BIARPUN
Wazif mentakrifkan apa yang akan dilakukannya sebentar lagi sebagai satu
kejutan, Amanda tidak ingin memikirkannya.
Lebih-lebih lagi apabila kereta dengan plet Wilayah persekutuan itu
meluncur laju menghala ke bandar sebelum membelok ke simpang tiga dan keluar
terus dari daerah tempat dia mencari rezeki itu.
“Kita nak ke mana ni?” Amanda buat-buat bertanya. Di dalam hati, sipi-sipi dia sudah dapat
mengagak destinasi mereka.
“Adalah. Kan saya kata tadi tempatnya istimewa.” Ucap Wazif tanpa menoleh. Hanya tangan kirinya menekan paparan audio di
papan pemuka. Memainkan lagu balada
dendangan Michael Learns To Rock.
“Oh! No. Not again...” rengek Amanda.
Wazif ketawa besar dan bahagia mendengar
rangkai kata manja itu. Mengerling dengan
ekor mata sahaja. Ikutkan hati dan rasa,
pelbagai reaksi mahu ditunjukkan untuk membuktikan kerinduan. Membuktikan kasih sayang dan kecintaan. Tetapi, menghormati seorang wanita, bakal
isteri dia memendam perasaan. Setiap
kali riak kecintaan itu mendebur menjadi ombak dia berusaha menjauh untuk
membentuk pagar menghalang kemaraannya.
“Any
way you want it, anything you need...”
Wazif menyanyi-nyanyi perlahan mengikut korus lagu terbaru kumpulan
pemuzik dari Jerman itu.
Masih
lagi cuma untuk memberi kefahaman bahawa Amanda harus menghayati setiap bait
lirik lagu itu. Amanda menjuihkan
bibirnya. Dia bukanlah bodoh benar untuk
memahami setiap baris perkataan yang disenandungkan oleh Jascha Ritcher
itu. Tidak pernah walau sekalipun setiap
lagu-lagu MLTR yang ditujukan kepadanya oleh Wazif tidak menyentuh perasaannya.
Hanya, di depan Wazif dia memainkan
wataknya. Seorang wanita keras hati dan
keras kepala yang mahu kehendaknya sahaja dituruti. Di depan Wazif, dialah wanita penuh persona
tapi juga penuh dengan misteri. Biarpun
rentetan kisah kasih sayang sudah berlanjutan sehingga bertahun-tahun.
Sebaik sahaja kereta selamat diparkirkan,
Amanda menonong keluar tanpa menunggu pintu dibukakan. Kebiasaannya juga begitu. Tidak gemar dimanjakan walaupun Wazif ingin
sekali melakukannya. Amanda berlari-lari anak tiba-tiba. Mendapatkan seseorang yang sibuk ke hulu ke
hilir di dalam sebuah restoran.
Diciumnya tangan Mak Cik Manja.
Pipi berkedut ibu angkatnya itu dan tiga rakannya yang lain dicium
bertalu-talu. Saban hari, sewaktu di kolej
di situlah tempat makan tengahari, petang dan malam. Kadang-kadang sampai bertunggu tangga di
situ.
“Hah! Hidup lagi kau ya...” seorang lelaki yang kelihatan sebaya dengan
Wazif menegur sambil menukar letak duduk tuala Good Morningnya ke bahu
kiri. Tahi lalat memenuhi wajahnya yang
manis. Berbanding Wazif lelaki itu
berbadan gempal dengan rambut ala rekrut.
Wazif bersalaman dengannya.
“Dua bulan dah mak tak jumpa kamu...” kata Mak Cik Manja mengusap-usap belakang
Amanda yang masih di sisinya. Amanda
meletakkan kepalanya di bahu Mak Cik Manja.
Aksi manja itu mengalun debar di hati lelaki Wazif.
“Bulan madulah tu mak...” pintas Hazli.
Ketawa
dan kemudiannya kembali ke meja yang menempatkan mesin pengisar ais di samping
aneka bahan mengadun ABC ataupun cendol.
Mesin berwarna biru muda dengan gambar angsa di kiri dan kanannya dicat
dengan warna merah sendat dengan memori buat Amanda dan rakan-rakannya. Di sebelah kanannya pula terdapat sebuah lagi
mesin pengisar ais menggunakan elektrik.
“Bila kahwin, tak beritahu mak
pun...” Mak cik Manja mengelap meja yang
di depannya. Wazif menarik kerusi untuk
Amanda, tetapi gadis itu beralih ke kerusi satu lagi.
Wazif
menggaru-garu dahi luasnya walaupun tiada nyamuk yang menghinggapi memindahkan
rasa gatal. Amanda membulatkan matanya
menudak Hazli dengan mulutnya herot dan muka sedikit semasam. Hazli mendekatkan kedua-dua anak matanya
sebelum menjelirkan lidah. Pecah ketawa
Amanda.
“Akan kahwin...” Wazif membetulkan ayat.
“Habis...yang Hazli cakap tadi?” Mak Cik Manja meletakkan tangannya di
pinggang yang sudah hilang potongan.
“Mak cik bukan tak tahu si Hazli
tu...suka menyakat. Takkanlah kami
kahwin tak beritahu.” Wazif mengangkat
penumbuk. Lagak marah ke arah
Hazli. Ketawa Hazli berlambakan.
“Manalah tahu. Mak rasa dah dekat enam tahun kamu berdua
berkawan. Nak tunggu apa lagi? Amanda?
Wazif? Jangan biakkan syaitan
dengan ke hulu ke hilir macam ni. nanti
tak terkawal diri...” Mak cik Manja
melepaskan kata sedas demi sedas.
Tiada istilah menjaga hati buat anak-anak
angkatnya ini. Agaknya, jika ibu bapa
mereka yang berkata begini, paling tidak menyinga masing-masing. Mahu menjawab. Tetapi Amanda hanya membuang pandang ke arah
luar restoran.
“Umur Amanda sekarang berapa tahun?” soal Wazif apabila kata-kata Mak Cik Manja
tidak bersambut.
Wanita
bertubuh rendang itu sudah masuk ke dalam dapur restoran meneruskan
tugasnya. Juga menyiapkan pesanan
kedua-dua mereka. Waktu-waktu begini,
restorannya tetap sibuk dengan para pelajar yang menikmati makan
tengahari. Kedudukan restoran yang
berdekatan dengan kolej juga keramahan Mak Cik Manja menjadikan restorannya
sentiasa penuh. Meja yang diduduki
mereka berdua itu disedia khusus oleh Hazli dan kedudukannya agak tersorok dan
lebih hampir dengan bahagian dapur.
“Takkan Wazif tak tahu...”
“Tahu...saja nak tanya...berapa?”
“Dua puluh empat nak masuk dua puluh
lima...gitu,” Amanda ketawa di hujung
bicaranya. Tidak tahu apa yang
menggelitik hatinya apabila mengungkap soal usianya.
“Dah tua tu...”
“Alah...awak tu pun bukannya muda
sangat,” sindir Amanda.
Wazif
mengetuk-ngetuk kotak rokok pada meja coklat yang masih kosong itu dan
kemudiannya mengeluarkan sebatang rokok.
Amanda mengipas-ngipas sesuatu di depan mukanya biarpun batang nikotin
bersalut itu belum dinyalakan.
“kalau...”
“Okey...Dida. kau punya air dah siap. Ambil sendiri!” Jeritan Hazli memotong bicara Wazif. Sambil Amanda bangun mengambil dulang berisi
minuman untuknya dan Wazif, Hazli menarik kerusi coklat yang kosong di sebelah
Amanda. Wazif mencerlung Hazli.
“Ala...aku bukannya nak bersanding
dengan Dida. Kan Dida? Lagipun dia bukannya nak berlakikan kuli
kedai macam aku ni. Paling komanpun
pensyarah...ya tak?”
“Jangan cakap macam tu
bang...manusia ni serupa aja. Dida tak
pernah pandang rendah pada abang.
Pensyarah ke, kuli ke, rezeki halal membawa berkat. Itu yang penting.” Sela Amanda selepas menghirup minuman
berwarna oren di depannya.
“Jangan ambil hatilah. Aku bergurau aja...” tokok Hazli melihat
masam wajah Wazif yang belum reda. Gerun
juga melihat misai nipis di atas bibir lelaki itu bergerak-gerak memberi
amaran.
“Jangan naik angin kalau saya
tanya...” pesan Wazif awal-
awal. Amanda mengacau-ngacau minuman itu dengan
penyedut minuman.
“Pernah saya marah?”
“Selalu...”
“Ni...nampak?” Amanda mencapai satu garfu yang terlonggok di
dalam bekas plastik di tepi meja dan menunjuk ke arah Wazif.
“Hah! Tengok tu...”
Amanda sendiri kadang-kadang tidak
memahami diri sendiri. Kata-kata yang
terpacul daripada mulutnya kadang-kadang cukup lancang. Ada ketikanya tindakan tanpa kawal sering
menghujani lelaki itu dengan silap lelaki itu sekadar sebesar hati kuman. Sesungguhnya Allah itu Maha Adil. Bahagian yang tidak sempurna,
disempurnakan. Cantuman perasaan mereka
menjadi lengkap dengan baran milik Amanda dan kesabaran tak bertepi milik
Wazif. Malu terkadang menuding diri
Amanda. Agaknya Wazif kadang-kadang
bosan dengan maaf plastiknya. Hari ini
memohon maaf, esok buat lagi.
“Sayang...” sergah Wazif. Rambut lurusnya dilurut-lurut.
“Apa?” Amanda mengangkat muka.
“Awak sendiri tahu kan. Tahun-tahun kebelakangan ni, saya selalu
ingatkan awak tentang janji kita.” Wazif
bersuara tenang.
“Janji?”
“Dah, buat-buat lupa pulak!”
“Tak...saya ingat...tapi...”
“Berapa banyak alasan yang awak nak
beri. Berapa lama lagi saya nak
menunggu?”
“Dida, Wazif, jemput makan.” Pemilik Restoran Manja di pinggir bandar
bersebelahan dengan Kolej Teknologi PB tempat Amanda belajar dahulu,
mempelawa.
Bagaimanapun, Mak Cik Manja
membatalkan hasratnya untuk berbasa basi lebih lanjut apabila melihat kedua-dua
wajah mereka dipugar keseriusan. Hazli
juga mengenyit mata kepada ibunya.
“Awak ingat tak lagi. Tamat pengajian saya nak hantar wakil, awak
kata tak mahu. Sebab tak ada kerja
lagi. Okey. Saya tunggu hingga awak dapat kerja. Bila awak dah kerja, awak kata nak kumpul
duit. Baik. Saya tunggu awak kumpul duit...” Wazif menghela nafas.
Tubuhnya yang agam dibanting pada kerusi
coklat yang bertentangan dengan kedudukan Amanda. Asap daripada nasi goreng yang baru dimasak
itu begitu menggiurkan. Melentuk liuk
dengan aroma yang menyucuk pembauan.
Amanda buat-buat tidak mendengar.
Menguis-nguis ais di dalam gelas.
Tetapi, hatinya dan dirinya terasa berada di dalam ruang empat segi yang
penuh duri pada setiap penjurunya.
“Awak marah ke?” akhirnya Amanda memberanikan diri bertanya.
“Bila dah kumpul duit, awak kata nak
berumahtangga bila umur dah cecah dua puluh empat atau dua puluh lima. Alasannya nak enjoy. Nak merasa duit
sendiri. Okey. Saya tunggu.
Sekarang?” Wazif meneruskan
kata-katanya bagaikan soalan daripada Amanda tadi tidak menjengah telinganya. Amanda menggaru-garu pangkal hidung
mancungnya. ‘Aku ingatkan dah habis!’ Rungutnya.
“Saya bukan nak lari...atau bagi
seribu alasan lagi.” Amanda mematahkan
kata.
No comments:
Post a Comment