..yang bernama sahabat

Friday, 4 October 2013

Ikut Kata Hati : Catatan Dari Syurga

Assalamualaikum,  Bismillah.

Membaca Catatan Dari Syurga karya Rohani Deraman ini seakan membuka sekeping lembar insaf yang sudah lama terpuruk di dalam diri dimakan riak.  

Betapa ada ketikanya, kita yang sekadar sempurna fizikal tetapi bukan mental, tega memandang hina terhadap ciptaan Allah.  Walhal, jika diikutkan ketidakupayaan kita, usahkan mencipta, mengawal kentutpun kita tak mampu!  Tapi kita selalu lupa, tanpa belas kita mencebik hina dan memandang jijik pada orang lain yang kita rasakan tidak menepati kehendak hati kita.

Autobiografi setebal 110 muka surat ini menyingkap kisah hidup ibu yang kudung kaki dan tangan yang cekal, yang redha dengan kecacatannya.  Redha dengan dugaan.  Sungguh saya merasa malu dengan diri sendiri apabila membandingkan kekuatan rohaninya dengan saya.

Turut termuat, kisah dari mulut anak-anaknya sendiri.  Yang turut merasa bahang kesusahan, penghinaan itu.  Berkongsi rasa, kerkisah tentang sikap angkuh manusia waima keluarga terdekat sendiri.  Air mata tidak berhenti mengalir sepanjang saya membaca karya ini. (Saya cengeng ke?  terserah pada anda, baca sendiri baru tahu)

Mungkin anda tidak terkesanpun.  Kesusahan hidup, siapa-siapapun pernah lalui.  Tetapi tidak untuk seorang Aminah binti Tahir yang terpinggir daripada kasih ibu sejak kecil.  Menelan hinaan, fitnah, penganiayaan hampir setiap saat hanya kerana manusia tidak puas hati dengan Allah.   Tidak puas hati kerana Allah menjadikan dia sebegitu.

Walhal, sudah ditetapkan bahawa tiada satupun makhluk yang dijadikan Allah di dunia ini tidak berguna. Kisah ini membentangkan hikmah yang bukan sedikit.  Percayalah kepada kesabaran.  Yakinlah pada doa, memintalah pada yang hak.

Buku ini dijual untuk menampung kos upah haji allahyahamah Puan Aminah binti Tahir yang telah kembali ke rahmatullah, al fatihah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...