tegak berdiri di depan pintu.
“Aku tak cakap dengan kaulah!  Sibuk saja,”  marah Nalini.
Suel masih tersengih seperti tadi.  Pengawal bersenjata berketurunan Iban itu menjadi kesayangan semua orang di dalam bank itu kerana sikapnya ringan tulang. Kawan bertekaknya ialah Nalini, walaupun kadangkala Nalini berleterkannya.  Menyuruh dia melanjutkan pelajarannya ke peringkat lebih tinggi.  Ini memandangkan pengetahuan Suel melebihi pengetahuan kakitangan yang ada di situ.   Banyak perkara dirujuk kepada Suel kalau bukan Surana ataupun Puan Faridah.
“Dia dah ada pengalaman di tempat lainlah,” sela Surana tiba-tiba.
“Kenapa tak cakap awal-awal.  Penat aja aku ajar,” keluh Nayla.  Mengeluarkan semula fail Mortgage Centre yang masih menadah perhatiannya itu.
“Dia dalam ranking assistant manager.  Tapi dia tetap budak baru.  Basic product memang sama tapi ada perkara-perkara yang tak sama.  Kau ingat perbankan ni terhad pada operation sajakah?  Dia dari audit team.  Kalau kau cerita pasal retail product, atas kertas dia mungkin faham.  Praktikalnya belum tentu,” panjang lebar Surana memberi penerangan.
“Lagipun, aku tengok macam bagus aaja dia usha kau?”  Hanisah menyampuk.
Hanisah mengemaskan mejanya.  Bersedia untuk mengira wang deposit tunai yang telah ditolak masuk ke dalam Cash Room sebentar tadi.
“Tolonglah Cik Nisah oii…takkanlah pasal aku seorang yang bujang kat sini semua orang nak mengorat aku.”  Hanisah ketawa besar sambil berlalu mengiringi Ajanny yang memegang portfolio Cash.
“Okey apa? 1Malaysia.”  Nalini mengangkat ibu jari telunjuknya bersuara di dalam lenggok bahasa Tamil.  Suasana riuh rendah di sebelah kaunter menandakan waktu operasi perbankan sudah bermula.
Kawasan kerja mereka terpisah dengan dinding yang bertingkap kecil pada setiap kaunter.  Bermakna satu meja pegawai mengawal satu kaunter.  Persetujuan lisan yang telah disepakati semua.  Majoriti pelanggan adalah penduduk sekitar dan pelanggan pasar pagi tetap di belakang blok bangunan bersebelahan.  Biarpun berdepan persaingan dengan deretan bank di seberang jalan, ia masih menjadi pilihan kerana menjunjung nama yang agak kecinaan berbanding dengan bank lain.
“Okey. You boleh keluar ke kaunter. Jumpa uncle auntie.  Say hi to them. Introduce yourself.”  Nayla mengiringi John ke kaunter.  Sebaik sahaja bersapaan, dia berbual dengan para pelanggan di kaunter bagaikan kawan lama yang puluhan tahun tidak berjumpa.  Lelaki segak itu cepat sahaja menarik perhatian tambahan pula dengan slanga Hokkien yang menjadi bahasa perantara penduduk setempat.  Nayla cuma berdiri tegak lagak pengawal di sebelah John.
“Mereka kata you cantik tapi garang,” bisik John ke telinganya. Pulak!
“Senyumlah sikit. Tak rugi.”
Eh! Banyak cakap pula dia ni. Suka hati akulah. Mulut aku. Bibir aku.
Selesai sesi pengenalan, Nayla kembali ke tempatnya.  Lima panggilan tidak berjawab terpampang di layar telefon bimbitnya. Kesemuanya dari Puan Mariam.
Ada apa mak?”
“Mana ada! Orangkan pergi training.  Kan orang dah cakap orang pergi training.!”
“Mana ada marah.”
“Orang tengah kerjalah mak.”
“Tak ada. Dah lama dia tak telefon orang.”
“Iya… orang nak kerja ni mak. Okey  ya .. bye.”
Nayla melepaskan sesak di dada.  Sampai bila aku akan berterusan begini.  Sedangkan antara dia dengan Aizat belum ada kepastian.  Tetapi perlu pula berdepan dengan sangkaan buruk Puan Mariam yang tak sudah-sudah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...