..yang bernama sahabat

Friday 8 March 2013

PAWAKA 9


BAB 9

“Dhani jangan nak buat ceritalah,”  terketar-ketar Puan Rohana mendengar kata-kata Dhani.

  Dia tahu, Dhani memang cemburukan Danish semenjak dulu.  Dhani mengucai rambutnya.  Geram.  Dia tahu duduk dirinya.  Dia sedar ruang dirinya.  Tetapi, dia berhak untuk menegur.  Bukannya untuk keburukan.  Dia menegur untuk kebaikan adik-adiknya juga.

“Dhani bercakap macam anak-anak mak tak belajar agama.  Dhani bercakap macam mak beranakkan Yahudi, Nasrani.”  Suara Puan Rohana memetir.  Tidak tertampan rasa tersinggung yang membadai pantai hati.  Dhani terpempam.  Kenapa ke situ pula?


“Kalau Dhani balik semata-mata nak cakap perkara yang bukan-bukan.  Yang boleh memutuskan silaturrahmi kita semua, mak rasa eloklah Dhani terus tengok-tengokkan nenek di kampung,” putus Puan Rohana.  Menghalau dalam manis.

“Mak, Danish adik saya,”  Dhani cuba mempertahankan pendiriannya. 

“Danish pelajar terbaik dekat sekolah dia.  Dia dah boleh berfikir.  Mak tak rasa dia sebodoh itu.  Buangkan hasad dengki dalam diri Dhani tu.”  Wajah Puan Rohana mencuka.

Dhani menyandarkan tubuh ke kerusi makan yang mulai usang itu.   Kopi panas di dalam cawan di depannya tidak berusik.  Hanya jemarinya yang bermain-main di mulut cawan itu.

“Mak bukan nak bezakan anak-anak mak.  Mak sayang anak-anak mak.  Tapi mak nak Dhani baiki diri Dhani dulu sebelum nak membaiki diri orang lain.”

Aduhai emak.  Namapun manusia.  Tiada lengkap dan tidak sempurna. Tidak semestinya yang menegur itu sudah cukup kuota mahmudahnya.  Aku menegur kerana dia adikku.  Aku juga tidak pernah menutup ruang untuk ditegur.  Dhani seakan ingin meneriakkan itu.  Tetapi tersekat di rengkung dan kekal di dalam hati. 

Puan Rohana bangun.  Dhani tahu perempuan itu kecewa.  Biarpun raut wajahnya bersahaja, Dhani tahu diam perempuan itu diam luka.  Pahitnya menutup khilaf.  Dhani enggan mengeluh.  Mengakui, tingkah emaknya berpunca daripada dirinya sendiri juga.

“Kak Mia mana mak?”  Dhani cuba mengubah tajuk.  Waktu dhuha sudah menjenguk.  Tentulah ke pejabat.  Soalan bodoh.  Tetapi kalau soalan itu boleh meruntuhkan tembok kebekuan emaknya itu, alangkah bagusnya.

“Kakak kau dalam bilik tu.  Migrain katanya,”  Puan Rohana menjawab juga.  Acuh tak acuh.  Dhani menatang cawan berisi kopi tadi.  Meletakkannya di atas meja kopi di ruang tamu.  Suara dari televisyen skrin rata 42 inci itu membuar apabila Dhani menekan alat kawalan jauh.

“Danish?”

“Cari kerja.  Dia budak bertanggungjawab.  Budak baik,” puji Puan Rohana lagi. 

Bukan macam kau.  Mungkin itu yang hendak kau katakan pada aku, mak.  Dhani memeluk tubuh.  Seberkas salam bergema dan perhatian mereka tertumpu pada pintu yang terkuak.  Nadra dengan pakaian seragam kedai 24 jam menanggalkan kasutnya.  Wajah keletihan melempar senyum tawar.  Matanya terpaku seketika pada raut wajah tidak terurus yang sedang menonton televisyen.  Tiada balasan senyum.

“Nadra baru balik?” tegur Puan Rohana.

 Nadra menyalami Puan Rohana dan terus masuk ke bilik.  Bilik Dhani.  Dulu.  Sekarang menjadi bilik Danish sepenuhnya.  Dhani tidak terperanjat tetapi kacau di hati berlagu.  Sungguh dia tidak menyenangi.  Sangkanya tadi, Nadra telahpun berpindah ,berkongsi bilik dengan Damia.  Bukan dengan Danish. Naluri manusianya mencatur kemungkinan.  Redhakah dipandang sahaja gadis semanis itu jika sudah berada di ruang yang memberi peluang?

Dia bangun menghala ke bilik Damia.  Puan Rohana ke dapur semula.  Bagaikan segala yang berlaku itu tidak perlu ditandakan dengan pen merah.  Bagaikan runtuh pintu bilik Damia tetapi tetap tidak terbuka.

“Tak payahlah kacau kakak kau tu.  Kalau angin dia tak betul nanti, semua orang diamuknya.”  Puan Rohana cuba menghalang.  Tidak sanggup menadah telinga mendengar leteran Damia yang biasanya beserta dengan bahasa yang menyakitkan telinga dan hati.
“Kak Mia.  Bukalah sekejap.  Aku dah nak balik ni.  Aku nak jumpa kau sekejap aja,”  Dhani terus mengetuk sambil suaranya terus lantang menjeritkan kehendaknya.

“Berambus ajalah!”  jerit Damia sekuat hati dari dalam bilik.  Suaranya dipengap kekusutan. 
“Aku mesej kau,”  Dhani akhirnya mengalah.  Kunci motosikal yang terlantar di atas mesin jahit tua di tepi pintu itu dicapainya.  Tanpa kata, dia keluar.  Begitu sahaja.  Puan Rohana yang sudah biasa dengan rutin keluar masuk anak lelakinya itu dan tidak  pula menjengah biarpun dia mendengar kata-kata akhir Dhani tadi.  Dhani memandang sekitar ruang tamu rumah itu.  terima kasih, mak.  Terima kasih. 
“Mia,”  Ketukan berlagu lagi di muka pintu.
“Apa mak??”  Damia mengangkat bantal yang menutup muka.  Kali kedua dia diganggu  lagi.  Terasa mahu dibomnya pintu kali ini.  Tiada siapa yang sudi meminjamkan simpati memahami penanggungan membawa kepala yang sakit.  Semalaman ditanggungnya walaupun ubat penahan sakit sudah ditelan berbiji-biji. 
Bahagian muka terasa mahu tertanggal.  Denyut di dahi dan pangkal mata seakan menarik-narik batang hidung keluar dari bekasnya.  Urat belakang tengkuk mengeras bagaikan alir darah bergerak di dalam silinder besi.  Sesekala loya mengacah-acah tekak akibat jalaran darah kesesatan.  Hilang kemudi menuju ke otak. 
“Kalau Mia nak makan, mak dah masakkan,”  suara Puan Rohana lembut.
“Mia tak nak makan, Mia nak mati!!” tengkingannya menujah langit.  Tiada lagi ketukan di pintu.  Damia menelentang di atas katil.  Sisa-sisa tangisnya masih lekat di mata dan mukanya yang sembab.
‘Saya minta maaf, Mia.  Mungkin kita memang tak ada jodoh.  Saya bukanlah lelaki yang baik untuk awak.  Awak juga berhak mendapat jodoh yang lebih baik daripada saya’  mesej itu terpapar jelas, belum terpadam.  Setiap kali sakit kepalanya datang, serentak dengan itu, ingatan menyakitkan itu akan muncul.
Arif.  Entah bila bibirnya mendapat arahan dari minda, nama itu tersembul dari ulas bibir.  Mesej itu sudah lama berada di kotaknya di dalam telefonnya.  Sepatutnya sudah lama dibuang.  Tetapi itulah.  Benar kata pepatah, hendak dibuang terasa sayang. 
Momen-momen indah masih bugar menghiasi ruang mata.  Mana bisa seraut wajah, pemunya rambut keriting dengan senyumnya yang manis serta kening kiri yang terbelah dibubarkan dari himpunan ingatan begitu sahaja. Dia belajar untuk menguatkan diri untuk melupakan Arif.  Sungguh.  Sesuku memori itu sudah mulai kabur.
 Tetapi ketika terserempak pasangan mesra itu berpegangan tangan, Berpuluh biji pendingin udara yang menyejukkan bangunan pusat beli belah Paradigm Mall itupun tidak dapat meredakan kepanasan yang menggigit diri.  Kebencian membuak-buak bagai gerak air dari perut bumi yang terkepung sekian lama.   Mereka hanya saling pandang memandang.  Arif tersenyum bahagia.  Sedang aku tersenyum merana.  Pasangannya yang bertudung sengkuap berjenama itu turut tersenyum.  Kedai Buku Popular menjadi saksi tiga manusia dalam situasi yang cukup menyendat. 
Dia tidak mampu menunggu untuk mendengar Arif memperkenalkan isterinya.  Cukup.  Mendengar suaranya sahaja bagai mengibas semua ingatan yang telah tenggelam dalam hamparan masa.  Semuanya terapung kembali dan menyesakkan hidung dan dada.  
*****
“KAU tak boleh terus macam ni, kak.”  Diney bersuara selepas menegurnya tadi.  Sengaja Damia menukar haluan pemanduan.  Sedar-sedar sudah sampai ke Bandar Nilai.  Dia terus sahaja ke asrama tempat Diney belajar.  Diney terus bersuara apabila dilihatnya Damia membisu, “buat apa kau seksa diri.  Badan kurus.  Muka cengkung.  Sedangkan Abang Arif sedang seronok berbulan madu dengan isteri dia.” 
Damia sedikit tersentak apabila Diney menyebut nama itu.  Bagaikan mahu terpelanting kaca mata hitam dari tangannya yang dipusing-pusingnya beberapa kali tadi.  
“Entahlah, Diney.  Segarang-garang aku nipun boleh kena tipu.”  Diney senyum sinis.  Tahupun diri tu garang.  Bukan garang sahaja.  Bengkeng.  Bengis, semuanya kau punya.  Ejek Diney di dalam hati.   
“Bila kau nak berangkat ni?”  Damia menggaru-garu betisnya.  Banyaknya nyamuk di sini.  Macam mana Diney boleh bertahan tinggal dalam semak belukar ni.  “Banyaknya nyamuk kat sini,” omel Damia lagi.  Meliar matanya memandang sekitar.  Wakaf berada di tepi kolej kediaman itu betul-betul menghadap ke ladang getah yang saujana mata memandang.
“Banyak betul komplen akak ni kan,” sungut Diney pula.  Kata pensyarahnya, orang yang banyak sungutan ialah orang yang selalu memandang negatif jalan di depannya.  Orang yang banyak mengeluh dan memikir nasib diri adalah orang yang kurus syukur.  Orang yang suka mencari kesilapan untuk ditudingkan adalah ciri-ciri orang yang akan terus gagal jika tidak berubah.
“Bulan depan,”  sahut Diney, mengunggis kuku.
“Dah sampai kat London tu, belajar betul-betul.  Jangan nak buat kerja yang tak sepatutnya kau buat.  Ingat tanggungjawab kau belajar.  Jangan malukan mak dengan abah,”  pesanan itu sepatutnya berbentuk nasihat.  Tetapi disampaikan dalam nada yang mengeras maka ia lebih bergaul rasa ancaman.  Diney mengangguk-angguk.  Jika dibuat muka empat belas, kakaknya itu akan lebih lagi.  Muka dua puluh lapan!  Mahu tak mahu, dilebarkan pendengaran, mendengar sahaja.  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...