..yang bernama sahabat

Tuesday 30 April 2013

Embun Vokey : Katak Tujuh Keturunan


KATAK TUJUH KETURUNAN

AWAK minat merempit?”  dia mengangguk.  Matanya yang layu, bercahaya.
           
“Setakat ni, berapa laju boleh lari?  Kalau 150 awak boleh layan sampai berapa?” soalku. 
dppbtr.wordpress.com

Merapatkan diri padanya dan menepuk-nepuk bahu pelajar lelaki itu.  Dia memberikan skalanya.  Para pelajar lelaki memberikan semangat dengan tepukan dan sorakan.  Aku mengangguk-angguk.  Membuat anggaran.  Memang mat rempit sejati. 
           
“Dekat sini, awak ambil kursus apa?”
           
“Elektrik.”
           
“Minat merempit kenapa ambil Elektrik?” 
           
“Mak tak bagi.  Nanti takut mati katak.”
           
“Kalau mak dah doakan.  Bukan awak aja.  Katak dengan mak-mak katak serta 7 keturunannyapun mati,” Kata-kataku disambut ketawa lagi.

            “Beritahu cikgu awak, tukar ke kursus auto!”  aku memuktamadkan. 

Tanganku hulurkan dengan janji, iPad yang aku janjikan akan sampai selepas majlis ini tamat.  Aku libat sinar matanya, cerlang dan membahagiakan. 

            “Tahu tak kenapa saya suruh dia tukar kursus?  Walaupun nanti mak dia marah?”  Tanyaku.
 
Tiada jawapan secara jelas.  Cuma dengung dan riuh kumbang jantan dan betina kedengaran.  Aku bergerak ke depan pentas.  Menghala ke arah pelajar perempuan.
           
“Kalau awak suka kat si dia tu? Apa awak buat?  contoh ya.  Saya bukan nak galakkan awak ber’couple’.  Saya bagi contoh,”  ibu jariku aku halakan kepada seorang pelajar lelaki yang duduk di kerusi paling kanan dan paling depan.  Pelajar perempuan itu bangun dengan pipi gebunya digemburkan dengan rona memerah.  Boo berkumandang lagi.


            “Selalu mesej. Kalau boleh siang malam nak tengok muka dia aja. ”  Dewan terus hingar.  Sorak menyorak berlaku di antara pelajar lelaki dan perempuan.  Menjadikan dewan terus bingar dan hangat. 

            “Ya.  Begitu juga kalau awak semua menekuni apa yang awak minat.  Perkara tu, dah tak jadi minat.  Dia dah jadi cinta.  Bila kita ada kecintaan pada sesuatu perkara, segala yang buruk kita akan letak ke tepi.  Semuanya akan jadi positif.  Semuanya nampak baik.  Kita sanggup buat apa saja untuk pastikan matlamat kita tercapai dengan cinta tu.  Kentutpun wangi, betul tak?”
           
“Betul!!!”  dewan bergema.

            “Kalau awak suka merempit, awak masuk kelas elektrik buat apa?  Masuk kelas automotif.  Curahkan kecintaan awak di situ.  Awak nak bertunggu-tangga dalam bengkel setiap saatpun tak ada orang marah…”  Aku meneruskan langkah dan terhenti di antara dua kelompok itu.  Betul-betul di atas garisan pembahagi gelanggang badminton.      “Kalau kita dah suka, semuanya akan jadi mudah.”  Aku mengambil nafas sebelum menyambung. “Sekarang, saya mahu awak semua tutup mata sekejap.   Saya nak awak bayangkan apa awak akan jadi 10 tahun dari sekarang…” Aku tersenyum melihat kesungguhan mereka memejamkan mata.  “Sekarang, fikirkan, apakah kursus yang awak semua ambil sekarang dapat membawa awak semua kepada apa yang awak impikan…”
           
Agh! Aku sudah mengalahkan pakar motivasi.  Padahal semasa aku seusia ini, aku tidak terfikirkan ini semua.  Yang aku fikirkan, kecintaan yang mendalam terhadap enjin.  Niat untuk membuka sebuah bengkel kereta di setinggan kelahiranku   Niat untuk membantu jiran-jiran pekan sekitarku yang selama ini bergantung dengan bengkel dimiliki orang Cina sahaja.

            Tidaklah aku katakan ia tidak bagus untuk masyarakat pekan kelahiranku.  Cuma aku membayangkan kesukaran dihadapi umat Melayu pada hari-hari perayaan besar kaum Cina.  Aku bercita-cita untuk mengubah senario itu.  Tekad itu aku tanam di dalam hati.  Lebih-lebih lagi apabila bertembung pandang dengan mata emak yang teduh.  Ketika itu belum terfikir untuk mengubah nasib bangsa atau keluarga.     

            “Itulah matlamat utama penubuhan institusi pendidikan berasaskan teknikal.  Tiada istilah terpaksa dalam pelajaran seperti kita terpaksa lulus SPM untuk masuk universiti.  Kalau sudah berkemahiran, ilmu itu sudah duduk di sini,”  Aku menujah dada sendiri.  “Berkelanalah ke manapun, awak semua tak akan sesat.”  Barulah aku membuka topik asal ucapanku.  Barulah aku naik semula ke pentas dan membuka teks ucapanku, yang aku pendekkan.

“Saya tak nafikan, pendidikan konvensional penting.  Tetapi ia cuma menjadi nilai tambah.  Macam kita order KFC.  Hidangan utama adalah snack plate, yang lain-lain tu, cheesy wedges, fun fries, adalah sampingan sahaja.  Tak ada pun, snack plate masih boleh diratah macam tu sahaja.”  Aku berjeda, kemudian menyambung “Apabila awak semua berada di dunia realiti pekerjaan, kecekapan dan kemahiran masih jadi penentu kepada perjalanan karier awak semua.”

            “Dato, saya nak berikan ni pada dato’”  Aku masih berbasa-basi dengan beberapa orang guru yang juga bekas guruku di trek pejalan kaki berhampiran bilik guru.  Para pelajar sudah dibubarkan dan dilepaskan ke kelas masing-masing.  Aku mengamati wajah pelajar perempuan itu.  Lentik bulu mata dan mungil bibirnya mengimbas wajah seseorang.  Aku tersenyum menyambutnya.  Sangkaku dia ingin memberi hadiah sebagai tanda penghargaan.  Sangkaanku meleset.  Sebuah buku folio bersaiz buku tulis sekolah dihulurkan.  Kaget dan teragak-agak aku menyambutnya.  Cikgu Ramli di sebelahku menjengah. 

            “Apa tu?” tanyanya menggaru-garu bawah hidungnya.  Kemudian pandangannya beralih kepada pelajar tersebut.   Buku bersampul plastik jernih itu kelihatannya terlalu uzur.  Cuma plastik itulah yang melindunginya.

            ‘Kenangan kita, pengalaman bersama.’  Aku membaca catatan di kulitnya itu.  bertulis tangan di atas kertas putih dan ditampalkan ke situ.  Aku pernah mendengar ucapan ini.  Banyak kali.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...