MEREKA
masih lagi di dalam zon serang menyerang pandangan. Tiada sepatah bicara terhambur tetapi mata
bulat milik Amanda menggantikan bibir mengungkap seribu makna terus dari
minda. Masa terasa cepat berlalu saat
rindu hanya mampu diucap melalui kedipan mata dan lirikan-lirikan tajam lelaki
bernama Wazif itu.
“Betul
awak tak marah?” soal Amanda kembali.
Nampak manja walaupun bunyinya bersahaja.
Salju kasih bagaikan menghujani sebuah daerah hati yang tadinya hangat dan
memijar buat Wazif. Ada kalanya, tanda
soalan sebesar sauh kapal bergantungan di ruang kosong di atas kepala
Wazif. Semua ini disengajakan Amanda
atau dia memang begitu. Bila dia membuka
medan perbincangan mempersoalkan masa depan, begitulah sikap Amanda. Acuh tak acuh tapi dalam masa yang sama bijak
memujuk.
“Saya
tak marah. Tapi awak tu, tolong fikir
juga perasaan saya. Kalau dulu, saya
hanya pensyarah, mungkin awak rasa tak mampu nak menanggung awak. Sekarang saya tinggalkan jawatan tu, cari
kerja yang lebih baik. Semata-mata nak
membahagiakan awak!” Wazif merenung nasi
goreng di dalam pinggannya yang luak separuh.
Dalam
kepelbagaian rasa yang mengeliang-ngeliot di dalam perut, nasi itu tetap
memenuhi perasaan laparnya, walaupun seleranya tinggal separuh.
“Saya
bukan nak lari,” Amanda membela diri.
“Kalau
tak lari, apa namanya? Mengelak?”
“Saya...”
“Saya
apa? Tak bersedia?” Rengusan spontan keluar mengiringi
kata-kata.
Ternyata kesabaran sudah
menyamai nipisnya kulit bawang. Wazif
cuba menyembunyikannya dengan menghirup Horlick Ais yang sudah tawar diganggu
ais yang mencair.
“Saya
tak cakap macam tu,”
‘Memanglah
kau tak bercakap sekarang. Esok lusa,
bila ditanya, itulah alasanmu.’ Bicara
beralun-alun menganggu minda Wazif.
“Awak
nak sediakan apa lagi? Fizikal? Saya nampak sihat walafiat. Tanggungjawab? Itu boleh kita bereskan. Yang kurang, kita lebihkan. Yang lebih kita kurangkan. Tolak ansur tu bukankah sebahagian daripada
rencah berumahtangga?” Ekor mata Wazif
bergerak mengintai sekujur tubuh yang meranum dalam sepersalinan blaus
sederhana longgar dan palazo kain lembut warna senada itu. Tudungnya yang tidak menutup sepenuhnya
bahagian depan membuatkan mata nakal Wazif sukar mengalih daripada mencuri
pandang. Menyemarak rasa aneh yang
memerlukan kekuatan dalaman untuk dibendung.
“Wanita
itu bagi aku yang bujang ni sebahagian daripada perhiasan. Cantik.
Tapi wanita cantik yang beriman hanya untuk suaminya aja. Istimewa.
Siap dipesan Allah supaya tutup kecantikan itu untuk orang-orang
tertentu sahaja, mahram maknanya. Kalau
tak salah aku dalam surah An-Nur. Kau
cari sendiri. Kalau aku carikan,
berhabuklah Al Quran kat atas almari tu!”
tukas teman serumahnya ketika mereka duduk-duduk di depan rumah, suatu
petang.
Kesemua
teman serumahnya adalah bujang terlajak.
Sahabat baik sewaktu bekerja atau lebih awal semasa belajar dahulu. Apabila berkumpul topik jodoh yang tidak
sampai-sampai kerap menjadi inti pati perbincangan mereka. Bujang terlajak, biarpun tidak menyakitkan
mata masyarakat sangat, tetap menjadi bahan leteran orang tua sama juga dengan
kesnya anak gadis yang lanjut usia yang masih bersua urat jodohnya.
“Kau
ni, boleh dikirakan memilih wanita cantik yang berimanlah ni?” Wazif mencangkung sambil memberus tayar
kereta bahagian depannya.
“Persoalan
membina keluarga ni bukan tuntutan memenuhi yang satu daripada sembilan tu aja,
kawan. Tanggungjawab tu nanti dipersoal
kat sana esok,” Mazlan mendekat tapi
tidak berbuat apa-apa.
Sekadar berdiri
berhampiran, melihat sahaja Wazif yang bersungguh-sungguh membersihkan tayar
dan mengilatkan sport rim kereta yang dikuatkan dengan besi berpilin itu.
“Iman
tu tak boleh diwariskan. Tapi boleh
dimantapkan, kan. perkahwinan tu juga
proses memantapkan imam.” Wazif
memberikan pendapatnya pula.
“Ya,
kalau wanita pilihan hati kau tu memang mantap iman dan boleh mengukuhkan pula
iman suaminya. Kalau tidak, terbebanlah
di atas bahu kau yang tegap tu nak membimbing dia!” Wazif mengesat peluh yang merenek di
dahi. Mencari makna daripada kata-kata Mazlan
yang mematung bersandar di pagar batu.
“Pendapat
kau macam mana?”
“Siapa? Atau fasal apa?”
“Amanda?”
“Ho...ho...” Mazlan mengangkat kedua-dua tangan dan
menggeleng-geleng kepala.
“Kenapa? Dia teruk sangat ke?”
“Aku
bukan nabi nak menilai orang. Aku
bercakap berdasarkan apa yang aku belajar, bukan pengalaman. Nak menilai orang, lebih-lebih lagi
perempuan, aku belum belajar lagi. Nanti
bila aku dah belajar, aku beritahu kau...”
Mazlan menepuk-nepuk bahu Wazif lembut sebelum meninggalkan Wazif
termangu.
Menjalar ingatannya terhadap perbualan itu
mengenangkan kecantikan fitrah wanita kesayangan di depannya itu.
Amanda
sekadar menunduk. Jemarinya yang dihiasi
cincin bersalut emas putih menyentuh cairan di luar gelas panjang itu. Butir-butir air itu terus pecah dan mengalir
turun.
‘Kau
tak akan mengerti Wazif. Sampai
bila-bilapun kau tak akan mengerti!
Bukan kau yang memegang watak Amanda ini. Bukan kau juga yang merangka skrip untuk
seorang aku bernama Amanda!” Amanda
menggetap giginya. Dia tahu, pertemuan
ini hanya akan berakhir dengan rasa berbuku yang mengambil masa yang lama untuk
dicairkan.
“Kenapa
diam?”
“Tak
ada apa nak dicakapkan. Saya
diamlah,” pantas Amanda menjawab. 'Kalau aku menjawab itu ini, kau pula yang menaikkan ampai kain menyidai muncung!' komplen Amanda. Sayangnya cuma di dalam hati. Wazif memandang ke luar restoran. Kepada papan tanda berwarna biru di seberang
jalan. Kemudian ketawanya pecah.
“Kenapa
ketawakan saya pulak?” soal Amanda, bagaikan terpinga-pinga. Rasanya, tiada dialog setara punch line Maharaja Lawak yang diucapkan sebentar tadi. Ada rasa kurang senang yang mencanak-canak
tiba-tiba.
“Tak
adalah. Awak ni kan...mengujakan. kalau saya serius macam mana pun, mesti
tergelak. Kalau hari-hari macam ni,
cepatlah boroi perut saya ni!” Wazif
ketawa lagi. Reda ketawanya, dia
menyambung “Hujung bulan depan keluarga saya nak datang merisik.”
“Hah?” terbeliak mata Amanda.
Terhenyak
di suatu sudut aneh dan terasing.
Tiba-tiba tubuhnya menjadi ringan dan dia sedang terapung-apung di dalam
satu ruang yang kosong. Di sekelilingnya
sepi dan kosong. Dia seorang diri. Dia menjerit apabila terasa kepalanya
tertonggeng ke bawah tetapi bagai ada tangan yang menyambut dan menjadikan dia
semakin selesa di dalam ruang apungan itu.
“Saya
tak mahu dengar apa-apa alasan lagi...”
Wazif bagaikan memberi amaran.
Lantas bangun meninggalkan Amanda yang terkedu.
No comments:
Post a Comment