..yang bernama sahabat

Monday 13 May 2013

Amanda Allamanda 6


KAKINYA bagai terpasung sekali dengan kedua-dua belah tangan.  Jalannya leweh dan lambat.  Terasa dia adalah tawanan Al Qaeda yang baru selesai dibawa bersiar-siar melihat matahari di Penjara Guantanamo.  Mengutuhkan penyaksian terhadap Pencipta dan Pemilik langit dan bumi.  Bahawa setia ujian buat hamba-Nya adalah tanda kasih sayang dan rahmat tak terhingga.  Dia seakan-akan dipenjara masa dan ditinggalkan oleh hiruk pikuk manusia yang menjuju masuk ke dalam bangunan sebelas tingkat itu. 

            Di depan pintu lif pun dia masih berteleku. 
Membiarkan sahaja deruan manusia yang mengejar masa masuk kerja yang kian menghampiri.  Mana yang mengenalinya, melempar senyum sedikit aneh.  Dia membalasnya dengan senyum yang lebih aneh.
        
    “Astaghafirullah hal azim.  Aku ingatkan mayat mana tadi!”  Kak Lily, penyambut tetamu di ruang pejabat tingkat enam itu menyapanya. 

Sebelah tangannya mengurut-ngurut dada sendiri.  Mug di tangan kirinya diletakkan di atas meja melengkung menghadap ke pintu masuk pejabat urusan kontraktor pembinaan jalan dan bangunan yang terkemuka di Lembah Kelang itu.  Dia membuntuti Amanda yang seakan-akan perlukan bantuan untuk meneruskan beberapa tapak ke mejanya. 

            “Bangun lambatlah, kak.  Tak sempat nak sapu apapun.  Budak-budak tu, seorang pun tak kejutkan saya...”  Amanda memberi alasan.  Lemah suaranya.  ‘Maafkan aku, Reen, Wawa dan Asweeta.  Menggunakan kalian sebagai alasan!’

            “Takkanlah teruk macam ni sekali.  Orang berkabung mati laki pun tak macam kamu ni...Pukul berapa kamu tidur?”

            Lily bertanya.  Memerhatikan sahaja Amanda memasukkan beg tangan jenama antarabangsa yang didakwa asli oleh Amanda itu ke dalam laci mejanya.  Apa nak dihairankan, memang dia mampu,  Lily memujuk hati yang dihurung sekelumit cemburu.  Amanda menjengah ke arah bilik yang bertulis Pengarah Urusan di pintunya.   

Amanda mengangkat ke sepuluh-sepuluh jarinya.  Kunci dikeluarkan daripada begnya untuk membuka laci kerja.

            “Sepuluh?”  Apa pulak tak sempatnya. Sekurang-kurangnya calitlah gincu sikit.  Pucat sangat.  Kamu sakit ya?”  Teka Lily, sangat prihatin. 

Amanda menggeleng-geleng, sambil menyengetkan sikit badannya.  Mencapai kasut kulit tumit tinggi berwarna hitam setinggi 3 inci yang sengaja ditinggalkan di pejabat, di bawah meja.  Hitam, warna selamat dan masuk tidak kira apa sedondon atau dua dondon sekalipun.

            Setelah komputer dihidupkan, jemarinya pantas membuka aplikasi kalendar untuk menyemak segala tugasan berkaitan dengan lelaki yang akan berada di dalam bilik yang masih gelap itu.  Setelah pasti Lily sudah kehabisan kata, dia bangun menuju ke dalam bilik itu.

 Tirai di belakang meja disingkap dan senyum matahari pagi terserlah tanpa gagal.  Terus berzikir memuji Tuhannya tanpa lepa.  Tidak seperti makhluk bernama manusia yang sebenarnya tidak sehebat mana.  Fail-fail yang patut dikeluarkan, diambil dan yang memerlukan perhatian segera, diletakkan betul-betul di atas meja di bahagian tengah. 

            “Yang lain mana ni?”  Amanda melenggang keluar dari bilik sambil bertanya kepada Lily dengan suara yang kuat.  Lily yang sedang membaca akhbar bersaiz kompak itu menoleh. 

            “Aih, kamu bukannya tak tahu.  Selagi tak berdentang-dentum jam kat dinding tu, jangan haraplah nak nampak muka masing-masing.  Aci, ada le.  Kamu nak suruh dia hantar surat ke?”  Lily ketawa.  Aci atau Auntie Kamala menghampiri mereka dengan pembersih bulu ayam dan sehelai tuala yang tersangkut di bahu.

            “Cik Amanda, Puan Lily.  Selamat pagi...” 

Kemudian dia meminta diri.  Masuk ke dalam bilik berkeluasan ruang tamu rumah kos rendah itu.  Menjadi rutinnya membersihkan bilik tersebut sebelum penghuninya tiba.  Encik Zulkarnain tidak cerewet.  Tidak pernah bising kalau pun karpet tidak divakum.  Tidak pernah membebel kalau terdapat habuk di rak buku bersebelahan tandas di dalam bilik itu.  Tidak kisahpun jika pewangi tandas sudah menyurut rona kesegaran sudah menyusut.  Tetapi,  Aci merasakan itu adalah tanggungjawab dan dia dibayar gaji untuk melangsaikan tanggungjawab itu. 

            “Nine ada berapa appointment hari ni?”  Soalan terus terpacul daripada mulut Encik Azri, pengurus projek merangkap penasihat syarikat dan dikuatkan lagi dengan talian persaudaraan di sebelah bapa Zulkarnain.   Dia menjentik-jentik meja Amanda dengan kelima-lima jarinya dan menghasilkan irama tidak ketahuan punca.  Sesekala, dia menjengah ke skrin komputer setiausaha anak saudaranya itu. 

            “Tiga.”  Amanda memuktamadkan kata dan menoleh ke arah Encik Azri.  Lelaki itu sedang mengeluarkan tali leher daripada kantung seluarnya. 

            “Telefon Yus, selaraskan appointment jam dua belas tu.  Lepas tu batalkan yang 9.00 pagi tu,”  suara Encik Azri tenggelam timbul kerana dia sedang sibuk membetulkan ikatan tali lehernya.  Dia melurut-lurut tali lehernya tanda puas hati dan berundur meninggalkan meja Amanda.

            “Batalkan?  Encik Nine dah tahu ke?” 

            “Dia masuk nanti, awak beritahulah.  Penting tau.  Jangan awak lupa pula. “

            “Tapi Encik Azri...”

            “Saya kata batalkan, batalkan.” 

Amanda berhenti mengejar Encik Azri apabila lelaki itu sudahpun menghilang di sebalik pintu kaca menuju ke pejabatnya di tingkat tujuh.    

            “Aduh...!”

            Berlambakan fail keras dan fail jernih berisi dokumen jatuh betul-betul di depan mejanya.  Zulkarnain bercekak pinggang, berdiri di ambang pintu biliknya.  Ikatan dasi di lehernya ditarik-tarik untuk mencari ruang nafas. 

            “Apalah awak ni...”  tegur Zulkarnain tetapi mendekat membantu Amanda yang sedang berlutut mengutip dokumen yang berselerak. 

            “Bila Encik Nine sampai...?”  Lelaki ni macam halimunan.  Tiba-tiba sahaja terpacak di depan pintu biliknya. 

            “Kalau nak berangan, tak payah kerja.  Duduk kat rumah!”  Zulkarnain bersuara sinis tanpa menjawab soalan Amanda.  ‘Eleh, cakap lawa macam Sarip Dol!’  Amanda mencemik.  ‘Kalau aku duduk kat rumah, siapa nak uruskan kau?  Sampaikan nak beli barang dapurpun kau heret aku, nak suruh aku duduk rumah...’

            “Duduk rumah siapa?  Rumah saya atau rumah encik?”

            “Awak jangan nak perasan ya...”  sela Zulkarnain.

            “Encik pun jangan nak perasan.  Saya maksudkan benda lain ya...”

            “Benda apanya?  Duduk rumah saya maknanya kahwin dengan saya.  Tak nak saya!”

            “Saya lagi tak ingin Encik Nine oi.  Daripada bersuami orang kepala angin macam encik, baiklah saya mendara sampai ke mati...”  Amanda menghempaskan dokumen yang sudah siap dikutip ke atas mejanya. 

Zulkarnain juga sudah berdiri, bercekak pinggang.   Lily menjengah dari mejanya.  Hmm, anjing dengan kucing tu dah mulakan perang sabil mereka lagi.  Adakalanya dia masuk campur untuk meredakan.  Tapi pada kebanyakan masa, dibiarkan sahaja.  Lily sendiri tidak dapat mengagak anjing dengan kucing berupa manusia ini benar-benar bertekak atau sekadar bergurau kerana kedua-duanya akan kelihatan serius bekerja selepas itu.  Hanya sesekala, ketawa dan senyum menghiasi ruang kerja mereka.  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...