..yang bernama sahabat

Monday, 3 June 2013

Amanda Allamanda 15

SEKILAS pandang, Amanda bagaikan bercakap seorang diri.  Lagaknya bersungguh-sungguh.  Kalau kaki mahu diangkat kerana kedua-dua tangan yang menggawang masih belum cukup menyokong fakta, semua mahu dibuatnya. 

            “Mereka nak Dida ikut keputusan mereka, pak ngah.”  Pak Ngah Talib seakan-akan tidak peduli. 


Malahan tidak memandang Amanda untuk membaca gerak bibir anak saudaranya itu seperti selalu.  Dia terus sahaja menghentak kepala yang sudah kering kulitnya itu ke arah cop kelapa yang tercacak tajam menanti.  Tersiat kejam sabut kelapa itu. 
        
    “Wazif pulak ajak Dida kahwin!”  Amanda mendekati Pak Ngah Talib.

 Terkial-kial dia mengumpulkan buah kepala yang sudah diasingkan dengan sabutnya di satu tempat.  Matahari sudah bersedia untuk menuruni tangga petang.  Pak ngahnya itu berhenti sambil mengesat peluh.  Amanda menepuk lembut bahu Pak Ngah Talib. 
Tangan kanannya yang tergenggam sambil ibu jarinya tegak yang bermaksud A di dalam bahasa isyarat diletakkan di atas tapak tangan kiri dan digerakkan ke atas separas dada.  Dia membutuhkan pertolongan Pak Ngah Talibnya.  Lelaki itu cuma menunjukkan isyarat ibu jari ke mulut, dia kehausan. 
        
    Amanda mencapai ranting yang terdampar.  Diheretnya melewati rumput yang hijau melata sehijau kenangan zaman kanak-kanaknya.  Ditolaknya pintu dapur yang hanya separas pinggang.  Bau rumah dan bau alam bergaul mesra menimbulkan perasaan semacam buat Amanda.  Hatinya tersayat sayu.
 
Diletakkannya minuman sejuk di atas pelantar buluh yang bertentangan dengan tangga hadapan rumah.  Kemudian menjerit memanggil Pak Ngah Talib sambil menunjuk ke arah sejag air limau yang sudah disiapkan lama selepas makan tengahari tadi.  Lelaki sedarah sedaging dengan ibunya itu bertenggek di atas tangga buluh yang berkongsi bumbung dengan pelantar buluh tadi.

            “Datin Noor tu baik.  Encik Nine pun baik.  Macam mana pak ngah?”  Amanda bersimpuh sambil menyandarkan diri pada dinding pelantar yang dipilin jarang-jarang itu.

 Pak Ngah Talib merenung anak saudara kesayangannya itu.  Satu-satunya.  Wajahnya yang muram beransur-ansur cemerlang selepas dia menggengam kedua-dua belah tangannya dan digoncangnya seperti yang biasa dilihat ketika kaum Cina mengucapkan tahniah sesama mereka pada pagi Tahun Baru China. 

            “Pak ngah suka?”  tanya Amanda semula sementara senyuman turut melebar di bibirnya.  Pak Ngah Talib menggunakan isyarat tangan bahawa dia hanya gembira tentang Datin Noor, bukan hal Wazif yang disebut Amanda tadi.   Pak Ngah Talib mengusap-usap kepala Amanda. 

            “Dida memang sayangkan Wazif...” Pak Ngah Talib mencuit Amanda dan menggeleng-geleng.  

"Wazif...baik...tapi...belum...tentu...dia...boleh...sayangkan...kamu...kalau...”  Amanda memegang tangan lelaki tua bertubuh sederhana itu. 

Matanya merenung dalam hingga menyinggah di hati tua lelaki itu.  Tidak sanggup dia membenarkan pak ngahnya itu meneruskan pendapatnya.  Dia terlalu melindungi.  Ingin terus melindungi Amanda sebagai menebus kesilapannya satu ketika dahulu. 
  
          “Orang macam kita ni ditakdirkan hidup malang, ya pak ngah.”  Amanda melontarkan pendapat dan pandangan sejauh mungkin. 

Tangan kanannya menggaru-garu siku yang kemerahan-merahan akibat terlalu kerap digaru.  Situasi tangan bersimen membuatkan seluruh rasa miang dan gatal bergelumang di dalam simen putih itu.  Terasa ada semut yang sentiasa menggigit, ada nyamuk yang saban ketika mencucuk kulit walaupun semua itu tidak berlaku.  Wajah Wazif muncul dalam benak.  Senyumannya tenang membiaskan kesabaran yang menjadi milik mutlaknya buat masa ini. 

            Pandangan Amanda menjalar pula menembusi belukar yang masih utuh.  Pucuk meranti dan merbau menjolok di celahan belukar yang dulunya terang benderang kerana di depannya terletak dusun durian.  Pokok-pokok rambutan yang mula pandai berbunga mewarnai lorong dari rumah Pak Ngah Talib ke surau. 

Kampung itu sudah sepi dan tua.  Meski pembangunan menjalar masuk perlahan-lahan, pembangunannya juga melarikan para belianya mencari penghidupan yang lebih baik di bandar.  Temerloh, Jerantut juga pekan-pekan sekitarnya.  Menarik beliawanisnya ke menara gading. 

Surau uzur di tepi sungai yang sering mengganas bila tiba musimnya itu sudah mulai suram.  Rerenek sudah mula merancang-rancang beranak pinak di kaki tiang-tiangnya yang mulai mereput dimamah gerombolan anai-anai.  Lumut-lumut juga sudah tidak malu lagi menumpang binaan bata yang membentuk kolah.  Beduk itupun diketuk pak ngahnya sesekala teringat.

            Deruman enjin motor yang meletup-letup tiba-tiba kedengaran semakin jelas daripada lorong menghala ke surau.  Meski tahu empunya motosikal semput itu, mata kedua-dua mereka belum juga beralih daripada punca bunyi tadi sebagai tanda meraikan kedatangannya. 

Ngah Saadiah memaut erat bahu suaminya sebelum bersusah payah menurunkan jasadnya yang agak gempal itu.  Meluru mendapatkan Amanda, dipeluk dan diciumnya.  Tok Empat Fatah menongkat motosikalnya dan duduk di atas tangga berdekatan dengan Pak Ngah talib. Menolak baik, walaupun dipelawa Pak Ngah Talib naik ke pelantar buluh itu.

            “Biar aku kat bawah ni.  nanti aku naik,” sela Tok Empat Fatah, bertukar senyum dengan Amanda.

            “Kenapa tak terus ke rumah mak ngah?  Risau mak ngah.  Siapa yang hantar balik? Mana kereta Dida?”   soal Mak Ngah Saadiah tanpa berlengah sambil menjengah-jengah di perkarangan rumah.  Mak Ngah Saadiah mendapat gelaran mak ngah kerana statusnya sebagai anak kedua di dalam keluarga dan bukannya kerana berkahwin dengan Tok Empat Fatah.  Panggilan yang kekal semenjak dia gadis lagi. 

            “Dida naik teksi.  Cuti lama. Nak habiskan cuti sakit ni.”
            “Eloklah tu.  Jangan difikirkan sangat.  Yang pergi, tetap pergi.  Kita yang hidup ni kena teruskan.  Malam ni, kita buat kenduri doa selamat kat surau.  Mak ngah dah panggil orang masak-masak kat rumah tu.  Mimi pun ada.”

            “Eh, buat apa susah-susah mak ngah?”  Amanda memandang bapa saudaranya.  Pak Ngah talib juga mengangguk dan kemudiaannya menggeleng dengan maksud bahawa mereka suami isteri tidak perlu bersusah payah untuk Amanda.

            “kita buat kenduri tolak bala.  Lagipun surau tu dah lama tak buat kenduri.  saya jemput iman masjid simpang buat tazkirah lepas maghrib.” Tokok pula Tok Empat Fatah. 

Pak Ngah Talib hanya mengangguk-angguk dengan pandangan berkaca menzahirkan rasa terima kasih tak terhingga kepada ketua kampung yang baik hati itu.  Kepalang gembira mendengarkan suraunya akan menerima tetamu luar yang tentunya membawa sekali rahmat dan keberkatan terhadap majlis ilmu yang akan berlangsung nanti. Pak Ngah talib meminta diri, mengisyaratkan dia mahu menuju ke surau.   Mengemaskan apa yang patut. 

Hanya itu baktinya.  Usianya yang menjelang enam puluhan itu kadang-kadang tidak mengizinkannya untuk menjejak halaman sekalipun apabila semputnya tiba.  Uban yang berceretek di kealanya juga menjadi saksi kepada kealpaan tentang diri sendiri. 


Sudah banyak nikmat untukku ditarik balik.  Getus hati kecil Pak ngah talib.  Tanda-tanda awal malaikatul maut sudah melambai-lambai.  Ibadat perlu digiatkan.  Tiba-tiba dia teringatkan Amanda.  Mengenangkan masa depan gadis itu yang masih kabur. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...