..yang bernama sahabat

Friday, 25 January 2013

Aku Anak Vokey - 2


1989

AKU kena menulis biodata macam si dia itukah?  Tak perlulah.  Malu pula.  Aku bukan siapa-siapa.  Lalu, terpaksalah aku mengenalkan diri yang tampan, berwajah Melayu dan berketinggian Melayu ini kepada kalian.

            Di kawasan perumahan setinggan Kg Pinang, siapa yang tak kenal aku.  Sebut sahaja Boy, semua orang boleh membayangkan seorang budak lelaki berbadan kecil, bersuara nyaring dan berkaki pantas. Ahli jawatankuasa masjid sahaja yang mungkin tak mengenali aku.  Kerana?  Akupun tak mengenali mereka!

            Nama sebenarku, Nazri.  Sebenarnya aku boleh dipanggil Nazri.  Naz atau Zeri oleh sesiapa juga.  Tetapi kawan-kawan sekolah adalah merangkap kawan ‘setaman’ maka sehingga ke sekolah, nama Boy juga yang terpaksa aku junjung.  Aku ingatkan sekali lagi ya, Boy.  Bukan Boboboi.  Ataupun Boboi Maharaja Lawak.

1989, aku masih anak-anak lagi.  Begitupun sudah pandai mengintai harumnya kembang.  Sudah pandai menghulur salam berbaur cinta.  Biarpun kebiasaannya cinta itu dimiliki oleh monyet dan spesies yang sewaktu dengannya. 
           
Aku pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Petaling.  Sekolahku berhampiran jalan besar, tetapi dihijabi oleh perkampungan setinggan yang sinonim dengan negeri kelahiranku ini.  Tiada apa yang menarik hendak aku coretkan.  Ia menjadi menarik hanya sesudah aku menjadi pelajar tahun kedua sebuah sekolah vokasional di Bentong.  Sekolah itu dibuka pada tahun 1989.  aku adalah pelajar kelompok kedua, bermakna pelajar ‘junior’ yang ulung di situ.
sengaja dikelabukan utk menjaga hati beberapa pihak - kredit utk tuan Izham Ahmad.




           
Aku melempar diri jauh ke perbukitan Bentong bukan kerana alasan seperti si dia.  Klise.  Ingin lari dari masalah.  Masalah, mana mungkin dibawa berlari.  Tetap akan terus bergayut di kaki sampai mati.  Tipulah kalau si dia menjadi ‘ahli’ vokasional dan kemudiannya semua masalah terkubur.  Pada nisannya tercatat Masalah.  Dikebumikan pada sekian-sekian tarikh.  Tiada. 
           
Malah, di vokasional jugalah aku bertemu dengan si dia itu, dan kami mencipta pula masalah baru.  Masalah apa?  Klise lagi?  Tidak, cinta monyet itu lumrah.  Penyeri untuk anak-anak sekolah yang suka berkasih-sayang seperti aku.
           
Satu perkara yang sedikit pelik dengan diriku, aku memang pantang melihat sesuatu yang berenjin.  Jiran dinding aku ialah Abang Jack, Abang Mus dan Abang Rahim.  Kesemuanya bekerja sebagai penghantar surat. 

Setiap petang atau hampir malam, mereka akan mula bermesyuarat.  Minit mesyuarat dicatatkan dengan deruman enjin motosikal.  Hidangan mereka adalah lepasan-lepasan asap yang berlari-lari keluar berbau petrol dan kemudian hilang disapa angin.  Penangguh mesyuarat biasanya ialah Mak Cik Kiah!  Apabila azan maghrib berkumandang dan mereka menjawab azan dengan cara kurang wajar itu, tunggulah kedatangan Mak Cik Kiah.
           
“Kau orang ni, nak aku tebas seorang-seorang?  Masa Maghrib nilah nak memekak.  Hormatlah sikit azan tu.  Kalau kau orang tak hormat, tak jawab, kau ingat orang lain nak tolong jawab?”  Mak Cik Kiah bertubuh rendang biasanya akan muncul dari belakang rumahku.  Lebuhraya buat kami yang merupakan pintu depan rumahnya. 
           
Waktu itu, bertempiaranlah ketiga-tiga abang itu mengemaskan peralatan mesyuarat mereka.  Kalau aku ada di situ, aku juga terlibat dalam operasi mengemas ataupun aku gelar ‘menolak ke tepi dengan kaki’.  Begitupun, mereka tidak pernah menjawab kata-kata Mak Cik Kiah.  Paling tidak, mereka melarikan diri ke dalam rumah.  Kalau sudah terperangkap, sengihan mengganti kata maaf.  Tapi maaf mereka ketika itu sahaja.  Esok, aku akan menumpang tenggek lagi melihat kepakaran mereka mengubahsuai enjin motosikal.
           
Anak setinggan, jika seusia 10 atau 11 tahun masih belum tahu memulas pedal, menukar gear motosikal, bukan anak setinggan sejati namanya.  Kami anak setinggan tahan lasak.  Hidup di dalam suasana kurang selesa, mematangkan kami.  Mengeraskan hati kami.  Memejalkan jiwa kami.  Rumah kecil, hidup dengan adik beradik yang ramai berhimpit-himpitan tidak pernah menjadi kudis untuk aku menidakkan kebolehanku.
           
“Kau ni, esok nak SRP.  Pergi baliklah!”  marah Abang Mus padaku.  Agaknya apa yang aku buat sekarang, adalah ulangan perlakuannya satu ketika dulu.  Waktu itu, esok pagi jam 8.00 kertas pertama.  Bahasa Malaysia.
           
“Kau nak jadi apa Boy?  Malas belajar.  Jadi mat despatch macam aku.  Nak buat apa.  Gaji sikit.  Nak bermewah-mewah tak boleh.  Duduk rumah setinggan.  Perempuan pun fikir sepuluh kali nak dekat, tau!”

            Ala, abang ni.  Boy bukannya malas.  Masalahnya kepala Boy ni dah santak.  Dah penuh.  Nak menghafal-hafal.  Abang tahu berapa subjek nak hafal?”

            “Yang kau hafal buat apa, cikgu suruh baca.  Fahamkan.  Patutlah tak pandai-pandai.  Engkar.  Degil cakap cikgu!”  suara Abang Mus meninggi.  Tetapi di hujungnya dia ketawa.  Mengetawakan dirinya sendiri, agaknya. Dia mencangkung semula di depan motosikalnya.

            “Kalau boleh Boy nak jadi macam abang.  Tak payah belajar.  Tak payah kerja.  Duduk mengadap enjin sepanjang masa,”

            “Ha’ah. Lepas tu bila lapar, kau hadap enjin tu,” tukas Abang Rahim yang meluruskan kaki.  Menarik sedikit seluar jeans yang rabak lututnya.  Ketat-seketatnya.

            “Kasihan kat mak abah kau, Boy.  Kau belajar dulu, lepas tu barulah kau fikir nak buat apa.  Kerja kau sekarang belajar,”  Abang Rahim bersuara lagi.


            “Abang ni macam mak, macam kakak Boy lah,”  aku tunjukkan muka dan nada kurang senang.  Mereka berdua sekadar tersenyum.

            “Terlanjur kau cakap fasal kakak kau, Boy.  Balik nanti, Boy beritahu dia, Abang
Mus kirim salam.  Abang nak ajak dia tengok Muzik-Muzik akhir.  Abang ada dua tiket!”  Abang Mus bersungguh-sungguh.  Bulat matanya.

            “Abang cakaplah sendiri,”  aku sedikit jauh hati dengan Abang Mus dan Abang Rahim. 

Tiba-tiba.  Aku rasakan mereka tak memahami diriku.  Otakku memang sudah tidak mampu menghadam apa-apa yang bertulisan lagi.  Formula matematik, berlebih lagi.  Terasa apa yang aku baca menjelang SRP, tertinggal di pinggir telinga.  Atau hanya bergayut di hujung bulu mata.  Tidak masuk ke dalam saraf-saraf dan tiada maklumat yang mendarat di benak. 
           
“Apa nak jadi dengan awak semua ni ha?”  Itu soalan paling popular di dalam kelasku.  Kelas Seni Perusahaan 3.  Kelas corot yang menempatkan kaki ponteng, kaki buli, kaki pukul untuk pelajar sessi petang.  Jika sepuluh orang guru yang masuk, sepuluh-sepuluh akan bertanya perkara yang sama.
           
Sepatutnya, mereka yang menentukan apa yang akan berlaku pada kami.  Mereka guru.  Mereka diajar, diberi latihan mendidik.  Sepatutnya kerja mereka mendidik.  Kami mana tahu.  Kerja kami belajar.  Bukan ‘berdidik’.  Kami belajar apa yang diajar dan bukannya apa yang dididik.

            Ketika kelas-kelas cemerlang lain semakin giat menggandakan latihan, latih tubi dan kelas tambahan, kelas kami sudah boleh diumpamakan tongkang pecah.  Cikgu Rafidah cuti bersalin.  Sekolah memang kekurangan guru.  Maka, di dalam kesempatan yang ada untuk dijadikan alasan, jadilah kami mangsa.
           
“Semua pelajar tingkatan tiga, sila berkumpul di Dewan Harmoni sekarang,”
           
“Semua pelajar tingkatan tiga, sila berkumpul di Dewan Harmoni sekarang.” 

Ketua Pengawas sessi petang itu cuma melaung di sepanjang koridor kelas.  Mencicit-cicit kami keluar dari kelas.  Keriangan.  Bukan kerana berkesempatan tidak belajar.  Sebab, sememangnya kami tidak belajarpun.  Tetapi kesempatan menghirup angin dan mencuci mata dengan pemandangan yang lebih menarik.   Daripada yang ada di dalam kelas. 
           
“Tingkatan 3P3, kamu semua duduk barisan depan.”  Melalui pembesar suara, Cikgu Salleh, Guru Kelab Bimbingan dan Kaunseling memberi perintah. 

Pembesar suara di tangan kanan, dia berdiri di kerusi yang paling hujung barisan pertama.  Tangan kirinya melambai-lambai ke arah aku dan rakan-rakan.  Sebaris keluhan seperti ‘alamak,’ ‘apahal pulak’ atau a sahaja kedengaran.  Rupa-rupanya dua barisan telah dikosongkan khusus untuk perwira bangsa seperti kami. 

Dengan bangga dan malu-malu alah, kami melewati pelajar-pelajar kelas lain, perempuan terutamanya menuju ke baris hadapan.  Aku seperti biasa, meraup rambut ke belakang dan menarik sedikit longgokan rambut di depan agar terjuntai di dahi.   Baju dan tali leher aku kemaskan biarpun nampak serba tak kena dengan seluar hijau yang telah diubahsuai dan diketatkan di bahagian lutut dan ke bawah. 
           
“Hari ini, saya akan menerangkan tentang peluang belajar sebaik sahaja anda semua menamatkan pengajian peringkat SRP.”  Ayat cikgu Salleh memang tidak pernah gagal merangsang minda kami.  ‘Menamatkan pengajian’ digunakan untuk memberi semangat seolah-olah kami lepasan universiti. 
           


“Saya perturunkan beberapa alternatif selain daripada pendidikan konvensional yang akan anda semua terima jika anda memilih untuk meneruskan tingkatan empat di sekolah ini ataupun mana-mana sekolah harian yang ada.”  aku masih belum dapat menangkap maksud Cikgu Salleh.  Sehinggalah dia menuliskan di papan putih, MRSM, sekolah berasrama penuh, teknik, vokasional, agama. 
           
Cikgu Salleh memberikan risalah tentang keperluan-keperluan yang perlu ada buat seorang pelajar untuk melayakkan diri pada sekolah-sekolah yang dinyatakan tadi. 
Buat pertama kalinya, aku memberikan perhatian kepada risalah di tangan.  Juga kepada penerangan Cikgu Salleh.  Di dalam minda aku menolak kesemua kriteria kecuali untuk ke sekolah vokasional.

            Kursus-kursus yang ditawarkan.  Kursus-kursus teknikal seperti Automotif. Binaan Bangunan. Kerja Kimpalan.  Penyamanan Udara. Elektrik dan Elektronik.  Amalan Bengkel Mesin.   Perdagangan.  Pertanian.  Sains Rumahtangga.  Mataku tertancap pada perkataan pertama.  Automotif.  Aku tersenyum.  Terima kasih Cikgu Salleh.  Kata hatiku. 

Pawaka di Matamu - Bab 3


            “Siapa tunggu kau di lapangan terbang?”  Diney berpaling.  Beg yang mengisi baju yang terlipat kemas ditutup.  Dizipkan.  Dia menghempaskan diri di atas tilam.  Melantun-lantun tubuhnya.   Soalan teman sebilik yang mundar mandir itu tidak dipedulikan.  Matanya mencacak ke siling.   Sekejap lagi bumi London akan ditinggalkan.  Masa berlari pantas. 

            “Diney, tak payah nak berangan.  Aku tanya, siapa jemput kau?”  Soalan Mich yang tergantung diulang balik.

Tips Menulis Ala Koboi

assalamualaikum w.b.t.  dengan nama Allah yang Maha Memberi Rezeki.  Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Hari ni, Che' Mon nak menulis sesuatu yang baru.  Yang Che namakan tips menulis ala koboi,  santai dan damai.  Nak kongsi dengan kawan-kawan yang bersemangat nak menulis tapi tak tahu nak tulis apa...

ini gambar dari theinspirational apa tah, something like that la..
Pertama dan seumpamanya, apa matlamat kita menulis.  tak kiralah sama ada penulisan kreatif atau non kreatif.

kreatif - cerpen, novel, sajak, gurindam, syair dll
non - kreatif - esei, rencana, kritikan dll

apa matlamat kalian jadi penulis?

hobi? 
tolong jangan cakap hobi.  Hobi hanya untuk masa lapang.  kalau kalian kata hobi, karya kalian tak akan sebegitu serius sampai jadi novel, antologi ataupun menang peraduan.  Reset minda dengan katakan saya menulis kerana kecintaan.  kecintaan untuk berkongsi bakat dengan orang lain.  berkongsi cerita dengan orang lain.  berkongsi pengetahuan saya dengan orang lain.

nak jadi popular?
nama terpampang di muka depan buku.  dikenali ramai orang?  kalau guna nama samaran macamana orang nak kenal?  kenal.  bila orang dah suka dengan karya kita.  Kawan-kawan kita yang pandang rendah kita kat sekolah dulu di ruangan komen, 'aku tak sangka hang ada bakat menulis'  atau 'aku tak sangka aku ada kawan seorang penulis' - tak seronok ke?  seronok.  kepuasan peribadi.  membuktikan kredibiliti diri.

nak kaya?
ehem.  Kalau karya kalian sendiri, edit sendiri, prof reading sendiri dan terbit sendiri, mungkin boleh kaya.  TAPI kalau kalian memang gila-gila buat marketing sendiri di samping marketing yang dibuat oleh penerbit, insyaAllah.  boleh kaya.  caranya, kena menuntutlah....

nak berkongsi ilmu?
bagus untuk para profesional kalau mereka berniat begitu.  begitu juga bagus untuk para agamawan.  bagaimana kalau orang biasa-biasa macam kita ni?  sekolah takat cukup makan.  kerja makan gaji dengan Encik Suami.  masih boleh berkongsi ilmu.  sebab sebelum menulis kita membaca.  melalui pembacaan kita mendapat ilmu.  kita olah semula jadi karya kreatif.  berkongsi namanya tu...
kalau KEDEKUT, HASAD DENGKI JANGAN jadi penulis!!!

nak mencurah rasa?
ini adalah sebab terbaik daripada semua sebab.  kebiasaannya penulis adalah orang yang pendiam (ehem) atau pernah menjadi pendiam.  pernah melalui perkara-perkara yang membuatkan rasa rendah dirinya menjunam-junam maka tak ada tempat nak mengadu, pensil dan kertaslah tempatnya.

JADI,
ambil pen/laptop dan MENULIS sekarang.  Tulis apa yang ada dalam hati kalian.  tentang hidup.  tentang jiran sebelah pintu/ tentang anak yang terlupa bersalam sewaktu nak pergi sekolah pagi tadi/tentang ikan puyu mati.  tulis sahaja. dah habis tulis. SIMPAN.  jangan baca lagi.  baca semula SEBULAN selepas itu.

ingat  !! nak jadi penulis kena tetapkan matlamat.  Kalau setakat nak balas dendam kat orang sinun/sanen fasal dia pernah menghina karya kita. lupakan sahaja.  anda tak akan ke mana.  Reset minda AKU MENULIS UNTUK.....(set perkara yang baik dan positif sahaja)

sekian.  kalau rajin dan ada sambutan, Che Mon sambung.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...