Bab 3
Memanfaatkan teknologi terkini, tempoh edah dilalui
Lily Khalida dengan tenang. Teman-teman maya memberikan semangat walaupun dia
berhati-hati setiap kali menekan kunci enter. Tidak mahu membaraikan sebarang
rahsia peribadi di dada maya. Walhal, itulah yang paling suka dibaca dan
dinikmati para pelayar laman sosial, pada kebanyakan ketika.
“Cik…”
Setelah salam dijawab, suara Maziah kedengarannya
tersangat cemas. Tersekat-sekat bagaikan di sebelahnya terdapat penculik sedang
menghunus pisau ke batang lehernya.
“Maziah, kenapa?” Lily melangkah keluar menuju ke
beranda. Deretan kenderaan yang tidak pernah putus melewati jalan utama Taman
Seri Manja mendepani kondo mewah yang didiaminya hampir sebulan lalu.
Kereta-kereta yang melintasi kopitiam Old Time White Coffee umpama kereta
mainan merangkak perlahan sebaik mendekati simpang tiga lampu trafik memecahkan
laluan ke Petaling Utama dan Lebuhraya Kesas.
Dia melilau-lilaukan mata, mencari kelibat Maziah di
antara sekian banyak manusia yang lalu lalang di bawah. Jika ada. Memanglah
tidak jelas wajahnya 100%. Namun karekter fizikal dan lenggok tubuh dan
lenggang jalannya boleh dicaminya walaupun Maziah baru bekerja dengannya.
Tambahan pula, penampilan busana Maziah yang selalunya sangat kontras dan tak kena
gaya, memudahkan proses ‘pengecaman’ tersebut.
“Cik…saya sesat,” adu Maziah. Suaranya kedengaran
sebak dan panik.
“Awak kat mana?” Lily menegakkan bahu seakan
tersentak dengan pengakuan Maziah. Tadi, Maziah yang meminta kebenaran untuk
membeli barangan dapur di pasar raya besar di seberang jalan. Takkan sekarang
dia sesat.
“Dekat tempat saya pergi ni la…”
“Laa…macam mana boleh sesat pulak. Masa pergi tadi
boleh sampai?” tanya Lily antara gelak dan simpati. Namun, dicapai juga kunci
kereta. Dengan niat untuk menyelamatkan Maziah, dikuncinya pintu dan pintu gril
dengan segera.
“Awak tunggu kat muka pintu. Jangan pergi mana-mana.
Bergerak pun jangan!” arah Lily sebelum mematikan talian dan ketawa. Maziah!
Maziah! Pergi pasar raya di depan rumah pun boleh sesat. Macam mana kalau aku
suruh dia beli barang kat Pavilion ke, mahu sesat sampai Kodiang ni.
*****
“Kalau saya pengsan ke, sakit ke, macam mana saya
nak tinggalkan awak? Pasar raya tu kat depan kondo kita aje…” bebel Lily sebaik
Maziah meloloskan diri ke dalam kereta. Barang-barang yang dibelinya sudah
diletakkan di but belakang sebaik Lily membunyikan hon tadi. Maziah tidak
menjawab. Sengih seperti selalu pun tidak. Sesekali dia mengesat peluh dingin
di dahinya.
“Macam mana awak boleh telefon saya pulak. Tahu
pulak nombor telefon saya?” uji Lily tersenyum-senyum, menunggu kereta di depan
keluar daripada petak parkir sebelum meneruskan perjalanan.
“Ada orang tolong telefonkan. Saya tak pandai la
guna telefon ni, cik. Boleh tak cik beli telefon yang ada lampu picit tu? Dulu
kat kampung, mak saya pakai telefon macam tu.” Maziah menghulurkan telefon
pintar versi terkini yang memang dibelikan oleh Hajah Roziah untuk pembantu
rumahnya. Semua.
“Lampu picit?” Lily ketawa besar sebelum membelok
masuk dan memarkirkan kereta di depan sebuah restoran makanan segera.
“Ha’ah. Sesak-sesak nak bangun malam tak payah bukak
lampu,” terang Maziah lagi. Tersengih. Terpamer barisan giginya yang kelihatan
seperti bangunan di ibu kota. Tinggi rendah, tajam tumpul, semua ada.
“Dahlah, awak ni. Nanti saya ajar. Tolong beli
apa-apa untuk makan tengahari kita. Awak tak payah masaklah. Saya pun rasa
malas nak masak…” ujar Lily menghulurkan dua keping not RM50 kepada Maziah.
Maziah tidak bergerak dari tempat duduknya. Malah tidak membuka pun tali
pinggang keledarnya. “Apa lagi ni?” tanya Lily menoleh. Dilihatnya wajah Maziah
seperti ternampak hantu. Bulat besar matanya.
“Saya tak pernah pergi beli makanan kat tempat macam
ni. Nanti kalau saya minta yang bukan-bukan, kena gelak pulak.”
“Ish! Awak ni dari hulu pendalaman mana?” Lily
mencapai kaca mata hitamnya yang tersimpan di dalam laci papan pemuka. Ikatan
rambutnya diburaikan dan dikemaskan dengan cakaran kedua-dua belah tangan.
Getah rambut itu melilit pergelangan tangannya.
“Kalau abah nampak, masak saya, Maziah,” ujar Lily,
keluar dari kereta. Sebaik dia berpaling, Maziah sudah pun berada di
belakangnya.
“Saya temankan cik. Kalau puan hajah atau tuan haji
tanya, nanti saya jawab,” jamin Maziah, membetulkan cekikan tudung berwarna
oren berbunga biru di bahagian atas kepala. Mereka beriringan masuk ke restoran
makanan segera itu yang sudah tentu menarik pandangan banyak mata. Lily
bertubuh tinggi lampai, berblaus lengan panjang dan skirt labuh potongan lurus
berwarna hitam. Rambutnya lurus mencecah dada dan derap langkah teratur dengan
sandal bertumit yang melindungi sebahagian kakinya yang putih melepak. Berbeza
dengan teman di sebelahnya, berbaju kurung tergantung dengan warna kusam
beserta tudung yang boleh memancarkan sinar matahari siang dan malam. Namun,
Lily tidak kelihatan kekok berbual-bual dengan Maziah.
“Cik…itulah budak lelaki yang tolong saya tadi.”
Maziah menepuk lengan Lily sambil tangannya lurus menunjuk kea rah kelibat
seorang lelaki yang berjalan di siar kaki di luar restoran tersebut. Lily hanya
memandang sekilas, kemudian pandangannya kembali kepada deretan menu yang
terpapar di dinding bahagian atas kaunter tempahan itu. Seakan terdengar
namanya disebut, budak lelaki itu menghentikan langkahnya, membuka kaca mata
hitamnya dan memandang kea rah mereka lantas tersenyum. Maziah turut membalas
senyumannya walaupun tak pasti sama ada senyuman itu untuk dirinya.
Sewaktu dia dilanda panik kerana tidak dapat
mengingat jalan yang dilaluinya tadi, dikeluarkan telefon yang memang diarahkan
Lily agar dibawa ke mana sahaja. Jenuh dia menekan-nekan permukaan telefon itu,
tetapi tiada apa pun yang keluar. Mulut hendak memaki hamun tetapi hati berkata
jangan. Maka, dia duduk bersila di luar pasar raya besar berhampiran deretan kedai
cermin mata. Dia memandang telefon lebar itu dengan pandangan berkaca.
“Kenapa kak?”
Satu suara lunak menegurnya. Maziah menyapu cairan
di bawah hidungnya dengan hujung baju.
“Nak telefon cik puan saya, tapi saya tak reti,” adu
Maziah, tanpa cuak.
“Mari sini, saya tengokkan.” Pemuda berbaju t belang
merah hitam dan berseluar jeans itu bertinggung di sebelah Maziah. Maziah
menghulurkan telefon tersebut kepadanya.
“Siapa nama dia?” tanyanya sambil jemarinya meleret
ke bahagian contact.
“Lily Khalidah.”
“Cantik.”
“Ha’ah. Dia memang cantik. Kulit dia putih macam
telur kena kupas. Gebu aje. Kat pipi dia, tak ada seketul jerawat ke, jeragat
ke. Lepas tu dia selalu senyum –“
Maziah tidak sempat menghabiskan kata-katanya
apabila lelaki muda berambut hampir mencecah bahu itu menghulurkan telefon
tersebut dengan gambar Lily Khalidah terpapar dan gambar telefon juga speaker
yang diaktifkan menggemakan bunyi nombor yang sedang didail.
*****
“Maziah…nak order apa?” Cuitan di pinggang
mengejutkan dirinya. Kelam kabut dia berpusing dan menghadap kea rah kaunter
tempahan itu.
“Ni…upah pasal awak sesat hari ni,” sakat Lily lagi.
Maziah terkebil-kebil. Sukar menghadam gurauan perempuan yang masih nampak
anggun itu. Dia mengangguk sahaja. Kalau menggeleng nanti, difikirnya aku tak
mahu dibelanja. Siapa yang tak merasa ayam goreng? Aku jugak!