“Tak...sekejap Encik Mahir. Cuba encik baca sekali lagi. Saya rasa encik tersalah baca ni.” bibir Amanda menjadi lurus dan kerutan makin
menggila di dahi.
Tiada sepatahpun perkataan yang tertulis di
atas tiga keping kertas A4 berlipat itu dipercayainya. Datin Noor menyimpul senyum sedang Azri
memandangnya tanpa sebarang reaksi.
“Nama awak Nur Amanda binti Ahmad
kan?” tanya Encik Mahir semula. Amanda mengangguk perlahan-lahan. “Betullah!
Almarhum Zulkarnain sendiri yang jumpa saya minta tambah perenggan dalam
wasiat ini.” Tegas Encik Mahir, menanggalkan kaca matanya.
“Tapi, kenapa pulak saya?” Amanda masih tidak mahu mempercayai dirinya
sendiri.
Wasiat
ini wasiat gila! Wasiatlah wakaf harta
ke, wasiat badal haji ke, atau wasiat apa-apa sahaja harta bendanya kepada
sesiapa sahaja asalkan tidak kait mengait dengan diriku! Jerit hati Amanda. Datin Noor, Encik Azri dan Encik Mahir
bangun, meninggalkan dia terkulat-kulat sendirian.
Oh
Tuhan! Ini tanggungjawab, bukan sesuatu
yang harus diraikan. Mengiringinya satu
bebanan tugas besar yang selayaknya dipanggil amanah. Amanah seorang sahabat, dikira yang pergi
mendadak. Begitu sahaja.
“Amanda,” Amanda menoleh ke arah suara Datin Noor yang
baru sahaja meletakkan beg kertas yang dilihat Amanda tempohari di belakang
meja Zulkarnain.
Menggunakan
kudrat sebelah tangannya, dicubanya juga untuk mengambil isi di dalam kotak
yang diletak elok di dalam beg kertas itu.
Melihat situasi kekok Amanda itu, Datin Noor terus mencapai dan
menghulurkan sebuah iPad yang telah siap berbaju berwarna jingga. ‘Zulkarnain tahu warna kegemaranku.’ Getus
hati Amanda.
Datin
Noor turut membantu menghidupkan gajet itu dan kemudiannya menaip perkataan gmail.
Sekeping surat maya kini merelakan diri menjadi mangsa tatapan mata
rakus kedua-dua mereka. Tetapi, Datin
Noor mengundurkan diri.
Amanda,
Kadang-kadang
saya rasa bersalah kerana selalu membebankan awak dengan kerenah juga dengan
budi bahasa saya yang kadang-kadang keterlaluan.
‘Tahu pun!’
Tapi,
saya tahu awak seorang yang sabar biarpun kadang-kadang saya pula yang hilang
sabar dengan mulut awak yang celupar tu.
Amanda tersenyum tetapi kelopak
matanya sudah digenangi air.
Saya
nak mengingatkan awak sekali lagi.
Berlian Floating Resort adalah segala-galanya buat saya. Kecintaan saya, kemegahan saya selama
menerajui Hashim & Co ini. Saya mahu
awak sudahkan apa yang sudah saya mulakan seandainya saya gagal
menyudahkannya. Saya nak rumah rakit
berciri tradisional saya teroleng-oleng diusik olak Sungai Pahang. Saya mahu ia mampu dihuni oleh sesiapa
juga. Saya mahu kenangan di pinggir
sungai tu terus hidup. Jangan hampakan
saya.
Zulkarnain Hashim
Amanda mengengsotkan sedikit tubuh
dan terus bersandar di sofa. Menerima
bermakna pudaknya bertambah beban.
Menolak sama seperti memuntahkan semula rezeki yang menjolok-jolok di
tekak. Namun, mengabaikan permintaan
Zulkarnain bagaikan mematahkan hati sahabat lama yang terlalu banyak memberi
makna di dalam hidup.
Zulkarnain
menaruh kepercayaan. Semestinya. Jika tidak, apa perlunya meletakkan namanya
sebagai penerus projek Berlian Floating Resort di dalam wasiat. Sudah tentulah Zulkarnain sangat-sangat
mengingini dia untuk menyelesaikan apa sahaja yang tertunggak.
Malam terus beringsut. Dia langsung tidak teringat untuk menghubungi
Noreena setidak-tidaknya untuk mengambil dia pulang. Tadi, disuruhnya mereka pulang dulu. Takkan sanggup temannya itu berpusing semula
untuk mengambilnya.
Pak
Hassan mungkin belum pulih sepenuhnya untuk menjalankan tugasnya sebagai
pemandu. Untuk menghubungi Wazif, tidak
sampai niatnya ke situ. Tentu Wazif
kelelahan biarpun jika diminta, sepantas kilat lelaki itu akan berada di
depannya dan menyiapkan apa sahaja mahunya.
“Encik Azri fikir bagaimana?” Amanda
menatangkan soalan kepada satu-satunya majikannya kini.
Buat
masa ini. Azri ketika itu sudah
menghampiri keretanya yang diparkir tidak jauh daripada garaj kereta milik
keluarga Dato Hashim itu.
“Terpulang pada awak. Tapi, peluang begini bukan selalu
datang. Kalau saya jadi awak, saya tak
lepaskan,” Azri memberikan pendapatnya.
Tidak
jadi meneruskan langkah. Dia berpeluk
tubuh. Menafsir rasa rendah diri yang
terjeluak daripada diri gadis di depannya sekarang.
“Jadi, encik rasa, saya patut
terima?”
“Wajib!” balasnya pendek sebelum enjin keretanya
mengaum membingitkan telinga. Amanda
menghantar kereta itu keluar dari kawasan parkir itu dengan pandangan berkaca.
“Mak cik harap Amanda tak hampakan
mak cik dan arwah,” Datin Noor bersuara
lirih ketika Amanda duduk semula di kerusi batu di luar rumah.
Bintang
di langit bagaikan sirna seolah-olah matahari sedang galak beraksi. Jadual tidur orang-orang di dalam rumah besar
itu bagaikan sudah dilarikan jauh sehingga ke hemisfera barat.
“Tapi, kenapa pula saya. Apa kata isteri Encik Nine nanti.”
“Bekas isteri,” tegas Datin Noor
membetulkan.
Masa sayang, semua suka. Semua cantik.
Bila kebencian melanda, menyebutpun tak sudi! Meliar mata Amanda mencari potret keluarga
Zulkarnain. Ingin melihat seraut wajah
yang dibenci amat oleh Datin Noor ketika ini.
“hmm...bekas isteri?”
“Itu wasiat, Amanda. Pergilah ke mahkamah mana pun, ia tetap sah
dan tiada siapa boleh mencabarnya.
Lagipun, mak cik bukannya muda lagi.
Mak cik dah penat dengan semua ni.
Kalau Amanda rasa masa depan Amanda dah tak terjamin dengan Hashim &
Co, mak cik rela lepaskan Amanda pergi tapi dengan syarat tolonglah habiskan
BFR ni...” rayu Datin Noor.
“Nantilah, saya fikirkan.” Amanda membuat kenyataan sementara. Cuti sakitnya masih terluak. Teringat kepada Pak Ngah Talib. Kesepian kampung menggamit rasa. Esok, akan diajaknya Pak Ngah Talib pulang ke
kampung.
No comments:
Post a Comment