kredit: www.walcoo.net |
AMANDA
menyanyi-nyanyi kecil. Setelah merasa
puas menatap wajah dan gaya
sendiri di dalam cermin, dia keluar dari bilik.
Terus mencapai kasut di rak berhampiran pintu masuk. Aksi Farah Fauzana dan Neelofa yang
menghidangkan bahan-bahan untuk minda wanitanya terus menggemai sekitar rumah
sewaan mereka.
“Hai…lawanya kau. Ada acara penting ke petang ni?” Pujian Ramona Azwa bersulam soalan.
Dia menoleh sekilas setelah terhidu aroma
segar pewangi import itu.
Kemudian
kembali kepada kaca televisyen. Amanda
membetulkan duduk tudung separuh bulatan rekaan terkini yang berwarna ungu
itu.
“Nak ke mana kau ni
sebenarnya?” tanya rakan serumahnya lagi
setelah aroma romantis itu dirasakan telah disemburkan separuh botol ke batang
tubuhnya. Terlalu kuat menyucuk
pembauan.
“Jalan-jalan, cari fasal.” Amanda bersuara sambil tersenyum.
Sambil
itu memeriksa barang-barang di dalam beg tangannya. Telefon bimbit di beleknya seketika. Manalah tahu, ada panggilan yang tidak
didengarinya. Penasaran dibuatnya mengenangkan
pertemuan ini. Berada di ambang pintu,
dia menyarungkan sepatu baji yang menambah anggun gaya muslimah kontemporarinya
itu.
“Dida…jangan balik lambat. Ingat mak abah kau!” Amanda berpaling.
Memburu
empunya suara yang muncul dari arah pintu dapur. Noreena tersenyum menampakkan lesung pipitnya
yang dalam. Amanda tahu, peringatan itu
ikhlas biarpun berbau sinis. Dia mengangkat
ibu jari yang digabungkan dengan jari telunjuk berbentuk bulat bermakna ok.
“Kau tak memandu?” tanya Noreena apabila dilihatnya Amanda
berjalan laju menuju ke pintu pagar.
“Tak. Malaslah.”
Jawab Amand sedikit melaung sebaik sahaja merapatkan pintu pagar besi
dan menyangkutkan selaknya.
Hatinya
berbunga ceria. Senyum mengiringi
langkah-langkah yang diatur. Tidak
sampai seratus ela, bunyi hon menyinggah pendengaran diikuti dengan sebuah
kereta yang membrek agak terburu-buru di seberang jalan.
“Kan saya kata saya jemput di depan
rumah. Kenapa pula awak berjalan
kaki?” tanya pemandu kereta
tersebut. Amanda hanya tersenyum. Mendengar suara lelaki itu secara langsung
membuatkan hatinya melompat kegirangan.
“Sengaja. Lagipun saya seganlah…” Amanda menghenyak diri di kusyen sebelah
pemandu.
“Segan…? Dah nak tidur sebilikpun awak masih
segan?” usik lelaki yang sudah lama
bertakhta di hatinya itu.
Lelaki
itu membiarkan enjin kereta menyanyi lagu sumbang. Sementara dia sendiri menyangkutkan sikunya
pada stereng dan mengerengkan tubuh menatap wajah yang dirindunya siang dan
malam. Biarpun kerinduan itu ditampung
dengan kecanggihan teknologi yang menghubungkan mereka siang dan malam. Terlalu berbeza apabila si gadis pujaan
muncul secara badaniah di depannya.
“Segan pada kawan-kawanlah.” Amanda membetulkan.
Minit-minit
yang berlalu terus mengusik debar di hati Amanda. Begitulah perasaannya setiap kali bertentang
mata dengan lelaki itu. Pertemuan demi
pertemuan terukir bagai satu kemestian yang meneguhkan kasih mereka.
“Siapa? Wawa, Rena atau Sweet?” Wazif meneka.
Satu persatu nama bekas pelajarnya yang boleh tahan nakalnya itu meniti
di bibirnya.
“semua sekali.” Amanda tersenyum mengenangkan teman-
teman
serumahnya itu.
Dahulunya
teman berkongsi lantai di asrama pada zaman pengajian. Bilik yang berbeza tetapi kebiasaannya mereka
akan berkumpul di bilik yang dikongsi oleh Amanda dan Wawa. Yang bertanya, terus bertanya itu dan ini
bagaikan dirinya pesalah ISA. Yang
berpesan, bergantang-gantang pesanan terhambur sehingga tidak tertadah oleh
pendengaran.
“Bila kita kahwin nanti, tinggallah
mereka bertiga kan…tentu mereka sunyi.”
Puas
menatap wajah adiratna hati, Wazif membetulkan duduknya menghadap ke
depan. Tetapi tiada tanda-tanda yang
kereta itu akan bergerak. Dia
melentukkan kepalanya ke atas stereng.
“Sunyi? Entah-entah mereka suka. Silap haribulan buat kenduri empat puluh hari
empat puluh malam…” Amanda ketawa
sendiri.
Rumah
teres dua tingkat dua bilik itu tergambar di ruang mata. Rumah itu tidak sunyi dengan gelak
ketawa. Tidak sunyi juga dengan gaduh
manja ataupun selisih faham mahupun bermasam muka. Bila tiba hari raya, semua orang akan bermuka
manis. Gelak tawa akan mengisi setiap
ruang. Sehingga kadang-kadang si bujang
sebelah rumah menjenguk di tepi pagar.
Gusar dengan keriangan yang tak menentu itu.
Apabila tiba musim tengkujuh atau
tiba-tiba tsunami disebabkan oleh hormon yang tidak stabil atau migrain yang
menjengah tanpa salam, rumah itu akan senyap sunyi seperti dikeronyok geruda.
“Bila awak nak kahwin dengan saya
ni?” tanya Wazif dengan suara yang sengaja
dilembutkan dan sedikit romantis.
Matanya
dikuyukan dan memanah tepat iris Amanda.
Senyum menggoda melingkar di bibirnya.
Bergetar hati gadis Amanda mendengar pertanyaan itu. Bukan sekali dua. Sudah acap kali berdendang di telinganya.
“Encik Wazif. Kita nak bertapa dalam kereta ni aja
kah?” Amanda pura-pura bertanya sambil
buat-buat menoleh kea rah kenderaan yang lalu-lalang.
“Jangan nak tukar topik kali ni,
Amanda.” Suara Wazif masih romantik
tetapi nadanya sudah menggetarkan aroma ketegasan. Bibir Amanda membuarkan sebuah keluhan.
“It’s almost five years,
sayang…” Wazif meraih jemari Amanda.
Cepat-cepat
Amanda menarik tangannya. Perbuatan itu
sebenarnya mendera perasaan dan sentuhan itu sebenarnya menakutkan
dirinya. Rayuan beserta tindakan spontan
Wazif itu bagi Amanda merupakan perintah dan bukannya permintaan. Untuk masa sekarang, dia masih selesa untuk
tidak diperintah oleh sesiapa.
“Wazif…saya minta maaf!” Amanda sudahpun membuka pintu kereta.
Lemas dalam
persoalan menamatkan hala tuju sebuah hubungan biarpun pendingin hawa kereta
menyerbu mengeringkan kulit wajah.
“Hey, Amanda. Okey.
Maaf. Saya minta maaf. Saya tak akan paksa awak lagi. Jom…” Wazif cepat-cepat keluar dari kereta. Kalau boleh dia mahu melompat melintasi
kereta buatan tempatan itu seperti gimnas palang di Olimpik.
Mendapatkan
Amanda yang bersandar di tepi kereta.
Tidak mahu aksi mereka menarik perhatian lalu lalang di situ. Nanti, angin tiada, rebut tiada, wajah mereka
terpapar di dalam drama tak berpengarah di dalam Youtube. Alaf baru, semuanya boleh dirakam dan
didramakan mengikut kehendak perakam dan dikomen sesukanya menurut kehendak
penontonnya.
“Kita pergi ke satu tempat
istimewa.” Wazif menyeluk saku seluar
slacknya.
Kali
ini, dia tidak berani waima mencuit gadis itu sekalipun. Hanya berdiri bersebelahan dan menghirup
aroma minyak wangi yang sinonim dengan gadis itu. Ternyata Amanda gadis yang sangat setia. Haruman itu dipakai Amanda semenjak zaman
pengajian. Kerinduannya kebah saat
terbau haruman itu melintasi hidung walaupun sekejap cuma.
“Ke mana?” Soalan yang terpacul daripada bibir tercalit
warna pastel itu melegakannya.
Setidak-tidaknya
rajuk Amanda sudah beransur hilang.
Lebih-lebih lagi, dia sendiri berpaling dan terus masuk semula ke dalam
kereta.
“Yes!” Wazif menggenggam tangan dan menyigung
angin.
Cepat-cepat
menempatkan diri di tempat pemandu. Buat
masa ini, dia berjanji pada dirinya untuk tidak mengungkit persoalan kahwin
itu. Biarpun sebenarnya itulah perkara
utama yang ingin dibincangkan dengan gadis itu.
Sudahlah pertemuan berlangsung hanya sebulan sekali.
Amanda terus mendiamkan diri. Nubarinya menjerit-jerit. Memohon simpati agar dia memberikan ruang dan
kesempatan kepada Wazif. Wazif sudah
menghabiskan sepenggal pemerintahan kerajaan, lima tahun menunggunya. Jika mereka berkahwin dan dikurniakan zuriat,
si kecil itu sudahpun pandai melambai di depan pintu pagar mengucapkan salam
sejahtera tanda selamat jalan buat mereka berdua.
Wazif
terlalu ingin memiliki Amanda secara mutlak dan sepenuh jiwa dan raga. Dia ingin ikatan syarak menghalalkan
pemilikan itu. Satu-satu caranya ialah
melafazkan ijab dan qabul. Dia ingin
membahagiakan hati bonda yang sering bertanya dalam setiap usapan lembut di
kepalanya. Ibu tua yang tidak pernah
mempersoalkan tentang status bujangnya tetapi dia tahu, ibunya tidak pernah
letah mendoakan agar mereka disatukan.
Tetapi,
buat masa ini, itulah perkara yang paling sukar dan sering dielak oleh
Amanda. Biarpun hati sering digaru
persoalan, tidak berganjak walau sekuku jari kasihnya terhadap gadis beralis
panjang itu. Wazif tidak pernah
memadamkan harapan itu. Harapan untuk
bersama susah dan senang melayari bahtera rumah tangga.
No comments:
Post a Comment