gambar : blogger |
Memetik
definisi daripada Kamus Dewan edisi 4 semantik menjunjung takrif bidang kajian
atau analisis yang memperincikan makna kata dan ayat. Frasa semantik berasal daripada perkataan
Yunani bermaksud penting atau bererti.
J.W.M. Verhan, 1996, mentakrifkan semantik sebagai cabang linguistik
yang membahaskan isu erti dan makna.
Manakala Abdul Chaer, 1994 menjelaskan bahawa semantik adalah bidang
kajian linguistic yang objek penelitiannya adalah makna bahasa.
Kata
yang merupakan satu unit ujaran yang bebas memerlukan elemen semantik untuk
menjamin komunikasi menjadi lebih berkesan.
Hasil daripada komunikasi berkesan akan memungkinkan gagasan atau ilham
yang ingin disampaikan difahami.
Guru
Bahasa Melayu perlu mengenali secara dekat ciri dalam bidang kajian semantik
termasuklah aspek makna denotasi dan konotasi, makna konteks, hubungan makna
dengan kebudayaan, perubahan makna dan bentuk-bentuk makna daripada hubungan semantik
seperti sinonim, antonim, hiponim dan sebagainya.
Setelah
maklum bahawa semantik adalah sebahagian daripada ilmu linguistik maka tidaklah
dapat ditolak keberadaan peranannya di dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Guru-guru Bahasa Melayu khususnya perlu
mempunyai pengetahuan dalam bidang semantik kerana ia memberi impak yang berpanjangan
kepada murid-murid. Impaknya nanti bukan
sahaja melibatkan hal-ehwal sosial malah mungkin juga berlarutan kepada aspek
politik, ekonomi mahupun agama.
Impak pertama dapat dilihat dari segi
hubungan makna dengan kebudayaan. Pengetahuan
semantik dapat membantu pembawaan diri murid-murid di tengah-tengah masyarakat
kemudian hari. Masyarakat Melayu adalah
masyarakat yang mempunyai peraturan sosiobudaya yang sangat ketat. Secara halusnya, terdapat susunan status dan
darjat di dalam hierarki dan ketidakfahaman dalam menguruskan makna sesuatu
perkataan yang diucapkan akan memalitkan kesan negatif kepada komunikasi
sosial.
Dibawakan
contoh penggunaan ganti nama “saya”, “aku” dan “gua”. Walaupun secara umumnya ia membawa maksud
ganti nama diri pertama, dari segi makna dengan kebudayaan, ia sudah memberi
tiga takrifan berbeza menurut kesesuaian lokasi khalayak pada ketika itu. Frasa
“saya” digunakan apabila untuk membahasakan diri kita apabila berkomunikasi
dengan orang yang baru dikenali, ketika bercakap dengan orang yang lebih tua
atau di dalam majlis rasmi. Manakala
ganti nama “aku” lebih serasi digunakan apabila berkomunikasi di kalangan
kawan-kawan terdekat dan rapat dengan kita.
Seterusnya ganti nama “gua” adalah bahasa slanga atau bahasa basahan
yang sering digunakan dalam perbualan tidak rasmi atau ada masanya ketika mahu mencetuskan konflik
dengan seseorang.
Contoh
seterusnya ialah bahasa pinjaman daripada bahasa Arab iaitu mahram dan
muhrim. Tanpa pengetahuan semantik,
selama-lamanya kita telah terkeliru kerana ia berasaskan kata dasar yang sama
iaitu perkataan haram.
Sewenang-wenangnya pula kita menggunakan bahasa pinjaman tersebut tanpa
rasa bersalah walhal ia membawa makna yang berbeza. Di dalam Wikipedia sendiri membawakan
pengertian mahram dan muhrim sebagai bentuk-bentuk daripada hubungan semantik
seperti bahasa Melayu yang ditambah imbuhan.
Padahal, walaupun ia hanya dibezakan dengan ‘a’ dan ‘i’ ia membawa dua
makna yang jauh menyimpang.
Kesemua
ciri-ciri tersebut bukan sahaja berkait rapat dengan keperluan untuk ‘lulus
periksa’ tetapi, lebih jauh daripada itu ia menyumbang kepada kemantapan
penggunaan Bahasa Melayu di kalangan khalayak generasi muda di belakang hari. Pengetahuan semantik harus diterapkan dan
dibiasakan oleh guru Bahasa Melayu demi menjamin keindahan Bahasa Melayu itu
sendiri agar tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas.
Bayangkan
betapa ruwetnya kerosakan atau penganiayaan terhadap Bahasa Melayu dewasa
ini. Anasir-anasir seperti penggunaan
bahasa sms, bahasa pinjaman, bahasa rancu, bahasa pasar dan basahan amat
membimbangkan ditambah lagi penyebarannya seumpama virus yang tidak dapat
dilihat, tetapi dirasakan. Lebih parah
lagi bahasa-bahasa tersebut membawa elemen denotasi dan konotasi juga makna
konteks yang jauh menyimpang dan mengelirukan.
Pengetahuan di dalam bidang semantik
amat diperlukan untuk mendidik murid-murid dari segi makna denotasi dan
konotasi. Generasi hari ini generasi
cepat matang dan melihat sesuatu hanya berdasarkan akal pemikiran logik
sahaja. Guru Bahasa Melayu memainkan
peranan untuk memperkenalkan aspek denotasi dan konotasi terhadap sesuatu
istilah atau simpulan bahasa (sebagai
contoh). Ini berikutan penggunaan
istilah-istilah tersebut adalah gambaran kesantunan bangsa Melayu itu
sendiri. Bangsa yang mempunyai adab yang
terpelihara walaupun sekadar untuk menyampaikan sesuatu maksud yang
ringkas.
Sebagai contoh, gurindam untuk
mempersilakan tetamu mengambil tempat duduk yang berbunyi ‘tempat cawan pada
piringnya, tempat cerek pada tungkunya.’
Gurindam tersebut jika disuluh dari segi makna denotasinya bermaksud
kedudukan benda-benda tersebut berserta pasangannya.
Tetapi,
apabila dikaji daripada segi makna konotasi, ia membawa maksud setiap orang
harus mengambil tempat yang sesuai dengan status kehadirannya di dalam majlis
itu. Jika kita hadir sebagai tetamu,
kita harus berada di kerusi yang disediakan untuk tetamu. Begitu juga sekiranya kita membawa fungsi
yang berbeza seperti pengerusi majlis, ahli jawatankuasa ataupun pasukan
penyedia juadah.
Sekiranya guru bahasa Melayu tidak
mempunyai pengetahuan sebegitu, bagaimana ia dapat membantu murid-muridnya
memperkayakan pengetahuan leksikon mereka?
Sedangkan pengetahuan itu diperlukan untuk memberi nilai tambah di dalam
kertas karangan mereka. Pengetahuan
leksikon itu nanti juga akan membantu menambah keyakinan diri mereka apabila
berkomunikasi dengan pelbagai peringkat apabila meningkat dewasa kelak.
Sebagai kesimpulannya, pengetahuan semantik
kepada guru Bahasa Melayu adalah amat perlu berasaskan cakupan jangka pendek
dan jangka panjang. Ia membabitkan pula
rangkupan menyeluruhi aspek sosial, ekonomi dan politik.
Cakupan jangka pendek memungkinkan pelestarian
kecemerlangan murid-murid di dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Seterusnya memberi imej yang cemerlang buat
diri murid sendiri, guru dan
sekolah.
Cakupan
jangka panjang pula adalah hayat ilmu yang berterusan yang menjadi nilai tambah
buat diri murid-murid dan guru itu sendiri.
Murid yang kaya storan leksikonnya akan mendapati dirinya lebih
berkeyakinan dalam segi hubungan sosial.
Mereka akan dapat meresapkan diri
di dalam pelbagai golongan masyarakat dengan kelebihan pengetahuan
semantik ibarat pepatah masuk kandang kami mengembek, masuk kandang harimau
mengaum.
Dari
sudut ekonomi pula, kekuatan menggunakan bahasa dapat membantu menambah
keyakinan pihak lawan atau pembeli untuk mendekati kita berasaskan kemahiran
berbahasa yang memikat hasil kebijaksanaan mengenal pasti ciri-ciri semantik
ketika berbahasa. Akhirnya, bertitik
tolak daripada pengetahuan menguasai leksikon dengan baik, segala khilaf dan
perselisihan yang melibatkan aspek politik di dalam negara boleh ditangani
dengan berhemah dan profesional. Hasilnya,
keamanan akan terus dikecapi selama-lamanya.
Seperti juga pengetahuan mengenai cabang linguistik lainnya seperti
sintaksis, fonologi dan fonetik, semantik memainkan peranan penting dalam
menentukan usaha memartabatkan imej Bahasa Melayu agar terus konsisten seiring
arus zaman.
Rujukan:
Semantik,
Portal Pendidikan Utusan diperolehi
pada September 22, 2013 daripada http://www.tutor.com.my/stpm/semantik/semantik.htm
Definisi
Semantik, (2001, August 24) RujukNota,
diperolehi pada September 22, 2013 daripada: http://rujuknota.blogspot.com/2011/08/definisi-semantik.html
Abdullah
Hassan, Aripin Said & Ainon Mohd, (2007) Pantun & Gurindam Untuk Majlis Rasmi & Perkahwinan. PTS Millennia Sdn Bhd, Selangor
No comments:
Post a Comment