IMAM
Omar menyambung terus. Keseluruhan
kawasan surau itu terang-benderang. Para
jemaah lelaki yang mengisi tiga sehingga tiga saf tadi sekarang berada di dalam
kedudukan separa bulatan. Jemaah wanita
yang tidak sampai sepuluh orang pula asyik mendengar di bahagian belakang
jemaah lelaki. Di sudut sebelah kiri
dengan tabir pemisah dinaikkan.
“Adapun ujian Allah itu tidak lain
daripada untuk menaikkan darjat manusia.
Semakin kita diuji, seandainya kita mampu menghadapinya maka termasuklah
kita orang-orang yang beruntung dunia dan akhirat.” Ahli kariah Kampung Jerangsang di hulu Sungai
Pahang itu mengangguk-angguk. Imam Omar
membetulkan kaca matanya.
“Sihat itu ujian, Allah nak tengok
sejauh mana kita menghargainya. Kita bersyukur atau tidak. Atau kita makan tak ingat dunia. Kita berjalan ke sana ke mari tak ingat
dunia. Sakit itu ujian, diujinya pulak
dengan macam-macam penyakit. Ada yang
senang sembuh. Ada yang susah nak
sembuh. Allah nak tengok sejauh mana
usaha kita. Berdoa dan meminta. Kaya, miskin, susah atau senang, semuanya
ujian. Tak perlu nak risau kenapa orang
tu lebih, kita kurang. Tak perlu nak
dengki kenapa orang tu kaya, kita tidak,”
Imam Omar menokok. Pak Ngah Talib
yang sedang menyandar di dinding surau menoleh.
Memandang ke arah Amanda.
‘Bagaimana kalau aku tiada
nanti? Akulah satu-satunya tempat Amanda
menumpahkan kasih. Mencurah segenap
rasa. Walaupun kekuranganku menjaraki
proses itu.’ Monolog bercanda di dalam
kepalanya.
Wazif
lelaki baik. Pak Ngah Talib sangat
yakin. Malah, sewaktu bermalam di rumah
sewaannya tempohari, dia melihat sendiri.
Kawan-kawannya juga membuktikannya kerana bagi Pak Ngah talib, kita
adalah siapa sahabat kita. Dia sudah
bersedia untuk melepaskan Amanda kepada Wazif.
Dia bersedia berwakil walikan Imam Omar untuk mengijabkan Amanda dengan
Wazif. Walau serumit dan sesukar manapun
prosesnya.
‘Aku nikah akan dikau dengan Nur
Amanda binti Ahmad berwakil walikan daku dengan mas kahwinnya...’ Pak Ngah Talib tersenyum sendiri.
Bagaikan
ucap akad itu dilafazkan sendiri dari bibirnya.
Didengar dengan jelas oleh sesiapa sahaja yang berada di dalam majlis
bahagia itu. Wajah Amanda yang dioles
bahagia nampak begitu riang. Tenteram
rohnya nanti. Tenteram juga arwah kakak
dan abang iparnya. Sudah disempurnakan
sebahagian daripada hidupnya.
“Hah! Ngah. Tersenyum-senyum sorang diri kenapa?” cuit Tok Empat Fatah mematahkan semua lamunan
Pak Ngah Talib.
Dia
menggeleng-geleng. Usai doa penutup
tazkirah dibaca oleh Imam Omar, iqamat dilaungkan kerana garis Isyak sudah
dilangkah setengah jam tadi.
“Macam mana pak ngah? Patutkah Dida terima Wazif?” kekakuan alam sudah sampai ke kemuncak.
Hanya suara
unggas dan serangga yang serasi dengan legam malam mengisi keheningannya. Pak Ngah Talib membaringkan tubuh di atas lembek
kekabu yang dibentang di tengah-tengah rumah.
Di atas tikar mengkuang buruk yang terbarai digomol Si Bulat setiap
hari.
Bulat
juga sedang berbaring tenang berhampiran susunan bantal yang bertindih tilam
kekabu tinggalan nenek di dalam bilik sementara menunggu Pak Ngah Talib
terlelap. Kemudian, dia akan menyibuk
sekali melingkar di hujung kaki lelaki bisu itu.
Amanda tidak menunggu jawapan pak ngahnya
apabila lelaki itu bagaikan tidak mempedulikannya. Sudah beberapa kali dia terkuap-kuap semenjak
di surau tadi. Dia tahu, pak ngah talib
juga sedang menimbang-nimbang permintaan Wazif itu. Dia ingin menyerahkan segala keputusan ke
tangan pak ngahnya tetapi bimbang timbangannya berbeza dengan apa yang ada di
dalam benaknya.
Ketika matahari malu-malu terbit,
kokokan ayam jantan di dalam reban di belakang rumah sudah kedengaran memasak
lubang telinga bertalu-talu. Ditambah
dengan rayuan resah gelisah lembu-lembu pawah peliharaan Pak Ngah Talib minta
dilepaskan. Amanda masih sibuk di dapur
sebaik sahaja selesai solat subuh.
Hampir putus nyawanya menghidupkan api dapur kayu itu. Beburung mendayukan irama pagi sebagai salam
sebelum mencari rezeki.
Amanda masih belum menyudahkan
sidaiannya di ampaian ketika matahari sudah setengah depa bebayang. Benarlah kata Imam Omar. Kesakitan itu juga ujian. Ujian menguji sejauh mana kesabaran seseorang
menghadapi masalah dan menyudahkannya.
Sekarang, dia sedang berdepan ujian menggunakan sebelah tangan untuk
menjemur kain. Kesemua pakaian tersebut
diperah ala kadar dan dirasakan satu penyeksaan untuk memastikan kain-kain itu
dijemur sempurna. Bapa saudaranya
sudahpun mengayuh basikal ke simpang tebing tinggi menghantarkan telur ayam
kampung.
Beserta salam kesejahteraan,
sepasang tangan mengambil kain yang bereceran air dari tangannya. Memerahnya dan menyidaikannya dengan
elok. Amanda mengurut dada, terperanjat
amat dengan kehadiran tetamu tidak diundang itu.
“Wazif!” segera diuraikan simpulan baju kurung yang
berpuntal. Menutupi sebahagian kain
batik kusam yang lencun di bahagian depannya.
“Awak lebih cantik dalam keadaan
macam ni,” Wazif memuji. Amanda kelihatan begitu kekampungan dan naif
dalam pakaian begitu.
“Buat apa datang sini?” soal Amanda di dalam nada yang kurang mesra.
“Nak tengok awaklah. Takkan saya nak tengok rumah ni pulak.” Sindir Wazif.
“Tak manis orang tengoklah. Ini kampung!”
“Kalau kita tak berdosa, apa nak
ditakutkan?” Wazif bertenggek di atas
batang kelapa yang melintang berhampiran ampaian.
“Kereta mana?” menyesal dengan soalan sia-sianya, Amanda
melepaskan keluhan.
“Ada. Saya parking
depan rumah Tok Empat.” Kedua-duanya
menoleh apabila mendengar deheman. Tok
Empat Fatah mendekati mereka dan tidak pula bersalaman dengan Wazif. Amanda kegusaran, bimbang tindak tanduk
mereka mengundang prasangka di mata Tok Empat Fatah. Hanya bertukar senyum dengan Wazif beriak wajah
yang bersahaja. Seperti sudah mengenal antara satu sama dengan lain dalam
tempoh berdekad.
“Pukul berapa pak ngah kamu
balik? Dia janji dengan saya nak
menembak tupai. Kat dusun sana tu.” Mereka menurut juihan Tok empat Fatah ke satu
arah.
“Kat kampung ni banyak tupai ye,
tok?” ujar Wazif berbasa-basi. Amanda masih tegak berdiri bagai tiang lampu
yang baru dipasang, berhampiran ampaian.
“Gitulah Wazif. Bila tiba musim buah, itulah masalahnya. Dah puas menyembah pejabat itu ini. Tak ada tindakan pun! Paling kuatpun, disuruhnya kita
bersabar. Tak apalah Dida. Kalau pak ngah kamu balik nanti...
“Itupun pak ngah, tok empat!” seru Amanda. Pandangan mereka bertumpu ke
arah lorong masuk ke rumah tua itu. Pak
Ngah Talib tersenyum dari jauh dan kemudiannya mengangkat tangan sebaik sahaja
melihat kelibat tok empat dan Wazif.
Berdetak juga di hati kecilnya akan besarnya hajat di hati Wazif
sehingga menjejak Amanda sehingga ke sini.
Tentulah Wazif menjunjung hajat yang
sangat besar hingga sanggup mencemar duli menelusuri jejak seorang gadis
bernama Amanda kalau bukan sebab yang membabitkan keputusan yang penting dalam
hidupnya. Pak Ngah Talib meneka-neka.
No comments:
Post a Comment