..yang bernama sahabat

Saturday 4 May 2013

Catatan Malam 'Raya' @ 040513

Assalamualaikum, sekarang tepat 11.00 malam.  Kesemua parti yang bertanding hanya ada 59 minit lagi untuk berkempen.  Sengaja saya mencoret di malam 'raya' ini untuk kenang-kenangan pada generasi saya akan datang.



Sambil ditemani dendangan Ya Hanana, hujan membasahi bumi dengan diselang-seli bunyian vuvuzela menghangatkan jalan raya yang dipenuhi poster dan bendera.  Tergantung merentang dari pokok ke pokok, dari flat ke flat.  Petang, cuaca kurang nyaman, mendung menyelimuti.  Saya memandang sayu poster-poster yang bergantungan.  Hati berkata-kata, lima tahun lagi, masih mampu saya sampai pada saat dan ketika memilih lagi kepimpinan baru buat bumi bertuah bernama Malaysia.

Di perkarangan flat saya, para ahli seumur hidup komponen BN, UMNO sedang larut dengan acara makan-makan ketika azan Isyak berkumandang tadi.  Awal pagi tadi, masjid dimeriahkan dengan solat hajat oleh parti pemerintah di Selangor.  Surah Al Mulk dibacakan sehingga habis dan Qunut Nazilah juga didendang pada solat subuh pagi tadi.  Hari ini juga Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang sepatutnya tamat 5 Mei 2013 diarahkan mengosongkan dewan pameran hari ini juga.  Alasan yang diberikan ialah atas faktor-faktor keselamatan.

Pasti sahabat penulis dan penerbit sedikit kecewa namun akur.  Saya akui, seronok juga mendatangi pesta buku saat berkotak-kotak buku sedang diusung keluar dan ada juga sedang dipunggah masuk ke dalam kotak.  Harga yang ditawarkan menjunam jauh mencecah bumi dikira rahmat buat pembeli.  Saya berjanji pada diri, tahun depan saya akan datang membawa anak-anak di saat-saat akhir begini.







Hangatnya pilihanraya dan kempen-kempennya tidak menundukkan nafsu para pembaca tegar untuk mencari bahan bacaan mahupun sekadar mencuci mata, hidung dan telinga seperti kami anak-beranak tadi.
Oh ya, sayapun tak tahu post ini mengenai pilihanraya atau pesta buku sebab kedua-duanya bertindan tarikh.

cuma saya menanti datangnya sebuah lagi pesta penghujung Mei ini iaitu Pesta Buku Selangor.  Usai PBAKL, kami mengerjakan Maghrib di Masjid Negara.  Hanya satu saf lelaki dan satu saf perempuan.  Aduhai, di telinga saya terngiang-ngiang doa Imam Omar setiap kali mendoakan kehadiran jemaah di Masjid As Salam.  Suami saya merungut, Masjid Negara diperlakukan begini!   saya katakan, mungkin jemaah sudah pulang ke kampung, mengundi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...