..yang bernama sahabat

Thursday, 7 March 2013

Ikut Kata Hati : Tembok Zulkarnain Sudah Bolos, Azrien Borhan


Walaupun mauduk Tembok Zulkarnain Sudah Bolos oleh Azrien Borhan ini menjurus kepada kata kunci  ‘Tembok Zulkarnain’ dan ‘bolos’; tidak boleh tidak susur galur susuk individu bernama Zulkarnain haruslah dikenali terlebih dahulu.

Ringkasnya, Tembok Zulkarnain disebut di dalam Al Quran Surah Al Kahfi ayat 86. 
Asbabunnuzul surah ini ialah untuk membuktikan kenabian junjungan besar Muhammad S.A.W. yang dipersoalkan oleh Musyrikin Mekah ketika itu dengan dipandu oleh Yahudi Madinah.  

Ia berkaitan pula dengan puak Yakjuj dan Makjuj yang terakam di dalam surah Al Kahfi ayat 94.  Puak yang akan keluar mengkucar-kacirkan dunia dan menentang Nabi Isa A.S.   Kedua-dua peristiwa besar ini adalah di antara 10 tanda-tanda besar kiamat seperti yang direkodkan oleh Imam Muslim daripada Huzaifah bin Usaid Al-Ghafiri  yang disabdakan oleh Rasulullah S.A.W.

Di mana pula lokasi yang didakwa Tembok Zulkarnain?  Di manakah lokasi di antara dua gunung yang disebut di dalam surah Al Kahfi ayat 93 itu?  Persoalan itu terjawab jelas di dalam buku ini beserta bukti-bukti bergambar.  Sama ia telah bolos atau sedang bolos secara realiti atau simbolik, segalanya diperincikan dalam rentetan peristiwa yang berlaku di sekitar lokasi tersebut.

Buku ini dibahagikan kepada 4 blok perbincangan iaitu Kiamat Pasti Berlaku, Zulqarnain, Yakjuj dan Makjuj dan Dabbatul Ard.  Diselitkan juga kaitan di antara puak barbar ini dengan kerakusan Yahudi mutakhir ini.  

Tidak dinafikan buku ini mesra pembaca.  Dengan bilangan perenggan sederhana dan gaya bahasa yang mudah, buku setebal 129 muka surat ini, tidak begitu mengambil masa senggang anda untuk membacanya. 
Secara peribadi,  buku ini bagi saya adalah ringkasan buku Yakjuj & Makjuj, Bencana di Sebalik Gunung, Muhammad Alexander, Benarkah Iskandar Bukan Zulkarnain, Afareez Abd Razak Al Hafiz dan Teori Konspirasi Rothschild Yahudi Kepercayaan Dajjal , Ibnu Yaacob, yang pernah saya baca.

Bagaimanapun, sekiranya anda belum membaca buku-buku tersebut, buku ini boleh dijadikan bekal untuk mendapat gambaran awal terhadap isi perbincangan yang terdapat di dalam ketiga-tiga buku di atas. 
Jika anda sudah membaca salah satu atau kesemua buku tersebut pula, buku ini membawa rekayasa dengan ilmu-ilmu baru melalui bukti bergambar yang tiada dalam ketiga-tiga buku tersebut. 

Sebagai pengiktlakan,  mempercayai adanya kiamat adalah inti pati Rukun Iman.  Maka buku ini sebenarnya dapat membantu kita menginsafi kekerdilan diri dan mengakui bahawa janji Allah itu benar!

Allah hu Akbar.   

5 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...