..yang bernama sahabat

Wednesday, 15 May 2013

Amanda Allamanda 8

...kalau dulu aku kau anggap syaitan, apa salahnya hari ini aku menjadi malaikat  kiriman Tuhan, melindungi kau dengan penuh kasih sayang...



FAIL nipis berupa profil syarikat diletakkan di depan Amanda.  Portfolio syarikat, kejayaan dan keseluruhan maklumat kewangan syarikat yang diperlukan untuk dipanjangkan kepada pihak bank bagi mendapatkan kemudahan overdraf.  Amanda mengerling dengan hujung mata.  Fail itu yang membuatkan Azri membatalkan temujanji yang sepatutnya berlangsung pagi tadi.

            “Berlian Floating Resort tu, kesayangan saya,Amanda...”  Zulkarnain berdiri menghadap dinding kaca. 
 Seluruh pemandangan bandar dari tingkat enam itu berada dalam dakapan pandangan Zulkarnain.  Amanda menyifir keseluruhan lelaki yang lengkap berseluar hitam dan berkemeja lengan panjang berbelang hitam putih.   Lelaki tinggi lampai tetapi perutnya sedikit ke depan.  Menandakan dia lelaki yang telah berkeluarga. Dari sisi kiri, dia tetap nampak ganteng.
            “Maafkan saya Encik Nine.  Saya terlupa masukkan beberapa projek terakhir...” Amanda mengakui silapnya biarpun kalau boleh dituding, dia boleh menuding kepada pengurus projek yang tidak memaklumkannya tentang beberapa projek syarikat yang telah disempurnakan. 
            “Komitmen saya dua ratus peratus.  Saya nak jadi perintis pelancongan rumah rakit di tebing Sungai Pahang.  Dulu, masa saya kecil-kecil, selalu saya kata pada mama.  Saya nak rumah rakit ni terus kekal di pinggir sungai ni.  Inilah Sungai Pahang.  Inilah identitinya...”  Zulkarnain bersuara perlahan, penuh patriotis dan ungkapan yang dibebat kerinduan. 
            “Saya faham, Encik Nine.” Jawab Amanda pendek, mengambil hati.
            “Kalau jadi apa-apa pada saya, hanya awak yang saya harapkan untuk sambung projek ni.  sampai berjaya.  Ingat!  Sampai berjaya.”  Zulkarnain merenung bebola mata Amanda. 
Dalam dan penuh makna.  Amanda kegelisahan.  Sudah kenapa dengan lelaki ini, hari ini?  Jadi apa?  Dia mahu ke mana? Dia sedang bergelut dengan tuntutan nafkah harta isteri cantiknya itu, agaknya.  Isterinya menuntut mutaah yang bukan-bukan, mungkin.  Manalah tahu, syarikat itu pula yang dituntutnya.  Mahu terbang sanggul tinggi Datin Noor, ibu Zulkarnain.  Tetapi, perempuan itu pilihan Datin Noor.  Zulkarnain anak patuh yang menurut sahaja.   Syarikat pembinaan itu diwariskan kepada Zulkarnain selepas pemergian Dato’ Hashim.  Suka atau tidak Datin Noor terpaksa berkeras dengan anak lelakinya itu untuk meneruskan perniagaan keluarga.
Wanita itu pernah menyuarakan kegelisahan dan rasa bersalah yang sering melanda dirinya.  Baginya, dia adalah ibu yang terlalu memaksa.  Namun, Datin Noor memberitahu, di dalam keterpaksaan, dia harus mengeraskan hati untuk bertegas dengan Zulkarnain.
“Encik Nine nak pergi ke mana?  Berwasiat bagai...buat saya takut saja,”  Amanda menyuarakan kebimbangan yang menyiram pangkal hati. 
“Nak ke mana pulak?  Saya beritahu awak saja.  BFR ni sangat bermakna buat saya.  Jangan awak buat sambil lewa aja...”  Liang suara Zulkarnain bertukar menjadi timbul dan tegas semula.  Terpinga-pinga Amanda dibuatnya.  Kepala angin!  Sumpah Amanda di dalam hati. 
“Tak adalah...”  Amanda tidak menyambung apabila Zulkarnain sudahpun bangun dan menghala ke pintu. 
“Jom.  Lepas makan tengahari, saya ada temujanji.  Sebelum balik nanti, awak ambil bungkusan tu ya...”  pesan Zulkarnain dan terus melangkah keluar dari biliknya. 
Kenapa tak suruh ambil sekarang?  Kenapa selepas waktu balik?  Amanda memandang beg kertas berwarna-warni yang dimaksudkan.  Terletak di atas kabinet panjang di belakang meja Zulkarnain.  Perasaan ingin tahu menggarit-garit sehingga tanpa kawalan, Amanda melangkah mendekati bungkusan itu.
“Amanda!”  suara Zulkarnain kedengaran semula di muka pintu. 
Putus niat dan mati langkah Amanda untuk mendekati kabinet tersebut.  Amanda sendiri tidak pasti apa yang menyebabkan langkahnya terpateri.  Sergahan atau rasa sabar yang tiba-tiba menjenguk pintu hati.
“Encik Nine...saya kena ikut ke?”  tanya Amanda teragak-agak.  Dia membetulkan duduk tudungnya yang senget. 
“Ya.”  Jawab Zulkarnain ketika mereka beriringan menuju ke lif.
 Maksud soalan Amanda ialah, dia tidak mahu ikut serta.  Zulkarnain sengaja memberi jawapan pendek untuk mematikan kata-kata setiausahanya yang dirasakan kadang-kadang bermulut celupar dengan dirinya.    Jawapan Zulkarnain merencatkan akal Amanda yang berputar mencari alasan tadinya.  Ke sana ke mari atas alasan kerja dengan Zulkarnain bukanlah satu keganjilan.  Malahan Wazif juga memahami.  Tetapi, hari itu hatinya bergelodak risau.  Entah kenapa.  Gusar sudah berkeladak menjadi beban pada perasaan.
“Encik Nine...”
“Ya?”
Zulkarnain yang mulai melangkahkan kaki ke dalam kereta, kembali berdiri tegak.  Memandang Amanda yang anggun di dalam persalinan kurung moden itu yang masih mematung tegak di anak tangga terakhir.
            “Tak ada apa-apalah!”  Amanda tidak jadi meneruskan kata-kata apabila semua ayat yang dirangkanya bercempara pergi.  
            “Awak ni...”  getus Zulkarnain. 
Amanda melangkah perlahan-lahan.  Hati dan kakinya bagai terikat pada rantai yang berat.  Mereka berdua menguburkan bicara.  Zulkarnain lebih banyak melamun dengan memandang keluar.  Sesekala dia berbual-bual dengan Pak Hassan.  Amanda yang duduk di kerusi belakang, bagaikan tuan puteri sekadar menyandar membiarkan ingatan tentang Wazif merayau ke sempadan minda yang paling dasar. 
            Dia tahu yang Wazif tahu tentang keengganannya.  Dia mengerti jika akhirnya Wazif melangkah pergi kerana patah sayap asanya menanti kata setuju dari mulut seorang gadis bernama Amanda.  Mengenangkan saat-saat melihat langkah itu menjauh tanpa menoleh, mata Amanda terasa panas.  Akan adakah lagi lelaki sesabar Wazif.  Apakah langkah Wazif itu akan menutup terus pintu gerbang hatinya atau sebenarnya kepergiannya itu menjemput putera impian dalam busana serba suci dan menjanjikan ijab dan kabul berlandaskan cinta sufi.  Amanda mengigit hujung kuku ibu jarinya.  Zulkarnain tersenyum melihatnya melalui cermin sisi depan.  Dia tahu gadis itu terpaksa dan bosan mengekorinya ke hulu ke hilir.
            Dia juga maklum dengan ruang hati gadis bernama Amanda itu sudahpun terisi.  Tetapi, tingkah Amanda kadang-kadang menimbulkan banyak pertanyaan mengenai status hubungan mereka.  Dia tidak mengambil tahu apa yang berlaku selepas waktu pejabat, tetapi dia tidak pernah melihat kelibat Wazif tertonggok di depan pintu pejabat menunggu buah hatinya pulang.  Tidak pernah sekali.  Samada Amanda yang bermasalah ataupun Wazif yang mendatangkan masalah. Nyata hubungan mereka agak sukar ditakrifkan. 
            “Minggu depan, ikut saya ke tapak.  Ada sesuatu yang nak saya tunjukkan pada awak.”  Tiba-tiba Zulkarnain bersuara.
            “Site mana?”
            “BFR.  Mereka dah nak mula turunkan rumah rakit contoh dan pejabat tapak kat situ.”  Amanda membisu.  Dia lebih tahu daripada Zulkarnain mengenai perkara itu.  Tetapi, untuk tidak menimbulkan isu, dia mengangguk sahaja.  Kereta mewah berwarna hitam itu terus meluncur laju sehingga Pak Hassan bagaikan tersentak ketika namanya dipanggil sekuat-kuatnya oleh Amanda.  Bagaimanapun segala-galanya sudah terlambat untuk mereka bertiga.    
                

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...