..yang bernama sahabat

Thursday 19 September 2013

Biar Pendam Jangan Dendam



 DI PINTU THRAWAT MENSIA.

AKU menoleh lagi.  Entah untuk kali yang ke berapa.  Kalau halkum dan marikhku ini dibuat daripada skru, aku rasa sudah lama ia longgar.  Kemudian terlerai daripada jasad.    Pintu automatik Hotel Thrawat Mensia itu nyaris-nyaris membahagi  dua jasadku.  Semuanya gara-gara dia.

Persoalan demi persoalan membundar membujur di dalam cepu minda.  Sepasang mata itu terus lekat di dalam ingatanku.  Sekujur tubuh dalam abaya hitam, berniqab melintasiku saat aku menonong-nonong, terkencar-kencar mengejar rakan sejemaah.

Kain ihram sebelah atas sudah melonggar.  Aku betulkan.  Aku balut seluruh tubuh agam ini.  Tinggal sedikit sahaja lebihannya.  Segan.  Walaupun aku tahu tiada panau berani mencium tubuh yang kukira melepak ini.  Namun aku memang malu untuk menampakkan susuk tubuh waima di depan emak dan abah sekalipun.
           
“Ya haji, cepatlah sikit.  Kau nak naik teksi pon pon?”  usik adikku pula.

 Dia sudahpun bergayut di pemegang pintu bas.  Bunyi hon saling sahut-menyahut.  Teksi-teksi daripada model Toyota yang menjadi kenderaan mewah di Malaysia sekadar menjadi kereta belasahan.  Dikeronyok pemandu-pemandunya yang kasar dan kadang-kadang garang. 

Sepanjang Jalan Ibrahim Al Khalil tidak pernah diam.  Bunyi-bunyian daripada hon kenderaan, teriakan pekedai menggamit pelanggan juga hingar-bingar pelbagai bahasa yang terhimpun mewarnainya.    Kami sudah menghampiri umrah yang ketiga selepas berniat di Bir Ali, Masjid Ja’ranah dan sekarang Masjid Tana’im.  Masjid yang juga dikenali sebagai Masjid Siti Aisyah Aishah kerana baginda pernah bersolat dan bermiqat di situ.

Menaiki teksi pon-pon, kata Eriluqman, adikku adalah pilihan terakhir.  Ditambah pula aku yang langsung tidak tahu berbahasa Arab.  Setakat wahid, isnain, salasa, arbaa, tahulah.  Selebihnya, bahasa Jawa bercampur Mandailing yang kalau didengar oleh khalayak minoriti di bumi Pertang itupun, mereka pun menggelengkan kepala.  Apalah yang direpekkan oleh budak muda ni?
Kalau tahu berbahasa Arab, setidak-tidaknya boleh tawar menawar.  Walaupun sebahagian pemandu teksi tersebut sebenarnya imigran Pakistan.   Jika tidak, pakat duduk dan bayar sahajalah!  Kalau inginkan pilihan, harus menapak beberapa puluh meter untuk ke stesen bas berhampiran Masjidil Haram.  Dua riyal tambangnya dan diturunkan di tepi jalan berhampiran pintu masuk Masjid Tanaim.


“Kenapa dengan kau?  Kau tengok apa?”  Tanya Eriluqman lagi.  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...