..yang bernama sahabat

Wednesday, 1 May 2013

Embun Vokey : Kerang Busuk tak Laku

shw.fotopages.com

 BUSUK TAK LAKU


“S
EKEJAP saja…”  aku menekan suara ketika matanya berkejip enggan ketika aku nyatakan keinginan untuk bercakap dengannya.  Kru-kru drama pentas yang sedang berehat memerhati sahaja.  Bersidaian di birai pentas.  Latihan drama itu diadakan setiap malam sehinggalah ke hari pertandingan drama peringkat negeri berlangsung.
           
Aku berada di balik pintu dewan melihat dia berlatih drama.  Aku tidak menafikan keunggulannya sebagai pelakon di atas pentas sana.  Biarpun sekadar drama pentas untuk anak sekolah, bakat yang ada padanya mengagumkan. 
           
“Apa semua ni?”  aku menyeluk saku seluar.

 Perkarangan tepi dewan ini terang benderang.  Malahan kelibat kami juga boleh dilihat oleh sesiapa yang berada di dalam dewan dengan jelas.  Mukanya terangkat seakan tidak percaya ataupun tidak faham dengan soalanku. Diam membisu.
           
“Eh, awak faham tak dengan soalan saya ni?”  tanyaku sedikit geram melihat gelagatnya yang endah tak endah dengan soalanku.

            “Kenapa awak tanya macam tu?”  barulah terkeluar ulas kata dari bibirnya.  Mungil.

            “Saya nak tahu, kenapa awak pergi ujibakat Kelab Drama ni tanpa pengetahuan saya?”  mendengar soalanku, dia tersenyum senget.     Menambah sakit hatiku.  Aku, lalu menyambung   “saya tanya awak betul-betul, yang awak tersengih-sengih macam kerang busuk tak laku, kenapa?”  aku dapat merasakan mukaku makin ketat.  Hati semakin panas, tambahan lagi meladeni aksinya yang bersahaja.

            “Eh, kenapa pula saya nak bagi tahu awak?”   tanyanya kembali.

            “Saya risaukan awak…” suaraku merendah kembali.  Wahai gadis, takkanlah tak dapat kau baca isi hati ini.

            “Tak perlu nak risaukan saya.  Saya dah besar.  Mak ayah sayapun tak risaukan saya!”  dia bersuara angkuh.  Aku merasakan kata-kata itu bagai mata pedang berhulukan keangkuhan sedang tertancap di dadaku sekarang.

            “Itu mak ayah awak. Ini saya…”

            “Terima kasihlah sebab risaukan saya Nazri.  Tapi saya tak perlukan simpati sesiapa.  Seperti yang saya kata, saya dah besar.”  Dia mulai berpaling, meninggalkan aku.  Sempat aku sentap lengannya yang dialas baju kurung, dia hampir terlayang jatuh akibat tindakanku.

            “Hey, jangan campur urusan hidup saya boleh tak?  Saya tak suka dikongkong.  Saya benci pada sesiapa yang mengongkong saya!  Lagipun awak siapa??”  lengkingan yang menujah telingaku menyebabkan kawanan emosiku mengaum-ngaum mengumumkan amarah ke seluruh alam maya. 

Entah bila, tanganku singgah di pipinya akupun tidak tahu.  Sedar-sedar, dia sudah memegang pipi dengan matanya memancar kebencian yang amat sangat.  Ada air jernih menggenangi matanya. 

            “Bai…kenapa ni.  Pukul-pukul perempuan pula?  Nak gaduh balik rumah lah!”  Azizan, yang bertindak sebagai pengarah drama tersebut, menyapa.  Adegan itu sudah diintainya sedari awal.

            “Tila…saya minta maaf!”
            “Dahlah, Boy.  Pergi balik.  Jangan kacau kami dekat sini.”  Azizan memegang bahuku.  Biarpun terasa lembut, aku menepis.  Bagiku, kata-katanya tadi adalah bakaran memulakan permusuhan.   Kata-kata yang mahu menjarakkan aku dengan Atila.

            “Bro, aku tak ada masalah dengan kau.  Kau jangan cari fasal dengan aku!”  Atila masih tegak berdiri, menyaksikan pula ketegangan antara aku dengan Azizan.  Kerana dia.  Memang kerana dia. 

            “Wei, kau datang sini.  Pukul anak buah aku, sekarang kau kata aku yang cari fasal.  Dahlah, aku rasa elok kau balik asrama, ubat sakit angau kau tu.  Kat sini, tak ada ubatnya,”

            “Kurang ajar!”  seorang lagi mangsaku.  Azizan menerima tumbukan sulungku tetapi aku mendapat yang tengah, tepi sehingga tumbukan bongsu.  Terasa hidungku bagai kemek dan kebas.  Rahang terasa teralih sepenuhnya.  Aku dapat melepaskan diri apabila Azizan ditenangkan oleh kru-krunya.  Atila tidak berganjak.  Mahu terus menjadi saksi peristiwa itu.

*****

SAMPAI mati.  Sumpah.  Sampai ke lubang kubur aku tak akan maafkan dia.  Ketika matanya merayu maaf, aku ternampak-nampak mata emak yang bersinar garang selepas memukulku.  Ketika suaranya lirih memohon ampun, aku mendengar suara emak di sebalik suaranya meneruskan kata-kata azimat yang menyakitkan telinga.

Aku kira dia menghormati persahabatan ini.  Aku kira, apa juga keputusanku adalah berkenaan dengan diriku.  Tiada kena mengena dengan dia ataupun sesiapa.  Keputusan untuk mendatangi daerah ini juga hanya berstatus makluman untuk emak dan ayah.  Bukan memohon kebenaran.  Aku tidak pernah memohon kebenaran sesiapa untuk ke sini. 

Aku ke sini juga untuk keluar dari zon kongkongan total secara mutlak.  Tiada siapa yang boleh menghalangiku. 

“Kalau kau nak berkawan, nak bertegur sapa dengan aku lagi, kau pulangkan balik surat tu Shaani.  Aku tak mahu ada kena mengena lagi dengan sesiapa di luar aspuri ni,”  suara tegang milikku menyebabkan Shaani sedikit mengundur.  Aku melihat dengan ekor mata.  Tidak aku pandang langsung mukanya.  Angin dari kipas bilik belajar di tingkat dua itu menghangatkan lagi suasana. 

*****

            Selepas itulah, aku cuba melupakan Atila.  Biarpun payah.  Sinar mata bencinya memancar penuh semangat pada malam itu.  Bibirnya tidak mengucap bicara tetapi keampuhan hatinya untuk terus berdiri di situ menyaksikan saat aku dibelasah Azizan menandakan dia begitu mendendamiku.

            Putus harapanku memohon maaf setelah surat-surat yang aku utuskan tidak berjawab.  Aku mahukan kemaafannya.  Aku telah melakukan sesuatu bukan di atas kapasiti seorang kawan sekolah.  Aku tahu, Atilapun tahu maksud aku melakukan semua itu. 
            Aku nyatakan kerisauanku tentang keselamatannya.  Malah aku senaraikan alasan-alasan lain.  Tetapi Atila menampakkan belang sebenarnya.  Sehinggakan tiada istilah terserempak di antara aku dan dia.  Lama kelamaan, dek kejaran tuntutan pelajaran, aku beransur-ansur melupakannya.  Tetapi diari ini bagai menguak kembali dosa-dosa silam yang pernah aku lalukan.  Menjadikan aku begitu terdera. 

*****

            “KATA emak saya, pada hari yang sama dia nak hantar surat pada seseorang.  Mak jumpa surat tu, tapi dah lencun dengan darah.  Lepas baca, mak bakar.”

            “Surat tu untuk siapa?”
           
“Entah.”

Aku hampa.  Sangkaku Rizana mengetahuinya dari A hingga Z. 
           
“Emak Rizana di mana sekarang?  Boleh saya jumpa dia?”
           
“Mak saya di Sarawak.  Ataupun dato’ boleh telefon dia, saya bagi nombornya.” 

Aku mengangguk-angguk dengan tangan masih ketar mencecahkan jari pada nombor-nombor maya yang tertera di dada telefon. 

“Pendek aja isi suratnya…yang paling saya ingat arwah tulis, suka tapi luka.”

Beritahu wanita itu yang mengakui Atila adalah sepupunya.  “Dia maafkan awak…err maksud saya dato’…” dia tergelak kecil di hujung talian.  Air mata lelakiku menakung di birai mata.  Aku arahkan pemanduku meninggalkan tanah Vokey yang tiba-tiba menjadi basah dengan kenangan lalu. Atila, maafkan aku, untuk sekali lagi.    

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...