..yang bernama sahabat

Friday, 10 May 2013

Amanda Allamanda 5


AMANDA kegelisahan di pembaringan.  Sesekala berpaling ke kanan, bantal golek bersarung warna merah jambu dipeluknya.  Sesekali berpaling ke kiri, dicapainya bantal dan menutup telinga.  Cuba dihindarnya bunyi riuh rendah, gempita di tingkat bawah.  Ketawa Noreena, Asweeta dan Wawa bersahut-sahut.  Pasti ada yang menggelikan hati terpancar keluar daripada skrin rata yang tertempek di dinding rumah mereka itu. 

Dia ingin menikmati sama keriuhan itu.  Tapi, kesebakan pula yang mengalir keluar. Dia menelentang pula.  Kata-kata terakhir Wazif tadi tiba-tiba mengetuk gegendang telinga.
            “Saya tak nak dengar apa-apa alasan lagi, kali ni...”  Amanda memejamkan mata.  
Cuba ditutupnya kejap-kejap bagi menghindar ingatan itu menerobos masuk.  Puas menelentang, dia meniarap pula.  Gambar di dalam bingkai kayu berukir di atas meja bersebelahan katilnya itu dicapai.  Ada riak gembira dan puas pada senyuman Wazif.  Apatah lagi dia sendiri, tersenyum di sisi Wazif dengan gulungan sijil di tangan.  Jemarinya menyentuh kaca yang membatasi gambar Wazif itu.  Seakan dia mengusap wajah lelaki itu.  Terlalu dirinduinya siang dan malam tetapi kerinduan itu hanya setakat di situ.  Amanda tidak terusik dengan permintaan untuk menamatkan permainan rindu itu.
            Amanda meletakkan semula bingkai gambar tersebut.  Bersebelahan dengan sebuah lagi bingkai putih umpama kristal yang memaparkan wajah Asweeta dan tunangannya.  Seorang model kegilaan ramai yang menggetarkan hati ramai wanita tatkala memandang seraut wajahnya.
            “Model seluar dalam!”  marah Asweeta kalau dipuji berkenaan tunangnya.
            “Kau cemburu...” Usik Amanda.
            “Mahunya tidak.  Dia ingat aku suka sangatlah.  Hari-hari keluar berita dia kat surat khabar.  Kalau berita dapat datuk ke, dapat tender ke, best jugak.  Ini tak.  Gosip dengan artis tu, berpegang tangan dengan artis ni.  Kalau tak kenangkan dia tu teman berkubang kat paya masa kecil dulu, memang tak kuasa aku nak menunggu...”  leter Asweeta. 
            “Kita bukannya tahu hati dia.  Dalam sibuk-sibuk dia digosip tu, aku tengok dia ada masa untuk kau.  Itu tandanya dia sayangkan kau!”
             “Ya...sayanglah sangat!”  sela Asweeta menarik muncungnya.  Amanda tersenyum seorang diri.  Asweeta memang lurus bendul tapi sahabat yang baik walaupun adakalanya mulutnya seperti bertih digoreng bersama cili api. 
            “Hah! Sakit apa.  Tersenyum sorang-sorang.”  Asweeta menyergah sambil menepuk daging belakang tubuh yang pejal milik Amanda. 
Amanda membalikkan badan sambil membetulkan seluar palazo yang terselak sehingga ke paras lutut.  Asweeta juga membantu sama dan terus melabuhkan punggung di birai katil.  Amanda menarik bantalnya dan bersandar di kepala katil.  Sebiji lagi diletakkan di atas ribaan.
            “Bila kau masuk?”  tanya Amanda.  Membetulkan ikatan rambutnya yang longgar.
            “Jauh benar kau berangan. Sampai aku yang begini besarpun kau tak nampak!”  Tempelak Asweeta memandang wajah dan diri temannya itu yang kusut masai.  Seperti baru dikejar beruang! 
            “Selalunya, lepas balik jumpa Wazif, kau tak macam ni.”
            “Entahlah, Sweet.”  Amanda meletuskan keluhan.  Bantal di atas ribanya dihempaskan ke tepi.  Dia bangun menuju ke meja solek, menyisir rambutnya semula.  Membelakangkan Asweeta.
            “Fasal tadi ke?  Fasal Wazif ajak kau kahwin?  Apa yang susahnya.  Kahwin ajelah.  Aku tak nampak ada masalah antara kau dengan dia.  Melainkan kau lesbian dan dia gay...”
            “Oi!”  Amanda berpaling sambil menjerit kecil. 
Terpamer barisan gigi Asweeta yang menebar tawa.  Amanda memandang teman sebilik yang berambut keriting itu.  ‘Tidak dapat hendak aku buarkan keruh yang bergelodak di hati ini, Asweeta!’
            “Beritahulah.  Kalau kau tak beritahu, macam mana kami semua nak tolong.  Kucing, kalau tak mengiau, kita tak tahu dia lapar.  Kecuali kalau kucing jantan.  Memang nak kena penyepak dengan aku.  Nak buat kaki aku jadi penanda wilayah dia pulak!”  kata-kata Asweeta membuatkan Amanda tergelak.  Peristiwa Asweeta dikencing kucing jantan milik jiran Cina di sebelah kanan rumah mereka terus menjadi ingatan dan bahan ungkitan yang melucukan.
            “Dia ingat kau batang pokok.  Tak pun rangka tengkorak untuk eksperimen kat makmal!”  sahut Amanda mengenangkan betapa kurusnya temannya itu.  
            “Amboi...mulut.  Mulut kau tu baru cover P.A. aje...ya.  Belum insurans-insuran lain,”  Asweeta mengingatkan menyebabkan Amanda menyambung ketawanya.  Hilang seketika dukanya mengenangkan Wazif. 
            “Sweet, tunang kau telefon ni.  Lain kali handphone gayut kat leher.  Menyusahkan aku aja!”  Jeritan Wawa kedengaran dari tingkat bawah.  Asweeta berlari-lari anak.  Berbahagialah kau, Sweet.  Ucap Amanda di dalam hati.  Amanda berpaling menyerah diri kepada cermin besar di depannya itu.  Disifirnya setiap sudut fizikal diri.  Betul kata Wazif, dari segi fizikal, dia memang kelihatan sihat walafiat.
            Kalau dibandingkan paras rupa, meski sederhana tetap tak kalah jika diletakkan beradu dengan teman-teman lain.  Matanya bulat besar dengan alis panjang.   Hidung mancung dengan titikan tahi lalat di kelopak hidung kanan.  Diapit pula dengan sebiji lagi di sebelah kirinya.  Berkulit kuning langsat dengan bibir melayu yang tetap menarik apatah lagi dicalit dengan pelbagai warna.   Senyumnya terkadang menampakkan sepasang taring tanpa sedar.  Sepasang tarikan yang membenamkan rasa cinta yang mendalam di hati Wazif.  ‘Tiada kekurangan pada diriku.’  Amanda berkata sendiri.
            Tetapi, kenapa harus segala-galanya diakhiri dengan perkahwinan?  Perkahwinan itu impian semua orangkah?  Bahagia itu impian semua orang.  Itu pasti.  Namun kebahagian tidak sahaja datang dengan perkahwinan.  Dia sudah cukup bahagia sekarang.  Tetapi permintaan ‘berkahwin’ yang keluar dari ulas bibir Wazif bagai meragut bahagia miliknya.  Menjadikan ketenteraman jiwanya berkepak terbang pergi berkawan-kawan. 
            Usah dibangkang dengan pelbagai hujah.  Lelaki itu akan menang juga.  Dibukanya hadis, dibacakan petikan Al Quran, disertakan dengan kajian pakar sains yang entah dari mana dikutipnya.  Awal-awal lagi dia mengangkat bendera putih.  Ribut taufan terus melanda pantai hati.  Terasa dia sendiri berdiri kaku sambil menguis pepasir tetapi tidak mampu berlari pergi meninggalkan keributan itu.  Ketika fikirannya merayau entah ke pantai mana, dia terlelap dalam detak nafas gemuruh menanti esok.  Saat kantuk hampir dibawa belayar, dia mengharapkan mimpi indah.  Dipimpin pergi seorang kekasih yang mencintainya sepenuh hati tanpa kompromi.  Tidak memaksa dan menerima dirinya seadanya. 
“Dida...” 
“Dida...” 
Amanda mendengar namanya dipanggil.  Sayup-sayup.  Suara itu pula lebih kepada merintih seakan sedang dibaluti kesakitan yang amat sangat.  Panggilan itu bukan berbaur cinta.  Lebih kepada satu perasaan yang sukar dimengertikan Amanda. 
Amanda tidak cuba untuk bangun atau setidak-tidaknya mengejutkan rohnya untuk mencari suara itu.  Dibiarkan sahaja.  Keletihan lebih bernafsu memeluknya kini.  Dibiarkan sahaja panggilan bernada pilu itu. 
Esok yang belum menjanjikan apa-apa buat dirinya.  Sedangkan Wazif menganggap dia sudah berjanji untuk memberikan esok yang pasti buat dirinya.  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...