..yang bernama sahabat

Thursday, 9 May 2013

Amanda Allamanda 4


AMANDA mengucai-ngucai rambut lurus separas dada.  Tudungnya bersepah di atas lantai di ruang tamu.  Dia bersila di atas sofa.  Telefon bimbit yang ditekan-tekan punatnya dengan kejam, diletakkan semula di atas meja kaca di depan sofa itu. 

            “Eloklah cadangan dia tu...”  Wawa bersuara sambil bersilang kaki. 

Legging biru tua yang disarungnya mencengkam kejap betisnya yang berisi.  Bantal kecil digunakan untuk menutup bahagian peha yang seperti telanjang, walaupun sesama perempuan, tetap tersembul rasa segan dan hormat mengenai aurat di kalangan mereka.  Alat kawalan jauh di tangan Wawa membolehkan dia menukar-nukar rangkaian sesukanya. 

            “Boleh tak kau tolong tutup tv ni?  Daripada kau picit-picit remote tu, tolong picit kepala aku.  Dapat pahala!”  marah Amanda.  Wawa terkebil-kebil dimarahi begitu.  Kaget dengan kata-kata Amanda.  ‘Minta simpati tapi marah-marah!’ rungutnya.

            “Tak kuasalah aku.  Penyakit kau cari sendiri...”  tukas Wawa. 

            “Lagipun tak manis kalau kau orang kerap sangat berjumpa kau tahu tak?”  tiba-tiba suara Noreena kedengaran semakin kuat dari arah dapur.  Dia sedang menatang hidangan minum petang.

            “Sebab tulah, kalau hari cuti...aku suka duduk kat rumah.  Kenyang.  Empat hidangan lengkap tersedia.  Eh, nanti kalau aku kahwin, kau duduk dengan akulah...”  Asweeta tiba-tiba bersuara sebaik bersila di hujung kaki Amanda.  Berlari-lari turun dari bilik sebaik namanya dipanggil oleh Noreena.

            “Duduk dengan kau nak buat apa?”  tanya Wawa.  Noreena dan Amanda berpandangan.

            “Jadi bibik aku.  Kau tahulah sekarang, nak upah bibik dari luar negara sama macam nak suruh suami kahwin satu lagi.  Kosnya lagi mahal daripada  belanja kahwin...”  Asweeta berkata selamba sambil tangannya selaju mungkin menyuap cucur bilis yang comel-comel bentuknya.

            “Kepala...”

            “Aaaa!”  Bicara Amanda yang dapat diduga berupa sumpahan pantas dipotong oleh Noreena.  

Tetapi Asweeta sudah hampir tersungkur di lantai kerana ditunjal kepalanya oleh Amanda.  Mujur tangannya sempat menongkat badan.   Asweeta ketawa.

            “Apalah kau ni.  Mak ayahnya hantar belajar tinggi-tinggi bukannya nak suruh jadi bibik kau!”  Marah Wawa pula.  

Noreena menggeleng-geleng mendengar suara Wawa yang meninggi.  Di antara mereka berempat Wawa dan Amanda memang mempunyai lantun suara soprano.  Emosi yang terlahir bersama lemparan suara itu juga kadang-kadang sukar dimengerti.  Marah atau bergurau waima sekadar bercakap, sama sahaja. 

            “Okey apa.  Tempat tinggal aku sediakan.  Gaji aku bayarkan.  Makan percuma.  KWSP, Socso, aku tambah dengan insuran lagi...nak tak?”  Asweeta memaut lengan Noreena yang bersimpuh di sebelahnya. 

            “Apa kata, kau beritahu suami kau yang tercinta tu, pinang sahaja aku.  Kita bermadu.  Bukan rumah, bukan dapur sahaja aku jaga.  Dengan laki kau sekali aku boleh jaga...”  Noreena menjawab.  Asweeta menarik muka.  Ketawa merebak di ruang tamu kecil rumah sewa lot tengah itu. 

            “Aku tak boleh bayangkan Reena dengan Sweet bermadu...”  Wawa bersuara selepas mengesat air yang muncul di tubir mata.

            “Hari-harilah suami mereka dengar lagu...” tokok Amanda pula, lepas.  Wawa menyambutnya dengan ketawa lagi.

            “Kenapa?  Poligami tu hukum Allah.  Tak ada yang salahnya dalam poligami.  Yang salah orang yang melaksanakan poligami tu.  Kalau dia tak mengikut hukumnya, menganiaya isteri, itu yang jadi salah.”  Kata-kata Noreena membuatkan Amanda dan Wawa mematikan tawa mereka serentak.  Asweeta menutup mulut melihat wajah kedua-dua mereka bagaikan cicak tertelan kapur.

            “Aku setuju dengan pendapat madu aku tu...”  Asweeta bersuara.  Noreena mencerlung.

            “Kau nak sangat bermadu dengan aku?”  tanya Noreena kembali.  Kali ini, kesemua mereka ketawa semula.

            “Diberitahu dalam Surah An-Nisa’ kalau tak mampu berlaku adil, kahwinlah satu sahaja.  Ya Cik Amanda!  Berkahwin itu ibarat menyempurnakan sebahagian daripada agama, kata Nabi.  Apa kau orang ni terima kad kahwin terus tengok peta aja?  Tak baca hadis-hadis, doa yang ada kat kad tu ...?”  Noreena melepaskan kata-kata.  Bagaikan peluru senapang patah.  Satu demi satu. 

            “Aku tengok rekaannya dulu.  Kalau cantik aku simpan!”  jawab Asweeta.  Wawa menepuk dahi.    Jelas Asweeta tidak memahami bicara Noreena yang berkias ibarat. 

            “Aku bukannya tak nak kahwin, Reen...”  Amanda menyandarkan tubuh sepenuhnya pada empuknya sofa.

            “Semakin kau jauh dari perkahwinan, semakin dekat kau dengan perzinaan.”  Noreena bersuara tegas. 

Dia membetulkan anak tudung yang sedikit melorot menampakkan anak-anak rambut.  Amanda mendongak.  Matanya tepat memandang siling.  Kipas putih berbilah lima itu berpusing malas.

            “Kau orang pernah tidur di hotel ke?” soal Asweeta tiba-tiba.  Tumpuan pandangan yang tadinya terarah kepada Amanda kini beralih kepada Asweeta.  Amanda juga begitu.

            “Kau gila?  Kau ingat aku ni apa?”  bulat mata Amanda memandang Asweeta.

            “Habis yang Reen cakap tentang zina tu...?”

            “Eii kau ni.  sebab itu bila hari cuti, bangun awal pagi.  Buka televisyen tengok slot Raudah ke,  buka TV Hijrah ke, biar kepala kau tu berisi sikit dengan hal-hal agama.  Ini tak, tidur melohor!  Bangun-bangun, tahu nak melantak aja!”  Wawa bersuara sambil telunjuknya bagaikan hendak mencucuk kedua-dua biji mata Asweeta.

            “Lepas tu boleh pulak lepas bangun tidur terus menonong keluar rumah.  Basuh kereta.  Dia tak mandi.  Keretanya dah mandi dulu!”  Amanda menambah pula.  

Asweeta tersengih-sengih.  Tiada seulas perkataanpun yang menyangkut di hati menjadikan dia tersinggung.  Sudah terlalu acap dia disindir dan diperli begitu.

            “Sweet, zina tu ada jenisnya.  Ada zina kecil.  Ada zina besar atau zina nyata.  Takkanlah kau orang tak pernah dengar, kalau lelaki dan perempuan berdua-duaan orang ketiganya ialah...”

            “Syaitan...ustazah!”  jawab mereka bertiga hampir serentak.  Tetapi cubitan Noreena hanya sempat singgah di paha Wawa yang bersila bersebelahannya. 

            “Reen, Wawa...kau orang tak pernah dating ke?”  tiba-tiba suara Amanda meninggi.  Dirasakan kesemua tazkirah petang itu menghunjam kepada dirinya sahaja.
            
“Aku nak mengingatkan diri aku juga.  Kita ni, kalau tak selalu diberi peringatan, mudah lupa.”  Noreena bersuara lembut.  Mengimbangi rasa kurang enak yang tumbuh di hati dengan sergahan Amanda tadi.

            “Dalam ingat-ingat tu pun boleh lupa jugak!”  tukas Wawa pula.

            “Eh, dahlah.  Takkan pasal ni, kau orang nak bertekak pulak.  Baik kita makan cucur ni, lagi sedap!”  Asweeta cuba meredakan keadaan. 

Tetapi letus hati Amanda sudah tidak dapat diredakan.  Bangun dan berlari mendaki tangga.  Seterusnya mendentumkan pintu bilik membawa bersama gegaran sehingga terasa ke seluruh rumah juga membawa ke dalam hati-hati mereka.  Wawa menjuihkan bibirnya.  Asweeta menjongketkan bahu.  Noreena sekadar menelan liur berperasa teh, matanya memandang ke arah tangga.  Bukan semua kata-kata lembut boleh menyejukkan hati.  Ada juga yang menjadi sebaliknya.
                

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...