HELANG REMAJA
BUMI
perbukitan Bentong masih lena diseliputi kabus ketika teksi disewa mak dan ayah
sampai di depan sekolah. Padang menghijau menyambut
kami di sebelah kiri. Di sebelah kanan
terdiri agam dewan besar yang disambungkan ke bangunan utama pentadbiran dan
bangunan sekolah dengan trek pejalan kaki berbumbung.
khai79blogspot.com |
Di
seberang jalan, saujana mata memandang kehijauan membungkus bukit umpama
banjaran berjajar tiga beradik. Di bukit
yang tengah, kelihatan seperti pintu gua, tidak berpokok. Jika ditenung lama-lama menimbulkan
seram.
Tiada
yang berubahpun. Pakaian seragam masih
sama. Bezanya kasut sekolah berwarna
hitam. Apa rasionalnya, akupun tak
tahu. Aku membawa fail peribadi menuju
ke meja pendaftaran bertulis, pengurusan pejabat. PPJ.
Basa-basi ucapan selamat datang daripada kakak senior yang teruja
mendapat bacuk mengisi kemahiran membuli mereka!
Kemudian,
kami (aku dan kakak senior) berjalan kaki.
Pemandangan pelik bagi mataku.
Bukan sahaja kedapatan bangunan sekolah. Tetapi terdapat bangunan lain
yang didirikan berasingan. Paling
berdekatan dengan jalan raya ialah bangunan bertulis Bengkel Elektronik.
“Tu
asrama putera. Itu dewan makan, surau
dan sebelah dewan makan tu asrama puteri!”
Kakak
senior yang tertulis nama ‘Haslina’ di tudungnya itu menerangkan. Mak ai! Jauhnya. Kenapa tak buat asrama puteri di bandar
Bentong! Tetapi, tidaklah aku lahirkan
protesku. Nampak berlagak. Tak sampai beberapa minit dah berlagak, pasti
kakak senior itu akan mengecam aku dunia akhirat!
Perkarangan asrama puteri masih
lengang. Hanya ada beberapa orang
pelajar perempuan (yang aku agak senior) menyambut kami. Seorang guru perempuan berada bersama
mereka. Dia memperkenalkan dirinya
sebagai Puan Habsah. Guru bahagian
elektronik. Kagum bertakhta di
hati. Sangkaku, guru-guru perempuan di
sekolah ini mengisi ruang kosong bahagian-bahagian perdagangan sahaja.
Usai
mendaftar dan berbasa basi, aku dibawa pula mengheret beg. Menaiki tangga sebelah luar. Memanjat sehingga ke tingkat lima . Dari tingkat lima , aku dimaklumkan bahawa beberapa buah
rumah yang kelihatan di belakang bukit itu adalah rumah kakitangan dan rumah
pengetua.
Aku percaya, selepas dua tahun di
sekolah ini, aku memang mampu mengekalkan potongan peragawatiku. (feewit!) Manakan tidak. Dormitari di tingkat lima .
Dari aspuri ke blok bangunan sekolah perlu memanjat tangga. Melainkan
melalui jalan menurun di depan aspura (argh! Aku tak sanggup!) kelas pula di tingkat satu. Aku percaya, mereka memang sengaja mereka
bentuk landskap sekolah sebegini semata-mata untuk mengujiku.
Emak meninggalkan aku dengan linangan
air mata. Aku sambut linangan air mata
emak dengan lambaian. Lambaian
kebebasan. Aku tidak perlu mendengar
leteran emak lagi. Aku bebas mahu
berutus surat
cinta dengan siapa sahaja yang aku mahu.
(kalau mahu) Aku melihat asap
daripada buntut teksi sewa itu bagaikan ais kering mengiringi persembahan aku
yang sedang mendendang lagu bahagia.
Lagu-lagu yang menerbangkan aku ke angkasa. Bebas. Sebebas helang remaja dengan sayap
tertebar. Menggesel diri dengan angin
melayang tinggi dan rendah sambil mata tajam mengintai peluang.
Aku
ditempatkan di dorm F5. Blok F bernombor
5 tingkat 3. Ada satu lagi dorm yang bertentangan iaitu F4
yang juga kosong. Memang dibiarkan
berhantu sementara menunggu kedatangan junior, bisik seorang senior yang aku
lupa namanya. Menjelang tengahari,
dormitari itu dipenuhi.
Mula-mula
masuk Ismawati Ismail. Anak Selangor
bermastautin di bumi Selayang. Berkulit
putih melepak, dengan rambut pendek,
bila bercakap pasti tangannya melurut rambutnya. Bermata sepet kusangkakan berbangsa
Cina. Diikuti oleh Rafidah Rasid, dari
Selangor juga. Bila disebut sahaja
Puchong, aku hanya membayangkan buaya puchong yang kini setia menetap di Muzium
Negara replikanya. Gadis bertahi lalat,
kecil molek dan kulitnya hitam manis.
Bicaranya
laju selaju keretapi. Dia menetap di
katil atas yang membawa malang
pada hari-hari awal kedatangannya ke situ.
Loceng asrama berwarna merah betul-betul di atas kepalanya bairpun di
sebelah luar. Apabila siren kedengaran
sebelum subuh, dia akan terjaga. Bangun
dan terus berdiri. Berjalan ke depan dan
dumm.
Adegan yang tak sanggup aku nak tengok.
Menghentam simen pembahagi siling!
Teman-teman awal lain ialah Roszana Abu Salam,
Hayati Mohd Nor dan Norhairiah Abu Hani.
Ketiga-tiga mereka sedaerah berlain mukim denganku. Ketiga-tiganya pelajar terbaik SRP Sek Men
Keb Kuala Krau. Sebelum itu pernah aku
bertembung dengan Roszana atau Kak Anne dalam pertandingan kuiz agama Islam
peringkat daerah di Sek Men Dato Bahaman, Lanchang. Di situ juga, aku berkenalan dengan
Zaki.
Begitulah
sehingga penuh dormitari kami dengan nama-nama yang tertampal di dinding selain
nama tadi. Mulanya seramai itu,
kemudian entah kenapa, dihijrahkan sebahagian daripada mereka ke dorm-dorm lain
dan tinggallah dua puak di dalam dorm itu.
puak aku dan puak Lily. Walaupun
kami berpuak, puak kami cuma wujud ketika mencampuri gerombolan ke dewan makan
atau acara-acara lain. Selebihnya, kami
bersama kerana masing-masing berbilang kelas.
Malam
pertama, aku mendengar tangisan.
Kusangka hantu. Rupanya
manusia. Sebenarnya, ada satu rahsia
yang tidak pernah aku nyatakan pada sesiapa.
Sengaja aku tidak hebahkan untuk menambah panik. Ketika kisah perempuan berambut panjang di
hujung katil diceritakan, heboh dan menggigilkan kepala lutut setiap penghuni
aspuri, akupun pernah terserempak dengannya.
Tidak aku ceritakan kepada sesiapa kerana aku melihatnya seimbas. Aku memujuk minda agar menganggapnya sebagai gerakan
telekung yang tersidai di hujung katil, ditiup bayu malam. Malam itu, aku tidur berbantalkan lengan
kerana bantal digunakan untuk menutup muka.
Jika itu telekung, objek hitam yang berjuraian itu, apakah bendanya ya?
Yang
menangis, mungkin menanggung kerinduan tak terperi. Lebih-lebih mendepani layanan senior-senior
garang tahap dewa kronik yang diketuai oleh Kak Aleeya. Kak Aleeya bukannya Yang Dipertua
Aspuri. Yang diPertua ialah Kak Maimunah
atau kami gelar Kak Mai.
Tetapi,
dalam banyak perkara, Kak Aleeya lebih vokal dan lebih menyakinkan dengan
tubuhnya yang besar. Tetapi dengan
bangganya aku mengumumkan, tiada setitik air mata gatal pun gugur sepanjang
minggu orientasi berlangsung. Malah
ketika Kak Aleeya, dimaki setiap junior di dalam hati, aku mengaguminya. Agaknya diapun terperanjat apabila membaca
kertas undian ‘kakak senior yg paling saya suka’ – aku letakkan namanya. Bagiku, ada sekeping hati yang suci di
sebalik karektornya itu. Tidak
berselindung menghunjam kata-kata. Sejujurnya,
aku menyukai manusia sebegitu.
Syaratnya begini. Pelajar baru harus mendapatkan nama-nama
senior beserta tanda tangannya. Jumlah,
sesuka sebutan sesiapa yang memberi arahan.
Kemudian bertebaranlah kami dalam kesempitan ruang nyawa di antara galau
rindu pada keluarga dan tentatif Minggu Orientasi yang mencuri masa tidur dan
rehat, sekian banyak.
Nyatakan apa sahaja bentuk-bentuk pembulian
mesra alam yang dirangka oleh Aleeya & The Gang. Tiup kipas, sampai berhenti. Sudah berhenti, disuruh tiup menggunakan
penyedut minuman supaya kipas itu berpusing balik. Padahal, salah seorang daripada mereka
berdiri berhampiran suis kipas.
Tak
cukup dengan aktiviti meniup, disambung pula dengan operasi menepuk tangan
sehingga lampu padam. Agaknya, kalau
dibuatnya lampu itu betul-betul padam kerana tepukan itu tanpa sesiapa memetik
suisnya, senior-senior itupun bertempiaran lari. Silap haribulan, minggu orientasi ditamatkan
serta merta. Atas alasan, terhadap
campur tangan asing yang memang asing!
Pembulian
paling minima tetapi paling memalukan para junior ialah disuruh menyanyi di
khalayak. Kalau suaranya iras Ramlah
Ram, paling tidak, tiadalah malu benar. Tetapi,
kalau disuruh aku menyanyi, memang aku akan terjun dari tingkat tiga itu, kala
itu juga. Itupun, belum tentu tanda
tangan senior diperolehi. Kalau dia
mahukan sessi ujibakat bersambung, terderalah hati menunggu esok.
Kemudiannya,
apabila aku pula menjadi senior, aku pula melakukan perkara yang sama. Luka lama dibuli senior setahun sebelumnya
terubat. Maka kerana itu budaya
menyambut pelajar baru seperti ini berterusan.
Senyumku tiba-tiba mekar apabila mengingatkan junior pertama F5 berkaca
mata, Norharlinda.
Denda yang paling tidak digemari
masyarakat Aspuri ialah mencabut kemuncup.
Terasa mahu sahaja aku balik ke kampung meminjam sabit ayah. Setakat setengah jam, boleh aku bereskan
kawasan kosong berkemuncup di sebelah kiri aspuri itu. Sudahlah disuruh mencabut, siap cabut disuruh
kira pula. Aku tiba-tiba teringatkan
Senior Gloria yang selalu atau terpaksa bertugas menjadi mandur. Mengawasi junior mencabut kemuncup!
Di dalam dorm kami, Yoyo atau
Fazelina selalu menjadi mangsa teriakan senior.
Ada-ada saja. Tapi, lagaknya yang
bersahaja, tenang dan mungkin dilabel ‘bajet bagus’ oleh sesetengah senior itu
menjadikan dia junior kegemaran.
“Aku suka Kak Siti,” puji Zanariah,
ketika kami duduk-duduk melepas lelah selepas pulang dari sekolah.
Baju
sekolahpun belum ditanggalkan. Zanariah
mencampakkan bekas airnya di atas tilam yang berbalut dengan cadar putih. Terpuntang-panting bekas itu. Ada
juga yang mengambil kesempatan berbaring.
Ada juga
yang sudahpun berlalu ke bilik air untuk mandi.
Petang, terdapat aktiviti ko-kurikulum.
Sepulang nanti, harus segera bergegas ke dewan makan, Maghrib dan Isyak
harus berjemaah.
“Kenapa?” tanyaku.
Belumpun sempat Zanariah menjawab.
Siren berbunyi lagi. Kesemua kami
melongo sesama sendiri. Jam di tangan
menunjukkan pukul 2.00. Waktu belajar
jika dirujuk kepada tentatif minggu orientasi yang diberikan kepada setiap
pelajar baru.
Berduyun-duyun pelajar junior turun
sama ada menggunakan tangga tepi ataupun tangga tengah. Dengan pelbagai gaya . Ada yang berbaju putih
berkain batik atau berseluar track-suit.
Ada yang
berbaju t dan berkain biru. Ada juga yang telah
menukar pakaian terus. Ada yang masih berpakaian sekolah, dan baru
aku teringat, Isma sudah masuk ke dalam bilik air dan belum keluar! Habis!
No comments:
Post a Comment