KUCING BERANAK
www.geschool.net |
“NAMA-nama yang saya panggil ni,
naik ke atas sini…” suara Kak Maimunah
kedengaran lantang.
Exco-exco
lain berkumpul di satu sudut berhampiran tangga bilik kecemasan. Wajah
masing-masing begitu serius, mengecutkan setiap inci perut kami yang
memandangnya. Kami masih
tertanya-tanya.
“Ismawati Ismail!!” suara Kak Aleeya mengambil tempat setelah
jeritan Kak Maimunah tidak disahut dengan pergerakan sesiapa.
“Tengah mandi…” aku menjawab tetapi menurunkan sedikit
badanku.
“Dorm
mana?”
“F5.”
“Siapa
ketua dorm?” suara Kak Aleeya
melengking. Lily mengangkat tangan. Tinggi sedikit sahaja dari atas kepala.
“Angkatlah
tinggi sikit. Harap badan aja
besar!” sindir Kak Aleeya. Wajah Lily memerah. Tangannya lurus di udara.
“Awak
ingat kami lantik awak jadi ketua dorm fasal apa? Fasal nak glamour?”
Panas
matahari selepas Zohor itu begitu menderakan.
Tetapi lebih terdera jiwa dengan tengking dan marah para senior. Aku lihat Lily tunduk. Kemudian terdengar esak kecil. Teman di sebelahnya menggosok-gosok
belakangnya. Lagilah laju air matanya
turun.
“Pergi panggil dia turun! Sekarang,”
Adoi!
Isma. Aku menepuk dahi. Aku cuma teringatkan dia ketika sudah sampai
ke mata tangga yang paling bawah. Ketika
itu Senior Gloria sudah menempik-nempik supaya kami cepat.
“Saya
nak ingatkan sekali lagi. Awak semua dah
berada di asrama. Asrama. Bukan rumah.
Asrama ada peraturannya. Sebelum
pergi sekolah cadar kena tegangkan.
Licin. Bantal di tempatnya. Selimut letak bawah bantal. Tapi, ada beberapa katil yang saya jumpa
macam katil kucing beranak!!!” Senior
Haslina pula mengambil tempat. Wah, hari
kedua ini adalah hari untuk semua senior bertempik-tempik, getus hatiku.
“Jangan
ingat, kami semua senior kuli batak awak semua nak tolong kemas!”
Kak
Aleeya menekan idgham pada perkataan batak itu.
Ada yang tunduk tersenyum mendengarnya.
Ada yang
mengalirkan air mata.
“Dah
kita tak tahu, bagi tahu…nak marah buat apa?”
bisik Shufarina di telingaku.
Kami, angkatan pelajar perempuan yang berketinggian menjolok langit,
terpaksalah berdiri di barisan belakang.
Malangnya, ketinggian ini memberi kelebihan kepada senior di depan untuk
melihat perlakuan kami.
“Ttu
bisik apa? …ha…dah turunpun!” aku dan
Shufarina mengurut dada. Kedatangan
Ismawati yang masih basah rambutnya menyelamatkan keadaan. Bahu dan leher baju t nya juga basah dek sisa
air daripada rambutnya yang belum kering sepenuhnya. Wajah selambanya membuatkan aku
menggeleng-gelengkan kepala. Isma,
Isma. Dia sempat melambai kepadaku
ketika kami bertentangan mata. Memang
dia betul-betul selamba.
“Tengok
tu, macam ratu cantik. Dia tak tahu
nasib dia di tangan Kak Leeya tu…” kata
Shufarina lagi. Aku sendiri tidak tahu
sama ada mahu menangis atau ketawa mengenangkan temanku yang seorang ini.
*****
Malam
itu, malam Jumaat. Semua penghuni
diwajibkan membaca Yassin selepas Maghrib di surau aspuri. Sumpah. Aku membaca Al Quran seperti rangkakan
kura-kura. Malah, kura-kurapun boleh
terguling pengsan menunggu aku menghabiskan satu surah tersebut.
Ajaibnya,
setelah dua tahun, Surah Yassin kini bermain di bibir. Aku boleh membacanya tanpa merujuk kepada
kitab kecil di tangannya. Cuma, tugasku
sekarang membaiki mutu bacaan dan membetulkan tajwid serta memahami
maknanya.
Orientasi
di aspuri, sekolah ini biasa-biasa bagiku.
Bukanlah seperti cerita-cerita yang pernah aku baca sebelum ini. Aku kira, selepas orientasi dan selepas semua
senior dan junior bermaafan, ia akan bertukar menjadi kenangan manis
bersama. Pengalaman nyaman untuk
dikenang seumur hidup.
Malam
minggu, malam penutup. Selepas makan
malam yang luar biasa lauk-pauknya dan selepas ucap-ucapan yang tidak aku
fahami biji butirnya, kami pun bergerak dalam kumpulan menuju ke dewan
sekolah. Masing-masing berwajah ceria
dengan harapan, tiada lagi tempik jerit senior selepas ini. Mengharapkan huru-hara berkejar-kejaran
dengan siren berakhir dengan bergaya.
“Eh,
kau tau tak Tila. Masa aku naik atas
foyer tu, jantung aku macam nak luruh,”
cerita Isma mengimbas kembali insiden dia ‘ditangkap basah’ ketika mandi itu.
“Ya
kah? Aku tengok kau macam tak ada apa-apa. Siap lambai-lambai lagi kat aku,” kataku.
Tindakannya ketika itu tidak melambangkan perasaannya ketika itu.
“Aku
nak cover malu…” lambakan ketawa dari ulas bibirnya
kedengaran.
Kami sama-sama meneruskan langkah. Malam ini, malam akhir seksa dunia di sekolah
ini. Kami memakai baju terbaik yang kami
ada. Tiada dres labuh atau baju
berlabuci, berjemeki penuh. Jika
istimewa sedikitpun, hanyalah tudung bermanik-manik penuh di atas kepala. Setiap kelas diwajibkan menghantar wakil
untuk membuat persembahan.
Kelas
kami tidak terkecuali. Di dalam kelam
kabut, kami hanya mampu menyajikan taridra Ulik Mayang menggunakan tenaga empat
orang pelajar lelaki sekelas. Itu sahaja
teman sekelas lelaki yang kami ada.
takkanlah nak meminjam pelajar lelaki kelas Kimpalan pulak. nanti apa kata mereka!
Persembahan
dimulakan dengan pelajar kelas ATF yang membawa band mereka sendiri. Lengkap.
Penyanyi utamanya, seorang pelajar berwajah kecinaan berbadan sederhana. Lagu yang dibawakannya, lagu Gersang. Masih Aku Terasa.
*****
MASIH
Aku Terasa? Aku yang menjadi pemain gitar ketika itu. Malah, iramanya masih bergetar di hujung
jariku ini. Aku sungguh-sungguh tidak
keruan ketika ini. Mahu sahaja aku
terbang semula ke sekolah itu mendapatkan pelajar perempuan itu. menggegarkan bahunya meminta dia memberitahu,
siapa pemilik diari ini sebenarnya.
“Oi…aku
dah tahu siapalah!” suara Shaani
kedengaran tidak bersemangat. Aku baru
sahaja membuka pintu kereta, sambil mengarahkan pemanduku kembali ke sekolah
itu.
“Siapa?”
“Kau
ingat budak Kelab Drama tu tak?”
“A’ah,
yang mana satu?”
“Yang
kau suruh aku bagi surat
kat dia dulu…”
“Atila?” aku teringatkan sepasang mata itu. Aku terdengar-dengar suaranya. Aku melihatnya dengan jelas sekarang.
No comments:
Post a Comment