..yang bernama sahabat

Monday, 11 March 2013

Pawaka Finale


       ALHAMDULILLAH,  aku tinggalkan Sungai Pahang di tangan Maimon Haiza untuk belayar ke Pulau Impian... tamat 8/3/2013  

   Maimon ketawa mengekek mendengar usikan uminya.  Kalau Puan Zabedah ada di depan matanya, tentulah dia melihat wajah keputih-putihan empat segi itu sudah merona merah diusik malu. 
            “Kalau nenek Dhani tak telefon beritahu, sampai bilalah agaknya Mai nak berahsia,”  ujar uminya seolah-olah merajuk.
            “Ala, umi ni, Mai seganlah.  Nanti umi ketawakan Mai.  Nanti umi kata buruk rupanya orang tua bercinta…”
            “Anak umi cantik-cantik belaka.  Nak-nak anak umi yang namanya Maimon Haiza tu…umi suka sangat mendengarnya, Mai.  Umi harap umi sempat tengok Maimon bersanding.”
            “Umi ni…”  Maimon merengek manja.  Begitupun, dia segera menegakkan diri apabila melihat isyarat panggilan masuk berkelip-kelip di telefonnya.  Segera dia memendekkan bual dengan uminya dan menyambut panggilan tersebut.
            “Susah betul nak dapatkan talian orang popular ni.  Asyik engaged saja,”  komen Dhani.  Maimon ketawa bahagia.  Meski perlahan, jelas di telinga lelaki yang mulai pandai bermimpi untuk beradu dalam dakapan cahaya purnama itu. 
            “Kenapa tiba-tiba hilang semalam?  Sekarang ada dua biji kereta di depan rumah saya.  Saya cadang nak jualkan salah satu…”
Panjang ketawa Dhani mendengar gurauan Maimon itu.
            “Juallah yang warna metalik tu.  Duit tu boleh saya gunakan buat duit hantaran,”  balas Dhani.  Maimon terdiam. 
            “Kenapa Abang Mubin telefon awak?  Ada masalah dengan sangkar kah?”
            “Tak.  Cuma fasal Diney.”
           
“DINEY?”
“Iya.  Abang jumpa Diney kat lobi hotel tadi.  Masa tengah mesyuarat dengan client dari Kuantan.  Dia macam orang tak waras aja!”  Terasa pecah jantungnya mendengar kata-kata Abang Mubin itu.  Segera dia mendapatkan teksi dan meninggalkan pesan kepada abahnya.  Sementara pada Arif, dititipkan pesanan agar meneruskan perbincangan dengan Salbiah.  Jika Damia berkeras, tinggalkan Damia.  Pesanan berbentuk arahan dan amaran diberikan.  Arif menuai janji akan menyelesaikan segala-galanya.
“Jangan beritahu nenek.  Nanti risau pula dia.  Abang tunggu kat situ sampai saya tiba, boleh tak?”
“Client ni macamana?  Ini projek pembekalan patin pada hotel lima bintang tu.  Abang dah nak close deal.  Takkan nak tangguh?”
            “Abang sumbatlah si Diney kat dalam bilik hotel tu.  Lepas tu abang sambung balik meeting tu.”  Arah Dhani.  Abang Mubin memang pandai dalam bab mencemaskan hati perut aku!  Rungut Dhani.  Diney, Diney.  Tak habis-habis.  Apa pula masalahnya kali ini?
            Berkerut dahinya memutar ingatan mencari sebab Diney berada di Hotel Seri Muara itu sedangkan sepatutnya dia berada di Kuala Lumpur.  Meneruskan hidup dan kuliahnya seperti biasa.  Bosan meladeni perjalanan yang masih panjang, telefon bimbit di tangan menjadi mangsa.  Lama pandangannya terpaku pada sebaris nama dan nombor telefon di depannya.  Maimon Haiza.  Segala-galanya dia.  Pandang ke langit, senyumnya bergayutan.  Pandang ke bumi, wajahnya berkaparan.  Aduh, penasaran, dengan cinta yang tak diundang ini. 
            “Diney datang ke mari dengan Syed Hasnol,”  Abang Mubin memberitahu sejam kemudian.  Dhani masih lagi di dalam perut teksi di lebuhraya Karak.  Terasa begitu terdera.  Kalaulah boleh dia terbang mendapatkan adiknya yang seorang itu.
            “Ada abang nampak si Syed tu kat situ?”     
            “Tak ada.  Bila abang tanya Diney, dia jawab tak tahu aja.  Banyak kali abang tanya kenapa, dia hanya jawab tak tahu.  Paling kuat dia menangis.”
            “Abang dekat mana ni?”
            “Dalam bilik Diney.”
            “Dalam hotel?”
            “Iyalah.”
            “Abang Mubin, kat belakang hotel tu masjid.  Nanti elok-elok aja ahli jawatankuasa masjid tu datang.  Terus kahwin free!”
            “Eh, Aishah pun ada.  Abang telefon dia tadi.”  terang Abang Mubin dan terus ketawa.  Segaris kelegaan menerang di dalam hati.  Cepat-cepat dia memohon maaf kepada abang sepupunya itu kerana bersangka buruk sebentar tadi.  Ikutkan hati, mahu dicekiknya pemandu teksi itu sampai mati.  Ditinggalkan di tepi jalan dan teksinya itu dilarikan segera ke bandar pinggir Sungai Pahang itu.  akhirnya dhani ketawa sendiri dengan ingatan buruk yang dipengaruhi cerita-cerita jenayah yang pernah ditontonnya.
            “Dhani…aku ni.”  Suara Aishah perlahan.  Bagaikan dia bercakap secara curi-curi.
            “Kenapa Ai?”
            “Syed Hasnol cuba buat tak baik pada adik kau,”  suara Aishah tenggelam timbul.
            “Mana kau tahu?”
            “Diney bagi tahu.  Tapi tak sempat sebab abang kawan dia datang.”
            “Habis tu macamana?  Diney nak report polis tak?”
            “Dia kata tak mahu.  Si Syed tu tunang kawan baik dia.”
Dhani tidak menjawab.  Kenapa adik-adiknya begitu taksub dalam menjaga hubungan dengan orang lain dibandingkan menjaga hubungan dengan keluarga juga membela diri sendiri.  Begitu banyak kenapa yang bersarang di dalam kepalanya.  Semuanya terlonta-lonta tidak berjawab.      

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...