..yang bernama sahabat

Saturday, 11 May 2013

Ikut Kata Hati: Biar Orang Cina Pimpin Islam


Jika diukur dari segi tajuknya, buku ini boleh mengundang pelbagai polemik dan perbahasan yang tidak berpenghujung.  Terutama sekali di saat demam pasca pilihanraya masih belum kebah.  Ditambah pula sana sini sibuk membincangkan isu Tsunami Cina yang tiba-tiba membadai PRU13 tanpa diduga. 


Buku tulisan Ann Wan Seng ini sebenarnya mendahului masa.  Dalam hati saya berkata, sepatutnya buku ini menjadi bahan bacaan wajib sewaktu proses kempen sedang galak berlangsung tempohari. 
Hj Ann Wan Seng adalah penolong setiausaha PERKIM dan setiausaha agong MACMA (Persatuan Cina Muslim Malaysia). 

Buku setebal 130 muka surat ini dibahagikan kepada 28 bab yang memperincikan setiap perkara yang berkaitan dengan orang Cina.  Pandangan mereka terhadap agama Islam, terhadap Melayu, persoalan etnosentrik, persoalan monopoli, sejarah, dan cadangan-cadangan bagi para daie mendekati kaum Cina untuk menyampaikan wasilah Islamiyah seperti yang pernah dilakukan oleh Saad bin Abi Waqqas, ribuan tahun lampau.

                Sejujurnya, terlalu banyak perkara mengenai orang Cina yang tidak saya ketahui walaupun sudah bergaul dengan mereka lebih dua puluh tahun.  Satu persoalan yang terjawab setelah sekian lama ialah kenapa orang Cina agak ‘takut’ ahli keluarganya memeluk Islam berbanding menukar/memilih anutan kepada agama lain.
                Hj Ann menjelaskan panjang lebar mengenai isu ini.  Di antaranya ialah kerana anggapan yang menjadi dogma bahawa jika masuk Islam bermakna masuk Melayu.  Harus menukar nama, harus membuang keluarga, harus bertukar menjadi Melayu sedangkan kaum Cina terlalu kukuh memegang jati diri bangsanya.  Kaum Cina bersikap etnosentrik, iaitu sangat mengutamakan kelestarian tradisi turun-temurun dan nasab keturunan melebihi segala perkara yang lain. 

                Berbanding dengan bertukar ke agama lain yang membenarkan penganutnya tidak perlu ‘bersalin kulit’ seperti yang difahami mereka.  Padahal, Islam tidak pernah mewajibkan seseorang non-Muslim apabila masuk Islam harus menukar namanya dan dibinkan kepada Abdullah dan menghilangkan terus nama pangkal (buat orang Cina).  Perbuatan ini menyebabkan mereka menjadi takut dengan nasib nasab mereka terutama apabila anak lelaki di kalangan mereka memeluk Islam.

 Padahal, kesemuanya itu adalah kesalahfahaman yang berpunca daripada Muslim Melayu sendiri.  Bukan sahaja orang Cina, kadang-kadang orang Melayu sendiri keliru dengan keakuran masyarakat kepada adat melebihi kepatuhan kepada agama. 

                Walhal, menurut Hj Ann, masyarakat Cina adalah masyarakat yang mudah didekati Islam kerana mereka tidak mempunyai ketuhanan yang jelas di dalam kepercayaan mereka.  Beliau menulis

 ‘ Orang Cina sebenarnya tidak mempunyai konsep ketuhanan yang jelas dalam kepercayaan mereka.  Berbeza dengan agama Islam yang buka sahaja berpegang kepada konsep tauhid iaitu kepercayaan hanya kepada tuhan yang satu, malah satu cara hidup yang lengkap dan merangkumi seluruh ruang aspek kehidupan.  Berbeza dengan kepercayaan orang Cina yang bercampur baur antara satu kepercayaan dengan kepercayaan yang lain sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penganutnya.   

                Saya kira, buku ini sangat baik untuk dibaca oleh sesiapa sahaja, tidak kira apapun keturunan anda.  Jika konsep 1Malaysia hendak diaplikasi, ia haruslah dimulakan dengan mengenali kaum-kaum lain secara mendalam agar segala prejudis, stigma dan dogma terhapus seperti baiah kaum Yahudi yang bernaung di bawah panji-panji Islam ketika di Madinah. 

Saya akhiri dengan memetik sebuah lagi perenggan yang saya kira harus difikirkan oleh kita semua,

‘Orang Cina biasanya tidak menunjukkan sikap secara terbuka tetapi memberikan respon apabila tiba keadaan yang sesuai untuk mereka berbuat demikian.  Politik dan pemikiran orang Cina susah dibaca tetapi tidak susah untuk dijangka dan diramalkan.  Orang Cina bukan sahaja kritikal tetapi juga berani melakukan perubahan dan pembaharuan.’

Wallah hu alam

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...